Khamis, April 10, 2008

Apa Khabar Penulis Sabah?

Salam sejahtera kepada sesiapa sahaja yang membaca pandangan ini. Terlebih dahulu maafkan saya kerana mungkin pandangan ini sedikit banyak menyentuh hati kecil anda terutama sekali bagi yang termakan lada, bukan sebab tidak suka tetapi lebih kepada kurang ingat atau terlepas pandang. Begitulah politiknya atau satu helah untuk menyembunyikan kelemahan. Kadang-kadang ada waktunya ketelusan memberikan impak yang amat berguna apabila sesuatu pesoalan berkaitan dihadapi dan mudah memberikan jawapan tanpa sebarang rasa prejudis atau salah anggap. Biasanya kesalah aggapan melahirkan semangat bermuka-muka atau memungkinkan berlaku tohmahan-tohmahan di belakang.

Begini sahaja. Sekarang saya berusaha melihat persoalan-persoalan sastera sekaligus mencakup aktiviti sastera yang kurang relevan pada masa ini dari jauh atau lebih enak didengar sebagai 'di luar sempadan'. Pertama sekali kepada para penulis. Memang diakui negeri Sabah mempunyai ratusan penulis sejak dahulu lagi, sejak zaman sebelum merdeka hinggalah zaman teknologi sekarang ini. Terlalu ramai tetapi kuantitinya sahaja, kualitinya tidaklah mudah untuk dibuat sukatan. Benar, kualiti itu subjektif. Penulis mungkin tidak selayaknya digelar 'penulis' dengan mudah. Ia perlu dilakukan bertahun-tahun dengan melihat komitmennya, penampilannya, kemampuan dan kewibawaanya. Ia perlu juga ada batas dan aras sehingga ada kewajaran seseorang itu digelar penulis. Penulis itu harus menghasilkan karya yang bermutu, besar dan hebat. Karyanya tidak boleh dikalahkan oleh peredaran masa. Tidak lapuk dengan kemunculan pelbagai media yang boleh melupakan sebuah pemikiran yang mampu mencorakkan sesuatu masyarakat bahkan negara.

Namun ini tidak, hingga bila sebuah buku dibuat (merujuk kepada buku Biografi Penulis Sabah) dengan menghimpun seramai mungkin individu yang memang tidak menepati kehendak sepatutnya buku itu diterbitkan. Tanpa niat merendah-rendahkan seseorang kerana saya percaya justifikasi sesuatu projek itu memang ada, hanya mungkin apabila sesuatu perkara dilakukan tanpa perencanaan yang terperinci jadilah hasil yang seadanya dan diterima dengan seadanya juga. Apakah buku seperti itu membantu? Saya fikir tidak banyak, apatah lagi banyak fakta yang kurang tepat selain tidak lengkap. Di sisi lain ada juga penulis yang memang hebat tetapi penglibatannya dalam dunia penulisan itu berkala. Memang ramai penulis bukan kerjayanya sepenuh masa dengan penulis. Maka dia akan menulis dan menulis seberapa banyak karya baik cerpen ataupun puisi. Bila sampai masanya dia pun mahu karya-karyanya itu dikompil dan diterbitkan. Selepas diterbitkan, individu ini tidak lagi menulis. Tutup cerita.

Tidak kisahlah apapun juga memang banyak kerenah penulis kita. Mungkin wajar juga ada penulis yang cepat kalah dengan percaturan kehendaknya dari segi material dan keperluan hidup. Dia akan melupakan dunia itu meskipun dia berbakat besar. Lebih baik saya membuka gerai, jual burger atau goreng pisang atau menjadi ejen insurans dan sebagainya bagi yang tidak ada pekerjaan tetap. Jangan salahkan penjawat kerajaan jika tidak kelihatan lagi karya-karyanya. Karya-karyanya jika ada sekali sekala kerana memang apabila sekali sekala ada itu atas permintaan. Wah, itu kelahiran semula! Setelah lama meninggalkan dunia kata-kata dan segala macam retorika dan segala macam rempah ratus kehidupan penulis, dia muncul lagi dan lagi dan lagi dilihat beliau sudah ada keberanian atau terungkap juga sebenarnya penulis ini tidak ada apa-apa yang baru. Cara pengolahannya juga masih sesuai untuk zaman 70-an atau 80-an. Jadi serba tidak kena.

Namun begini tuan-tuan, masih ada juga penulis yang memang 'asli' semangatnya dengan menjadikan dunia penulisan itu sebagai kehidupannya. Saya boleh memberikan contoh yang terbaik, misalnya Dayang Salmah Salam. Ibu tua ini terus menulis (walaupun sudah tidak seligat dahulu lagi. Dia sudah tidak boleh berjalan jauh kerana masalah pandangan, katanya baru-baru ini. Begitu juga Pak Shuhaibun, pergerakannya amat terhad, bilang isterinya Datin Ripah melalui telefon dua hari yang lalun dengan saya) malah mampu mengikut trend semasa meskipun barangkali banyak ungkapan-ungkapannya yang klise. Hanya beberapa orang lama yang masih boleh kita lihat. Ada yang buat kejutan dengan kelahiran semula mereka. Bagus juga jika ramai penulis-penulis kita muncul semula. Apa yang penting tentulah kita inginkan buah fikiran mereka. Hadir dalam majlis-majlis serasehan atau bicara karya pun saya rasa memadai tetapi bukan sekadar hadir sahaja. Mereka perlu diberikan peranan atau memainkan peranan, misalnya diberi peluang untuk menjadi salah seorang panel dalam sesebuah forum misalnya. Kita jarang sekali apa lagi hari ini, tidak ada satu hari dalam beberapa bulan yang lepas kita mengikuti program-program sastera.

Kenapa? Salah satu puncanya saya fikir ialah kurang perhatian daripada pihak penulis-penulis kita juga. Untuk mendapatkan sebuah kehadiran yang sepenuhnya ibarat menunggu kucing bertanduklah! Ada ketikanya mengharap pelajar sekolah. Dipaksa menghimpunkan mereka demi meramaikan program dan program berjalan lancar, kononnya. Masalah besar apabila sekolah mula bercuti atau kampus cuti semester. (Jangan buat program sastera masa cuti sekolah! Itu jadi ingatan,betulkan?) Saya bertanya siapa penulis-penulis itu sebenarnya? (sebuah pertanyaan klise, maafkan saya) Di manakan mereka? Dalam program-program yang lalu apakah penulis-penulis yang hadir itu memang penulis? Atau sekadar pemenuh kerusi-kerusi kosong? Sebenarnya tidak ramai penulis yang berwibawa sekarang ini. Tidak ada sokongan daripada pihak-pihak yang berwajib untuk membantu selayaknya agar lompang yang sekian lama berlaku ini tidak terus memungkinkan sastera terus dipinggirkan. Kurangnya penglibatan yang serius daripada pihak-pihak yang berwajib untuk menangani keperluan-keperluan yang selayaknya yang patut dilakukan agar sastera sentiasa wangi mengisi ujana kalbu generasi kita. (Siapa kata tiada! Itu jawap mereka, saya tahu.)

Terlalu banyak isu yang boleh dibicarakan secara sastera. Perlunya alternatif untuk membawa masyarakat kita berfikir. Sama ada isu-isu bahasa, kebudayaan bahkan politik dan ekonomi para penulis boleh menyatakan padanngan mereka. Namun melalui medium yangmana? Surat khabar tidak cukup. Jika hanya Utusan Borneo (promosi bah!) yang terhad itu saya fikir tidak memadai membawa pelbagai tema dan pemikiran ke pengetahuan masyarakat sasaran. Mungkin perbualan ini sedikit membosankan. Untuk apa pemikiran-pemikiran itu dipaparkan kerana memang hasilnya itu-itu juga, barangkali ada segelintir berpandang demikian. Kerana itu perjuangan perlu diteruskan. Saya optimis melaluai persatuan penulis seperti Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) atau IPS, kita boleh melakukan sesuatu dengan sokongan dan dukungan individu yang prihatin. Tiada siapa boleh membawa misi pemikiran global yang berterusan itu jika tidak ada yang memiliki jati diri yang bulat. Hanya barangkali individu yang masih ada itu hanya beberapa orang sahaja. Saya tidak mahu menyebutnya kerana nanti dikatakan mahu mengangkat kawan pula. Anak-anak muda sekarang sudah tidak begitu menggemari sastera. Jika adapun mereka hanya berminat berada di belakang. Kurang sekali mahu menampilkan diri dan menonjolkan kemampuan mereka memimpin, mengikuti aras semasa, memikirkan permasalahan sastera yang kabur waktu-waktu kebelakangan ini khususnya di Sabah. Kita perlu bersuara dan bercakap. Kata seorang sahabat yang memang lantang berkata-kata, tunggu masanya nanti, beliau berhasrat menyatakan sesuatu yang berbeku dalam jiwanya, bagaimana perubahan-perubahan dalam sistem pengurusan kesenian, kesusasteraan dan kebahasaan itu perlu dibuat. Tetapi pada saya mengapa mesti menunggu masa? Angin perubahan telah berlaku sekarang. Di mana-mana orang memperkatakan tentang perubahan. Persoalannya apakah hanya dengan perubahan barulah sastera kita marak semula? Barangkali ada pro dan kontranya. Pada saya yang perlu berubah ialah sistem. Sistem pengurusan, sistem pemikiran, sistem bekerja di samping kewibawaan yang perlu dimantapkan lagi.

Saya berhenti di sini buat sementara. Mudah-mudahan ada anjakan baru untuk mengatakan sesuatu dengan hasrat murni sesuai dengan jiwa kita agar dunia penulisan, dunia sastera terus indah dan wangi.


Tiada ulasan: