Khamis, Oktober 18, 2018

Puisi


PENJAGA RENTA

Ah! Kau tak lagi tahu bagaimana meletakkan huruf-huruf apa lagi menulis sebuah makna. Deria yang mati bersama sukma yang beku. Entah kepalsuan apa yang membawanya menjadi suara ulat. Selesai daunan setaman dan wangiannya. Maka rumah yang agam seperti purba yang ditinggalkan dan kau penjaga renta dan kusam.

RupHA
17.10.2018


 LADANG MINDA
- sebuah adaptasi diri

Hari ini kubelajar tentang harga diri. Apakah yang kau fahami dari dua kata itu? Bukanlah persoalan mahal atau murahnya seperti seseorang memasarkan komoditinya di pasar. Tetapi kau mencabar matahatiku ketika aku sedang menggemburkan ladang minda. Benih telah kucari hanya menunggu masa menyemai di ladang. Saat ini cuaca sangat baik bila bercakap mengenai kesuburan. Iya soal rezeki itu anugerah tetapi usaha dari diri manusia. Aku amat siaga menyiangkan ladang mindaku sejak beberapa minggu. Ada acuan yang tidak ada pada pekebun sastera lain. Di mana pun. Tetapi hari ini kau musnahkan ladang itu tanpa memandang sedikit pun ehsan benih fikir yang sedang mekar akarnya. Lihatlah tunas benih yang sedang merekahkan permukaan bumi. Aku tahu. Bukanlah pekebun yang begitu pandai. Tanamanku pun tidak semuanya mekar namun siapa tak tahu hasil yang kutuai dihayati ramai orang hingga ke negeri asing. Aku takut mengatakan bahawa kau amat bodoh dalam menilai tetapi bukan juga salah jika benar aku hanyalah seperti sampah yang boleh dipungut atau biarkan saja angin senja membawa pergi. Jika begitu benarlah ketika terbangun gedung yang besar itu tidak meletakkan hasill kerja ramai yang senasib sewajarnya. Dengan pandang polos aku mengerti bagaimana pertimbanganmu membawa jentera dari luar yang lebih bertenaga. Kera yang jauh diumpankan susu anak sendiri dibiarkan seperti sampah. Dengan maksud rendah diri biarlah dengan nama pemberi rezeki ladang mindaku sentiasa kubajai. Lukakan meski pedih lakukankah aku takkan melupai. Tak mampu kuruntuhkan gedung itu biarlah ia terus sepi tanpa matahati yang sirna.

RupHA
Kg Gudon
17.0.2018


SUARA YANG MENYALA

Hari ini fikiranku diganggu oleh suara yang menyala, kufikir ia menjadi api, rupanya tak mungkin lebih jauh meratakan singgahsana fikir. Kawan-kawanku menuliskan ayat-ayat besar di dahi. Keteliti menjadi inti qalbu sebelumnya dibawa jauh ke ufuk cakerawala. Aku mahu bersuara lagi bukan bahasa seteru, sebagai mencinta damai, hadirlah mesti duka dan luka, hadirlah meski tikaman maha nyaman, kau tak sanggup bertkam. Ini zaman edan, tikaman bukan permainan, langkah benar dalam ribuan bunga pasti mengikat dangkal pilihan.

Hati ini telah diikat. Siapa lebih berani berlawan, kata dengan kata, sajak dengan sajak atau novel menyiram tubuhmu dengan ambar makna.

RupHA,
16.10.2018




MENCARI ILHAM
dalam sum-sum kata sebelum mencetuskan makna seperti daun-daun yang menetas dari liang cinta. Berbahagialah ketika ilham menyapa, dari syurga.

RupHA
15.10.2018

  

MENCARI
Jika dapat kau lipat saja 
seperti melipat kertas
susun kebaikan dan letak
pada rak-rak waras

Setiap kali kau berawas
tak lepas dari pengawas
yang rajin menyimpan silap
sesiapa saja yang tak bersiap

Digali lagi selagi tak puas
selagi tak kedengaran ngauman
membelah bumi diri
menggulung-gulung isi hati

Begitu disingkap tabir takdir
kau kenal enau dan belukar
ketika dunia meninggalkan maju
di sekeliling masih menilai ajar

Mungkin ingin seribu mahu
di hati membeku dendam membatu.

RupHA
12.10.2018

Tiada ulasan: