MENJELANG MESYUARAT AGUNG IPS KE-17
Saya tidak meminta banyak atau menjangkakan sesuatu yang besar ketika mahu meneruskan memimpin IPS. Komitmen yang tinggi sering sahaja dikendalai rintangan-rintangan yang saya fikir disengajai padahal segala rintangan itu sepatutnya telah menjadi 'arwah'. Ya walaupun barangkali akan terlahir kemudiannya rintangan-rintangan baru. Dalam segala bentuk catatan, saya tidak serik untuk menarik perhatian orang supaya lebih berani menanggung beban yang sengaja juga dicari. Memimpin sebuah persatuan penulis yang miskin, tentulah membosankan bagi ramai orang. Apa tidaknya, sebagai ketua saya akhirnya akur untuk mengeluarkan apa sahaja keperluan. Memang sahabat-sahabat memahami itu dan saya juga faham kemampuan para sahabat. Memadainya jika segala pengorbanan didekati dengan sokongan dan kesetiaan, sambil sanggup bekerja lebih gigih.
Ada ketikanya saya bertanya apakah perjuangan para penulis masa ini? Saya mencari-cari, di sana-sini membaca catatan teman-teman lain, mereka terus juga menulis tanpa peduli apakah mereka juga punya perjuangan. Dalam tulisan mereka adakah tersemat sebarang niat memperkatakan sesuatu yang besar dan hebat. Apakah isu-isu atau persoalan yang sedang dan bakal didepani masyarakat kita terus perlu dipertingkat. Atau sebaiknya mendahului zaman ini agar zaman mendatang tidak begitu mengejutkan anak cucu kita. Mungkin sahaja ada sambil saya sendiri rupanya yang terpenjara dalam pencariannya.
Sesering bercakap, sesering itu juga saya berhadap agar sering terjadi perbualan-perbualan yang jitu mengenai apa yang maksudkan tadi. Agar dunia berfikir kita tidak buntu, lompang dan kosong. Paling tidak apabila mentelaah karya-karya penulis masa ini tidak banyak yang memperkatakan tentang dunianya yang serba mencabar melainkan hal-hal lapuk yang sewajarnya diketepikan. Terutama sekali kepada generasi penulis yang sudah bergelar mapan, lainlah jika anak-anak muda yang baru mengenal makna dalam kata-kata yang disusun indah baginya. Barangkali juga ada.
Masalahnya jika ada, ini disebabkan kita jarang sekali berbual dalam erti kata mengangkat sesebuah karya biar eceran sekalipun di tengah-tengah khalayak yang turut bersama berfikir, bercakap, memberi erti dan mencahayakan kegelapannya di sela-sela majalah atau surat khabar. Buku-buku bukan main berlambak. Nasib menyebelahi buku itu bila dibeli dan dibaca ramai orang dan mungkin sahaja nanti dijadikan teks sekolah. Entahlah kenapa saya begitu mengambil berat hal-hal ini, mungkin remeh bagi orang lain tapi penting kepada saya, saya fikir begitu. Tidak berhasrat mahu menyalahi sesiapa tapi sekadar menyampaikan bahawa tanggungjawab kita bukan kecil. Jika mahu memandang sastera sebagai ujana terbaik untuk masyarakat menikmati kebenaran lantaran ilmu dan sahsiah yang dibina, kita perlu melakukan lebih banyak dan lebih bijak.
Sebagai pemimpin pertubuhan penulis yang miskin, hanya kata-kata sahaja yang mampu dibuat. Kita tidak punya wang yang banyak untuk melakukan lebih daripada itu. Tiada siapa berani tampil untuk sekurang-kurang menyokong kerana dasar kepercayaan itu telah dileburkan oleh sikap prejudis, prasangka yang tinggi dan enggan menerima teguran. Benar itu teguran bukan kutukan. Namun setiap teguran atau kritikan yang sering dihitamkan persepsinya boleh menjelma kepada nilai-nilai kutukan. Mengapa perlu mengutuk kelemahan yang berlaku di 'rumah' sendiri. Biarlah kita saling bersapa dengan baik, memberi sangka yang baik, menyahut cabaran dengan rela dan besar hati.
Atas sebab itulah, saya tidak akan menyimpan sebarang harapan yang tinggi untuk memperkasa sastera khususnya di Sabah ini. Biarlah bersederhana. Buat sepatut-patutnya apabila kita perlu melakukannya. Apa yang penting kerja dan usaha yang bakal diungkayahkan nanti tetap mempunyai nilai-nilai yang sama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan