Jumaat, Jun 06, 2008

Melukut di Tepi Gantang: Citra Tak Berakhir

Menulis dan dapatkan upah, saya terkenang percakapan dengan salah seorang sahabat baik saya yang berkunjung ke pejabat beberapa hari lalu. Katanya susah sekarang ni, mau dapatkan bayaran untuk sebuah tulisan bukan macam dulu. Kita ni macam 'melukut di tepi gantang'. Asyik bertanya bila bayaran dibuat. Tebal muka ni, katanya sambil merujuk sebuah agensi kerajaan yang sering saya 'sigung-sigung' dalam kebanyakan catatan saya di Kemsas. Banyak sekali alasan yang diberi. Kata saya dulu kalau tiada peruntukan jangan pandai-pandai rampok idea orang, bila baik untuk agensinya tapi bila buruk dibaling ke muka orang lain. Seorang sahabat yang lain merasakan kini menjadi resam staf agensi berkenaan yang kurang dedikasi gagal melaksanakan amanah mereka dengan cekap. Ingtegriti mereka sering dipertikaikan namun siapalah juga kita kan, kata sahabat saya tu. Hanyalah penulis kerdil. Lainlah kalau Sasterawan Negara, 'ugut' saja sikit sudah mula tergagap-gagap dibuatnya. Jadikan agenda penting dalam mesyuarat. Cakap ini hanya sedapkan hati saja sambil orang-orang yang punya tanggungjawab dalam agensi berkenaan goyang kaki, sampai masa pulang rumah, cukup bulan nikmat gaji daripada hasil kerja yang tidak seberapa. Makan gajilah katakan... Katanya lagi, yang aneh kenapa ada individu yang dilayan dengan baik berbanding kita? Mohon bantuan cepat diluluskan dan dapat peruntukan. Ini bukan aneh, biasa, pilih 'geng'. Nampaknya ada yang tidak kena. Memangpun tidak kena. Jika demikian keadaannya, susah juga. Entah apakah ada pemantauan dibuat oleh pihak atasan mereka atau pihak atasannya juga seronok 'menelan asap' yang telah membakar fikirannya kepada sesuatu 'yang maha indah' hinggakan membiarkan apa sahaja yang berlaku tidak diambil perhatian, sambung sahabat saya itu yang sugul dan hampa.


Saya juga teringat pesanan ringkas sahabat saya yang lain lagi tentang Dayang Salmah Salam (penulis veteran) yang kini semakin kurang sehat, selain masalah pandangan diganggu lagi dengan masalah paru-paru. Kasihan juga apabila beliau mencari 'anak-anak' dari kalangan penulis yang akrab dengannya. 'Saudara, kita ziarah beliau ya, buat sumbangan...' cadang sahabat saya itu lagi.


Penulis tetap manusia biasa. Bila sampai masanya, dia akan hidup bersendirian dan rakan-rakan yang ada tidak ramai yang mungkin tampil membantu. Kita tahu insan seperti Dayang Salmah itu seniman yang prolifik berkarya, punya jasa yang besar sebagai wartawan dan aktiviti kemasyarakatan. Namun bila sudah kurang cergas, hanya dirinya sahaja menjadi dunianya meskipun di sekelilingnya ada anak-anak dan cucu serta cicit yang boleh membahagiakan. Bagaimanapun keadaan itu tidak sama. Aora persahabatan dengan keluarga tetap ada kelainannya. Percakapan juga berbeza. Kemahuan juga demikian. Pantang larangnya pun begitu. Apabila sudah sampai masanya tenaga diambil satu persatu, kekuatan hanyalah kepada kenangan masa lalu. Saya membayangkan saat seusia Dayang Salmah nanti... kerana itu realiti yang akan terjadi. Kita boleh bergembira satu ketika tetapi suatu ketika yang lain kegembiraan itu akan padam dengan sekelip mata saat kemampuan kita semakin sirna. Apakah kita mengharapkan ada orang yang ingatkan kita dan menghargai kita? Tentu tidak, jika betul ada yang sudi barangkali itu rezeki namanya. Jika sebaliknya, jangan sampai kita sendiri berkata melukut di tepi gantang walaupun ada ketikanya ia merupakan hak kita yang sebenar.

Baca juga reaksi ini.

Tiada ulasan: