Jumaat, Februari 06, 2009

E k o R

ANDA tentu pernah melihat ekor cicak yang terpenggal. Ceritakan kepada saya tentang ekor cicak yang malang itu begini: saya agak nakal pada setiap malam jumaat untuk mengumpul sebanyak empat puluh ekor cicak, hidup mahupun mati. Kesemua cicak itu sudah tak berekor ketika mahu dipersembahkan kepada kerajaan tanah. Begitu juga kepada sungai di bawah rumah atau di dalam tong sampah yang esoknya akan dipunggah oleh pekerja Dewan Bandar Raya. Saya memikirkan tentang ekor cicak itu. Dan tidak lagi cicaknya tapi ekornya. Ekor saja. Kepala saya berligar-ligar membayangkan ekor yang lebih besar, panjang dan mengikat kepada sesiapa saja. Orang kecil atau orang besar. Orang kecil-kecil atau orang besar-besar.

Mengapa binatang ada ekor. Manusia tak ada ekor. Harimau ada ekor. Gajah ada ekor. Begitu juga musang. Tidak kepada katak. Tapi tak tidak kepada monyet, kambing, beruang, babi, singa atau tupai. Rupanya manusia juga ada ekor sebenarnya. Saya mula diingatkan oleh otak yang kekadang kering yang mendekatkan kepada lupa. Benar manusia juga ada ekor. Inilah saya hendak menyampaikan idea tentang ekor. Kepala saya selalu pening kerana kerap mencari ekor di medan selera. Sup ekor yang berkhasiat itu kononnya. Semangat yang bakal menyala dan membara. Namun pusing kepala saya tidak kerana supkan ekor tetapi ekor yang lain. Ekor yang dimanusiakan. Ekor yang juga memanusiakan. Ekor yang sentiasa berada di belakang tak mungkin di hadapan tetapi ada kalanya di depan. Ada beza antara ‘hadapan’ dan ‘depan’. Boss di pejabat saya tunggang langgang melaksanakan tugasan juga ada ekornya. Sahabat-sahabat saya yang punya sedikit wang dan pengaruh juga punya ekornya. Santai di meja mamak sambil dikelilingi ekor-ekor yang berekor-ekor. Tanpa segan dan malu menjadi ekor. Ekor demi ekor keluar daripada tong-tong sampah!

Ekor mencari badannya yang terpenggal. Entah kalangan yang asyik masyuk di meja mamak itu mungkin tidak menyedari mereka sudah kehilangan ekor. Kerana begitu asyik tak sedar ekor mereka terpenggal. Mereka sudah lupa bahawa mereka sebenarnya punya ekor mereka sendiri. Walaupun mereka itu menjadi ekor kepada badan yang lain. Sesekali mereka keliru bila dibicarakan tentang ekor. Milik siapakah ekor-ekor yang tak henti-henti ke sana ke mari memadankan kesesuaian mereka. Ada ekor yang panjang, pendek kontot, ada yang bercabang-cabang, berwarni-warni, berkulit keras kematu dan sebagainya kerana tidak dapat dipastikan jenis apakah ekor-ekor itu. Boleh jadi binatang buas atau binatang separuh buas atau kurang buasnya. Walaupun kenyataannya kebuasan akan menentukan bagaimanakah jenis ekor itu. Namun pada saat-saat yang genting kebuasan tidak dianggap penting. Apa yang penting sewaktu genting ialah ekor.

Tidak terkecuali ekor si orang alim dan para ulama yang punya ciri yang lain pula. Mereka menjadi ekor saja dan ikut kepala. Sama ada kepala itu berotak ok atau berotak tak ok, ekor itu ikut. Susah atau senang ekor tak pernah mengisahkannya kepada sesiapa. Ekor patuh dan harus akur. Tidak seperti kepala kerita api. Ada waktunya menjadi kepala, ada waktunya menjadi ekor. Sebentar tadi ekor menjadi kepala untuk ke hadapan. Sejam kemudian ekor yang menjadi kepala itu bertugas menjadi ekor pula. Ekor, kepala. Kepala ekor. Analogi ini barangkali lebih mulia malah realistik kerana kepala dan ekor saling bekerja. Ekor sudah melihat kepala lebih arif tentang arah jalan di hadapan mahupun di belakang

Ada kalanya kepala terlalu berkuasa. Namun anda sudah tentu pernah mendengar ekor juga lebih besar kuasanya daripada kepala. Ekor ini bukan sebarang ekor. Tidak kisah di abad mana atau di alaf yang mana dan musim-musim yang bagaimana anda akan bayangkan. Ekorlah yang memanjangkan usia kepala. Sebab itu kepala juga sering saja pusing kerana ekor yang terlalu panjang. Di mana kepala di situlah ekor. Ekor juga akan menentukan kepala harus ke mana dan di mana. Kemana-mana saja ekor dan kepala ada bersama. Di mana-mana juga kepala dan ekor bersahabat baik. Baik dalam pengertian yang berbeza daripada pengertian yang biasa difahami. Baik juga dianggap tidak baik apabila kebaikan itu bermotifkan kepentingan sehala. Apa tah lagi jika kebaikan itu bermakna putaran kehidupan kepala akan berlaku apabila kepala akhirnya menjadi ekor kerana ekor sudah pasti menunggu masa menjadi kepala. Jangan tidak berwaspada. Ekor yang pernah anda injak dan biarkan di dalam keluarga sampah saraf akan melakukan hal yang sama suatu waktu yang lain apabila sampah saraf menjadi negeri yang membanggakannya. Sampah dan saraf melambangkan kedaifan yang tidak selamanya daif. Di negeri sampah dan saraf ekor sudah pasti mempelajari segala bau memberi makna bagaimana bau itu boleh diubah menjadi bau yang enak dihidu. Segala ulat, bangkai, raungan lalat, rakusnya anjing-anjing dan malu-malu tikus akan mengubah senario negeri sampah dan saraf itu. Ekor yang berada di situ menjadikan pengajaran bau sebagai amaran kepada kepala-kepala yang selalu lupa bahawa di dalam kepalanya itu tidak semestinya otak tetapi lain misalnya batu atau kayu.

Benar, anda adalah ekor. Barangkali pada masa ini anda juga kepala. Sekali gus anda kepala dan juga ekor kepada kepala anda. Bagaimanakan ini? Kepala yang mengepalai ekor anda adalah ekor yang mengepala batukan kepala anda. Mengepala kayukan juga sekali-sekala kepala anda sendiri. Kepala anda itu batu yang selalu disebut kepala batu. Di dalam kepala, kepala ekor yang anda punyai terlalu digambarkan seribu satu persoalan yang mahu dihuraikan. Sering juga digambarkannya bahawa ada orang yang disangkakannya lupa tetapi sebenarnya andalah yang lupa. Kepala anda sudah telalu tua. Kepala anda terlalu dipengaruhi usia tua anda itu. Tua kepala anda kerana ketuaan anda sahaja bukan tua kematangan anda. Anda tahu? Begitulah ekor anda. Ekor anda ikut kepala. Kepala juga ikut ekor anda. Kepala dan ekor sama saja. Ke hulu dan ke hilir tak ada beza. Kepala walaupun lebih tinggi daripada ekor, ini bukan persoalan yang harus ditimbulkan. Ekor selamanya memang di bawah. Kepala juga selamanya di atas. Itulah lambang kuasa.. Maka harus diingatkan bahawa kepala apabila menjadi ekor selamanya dia mungkin kehilangan kepalanya. Otaknya sudah berpindah ke buku lali. Atau menjadi perhiasan semata-mata di dalam lakaran para pelukis atau seorang sasterawan sezaman. Mungkin saja dihias di dalam bingkai dan diletakkan di dalam muzium kebangsaan. Hanya menjadi sejarah yang akhirnya menjadi bualan sekurang-kurangnya berbunyi begitu: kasihan, inilah kepala yang hilang!.

Saya bukan penentang kepada kepala saya sendiri! Ini amaran untuk kepala yang matanya digayai hantu dan tua bangka!. Maksud saya hatinya juga sudah membeku. Jika pernah saya tekankan bahawa kumat kamit mulut kepala yang ini hanya tahu memberi amaran kepada kepala kepada ekor-ekor yang padanya mudah diinjak-injak (maksud saya ideanya mudah dikesampingkan kerana keekorannya), memang benarlah demikian. Kepala yang ini tahunya mengepalakan kepalanya tidak lagi ekornya. Pergi jahanam dengan ekornya. Dialah kepala segala kepala. Bukan kepada kepada segala ekor. Ekor tidak memberi apa-apa konotasi yang mulia untuknya. Kepalalah untuk kepalanya. Ekor untuknya hanya tahu duduk di sebalik cermin dan berkata-kata tanpa didengarinya. Kepala mereka itu sebenarnya kepala hantu yang berkepala-kepala dungu sebenarnya.

Sayalah ekor untuk kepala saya. Anda fikirkanlah bahawa saya ini hanya ekor dan juga kepala untuk diri sendiri. Jika saya kepala dan sayalah ekor mudah-mudahan ekor dan kepala berjalan seiring. Kepala tidak mengkotak-katikkan kepala-kepala yang punya ekor-ekor yang bebal dan kerbau. Apalah namanya kerbau tanduknya tak berguna langsung. Ekornya juga yang memberi khidmat menghalau lalat atau bangau. Apabila hidungnya dicucuk apakah peranan tanduk dan ekornya? Inilah dia yang tidak wajar dicontohi. Masyarakat kerbau memang tidak boleh memberi contoh kepada para kepala dan para ekor yang tahu nilai diri dan tahu menghargai ekor atau kepalanya.

Rupanya anda tidak memahami idea yang mudah ini. Mudah lagi kata seseorang meminta pelayan semangkuk sup ekor atau kari kepala ikan! Namun awas, ekor yang ini tidak memberi kebaikan yang baik seperti juga kepala yang beraroma itu. Anda mungkin tidak mati kebulur atau mengeringkan erti otak sebenar. Sebab itu kembalilah menjadi ekor setelah menjadi kepala. Kepala anda barangkali sudah besar, punya kuasa dan berkaliber yang menghakmilikkan suara yang besar, tingkah yang besar dan membosankan. Inilah yang melupakan akal anda terhadap ekor yang di bawah itu. Menjadi haiwan lebih senang daripada menjadi manusia. Menjadi manusia lebih mudah ketimbang menjadi insan yang menghargai daripada meminta dihargai. Maka nyatakanlah pendirian ada apakah anda sekarang ini kepala atau ekor?


Kota Kinabalu-Beaufort

Tiada ulasan: