Malam ini lebih merasa digembirai oleh pengacara komidi Jozan (Johan dan Jizan) dan juga calon-calon Raja Lawak berbanding menghadiri Semarak Budaya di One Borneo, sempena Persidangan Persuratan dan Kebudayaan Kebangsaan 2009, barangkali inilah yang dapat saya katakan. Memang beberapa hari ini saya tidak begitu sehat, sejak isteri dimasukkan ke wad hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu. Dan malam ini saya seperti hari-hari yang lalu juga berada di rumah bersama anak-anak yang berdua dan menantu. Isteri ditemani ibu mertua. Sebenarnya saya agak tertekan namun semua ujian ini ada hikmahnya seperti diungkapkan ramai sahabat yang maklum. Dan malam ini saya menyaksikan persembahan Raja Lawak.
Seperti dijangka Kumpulan Sepah menjadi juara, Jehan naib juara dan Amir di tempat ketiga. Tidak kesampaian menjadi Ratu Lawak pertama, Jehan telah membuktikan bahawa beliau boleh melakukan yang terbaik untuk menghiburkan juri dan penonton. Amir sepatutnya tidak berada dalam senarai akhir pada fikiran saya namun sms memerlukan beliau sebagai suatu 'bonus' kepada kehidupannya. Sepah tidak perlu dipertikai dengan persembahannya yang mantap, yang 'gila-gila' dan memberi nilai lawak yang diharapkan.
Para juri terdiri daripada Zaibo, Fauziah Nawi, Shamsul Ghau Ghau dan Adlin Aman Ramlee hanya mampu berkata dalam bentuk pujian ataupun kritikan yang berbisa kerana segalanya terletak di tangan pengundi menerusi sistem pesanan ringkas.
1 ulasan:
Salam.
Mudah-mudahan segera sembuh...untuk Tuan dan juga isteri.
Baru semalam menonton rakaman Raja Lawak minggu keempat. Hari ini pula tahu siapa yang menang. Memang tidak sia-sialah menontonnya malam tadi.
Catat Ulasan