Rabu, Oktober 17, 2018

KAU RASA, PENULIS KARYA KREATIF INI KELAS APA?



OLEH HASYUDA ABADI
RupHA
Sertai bengkel penulisan kreatif sekarang tidak lagi gratis. Saya setuju ini. Bahkan jika buat acara sastera apa pun perlu bayaran tertentu saya setuju. Agak-agak ada tak orang datang? Acara yang percuma malah kerusi banyak kosong ini pula berbayar. Beza antara yang berbayar dengan tidak memang ada. Soal komitmen dan tidak timbul soal terpaksa. Kita juga akan nampak siapa yang memang berminat dengan tidak.
Soal bayaran kepada audiens di sini selesai. Sekarang kepada petugas di hadapan dan di belakang. Apa sahaja yang namanya bekerja baik sebagai penulis kertas kerja a.k.a pemakalah, moderator, panel, juri, juru acara dan sebagainya harus ada ganjaran atau upah tertentu. Bagi agensi Kerajaan memang ada panduan khas bagaimana pembayaran ini dilakukan. Bagi organisasi bukan kerajaan juga patut memiliki garis panduan sendiri sekiranya ingin bertindak secara profesional. Bukan semborono asal ada atau cincai dalam melaksanakan aktiviti.
Sebagai aktivis saya sering bekerja tanpa bayaran. Kebanyakan tidak berbayar.Tidak pula berusaha betanya atau menuntut kepada penganjur. Memang bukan budaya penulis begitu, barangkali. Seperkara yang jarang dilakukan oleh golongan penulis ialah kita tidak pernah menerima sebarang aku janji. Tidak ada makluman gred-gred bayaran. Ini termasuk bayaran hono di media massa.
Kedua, kita mungkin menganggap sesuatu kerja sastera itu tidak berat. Tidak memerlukan latihan, tidak perlu beli kostum, tidak perlu pembantu dan seumpamanya, bukan seperti penyanyi. Biasanya penulis dihubungi untuk membaca puisi misalnya, tetapi tanpa hitam putih yang antaranya memberitahu atau menjanjikan bayaran tertentu. Sekiranya bersetuju barulah kita buat kerja. Tentu leceh kerja begini bukan? Tetapi, sampai bila kita menganggap semua secara cincai?
Di pihak penganjur pula mungkin memikirkan apakah berbaloi mengundang seseorang deklamator puisi sebagai contoh, yang datang dari jauh tidak diberikan apa-apa sebagai penghargaan terhadap sumbangannya. Ini natijah daripada sikap kecincaian yang sewajar tidak berlaku. Perlu kita fikir baik-baik dalam meletakkan kesenimanan seseorang. Menghormati profesionalisme dan bakatnya bagi saya amat penting. Kita terlalu memilih jika penulis dari luar Sabah ada bayaran tetapi jika penulis tempatan seumur-umur gratis! Ini tidak begitu bagus sebenarnya. Apa bezanya antara tokoh yang kurang lebih dalam bidang masing-masing. Ini seolah-olah penulis tempatan tiada kelas atau jika ada pun hanya pada taraf kelas kambing. Sudah tentu ada yang tersinggung.

Tiada ulasan: