Banyak perkara berkhidmat di SPR yang menarik malah tidak ada pada individu lain ialah ketika pengundian berlangsung sehingga proses pengumuman wakil rakyat. Namun pengalaman yang lebih menguja ialah ketika proses pengiraan undi dan membantu Ketua Tempat Mengundi memutuskan sama ada kertas undi yang telah ditanda itu boleh diterima atau tidak apabila kertas undi tersebut dikategorikan sebagai undi ragu. Dinamakan' Undi Ragu' apabila pengundi meletakkan beberapa tanda selain 'X' dan tanda itu bukan pada kotak yang disediakan. Tugas ini memang mencabar. Akhirnya apabila tanggungjawab mengendalikan pilihan raya yang telus telah dilaksanakan menempatkan suatu perasaan yang amat tinggi, apatah lagi menyedari demokrasi telah berlangsung untuk memilih pemimpin atau wakil rakyat yang berwibawa.
Pilihan raya Kecil Kuala Terengganu telah berlalu dengan seribu satu pengertian dan makna. Melihat sendiri senario yang amat jarang ditemui, saya benar-benar berterima kasih kepada pihak atasan kerana memberikan peluang untuk bertugas dan berdasarkan pengalaman 25 tahun berkhidmat di SPR, tiada masalah besar yang dihadapi malah menemui pengalaman baru yang tidak dapat dilupakan. Saya tidak pernah bermimpi untuk berada di tengah-tengah keriuhan komuniti yang sedang 'berperang' dan 'berpesta' kerana memenangi 'peperangan' yang berlangsung seminggu lebih. Semasa pihak-pihak yang 'berperang' itu berkempen hinggalah diakhiri dengan perarakan di sepanjang jalan raya bandar Kuala Terengganu, menarik perhatian sebagai detik bersejarah dalam kehidupan saya secara peribadi. Meskipun senario begini tidak dibenarkan pihak berkuasa namun hakikatnya sebuah perasaan telah dilontarkan, kepuasan telah dicapai dan harus diterjemahkan dalam bentuk sedemikian. Ini kegilaan generasi baru saya fikir. Mereka lebih rela berhadapan dengan pelbagai risiko dari segi keselamatan di jalan raya di samping mengganggu pengguna jalan raya yang lain. Barangkali inilah yang apa yang dikatakan seorang sahabat saya '... meraikan kemenangan demokrasi'. Jika inilah trendnya kita berharap nilai-nilai adab yang memelihara apa juga peristiwa dengan rasa syukur dapat dipertahankan dalam suasana kegembiraan yang diimpikan.
Bulan 'mengambang' di Kuala Terengganu namun malam ini bulan tidak kelihatan. Jalan raya sesak, bunyi enjin motorsikal mengaum berang dan nakal, sesekali bergema takbir dan kibaran panji-panji dengan begitu galak sekali. Berbaur dengan keadaan begitu saya teringatkan beberapa peristwa yang terjadi dalam pilihan raya di Sabah sebelum 1994 terutama pergeseran politik yang tidak terkawal ketika itu sehingga berlakunya tunjuk perasaan di Kota Kinabalu. Teringat juga gegaran bom sesekali, memang ini bukan budaya masyarakat yang cintakan keharmonian bermasyarakat. Apakah demi mencapai slogan atau jargon berpolitik itu mengorbankan anugerah yang diberikan Tuhan lebih utama berbanding memilih kesederhanaan dalam apa juga tindakan. Memang apa yang saya ungkapkan ini tidak popular bagi sesetengah orang yang berkepentingan, yang memilik hasrat yang amat tinggi untuk bangsanya; padahal apa yang dapat difahami semua ini hanyalah babak-babak yang sengaja untuk sebuah kepuasan semata-,mata.
Dicatat di Hotel Grand Continental,
Kuala Terengganu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan