Sejak pertengahan tahun 1990-an saya memang gembar membuat laman web melalui pengamatan laman-laman yang saya lawati. Saya pernah mengikuti kuliah peringkat Sijil Pengaturcaraan di UiTM ketika itu tapi belum sampai kepada bab pembinaan laman web. Membaca skrip melalui view source setiap web yang dilawati saya menyalin dan meletakkan pada program front page, saya ubahsuai hingga bolehlah dilihat seperti sebuah laman web. Namun apa yang saya buat itu tidak menepati citarasa saya yang memang sangat suka mencuba. Saya menemui laman web lycos atau tripod, di sana boleh dibina sebuah laman web tumpang dengan hanya menyediakan 20MB secara percuma untuk menempatkan bahan-bahan yang dipaparkan. Maka jadilah apa yang barangkali anda pernah lihat Laman Akar Cahaya (http://webhasyuda.tripod.com). Lepas itu saya membina sebuah laman untuk Ikatan Penulis Sabah (http://webips.tripod.com). Kini laman-laman itu sudah lama saya tidak kemaskinikan, tapi masih boleh dilayari kerana banyak bahan yang menarik di sana. Saya pernah mereka sebuah jurnal iaitu Komposisi Online menerusi Branvenet.com. Jurnal ini sepatutnya menjadi salah satu aktiviti IPS menyiarkan karya sastera ahli-ahlinya dalam bentuk maya. Betul bahawa melakukan kerja-kerja penulisan skrip pembinaan laman web ini memerlukan pengetahuan, kreativiti, gigih dan komited walaupun sebenarnya rumit.
Cita-cita saya memang melambung tinggi, sebagai aktivitis sastera yang berhasrat memberikan ruang kepada orang ramai mengetahui sastera, bahasa, budaya dan juga mengenali tokoh-tokoh sastera tempatan khususnya, saya cukup lama menyimpan impian agar suatu hari nanti saya ingin merealisasikannya. Saya ingin sekali membantu agensi-agensi yang barangkali tidak punya waktu untuk itu. Apatah lagi dunia hari ini, mayarakatnya memerlukan bahan-bahan berkaitan dengan cepat. Kerana itu dunia maya harus dijadikan alatnya.
Jika anda mencari nama saya di Google atau apa saja penjana carian, anda akan mengakses pebagai jenama laman yang saya buat. Memang ada yang menjadi tapi banyak juga yang ditinggalkan begitu sahaja. Dunia maya mula saya sertai semenjak menyertai Kelab Maya Sastera Malaysia (KMSM) sebuah milis yang dijana oleh Yahoogroups, sebelum itu juga menyertai Penyair yang dipelopori oleh rakan-rakan maya di Indonesia seperti Nanang Suryadi. Sehingga saya dipelawa mengisi sebuah buku Antologi Puisi Graffiti. Di Sabah, saya mengaktifkan Kemsas (Kelab Maya Sastera Sabah) yang diakui berkesan membicarakan isu-isu sastera dan pengurusan sastera di Sabah.
Saya masih tidak berpuas hati tanpa memiliki wacana peribadi yang bakal menjadi alat menyalur tulisan saya yang lebih bebas terhadap beberapa isu yang saya rasakan penting. Sebab itu saya mengaktifkan sebuah blog apabila ketika itu aktiviti menerusi weblog begitu digemari ramai. Mengenali seorang sahabat menerui blogdrive.com saya membina Kreatif Hasyuda Abadi. Bagaimanapun saya dapati mengurus blogdrive.com sedikit rumit berbanding blogspot.com, maka terbinalah 'rumah lain' yang anda kenali sebagai Membelah Kabut. Wajah blog saya yang terkini ini pun telah bertukar berkali-kali lantaran inginkan paparan maklumat yang pelbagai. Syukurlah juga dari hari ke hari, ilmu yang ditemui menerusi pengamatan dan usaha ingin belajar saya dapat melakukan walaupun masih banyak kelemahannya.
Dengan lahirnya laman web rasmi saya yang sedang dibina masa ini, sedikit masa nanti mudah-mudahan dapat mengisi keperluan yang saya bayangkan demi kelangsungan aktiviti sastera, bahasa dan budaya di Sabah khususnya. Di samping dapat mendekatkan ramai sasterawan, penggiat dan peminat sastera dalam sebuah 'rumah maya'. Malah dapat pula menjadikannya sebagai punca rujukan alternatif kita bersama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan