Rabu, April 23, 2008

Negaraku, Rustam yang pergi dan Amil Jaya

i.
Dengan semangat patriotisme yang amat tinggi, semua warga harus menghormati dan menyanyikan lagu Kebangsaan 'Negaraku' dengan bertenaga, seharusnya demikian walau di manapun beradanya kita. Tentu bukan disengajakan atau barangkali suatu paksaan menjadikan tempo lagu 'Negaraku' tidak seperti sepatutnya oleh sesetengah pihak. Saya bukan bercertia kosong, ia suatu realiti yang saya alami. Pada suatu pagi yang indah dan membahagiakan bagi anak-anak muda yang harus belajar, saya fikir menyanyikan 'Negaraku' bukanlah suatu yang dipaksa-paksakan tetapi kewajipan sebagai Warganegara yang mencintai negaranya. Namun pada pagi ini sebuah sekolah terkenal di Kota Kinabalu saya melihat dengan penuh kehampaan, sedih juga apabila anak-anak muda yang belajar di situ tidak bermaya menyampaikan sebuah lagu yang syahdu itu dengan semangat yang jitu. Bayangkan apabila guru di hadapan terpaksa meminta mereka mengulanginya. Pun masih dalam keadaan 'seperti baru bangun tidur'. Demikian juga ketika lagu 'Sabah Tanah Airku' harus dinyanyikan, saya menyanyikan bersama sungguh pilu dan sedih apabila anak-anak muda tadi yang bakal menjadi pengisi kelangsungan negara nanti gagal menghayati lagu tersebut. Padahal selain Negaraku, Sabah Tanah Air cukup menyentuh kalbu betapa cinta saya kepada negeri tumpah darah. Barangkali ia sekadar lagu, tidak memberikan apa-apa untuk lebih dilihat menguntungkan pada fikiran mereka, namun sedarlah bahawa menerusi lagu seumpama itu telah meletakkan keberadaan kita sebagai seorang warga yang amat menyayangi negaranya dan agamanya sekali gus.

ii.
Rustam A.Sani
Membuka Bertia Harian Online pagi tadi, saya terkesima seketika apabila membaca berita pemergian Pak Rustam Sani buat selama-lamanya meninggalkan kita akibat sakit jantung. Dengan usianya yang banyak meninggalkan buah fikiran yang hebat tentu amat mengesankan kita semua kerana ketelusan dan keberanian menyatakan pandangannya. Semoga Allah menempatkan Allahyarham bersama hamba-hambaNya yang berbakti dan dirahmati.

iii.
Amil Jaya
Tetang Amil Jaya. Saya ada menulis tentang puisi-puisinya untuk dilampirkan bersama-sama pembentang-pembentang tersohor pada sesi Seminar Pemikiran Amil Jaya yang berlangsung di Dewan Besar DBP Kota Kinabalu pada 27 April 2008 ini. Memang tidak dapat dinafikan Amil Jaya merupakan sasterawan yang amat disegani. Meskipun jumlah karyanya tidak begitu banyak, namun beliau telah berhasil mengetengah persoalan masyarakatnya dengan baik dan telah diakui sehingga beliau adalah antara penerima anugerah terhebat Asia Tenggara - SEA Write Award. Di kalangan penulis di Sabah, Amil Jaya amat dihormati sebagai seorang yang amat berwibawa. Kita juga telah memerhatikan peranan yang pernah dimainkan samada ketika masih berada dalam perkhidmatan kerajaan mahupun selepas beliau bersara. Orang yang begitu tahu tentang sejarah sastera dan bahasa di Sabah, dialah orangnya. Walau pun bukan tidak ada yang lain, pengalaman hidupnya memberikan maklumat yang berbeza. Amil Jaya berjaya sebagai penulis dan dari pengalamannya ini telah mengangkat beliau sebagai pemimpin dalam pentadbiran di DBP Cawangan Sabah yang beliau ceburi sebagai Pegawai Penyelidik kemudian menjadi Ketua Unit seterusnya dilantik sebagai Timbalan Pengarah dan Pengarah DBP Cawangan Sabah. Begitu banyak juga jasa yang ditinggalkannya semasa memimpin DBP Cawangan Sabah yang tidak perlu diragui.


Saya setuju pandangan Juilus, sewajarnyalah Amil Jaya tidak termasuk dalam golongan manusia berjasa yang di pinggirkan dalam kasus sasterawan tanah air, meskipun saya pasti masyarakat sastera di Sabah tidak mempunyai pertimbangan demikian. Tempat beliau tetap ada hanya barangkali apakah hanya meletakkan khazanah karyanya dalam rak-rak buku Perpustakaan DBP atau menggatung gambar dan poster beliau di ruang legar itu terlalu memadai. Jika boleh dicadangkan buatlah sesuatu yang lebih menggambarkan kehadiran sasterawan seperti Amil Jaya (di samping yang lain seperti Datuk Haji Shuhaibun Yussuf, Hajah Dg Salmah Salam, Harun Hj Salleh, K.Bali dan yang lain-lain juga) melalui sudut-sudut karyawan atau sasterawan sebagai bukti keberadaan mereka tidak dirasa 'dipinggirkan'.

Memang sewajarnyalah membicarakan sesuatu daripada seseorang yang berwibawa seperti Amil Jaya perlu sebuah ukuran yang lebih besar skalanya berbanding dengan yang lain (barangkali ini juga antara lain yang Rem maksudkan). Saya percaya ini akan berlaku dalam seminar setengah hari yang saya istilahkan sebagai 'alang-alang' itu, tetapi tetap menjanjikan sesuatu yang bermakna untuk sastera di Sabah dan Nasional khususnya. Seminar ini bolehlah dianggap mega juga dengan kehadiran Ketua Pengarah DBP dan Ketua Satu Gapena, sewajarnyalah senario ini turut dirasai kepentingannya dalam sejarah sastera Nasional. Begitupun dari satu sudut yang lain saya masih kabur tetapi masih boleh dibahaskan apabila sasterawan yang berwibawa itu diangkat 'darjat'nya lebih tinggi dalam komuniti sastera yang lebih luas. Berdasarkan penglibatan, pengalaman dan kedudukan Amil Jaya dalam komuniti sastera di peringkat Kebangsaan, memang kita mendengar agar beliau juga seharusnya layak untuk mendapat pengiktirafan setinggi Sasterawan Negara. Memang besar sekali bunyinya dan saya secara cepat memandang pula ratusan sasterawan lain di negara ini yang menunggu giliran untuk gelaran itu sambil membuat sedikit penilaian terhadap Sasterawan-sasterawan Negara yang ada setakat ini. Kita buat beberapa pertimbangan misalnya jumlah karya, kekerapan karyanya diperkatakan di peringkat nasional dan nusantara, kesinambungan dalam pengkaryaan dan beberapa ciri lain yang tidak kurang pentingnya. Saya secara peribadi berpendapat Amil Jaya belum sampai ke tahap itu, maksudnya untuk Anugerah Sasterawan Negara, nama Amil Jaya masih berada pada 'rank' atau kedudukan yang kurang memuaskan. Novel-novelnya seperti Ngayau, Bagaton dan Cerah masih berada pada tahap sesuai pada zaman tertentu sahaja, itupun menggambarkan pergolakan dalam tradisi yang tidak lebih sebagai sebuah visual sejarah yang perlu diakui walaupun secara amnya Amil Jaya juga berusaha mengetengahkan perjuangan bangsa sebagai nilai tambah penulisannya. Kemudian Amil Jaya tidak begitu prolifik sejak dua dekad lalu (barangkali lantaran gangguan kesihatanya) tanpa menghasilkan sebarang novel (kerana itu bidangnya) melainkan beberapa buah karya eceran seperti cerpen dan puisi. Kita tidak melihat ada kesinambungan yang boleh dibanggakan selain kekerapannya menulis kertas kerja dan memperkatakan sejarah sastera di Sabah. Walaupun begitu, kita harus mengakui bahawa selepasnya tiada siapa pun yang boleh meletakkan kedudukan seseorang di persada sastera tanah air jika bukan generasi yang mengaguminya yang meyakini sepenuhnya bahawa sasterawan seunggul Amil Jaya wajar ditempatkan sejajar dengan kegemilangan sasterawan-sasterawan tanah air kita. Kita tunggu apakah yang berjaya dirumuskan dalam seminar berkenaan.


Pameran Untuk Amil Jaya 'di celah-celah dinding dan cermin'bangunan DBP. Jika penunjuk arah ini meletakkan Muzium Sasterawan Sabah, alangkah bermaknanya kepada para sasterawan kita...



Kita amat berbangga kerana ada putera Sabah yang dibesarkan pada abad yang lalu sebagai seorang sasterawan yang berwibawa, menerima pengiktirafan yang terbaik di peringkat nusantara, namun ada ketikanya kita harus melihatnya secara sederhana (tanpa tujuan meminggirkan). Sasterawan bukanlah malaikat tetapi mempunyai kelemahan namun kelemahan itu amat jarang sekali diperkatakan sebagai bayaran kepada jasa serta baktinya kepada sastera tanah air. Apapun ini merupakan sebuah lontaran pandangan daripada seorang yang mahu melihat sesuatu itu dari sudut yang lebih mendasar. Sekiranya lontaran ini amat bertentangan jangan jadikan 'jarum di dalam peti', dan seperti biasa sesuatu yang bertentangan itu bakal menerima padanya. Mudah-mudahan tidak demikian sebagai sebuah interaksi yang membina.


Tiada ulasan: