Isnin, Mac 17, 2014

Harga Puisi

Aku mula percaya
puisi sudah menjadi komoditi
yang terlalu murah
kerana berlambak di pasar
para peniaga berlumba
kerana rakyat tanpa mengira
kedudukan dan pangkat
berlumba-lumba
berdiri di pentas
membaca puisi
nilainya sudah rendah
kerana tidak dihayati lagi
makna indahnya
dibaca kerana mahu dibaca
seadanya

puisi pun dibaca di kaca tv
puisi juga di baca di hotel
tapi hari itu puisi-puisi
menjadi tunasusila
yang lalu dari telinga
yang lepas dari matahati

aku dimarahi
kerana meratapi puisi
yang mati di hati penyair
itu sendiri
aku dimarahi
kerana menyatakan kebenaran
yang dinyatakan puisi itu
tunasusila yang meleburkan sahsiah
hargadiri berbahasa indah
aku dimarahi
kerana menulis puisi
di sisiku wajahdiri mencari
emosi yang hanyutkan arus diam

aku mula percaya
apabila puisi menjadi buku-buku bacaan
yang tak laku di pasaran
tapi puisi tetap kuagungi
rahsia rasa menyimpan maknanya
dalam bahasa indah
lembut ketika diungkapkan
mesra apabila didengarkan
menusuk merdu mengharu
kerana puisi bukan untuk dikomoditikan
di pasar lelong buku-buku tak laku
puisi ada letaknya
bukan di kedai buku
bukan di pentas rakyat
yang seadanya
bukan semahunya berbahasa ampu
berbahasa tak laku
berbahasa bau
berbahasa enak sendiri
berbahasa tak erti sendiri

aku percaya puisi
harus ada harga
dan nilai
yang berbeza.


Kota Kinabalu.
10 Disember 2001.

Ahad, Mac 16, 2014

Jumaat, Mac 14, 2014

Bukan sekadar menulis



"Kalau kamu bukan anak raja dan engkau bukan anak ulama besar, maka jadilah penulis." (Imam Al Ghazali).

HAKIKAT menulis sesungguhnya adalah untuk mempersembahkan fikiran, untuk mengatasi tekanan-tekanan hidup dan untuk mengungkapkan gagasan secara bebas. Lalu pada akhirnya menemukan konsep "mengikat makna" yang prinsipnya tidak mungkin kita hanya melakukan upacara membaca saja atau menulis saja. Dua kegiatan ini harus dipadukan agar kita langsung dapat merasakan manfaat membaca dan menulis.

Menurut Stephen King "ketika seorang penulis hanya menunggu waktu yang tepat atau menunggu datangnya inspirasi ketika hendak memulakan penulisan, maka sebenarnya ia belum menjadi dirinya sendiri." Dalam erti yang lain "kita tidak harus menunggu datangnya inspirasi itu, kita sendirilah yang menciptakannya."   Kata-kata ini selalu bermain dalam ingatan saya melalui pesan sasterwan Amil Jaya, "penulis harus berjalan, dengan berjalan dia merakam pengalaman. Penulis mesti melaluinya bukan sekadar duduk, melamun, menanti ilham tiba". Maka untuk menjadi penulis, dituntut kesungguhan, keseriusan, konsistensi dan kerja keras. Tidak ada alasan untuk tidak ada idea, kerana sesungguhnya hambatan kita itu adalah idea, ketidaktahuan kita itu juga merupakan idea, maka tulislah hambatan itu. Tulislah kerana kemudiannya akan menjadi solusi dari hambatan idea tersebut.

Mungkin secara sederhana untuk menulis hal yang perlu diperhatikan untuk pertama kali adalah "apa" lalu "bagaimana" dan yang paling penting adalah isi daripada tulisan. Dalam maksud, kita memang menulis kerana kepentingan itu agar kita tidak kaku dan jumuh, biarkan tulisan itu mengalir sesuai dengan kemahuan idea yang ada dalam kepala, lanjutkan terus kalau masih ada sisa di benak kita, jangan berhenti. Kebenaran tata bahasa jangan dulu diperhatikan, demikian juga keindahan dan gaya. Kerana hal itu akan mengganggu konsentrasi berkreatif. Biarkan otak dan tangan terus menulis merangkaikan kata demi kata.

Ada tiga hal yang setidaknya mempengaruhi perkembangan peribadi seseorang. Tiga hal itu berupa bakat, lingkungan, dan buku yang dibaca. Bakat mengarah kepada suatu pembawaan sejak lahir. Sedangkan lingkungan merupakan tindakbalas dalam merangsang bakat sebagai kesempurnaan kewujudan. Sementara buku adalah ruang khidmat untuk menandaskan idea dan gagasan-gagasan yang menawarkan ruang inspirasi.

Salah satu bakat yang dimiliki oleh seseorang iaitu kemampuan untuk berbahasa. Secara normal, semua orang yang dilahirkan ke dunia, kemampuan berbahasa menjadi bekal pokoknya. Hal itu menjadi saranan dalam mengembangkan potensi keperibadiannya yang lain. Tinggal di mana orang tersebut berada, maka bahasa yang terbentuk adalah sesuai dengan lingkungannya.

Sementara yang berkait dengan bahasa dan merupakan sebahagian bentuk dari pengembangan kemampuan berbahasa adalah sastera. Dalam mencipta karya sastera konstruksi bahasa tidak akan terlepas daripadanya. Bahasa sastera merupakan bahasa pengembangan peribadi manusia yang mengarah pada nilai estetika. Bahasa ini pada dasarnya dibentuk sama dengan bahasa-bahasa pada umumnya, iaitu melalui proses interaksi dengan lingkungan yang bertumpu pada pembawaan.

Seseorang menuturkan bahasa disebabkan oleh adanya wacana lingkungan, baik lingkungan fizik maupun psikik. Lingkungan itulah yang menjadi media pemicu akan hadirnya ujaran bahasa termasuk sastera. Orang tersebut bermaksud ingin menyampaikan pesan tertentu atas fenomena yang telah ditangkapnya. Oleh sebab itulah, estetika bahasa dalam sastera merujuk pada dua hal iaitu estetika struktural dan estetika semiotik. Estetika struktural (khasnya puisi) diwakili dengan adanya perwujudan nilai puitis yang berhubungan dengan diksi, rima, irama, aliterasi, asonansi, permajasan, enjambemen dan tipografi. Estetika semiotik pula berorientasikan pada makna dan nilai-nilai yang hendak disampaikan pengarang melalui karya sastera yang membekasinya.

Untuk mencapai kedua estetika tersebut, seorang pengarang tidaklah serta merta atau secara spontan menggenggamnya. Seorang pengarang harus menempuh proses tertentu dalam menggauli dan mengintimi sastera. Proses tersebut dapat ditempuh dengan dua jalan, iaitu menghujani fikiran dengan bacaan-bacaan dan bertukar fikiran atau bertukar pengalaman dengan kawan yang sama-sama berkecimpung dengan sastera. Kedua hal itu tentunya tidak terlepas dari faktor lingkungan juga. Sebab fenomena lingkunganlah yang mengilhami akan hadirnya sebuah karya dari peribadi seseorang.

Kedua-dua estetika di atas pada gilirannya akan menjelma sebagai suatu kekuatan yang sungguh luar biasa dalam karya sastera. Dapat dikatakan bahawa dua hal itu seiring sejalan. Yang satu sebagai jasad dan yang lainnya sebagai roh. Jasad tanpa roh maka tak ada kehidupan. Roh tanpa jasad maka tak tampak jejak keberadaannya.

Karya sastera adalah karya seni yang berbicara tentang masalah hidup dan kehidupan, tentang manusia dan kemanusiaan yang menggunakan bahasa sebagai mediumnya (Esten, 1980). Seirama dengan itu (Rusyana, 1982) menyatakan, "Sastera adalah hasil kegiatan kreatif manusia dalam pengungkapan penghayatannya tentang hidup dan kehidupan, tentang manusia dan kemanusiaan yang menggunakan bahasa." Daripada kedua-dua pendapat itu dapat ditarik pengertian bahawa karya sastera adalah karya seni, yang menggunakan alat ungkap bahasa sebagai alat penyampainya, yang esensinya adalah tentang hidup dan kehidupan, manusia dan kemanusiaan. Dari simpulan itu kemudian dapat dimunculkan pertanyaan, "Apakah seseorang perlu belajar sastera?" Jika ya, apa hasil akhir yang diharapkan daripada pembelajaran itu? Bagaimana pembelajaran itu dilaksanakan? Logikanya pembelajaran sastera memang tidak dapat dipisahkan dengan pembelajaran bahasa. Namun, pembelajaran sastera tidaklah dapat disamakan dengan pembelajaran bahasa. Perbezaan hakiki keduanya terletak pada tujuan akhirnya.

Menurut (Oemarjati, 1992), seperti berikut ini. "Pengajaran sastera pada dasarnya mengemban misi efektif, iaitu memperkaya pengalaman dan menjadikan (lebih) tanggap atau peka terhadap peristiwa-peristiwa di sekelilingnya. Tujuan akhirnya adalah menanam, menumbuhkan, dan mengembangkan kepekaan terhadap masalah-masalah manusiawi, pengenalan dan rasa hormatnya terhadap tata nilai – baik dalam konteks individual, mahupun sosial."

Jika diperhatikan ketiga pendapat di atas, dapat disimpulkan bahawa pembelajaran sastera sangatlah diperlukan. Hal itu bukan saja ada hubungan dengan konsep atau pengertian sastera, tetapi juga ada kaitan dengan tujuan akhir dalam pembelajaran sastera. Dewasa ini sama-sama dirasakan, kepekaan manusia terhadap peristiwa-peristiwa di sekitar kita bahkan dalam konteks global semakin tipis, kepekaan terhadap masalah-masalah manusiawi semakin berkurangan. Apakah ada celah alternatif melalui pembelajaran sastera untuk menyentuh kembali kekurangpekaan itu? Perihal inilah barangkali yang perlu menjadi bahan renungan sebagai dasar untuk pembelajaran sastera. Dan, bagi penulis, tugas kita bukan sekadar menulis tetapi harus meniti, meneliti hal-hal pembelajaran yang berterusan tentang kehidupan, mengenai jati diri atau hal-hal yang berkaitan dengan kemanusiaan dan kasih sayang atau ketuhanan sebagai puncaknya.


HURUF-HURUF YANG WANGI




Apakah kau dapat membaca huruf-huruf yang bersembunyi di dalam fikiran? Hanya mengandai tentang malam atau detik kehadiran mimpi-mimpi syurgawi menghentikan kata tanpa huruf, meraba-raba mencari punca sedangkan akar akal telah lama bertunjang tapi makna segalanya terhimpun dengan ilusi yang pekat menenggelamkan hakikat menyamai dusta adalah permainan semata-mata. Kegembiraan adalah bahagian perjalanan ke syurga dengan bahagian yang lain memberi makna penghidupan apakah berhasil mengambil erti seadanya atau terus bergelumang dengan tanya dan andaian yang mencuka rasa, tak ada yang tulus memaknai setiap peristiwa adalah duka yang membuka andatila diri, membenarkan kepercayaan titik terjadi sebelum menerima cahaya Maha Cahaya dengan sabar dan redha. Hanya insan kecil yang kurang gagah disergah putus asa membayangkan titik-titik kelam hadam dan khatam dalam zahir kehidupan, kau tak mampu membaca huruf-huruf wangi itu lagi meski sampai berakhirnya pelabuhan itu nanti.

HASYUDA ABADI,
Pustaka Kreatif Hasyuda,
Kota Kinabalu, Sabah.

2 Zulkaedah 1429H