Khamis, Mei 08, 2008

Merenung Semula PPSB


Memang bukan mudah untuk membezakan antara berkata dan menikmati kata-kata. Semua orang barangkali boleh berkata, memberikan ilustrasi berdasarkan apa yang difikirkannya namun tidak semua boleh menikmati dalam erti yang lain menerima sejujurnya daripada makna kata-kata yang tersusun dengan indah (pada pandangan orang yang berkata) itu.

Begitulah takrif yang ingin saya perkatakan berkaitan dengan Program Penghayatan Sastera dan Budaya (PPSB) sebuah jenama yang dilahirkan sebagai sebuah komponen penting dalam PLKN di seluruh negara. Diakui memang secara positifnya PPSB telah menempatkan sumber sastera dan budaya ke sebuah arena yang amat sesuai walaupun skalanya masih kecil. Ini tentu sahaja boleh dikaitkan dengan realiti penerimaan para pelatih yakni wira dan wirawati berdasarkan peringkat program. Setelah empat tahun, PPSB sudah tidak begitu ganjil di kalangan pengurus kem-kem PLKN, termasuk para Komandan dan juga jurulatih-jurulatih PLKN. Mereka tahu PPSB telah memberikan output yang tidak kurang juga besarnya kepada generasi yang mengungsi doom-doom kem setiap 3 bulan atau 3 peringkat setahun. Memang segelintir pelatih menggambarkan PPSB bagaikan seekor raksasa yang menakutkan mereka, pada mulanya, namun kegerunan mereka (baca: kekalutan) berubah apabila berinteraksi dengan fasilitator-fasilitator PPSB yang diberikan tugas mencabar itu.

Mengapa mencabar? Sama ada Ketua Fasilitator (KF) atau fasilitator rata-rata akan memberikan reaksi yang sama, betapa cabaran hebat yang mereka hadapi memberikan pengalaman bermakna, malah tidak itu semata-mata tetapi mengajak mereka lebih bersedia dengan disiplin ilmu, pengetahuan, pendekatan dan teknik bimbingan. Mereka tidak mengajar subjek sastera atau budaya sebagaimana para pelatih alami di sekolah masing-masing. Namun ada ketikanya tindakan mengajar terpaksa juga dilakukan apabila berhadapan dengan kepelbagaian latar para pelatih berkenaan. Namun demikian tentulah ia sedikit sebanyak 'melonggarkan' matlamat program, sebagai salah satu usaha mengajak anak-anak muda kita memahami rasa cinta yang mendalam terhadap negara dengan melahirkan warga yang bertanggungjawab dan berhemah tinggi, sekiranya program ini tidak jauh bezanya dengan seorang guru sastera yang menilai sejauh mana anak muridnya lulus menjawab soalan-soalan yang diberikan. Mereka tidak merasakan suatu penghayatan telah dinikmati, samada tidak faham atau memang mereka tidak minat untuk faham, di mana akhirnya yang lebih diutamakan mereka hanya terhibur kerana menjayakan sebuah persembahan tetapi tidak ada sedikitkan 'roh' sastera dan budaya itu melekat dalam jiwa mereka. Mereka membaca puisi, mereka menyampaikan lagu tradisi, mereka beraksi melakonkan watak-watak Pak Pandir, Pak Kadok (?) ... tetapi bagaimana dengan nilai-nilai penting dan teras daripada puis-puisi para penyair besar kita, apakah mereka dapat merasakan keberadaan makna ketika beraksi dengan meriah di pentas? Mereka telah dihiburkan, mereka merasa gembira, mereka berkesempatan mengenakan busana yang indah... selain ada kenangan terindah apabila mampu menyampaikan Gurindam Semantan, Nazam, Syair Bidasari atau Siti Zubaidah dengan baik. Kita juga melihat anak-anak dari keturunan bukan Melayu juga bekerja keras belajar mendeklamasi puisi atau mengaksikan gerak-gerak kreatif. Mungkin mereka masih 'kabur' tentang semua itu tetapi kenangan memberikan makna tersendiri kerana belum tentu ada suatu masa yang baru untuk mengulangi peristiwa yang sama. Ini aspek kejayaan yang wajar dihargai menerusi PPSB.

Kita sebaiknya tidak dikhayali dengan kesan kecil tersebut. Barangkali kita harus juga mengingat kembali sepanjang empat tahun dan merenung apakah peranan kita itu telah berhasil, atau sekurang-kurangnya menilai dari aspek nilai sastera dan budaya yang digembelingkan. Memang semua fasilitator telah bekerja keras mengisi masa 6 fasa atau 18 jam untuk PPSB. Ada fasi yang mampu menampilkan persembahan para pelatih dengan cemerlang kerana latar belakang pengalamannya yang baik dan ada juga fasi yang masih meraba-raba untuk membentuk anak-anak muda ini membuat sebuah persembahan berdasarkan acuan yang disediakan DBP. Di sini timbul pula ketidakseragaman yang mencatatkan program ini secara keseluruhan. Namun hanya kata-kata ini yang dapat diberikan: apa nak buat, itu yang termampu. Maka, kita pun harus menerima dengan terbuka segala kata-kata dan berusaha juga dengan jujur menikmati makna kata-kata yang diucapkan walapun pahit untuk ditelan, kerana itulah sahaja yang termampu. Tepuk dada tanya selera.

KEM TANAKI TAMBUNAN: PPSB YANG TIDAK DILUPAKAN



Seingat saya PPSB Siri 2/2008 di Kem Tanaki Tambunan selama 2 hari bermula 5 hingga 6 Mei baru inilah yang paling menarik, paling mencabar dan memberikan kepuasan yang luar biasa. Saya fikir rakan seperjuangan yang menggalas tugas yang sama seramai 8 orang yang lain juga mempunyai persepsi yang sama. Secara peribadi inilah juga keupayaan yang memberikan kami suntikan terbaik untuk melestarikan PPSB dilaksanakan dengan jayanya.



Kami belum dapat menggambarkan apa yang akan berlaku apabila diberikan hanya 2 hari bertugas oleh Komandan kem berkenaan. Ketua Fasilitator, Jasni Yakub sanggup menerima cabaran itu dibantu fasilitator-fasilitator yang dengan penuh siaga memperkasakan persiapan-persiapan sewajarnya. Kami tiba di kem Tanaki seawal pagi 5 Mei, memang rasa rindu yang amat sangat untuk menemui pelatih-pelatih PLKN walaupun wajah mereka tidak sama dengan pelatih-pelatih yang pernah ditunjukajar dalam PPSB siri yang lepas. Apa yang terbersit dalam fikiran ialah apakah yang bakal kami hadapi kali ini sama sahaja atau lebih hebat rintangannya? Persiapan saya sebagai Fasilitator Urus setia memang ada sedikit tambahan berbanding yang lepas-lepas, ini termasuklah paparan slide untuk sesi pengenalan, di samping input-input lain seperti pengetahuan etiket dan protokol untuk didedahkan kepada para pelatih yang berada dalam kumpulan saya. Bagaimanapun, paparan yang dimaksudkan tidak begitu berfungsi dengan baik kerana dalam keadaan dewan yang terbuka. Namun begitu sesi pengenalan berjalan dengan lancar, memang semua fasi di kem Tanaki mempunyai pengetahuan yang relevan. Masing-masing telah memperagakan kebolehan berseloka, bergurindam, bersajak malah yang mengejutkan saya juga KF sendiri mampu menyampaikan Bongai walaupun barangkali tidaklah sebaik Aripin Said atau Roslan Madun penanyi lagu-lagu rakyat yang terkenal itu. Apa yang penting penampilan para fasilitator PPSB ini telah menarik perhatian para wira dan wirawati. Apatah lagi dengan penampilan Cikg Mohamed Haji Salleh yang lebih popular dengan gelaran komersialnya 'OM'. Dengan semangat yang tinggi, beliau menyampaikan lagi Gurindam Semantan. Kami juga menunjukkan sebuah rakaman PPSB siri 1/2008 kepada para pelatih. Ini sedikit banyak memberikan inspirasi kepada para pelatih.


Hari pertama, hingga jam 10.30 malam. Ditolak sesi pengenalan hanya 5 jam masa yang ada untuk latihan awal. Cuba bayangkan bagaimana cabaran terpaksa dihadapi. Memang tidak dapat diramal apakah para fasilitator dapat memilih pendeklamasi puisi yang baik atau penyampai puisi tradisional yang sesuai. Apatah lagi untuk membawa kalangan pelatih yang bukan berbangsa Melayu yang memang ramai juga ditempatkan dalam kem tersebut. Kami bekerjasama. KF terus memantau, membantu dengan gigihnya di mana akhirnya mampu membentuk persembahan tiga kumpulan yang belum begitu sempura. Kesempurnaan ini akhirnya disaksikan pada keesokan harinya hingga tengah hari. Kami berganti-ganti menggunakan pentas dewan untuk latihan sebagai usaha membiasakan para pelatih dengan disiplin pentas. Hinggalah pada sebelah petang hari kedua itu diisi dengan raptai. Kami menghadapi sedikit kebimbangan, apa jadi malam nanti. Apakah semua kumpulan telah bersedia untuk menunjukkan sesuatu yang baru kepada Tuan Komandan, sesuatu yang tidak pernah beliau saksikan atau setidak-tidaknya mengotakan janji KF sebelum ini bahawa pertunjukan Malam Citra Puisi kali ini lain dari yang lain. Kenyataan ini menambah azam kami semua untuk membuktikannya.


Kerja-kerja pengurus setiaan di bawah saya juga berjalan dengan lancar. Seperti biasa saya melatih dua orang wira dan wirawati menjadi pengacara majlis untuk sesi persembahan kumpulan. Saya memberikan sedikit pendedahan tentang apa yang patut dilakukan dalam mengendalikan sesebuah majlis seperti MCP yang akan berlangsung, misalnya kepada penyambut tetamu, bagaiman etiket mereka, bagaimana cara menyambut. Menariknya lagi, empat orang wira dilatih untuk menggerakkan silat gendang ketika menyambut tetamu. Tugas saya bercambah lagi apabila harus memberikan bimbingan untuk persembahan pula. Saya tiada waktu yang banyak, lantas membuka laptop dan memperdengar lagu seloka Pak Pandir nyanyian Roslan Madun. Saya juga melatih seroang wirawati membaca puisi. Mereka berlatih dan memang berlatih betul-betul menggunakan peralatan muzik yang memang saya bawa seperti gitar dan kompang (dibeli hasil 'upah' PPSB juga). Sambil itu terus memberi panduan kepada wira yang membantu saya menyediakan paparan semasa MCP nanti. Kami harus menyediakan banyak data termasuklah sinopsis persembahan, teks puisi dan juga maklumat fasilitator. Alhamdulillah, meskipun kerja-kerja pendataan hanya mampu saya siapkan ketika balik ke rumah penginapan, saya sempat memperelokkan lagi paparan tersebut bagi memberikan sedikit bantuan kepada Komandan dan para hadiri lain yang tidak begitu memahami bentuk persembahan para pelatih.


Alat siar raya juga telah disiapkan, lengkap. Backdrop juga telah dipasang, cantik. Hadiah dan cenderamata telah disusun di meja. Meja juri juga siap dengan segala dokumentasinya. Bangku para tetamu juga siap. Alat audio visual juga telah dipasang. Memang cukup bersedia. Begitupun KF masih sibuk mengurus pelbagai perkara penting. Saya tidak banyak bercakap, sibuk menyesuaikan paparan pada skrin putih. Setelah segalanya siap, barulah saya bercakap-cakap dengan Cikg Om, Cikgu Karim, Cikgu Hamidun, Cikgu Mariam, Cikgu Maznah, Cikgu Nurul Syafika dan Cikgu Roy yang bersedia untuk memulakan majlis sebaik sahaja Tuan Komandan tiba.


Persembahan kumpualan urus setia membuka tirai panggung. Ini perbaharuan kami, yang biasanya kumpulan urus setia membuat pertunjukan di hujung majlis. Disusuli empat kumpulan pertama tanpa henti. Inipun satu pembaharuan. Selepas itu, tiga kumpulan seterusnya juga tanpa henti. Tiada sebarang cacat cela, rintangan besar tetapi berjalan lancar. Semua wira dan wirawati kumpulan urus setia telah menjalankan tanggungjawab dengan sempurna - daripada penyelaras pentas (diketuai Cikgu Karim Gulam) hinggalah kepada para juri, penjaga masa, pengurus giliran kumpulan dan penyelaras hadiah/cenderamata. Kami amat berbangga anak-anak didik kami memahami apa yang mereka patut buat, walaupun perhubungan kami hanya mekar selama dua hari atau bagi istilah program ini 6 fasa 18 jam. KF menyampaikan salam maaf daripada Penyelaras PPSB Negeri yang tidak dapat hadir tetapi dengan semangat yang menyala menghargai kesediaan Komandan Kem bersama isteri menyaksikan MCP. Kelihatan dengan jelas tuan Komandan berpuas hati kerana kami telah mengotakan kata-kata KF. Tuan Komandan menganggap program yang ringkas ini cukup berjaya, meskipun masanya pendek, hasilnya bakal dibawa pulang oleh para pelatih dengan pengalaman baru yang menarik. Ini diungkapkannya semasa menutup PPSB. Mereka juga disajikan dengan persembahan daripada Jurulatih PLKN ang tidak kurang hebatnya juga di samping persembahan Cikgu Mohamed Haji Salleh (OM) yang menyampaikan lawak yang mengandungi pengajaran untuk semua hadirin.

Kami tidak segera pulang walaupun sudah meninggalkan dewan kem. Di kawasan letak kereta kami mengenang semula peristiwa selama dua hari itu. Kami menilai balik kelemahan dan kelebihan yang ada. Dengan kesimpulan bahawa sebuah kerja yang hasilnya mantap adalah kerana kerja berpasukan tanpa memilih sikap mementingkan pertandingan. Saya fikir inilah yang harus dilakukan kerana matlamat sebenarnya PPSB yang diakhiri dengan majlis MCP ialah untuk melahirkan kesedaran sastera dan budaya sebagai hasil yang harus sama-sama dirasa baik para pelatih mahupun fasilitator. Sudah tentu untuk sesi yang akan menyusul beberapa bulan akan datang ini mengajak para fasilitator ini memperagakan sesuatu yang lebih menarik. Ya, betul, itupun jika nama masih berada dalam senarai, kata Cikgu Mohamed Haji Salleh, satu-satunya fasilitator yang berpengalaman pelbagai bidang seni. Kami juga banyak belajar daripadanya. Terima kasih juga kepada semua rakan seperjuangan.


Tambunan, Sabah,7 Mei 2008

Sabtu, Mei 03, 2008

Perihal Seniman dan Ahli yang Berhormat

Saya teringat apabila seorang sahabat dipindahkan ke bahagian lain lantaran menyiarkan cerpen karya penulis yang memihak kepada sebuah parti politik pembangkang, tugasnya sebagai editor ternyata mencabarnya antara kebenaran sebagai seniman dan kedudukannya dalam lingkungan 'saya yang menurut perintah'. Ini cerita lama yang saya percaya telah dilupakan. Hari ini saya mengenangkannya apabila seorang sahabat menceritakan kawan-kawan kami yang terlibat dalam pilihan raya umum negara baru-baru ini. Memang ramai kawan-kawan saya bertanding dan malangnya ramai memilih parti pembangkang dan bebas. Saya tahu menyertai pilihan raya sebagai calon bakal menerima pelbagai risiko terutama yang tidak memihak kepada parti kerajaan. Begitu pun sekiranya semua pihak berfikiran rasional, tidak timbul sebarang sikap prejudis, kerana apa yang penting setiap pilihan itu wajib dilaksanakan berdasarkan keperluan dan kewajipannya untuk berkhidmat kepada rakyat. Kadang-kadang semata-mata untuk rakyat, pelbagai keistimewaan yang pernah diterimanya sanggup dilupakan. Ada kawan yang sanggup melepaskan jawatannya dalam perkhidmatan semata-mata ingin menyatakan sesuatu untuk rakyat jelata.

Saya tidak ingin bersikap prejudis kepada sesiapapun yang memiliki pandangan yang berbeza antara satu sama lain. Pada saya apa yang perlu dilihat ialah fokus perjuangan mereka dan kita biasanya ingin memilih kebenaran. Mungkin saja ada sikap yang tidak baik di kalangan individu-individu tertentu yang harus diterimanya sebagai hukuman. Buat baik wajar dibayar dengan kebaikan, tetapi jika sikap yang tidak baik apakah jawapannya hal yang sebaliknya. Kita lihat rasional perbuatannya terlebih dahulu, saya fikir.

Sudah agak lama juga tidak berjumpa dengan sahabat-sahabat yang dimaksudhakan seperti Awang Karim Kadir selepas sahabat ini bertanding atas tiket Bebas di kawasan Tanjung Kapur Kudat. Seorang penggerak teater yang berkaliber, malah penyair dan penulis cerpen yang baik, petah berhujah dan berpandangan jauh terhadap apa juga isu. Saya ingin mengaitkan fokus tulisan di awal tadi dengan Awang Karim, walau apapun pandangan beliau terhadap dunia kehidupan ini, Awang Karim masih seorang seniman yang harus diberikan tempat sebaiknya di sisi masyarakat seniman. Apakah kerana beliau menyertai pilihan raya dan tidak memihak kepada pemerintah beliau wajar disisihkan, tentu tindakan ini tidak masuk akal sebagai seniman dan dengan pemikiran yang terbuka meletakkannya dalam sebuah bilik yang terasing. Karya-karyanya sudah patut sekali diterbitkan, sewajarnya juga mengetengahkan sebarang karyanya dibicarakan terutama sekali yang terdapat dalam teks KOMSAS.

Memang tidak menghairankan sekiranya ada kalangan yang memandang serong kepada orang-orang seperti Karim kerana bukan beliau sahaja yang menerima natijah sedemikian. Saya tetap menghormati Tuan Haji Ismaily Bongsu atau Jamal Sulai misalnya, walaupun dari segi idealisme politik mereka memilih parti pembangkang tetapi dari sudut kesenimanan mereka saya fikir menjadi soal lain yang harus dihormati. Semua yang mengenali Haji Ismaily (bertanding di Parlimen Kimanis) tentu tahu sikap dan juga caranya berbicara, berhujah, berfikir ... Begitu juga Jamal Sulai (bertanding di DUN Tungku, Lahad Datu), meski siapa pun mereka ini, jangan letakkan jurang yang jauh untuk mereka. Menjadi suatu kerugian kepada gerakan budaya dan juga sastera kita. Saya fikir telah tiba masanya perilaku jumud atau prejudis terhadap seseorang itu diketepikan. Misalnya memadamkan 'bakti dan jasa' mereka daripada peta dan sejarah sastera dan budaya kita. Sudah sampai masanya juga kita berfikiran terbuka, para pengurus gerakan budaya dan sastera kita harus bangun bersama menyatukan buah fikiran secara relevan. Tidak ada ertinya sifat-sifat jumud yang hanya mementingkan realiti semasa tetapi apakah semangat semasa itu berlanjutan atau setakat 'hangat-hangat tahi ayam' atau ketika mereka mengambil kesempatan atas situasi bobrok sekarang lalu meletakkan diri berada di hadapan kononnya ingin menyatukan masyarakatnya yang sedang berpecah belah. Cuba baca ini dan renungkan di mana rasionalnya peranan sebuah pertubuhan yang menjadi tunggangan pihak tertentu. Kita perlu bersikap realistik dengan memecahkan tradisi berburuk sangka, bukankah ini amalan dan sifat yang telah lama didukung, jika tidak tentu tidak terjadi peristiwa perpecahan yang bukan alang kepalang lagi sekarang ini. Ungkapan-ungkapan lama seperti 'carik-carik bulu ayam lama-lama bercantum juga', atau 'air ditetak tidak kan putus' atau 'bulat air kerana pembentung, bulat kata kerana muafakat' memang sering diterjemahkan dalam masyarakat kita. Keindahan pada kata tidak semudah atau tidak seindah perilaku kita. Hingga bila telah 'terhantuk barulah terngadah' barulah mencari cara membetulkan silap dan salah.

Kita tidak ingin masyarakat seniman juga menerima peristiwa yang sama khsususnya di Sabah. Komuniti sastera kita tidak begitu besar namun ia boleh digahkan dengan caranya yang tersendiri. Melalui budaya yang telah tercerna sekian lama melalui keindahan bahasa seperti pantun dan syair dan kini corak berhujah yang semakin canggih, saya fikir belum terlambat untuk meletakkan semula segala kekurang yang ada di tempat yang mulia . Kita harus menjadikan peristiwa yang terjadi di Dewan Parlimen baru-baru ini sebagai ikhtibar menerusi cara dan sikap ahli Parlimen kita yang rendah caranya berbahasa. memberi gambaran yang lain tetang masyarakat di Sabah. Tentu kita tidak mahu menerima tohmahan atau ejekan yang lebih buruk daripada itu. Walaupun semua itu berpunca daripada cara melayan emosi, namun kita harus sedar tentang persiapan sebelum memulakan sesuatu. Sebab itu kita harus kembali kepada akar budaya kita. Bukan budaya Melayu sahaja tetapi budaya pelbagai kaum yang sifat akarnya lebih memilih kepada semangat harmoni bukan 'main redah sahaja' sambil memikiran rakyat di luar yang mengharapkan sesuatu yang lebih berharga daripada bercakaran dan berhujah tanpa memberi sebarang makna.

Jumaat, Mei 02, 2008

PPSB - antara sikap acuh tak acuh dan perjuangan

PROGRAM Penghayatan Sastera dan Budaya (PPSB) akan berada dalam kem-kem PLKN di enam tempat di Sabah bermula pada 5 Mei ini bagi Peringkat 2/2008. Kem-kem yang akan memulakan sesi latihannya ialah Tanaki Tambunan, Wawasan Papar dan Sinar Jaya Kota Belud. Kem Kubena terpaksa ditutup untuk kali kedua apabila berlaku tanah runtuh. Agak merungsingkan juga lokasi kem ini kerana memang kedudukannya yang berbahaya - kawasannya berbukit tanah merah, risiko untuk runtuh memang ada. Lazimnya bagi manusia yang hanya melihat PLKN sebagai sebuah 'perniagaan' tetapi enggan menyedari apakah risiko keselamatan wajar diambil perhatian terlebih dahulu sebelum ia dijadikan lokasi yang sesuai untuk mendidik anak-anak kita menjadi individu yang mengetahui bagaimana memperkasakan diri mereka melalui latihan-latihan yang terdapat di kem berkenaan. Saya pernah menjadi Ketua Fasilitator (KF) untuk PPSB sejak kem berkenaan dibuka iaitu pada penghujung tahun 2005 - agak memenatkan juga untuk tiba dengan kereta kancil 660cc, sejak itu tidak banyak pembaikan dibuat kerana jalan yang menghubungi kem juga digunakan oleh kenderaan berat keluar masuk pekan Sipitang. Ada ketika kereta kami tidak boleh menaiki bukit terutama padai musim hujan. Ada waktunya juga kami tidak dapat balik ke bandar kerana banjir. Dan sekarang, kem Kubena kembali sunyi sebagaimana sebelumnya! Dalam hati kecil saya (tidak lebih daripada itu) yang barangkali dipersetujui oleh KF-KF atau fasilitor-fasilitator yang lain iaitu alangkah baiknya jika Komandan kem Kubena (yang ditutup itu) mengantikan Komandan kem KK di Bawah Bayu Kauluan Tuaran. Mahu tahu alasannya, tanya orang-orang yang pernah bertugas terutama Penyalaras PPSB Zon 1 Negeri Sabah!

Malam Rabu lepas (tanggal 30 April), semua fasilitator berkumpul di Sudut Penulis DBP Sabah, mengikuti majlis takimat PPSB untuk kesekian kalinya oleh Pengurus PPSB Puan Zaiton Hussin dan Penyelaras PPSB Negeri Sabah (PN) Zon 1 Sdr Jasni Matlani. Seperti lazimnya juga fokus taklimat ialah berkaitan pemantapan PPSB, batas-batas sebagai fasilitator semasa mengajar, boleh dan tidak boleh untuk mengajar hinggalah kepada apa yang boleh dan tidak boleh dibuat tuntutan perjalanan selepas mengajar. Post mortem untuk peringkat 1/2008 juga telah disampaikan oleh PN. Memang banyak isu yang dibangkitkan, dan apa yang masih diperkatakan sejak lama dulu ialah kerjasama di pihak kem termasuklah sikap acuh tak acuh sesetengah Komandan dan para petugas kem-kem berkenaan. Mereka sering melihat PPSB sebagai sesuatu yang 'kurang penting' berada di kem sebagai salah satu elemen pengajaran kepada para pelatih PLKN. Walaupun PPSB telah jelas memberikan input serta output yang amat baik malah menjadi penting terutama dalam usaha mengetengahkan semangat cintakan negara melalui unsur-unsur budaya dan sastera. Saya tidak tahu sama ada para pentadbir di kem-kem terbabit faham kerana bagi mereka nilai-nilai murni yang disemai menerusi unsur-unsur budaya dan sastera itu tidak menguntungkan, samalah barangkali pandangan sesetengah pihak terhadap sastera hinggakan meletakkan subjek ini berada sekadar di pinggiran. Para pelajar sastera secara persepsi menjadi pelajar kelas rendah berbanding pelajar-pelajar sains dan matematik. Ini terbawa-bawa pula ke arena yang lain - kem pembentuk generasi muda ialah PLKN.

PPSB tetap membawa manfaat kepada para pelatih PLKN. Meskipun jangkamasanya hari telah berubah, daripada 6 hari kepada 2 atau tiga hari, program ini telah memberikan makna yang tersendiri. Berlaku persaingan masa untuk PPSB dilaksanakan dan sering terganggu dengan latihan-latihan lain seperti latihan menembak, aktiviti-aktiviti di kem yang bertembung dengan masa yang diberikan untuk PPSB. Pada peringkat yang lepas, banyak aduan diterima oleh KF-KF PPSB selain kerjasama yang tidak memberangsangkan daripada kem malah mereka dengan bersahaja mengganggu PPSB dengan program-program lain seperti sukan Futsal. Mereka membawa para pelatih keluar kem hanya untuk berfutsal tanpa menghormati peranan PPSB sedang berlangsung. Sikap begini bukan baru, apa yang kita sangsikan ialah mengapa pihak pengurusan JLKN tidak memandang serius segala aduan yang pernah diutarakan terutama daripada aspek kerjasama yang amat dituntut. Apakah menunggu masanya Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pertahanan Malaysia campur tangan. Sindrom ini perlu diubah dan diubati. Jangan merasa selesa sangat apabila mendapat sedikit kuasa tetapi tidak berlaku adil kepada pihak lain. Di sini kita juga ingin melihat 'kuasa' yang ada pada DBP Malaysia dalam menangani isu yang sedang berbangkit ini. Saya fikir perkara ini telah berleluasa, ia bukan satu isu yang terpecil dan dipandang mudah. Kesianlah kepada semua KF khususnya dan amnya kepada tenaga pengajar PPSB.

Begitupun semangat para fasilitator PPSB patut dipuji kerana walau apapun juga cabaran, rintangan dan bebanan yang dihadapi, PPSB tetap berjalan dengan lancar. Segala cabaran, rintangan dan bebanan itu menjadi rempah ratus pengorbanan untuk menyemai nilai-nilai baik dan murni yang ada dalam budaya dan sastera kita ke dalam jiwa anak-anak yang menjadi pelatih di PLKN. Jangkamasa yang diberi hanya tidak lebih 18 jam atau 3 hari penuh, namun jika inilah yang telah ditentukan, kita harus menunjukkan kemampuan yang maksimum agar PPSB benar-benar menyalurkan matlamat unggulnya. PPSB adalah milik kita bersama dan menjadi tanggungjawab kita mempertahankan kewibawaannya.