Sabtu, Mac 31, 2018

Menulis puisi perlukan kebebasan



Oleh Hasyuda Abadihasyuda@gmail.com

DATUK JASNI MATLANI berkata kepada saya, agak sukar kita mencari nama-nama penyair selepas Mabulmaddin Shaiddin. Ini pernah dikatakannya hampir satu dekad dan baru-baru ini beliau mengulanginya. Saya ingin mencari puncanya. Apakah setelah Mabulmaddin, telah tamat percubaan-percubaan para penyair seangkatan dan baharu mengungkapkan puisi sebagai bentuk yang menjadi miliknya? Sebenarnya belum ada yang menandingi kekuatan kepenyairan Mabulmaddin dari segi bentuk, ungkapan, pendekatan dan pada saya ialah keberaniannya mengekalkan bentuk puisinya secara konsisten Saya tidak fikir Mabulmaddin bereksperimen. Saya percaya itulah bentuk puisinya yang natural dan asli.
Tidak bererti penyair lain tidak baik, bukan bermakna puisi-puisi mereka patut diketepikan. Masih ramai yang berpeluang tetapi saya tidak berhasrat menyebut satu persatu nama-nama yang ada dalam pemerhatian kami. Apa yang perlu dikatakan ialah menulis puisi amat memerlukan kebebasan. Kebebasan beramanat, kebebasan berdiksi, kebebasan memperbaharui gaya bahasa dan kebebasan memilih ruang atau mediumnya berpuisi.   
Mabulmaddin Hj Shaiddin
Suhaimi Haji Muhammad, seorang penyair surealis pernah menyatakan bahawa karya-karya realisme bukan hasil seni. Kenyataan ini kita fikir kurang disenangi ramai penggiat sastera namun sebagai penyair yang berpegang teguh terhadap kepercayaan dan prinsip kepengarangan dan kepenyairan, karya-karyanya sentiasa menyediakan hidangan sastera yang luar biasa. Tumpuan Allahyarham Suhaimi bagaimana pun berubah apabila berhijrah kepada dunia mistik bermula pada tahun 80-an. Rata-rata khalayak sastera di Malaysia lebih menyenangi puisi yang mudah dan jelas untuk ditanggapi maknanya berbanding dengan puisi-puisi surealis, atau lazimnya disebut puisi-puisi eksperimen yang memerlukan daya penghayatan yang lebih tinggi dan mendalam. Hal ini bukan sahaja berlaku dalam genre puisi malah kepada keseluruhan genre sastera yang lainnya. Karya-karya picisan yang bersifat 'simple', tidak memerlukan daya penghayatan yang tinggi serta menghiburkan sering mendapat tempat dalam kalangan audiensnya. Realitinya, banyak karya ekperimen tidak sampai ke mana-mana. Hal ini disebabkan puisi-puisi seumpama ini memerlukan kesabaran malah untuk menikmati, menghayati dan menilainya memerlukan pengetahuan serta menguasai pendekatan kesusasteraan yang mutakhir.
Pendapat ini disokong oleh Sahlan Mohd. Saman (1995: 110) yang menyatakan khalayak akan lebih menyenangi puisi yang mengharmonikan perihal-perihal yang dideretkan itu. Hanya setelah proses 'menyenangi' itu wujud, proses seterusnya mendapatkan kesan iktibar barulah dapat dirasakan hasil daripada keseluruhan kesan katarsis karya. Hal ini turut ditambah apabila keterasingan definisi mengenai bahasa puisi eksperimen yang tidak popular dan sering dipersoalkan oleh khalayak sastera dicengkam oleh mitos bahasa yang secara psikologinya dibudayakan dan dijadikan amalan oleh sekelompok penyair 'establishment'. Suatu tanggapan mengenai struktur, penguasaan dan fungsi bahasa dijadikan kayu ukur yang seolah-olah muktamad dan mendasari semua aspek penganalisisan, kritikan atau justifikasi semua genre puisi sama ada eksperimen atau non-eksperimen.
Penolakan ini turut ditambah apabila pengkritik sastera secara umumnya turut cenderung menghukum puisi-puisi yang terkeluar daripada landasan bahasa monolitik, contohnya bahasa abstrak, bahasa kelam kabut yang tidak mengikut hukum tatabahasa melalui pemboikotan atau kritikan melampau terhadap puisi-puisi eksperimen tanpa menyedari bahawa puisi itu bukan permainan bahasa semata. Puisi sebegini dianggap tidak mempunyai nilai puisi yang tinggi. Dalam banyak hal, sikap segelintir pengkritik sastera inilah menyebabkan munculnya anggapan bahawa angkatan puisi kabur atau pelopor awal puisi eksperimen Malaysia sebagai 'gila' kerana menghasilkan puisi yang tidak ketahuan maknanya (Lihat Mohamad Mokhtar Hassan,1995: 24-25).
Penerimaan yang 'sepi' terhadap puisi-puisi eksperimen disebabkan kebanyakan khalayak sastera masih lagi belum mencapai tahap pemikiran intelektual yang tinggi untuk mengapresiasi puisi-puisi yang membawa makna yang dalam untuk direnungkan. Mungkin peminat yang ternyata kecil bilangannya adalah dalam kalangan pengarang, pengkritik sastera atau pelajar-pelajar universiti yang menceburkan diri dalam bidang sastera tetapi tidak kepada masyarakat keseluruhan terutama pelajar-pelajar sekolah yang lebih menggemari bahan bacaan yang mudah dan menghiburkan. Bagaimana hendak terhibur kerana untuk memahami maksudnya sendiri tidak terungkap sedangkan generasi muda inilah yang seharusnya memperkasakan lagi dunia sastera Melayu.
Beberapa kritikan terhadap puisi eksperimen turut mengheretnya dengan secara tidak langsung ke dalam arus kemelut dunia sastera Malaysia. Apabila timbulnya isu untuk memasyarakatkan sastera, maka isu ini diimplementasikan untuk mengkritik dan menuding jari kepada puisi-puisi ini sebagai pesalah utama kerana dikatakan menjauhkan masyarakat daripada sastera. Pengkritikan terhadap apa sekalipun jika tujuan dan niatnya adalah untuk mencari kesalahan, meruntuhkan atau menegatifkannya maka yang dilihat semuanya keburukan dan kelemahannya. Maka segala nilai baik dan manfaat yang dicernakan dan dikongsi bersama itu akan musnah oleh sikap prejudis sesetengah pengkritik sastera. Setiap hasil kesenian tidaklah harus terikat kepada kehendak segolongan masyarakat biarpun ia adalah majoriti dalam komuniti itu. Kesenian itu mempunyai sifat yang infiniti (tidak terbatas) dan baru (sentiasa berlaku perubahan). Ia tidak perlu terikat atau terkongkong lantaran untuk memenuhi kesinambungan lalu dan mungkin memerlukan bimbingan dan kawalan tetapi bukan peruntuhan.
Kerelevanan puisi-puisi eksperimen yang hadir dalam jagat kesusasteraan Melayu moden harus dilihat daripada pelbagai aspek. Eksperimen dalam karya sastera dilihat sebagai hasil pengucapan seniman yang kreatif dan imaginatif. Hakikat daripada kekreatifan dan keimaginatifan inilah timbulnya kebebasan serta keluasan ruang pendayagunaan bahasa dan bentuk seseorang penyair. Tambahan pula pengarang sentiasa dituntut menjadi pengukir dan pembaharu bahasa. Lanjutan daripada hakikat tersebut pula keinginan pengarang untuk mencapai konsep 'poetic licence' atau kebebasan penyair.
Selanjutnya dunia sastera moden lebih jelas pula dihubungkan dengan ciri-ciri kebebasan dan individualistik. Justeru pengarang akan berusaha lari daripada konvensi, bereksperimen dengan cara menyimpang atau menentang bentuk dan ikatan lama. Pada umumnya, puisi eksperimen tidak mengikat kaedah, bentuk dan nilai kepuisiannya kepada suatu acuan 'standard' sebagaimana pembakuan bahasa yang melibatkan ketetapan ejaan, suku kata, artikulasi, sintaksis dan sebagainya. Proses penghasilannya adalah suatu proses yang mengarah kepada kemungkinan-kemungkinan terhadap bentuk dan teknik penyampaian yang tidak terhad. Ia selalunya terasing, melencong, teralih, terhanyut di luar konvensi bahasa puisi atau tradisi puisi 'establishment'. Dalam erti kata lain, entitinya adalah entiti 'avant-garde' yang seiiring dengan aspek-aspek karya kreatif yang lain seperti seni bina, seni lukis, seni tari, seni muzik dan sebagainya.
Puisi-puisi eksperimen yang muncul dalam dunia sastera Malaysia dapat memberikan banyak alternatif kepada masyarakat untuk memilih dan menggemarinya. Signifikannya, masyarakat akan didedahkan dengan kepelbagaian dan keragaman yang mencetuskan kecerdasan dan seterusnya mengembangkan minda masyarakat tersebut dengan cara mempelbagaikan pendekatan dan kesannya kebijaksanaan khalayak dicetuskan dengan berkesan. Premis susah-senang di dalam kesusasteraan bukanlah sesuatu yang baru malah ada teori yang menyatakan semakin sastera itu sukar dan ambiguiti sifatnya, semakin ia kaya dan berhasil (William Empson, 1973: 48).
Kesenian harus bebas dan telus. Bukan sekadar mementingkan komersial dan kepopularan. Masyarakat yang sering didedahkan dengan segala yang senang dan mudah selamanya akan mewujudkan masyarakat yang 'simple minded' dan tidak berfikiran besar. Lantaran itu, masyarakat termasuk para penyair itu sendiri harus dicabar dengan sesuatu yang mencabar pemikiran mereka. Lalu tidak salah jika ada yang konvensional, ada futuristik, eksperimental atau metafizik serta pelbagai lagi kerana setiap satunya mempunyai peminat yang tersendiri untuk menilainya. Jika kesemua ini wujud dalam harmoni maka betapa luas dan hebatnya dunia kesusasteraan Melayu moden. Setiap karya adalah ciptaan manusia dan bukan wahyu Ilahi sudah tentunya ia tidak terlepas daripada kelemahan dan kekurangannya. Sewajarnya kelemahan dan kekurangan dibaiki secara bersama dalam memperkasakan lagi dunia sastera di Malaysia.
Penyair Noor S.I. (1957: 100-102) menyatakan keseluruhan pengertian sesebuah puisi adalah pernyataan keseluruhan perasaan hidup oleh penyairnya. Penyair bebas memilih pengertian-pengertian untuk puisi-puisinya iaitu sama ada ekspresionisme, impresionisme, simbolisme atau realisme bagi menyatakan satu-satu sifat perjuangan, masyarakat atau percintaan. Beliau turut menegaskan bahawa seseorang penyair bebas menggunakan perkataan-perkataan untuk sesuatu frasa dan menyusun dalam bentuk di dalam sajak-sajaknya. Justeru, ada ketikanya para pembaca sukar untuk menghayati maksud sesebuah puisi, ada ketikanya khalayak menemui frasa yang melanggar hukum tatabahasa. Itulah kebebasan seseorang penyair dalam membina irama dan bentuk atau mencari keharmonian untuk melahirkan perasaannya.
PUSTAKA IQBAL NAZIM © 2018

Ahad, Mac 25, 2018

DAHSYATNYA SASTERA MELAYU!


Oleh Hasyuda Abadi
hasyuda@gmail.com
SAYA yakin dengan sebuah utopia: sukarnya menjadi seorang penyair. Tentu tidak memadai apabila sudah punya beberapa buah puisi atau buku antologi puisi lalu penulis ini bergelar penyair? Penyair adalah penulis  bagi karya-karya sastera yang perkasa dan mempunyai hala tuju dalam dunia penulisan melalui genre yang dipilihnya iaitu puisi.

Penyair itu merupakan seseorang yang bukan tanpa apa-apa. Penyair memiliki sesuatu yang dirasai yang mesti ditulis. Sesuatu yang ditulis itu mesti dibaca dan sesuatu yang dibaca itu mesti ada pendengarnya waima pendengarnya itu adalah dirinya sendiri. Tidak timbul adanya penyair segera. Bagi Sasterawan Negara,  Dr. Muhammad Haji Salleh, menulislah katanya, dan 'diamkan' seketika, adalah lebih baik berbanding melahirkannya dengan tergesa-gesa. Dengan syarat selepas itu, penulis harus berani menyunting semula karyanya itu. Beliau berkata alangkah malunya ketika membaca semula karya-karya lampaunya kerana dibuat dengan tergesa-gesa.  

Mungkin sahaja ramai orang tidak tahu bahawa puisi itu bukan sekadar himpunan kata-kata yang terpilih. Sejumlah kata yang memukau pembaca sehingga dia menjadi sedih atau gembira, sehingga pembaca mengusap-usapkan dadanya kerana dia memahami atau telah mempelajari sesuatu daripada sebersit perasaan yang nilainya adalah setara.

Lebih erat lagi pengertian puisi adalah karya sastera hasil ungkapan pemikiran dan perasaan manusia yang bahasanya terikat oleh irama, matra, rima, penyusunan lirik dan bait, serta penuh dengan makna. Puisi mengutamakan bunyi, bentuk dan juga makna yang hendak disampaikan.

Suatu karya puisi yang baik memiliki makna yang mendalam, makna diungkapkan dengan memadatkan segala unsur bahasa. Bahasa pada puisi tidak sama dengan bahasa yang kita pakai sehari – hari, Puisi menggunakan bahasa yang ringkas namun penuh makna dan kata – kata yang digunakan mengandung banyak pengertian. Luasnya pengetahuan pembaca sangat penting saat membaca puisi, kerana untuk menemukan makna dalam sebuah puisi, pembaca harus membaca puisi dengan seksama dan memperhatikan banyak faktor dalam puisi tersebut.

Bagaimana puisi mendekati pembaca yang sering dikaitkan sebagai masyarakat bagi kebanyakan penulis? Sudah ada yang dilakukan sebenarnya, bukanlah tidak ada. Soalnya bukti yang jelas bagaimana puisi diterima masyarakat jarang diperkatakan. Ia bukan suatu angan-angan yang sia-sia.

Siapakah masyarakat itu? Saya, anda atau Perdana Menteri, wakil rakyat, rakyat marhaen atau yang lebih tinggi darjat dalam kalangan rakyat biasa pada perkiraan manusiawi. Pada saya, masyarakat itu mungkin sahaja jiwa kita, kemahuan kita, kehendak kita, perasaan kita dan sebagainya. Lalu, bagaimana puisi sampai kepada masyarakat ini?

Membaca puisi secara terbuka merupakan satu pilihan. Mewajibkan puisi dibaca dalam semua acara rasmi kerajaan mungkin juga salah satu daripada banyaknya pilihan.

Saya pernah bertanya, mengapa penyair menjual puisi mereka? Apakah penyair berasa puas apabila berjaya menjual puisi-puisi mereka? Mereka berpuas hati kerana harga puisi-puisi dengan nilai ringgit atau nilai yang lebih mahal daripada itu? Saya kira para penyair mempunyai nilai jawab yang tersendiri.

Dalam Kumpulan Puisi 'Menginai Badai', sebuah puisi saya bertajuk 'Harga Puisi' merungkaikan persoalan harga dan maruah sesebuah puisi. Puisi menjadi bahan jajaan di mana-mana juga apabila ramai orang memilih genre ini termasuklah para pemimpin negara. Ini dilihat secara positif memberi tangga terbaik kepada puisi dan para penyair khususnya. Paling tidak puisi telah berada di pasaran pilihan umum. Namun demikian harga puisi semakin murah kerana mudah dibaca, dibaca tidak seperti sebenarnya sesebuah puisi itu harus dilakukan. Nilai seninya hilang hingga kepada makna yang tersirat tidak begitu diutamakan. 

Tentu sahaja setiap orang yang bergelar penyair berasa bangga dan menghargai semangat yang ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin yang dimulai oleh (Tun) Dr. Mahathir Mohamad pada satu ketika. Selepas itu puisi bagai 'buah-buah yang dipetik' tanpa mengira ranum atau tidak, sesuai untuk dikunyah atau tidak, lazat atau masam menjadi tidak penting. Mereka mesti ikut slogan ini: Kepimpinan Melalui Teladan. Ketua buat, semua orang kena jadikannya sebagai perintis. Tetapi bukan idola kepenyairan kerana beliau bukan seorang penyair.Tun hanya menjadikan puisi sebagai pentas untuk menyatakan pemikiran melalui emosinya. Ia terjadi pada satu suasana ketika emosinya begitu perlu disampaikan kepada orang lain melalui medium yang lain.

Demikianlah dua Perdana Menteri selepasnya iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Panglima Najib Tun Razak. Apapun yang kita fikirkan, sebagai satu natijah positif, puisi telah begitu dihargai tanpa memilih pentasnya. Lalu kita pun menulis sesuatu untuk pemimpin kita. Di Sabah, para penulis menulis mengenai jasa-jasa Ketua Menteri Sabah, Yang Amat Berhormat Tan Sri Musa Haji Aman. Sudah tentu kita inginkan sesuatu daripada bacaan pemimpin ini. Kita menghargainya tetapi apakah beliau dan para pemimpin yang lain menghargai para penulis?

Mudah-mudahan kehebatan puisi terus mendapat tempat di hati setiap orang meskipun akhirnya bait-bait puisi itu akan disimpan di dalam almari, atau dirak-rak buku, dipamer dan dijadi hiasan perpustakaan. Ia menjadi suatu keresahan seperti tulis penyair Ammi Manja:

Dalam diam resah sendiri
Mengenang akan belakang hari
Meniti masa silih berganti
Terasingkah aku di bilik sepi

Puisi Ammi Manja berjudul 'Resah Puisi' ini merupakan salah sebuah karya terbaik yang memenangi Hadiah Sastera Sabah 2007/2008, menjelaskan tanggapan yang jujur dan benar betapa puisi boleh menjadi 'Kitab Lama', diperlukan bila tiba masanya. Ini diakui Ammi Manja:

Lalu aku diletak
Di merata rak khalayak
Tak ramai yang menyebak
Meski seringkali tampak

Inilah realitinya puisi, cetusan rahsia rasa yang bermula daripada kesunyian, terbentuknya naluri dan perasaan yang tidak mungkin mampu dibaca orang lain. Anugerah Ilahi kepada para penyair yang besar citra fikirnya dan mampu menterjemah hiruk pikuk kehidupan dari yang rumit hinggalah kepada seagung kehidupan. Daya mampu kepekaannya sering menjadi panduan bagai 'cahaya yang menembusi gelap pekat malam', bagai 'lilin yang membakar dirinya' atau bagai 'mata batin yang membuka setiap pedih kegusaran'.

Saya begitu tersentuh membaca bait-bait indah karya Ammi Manja, penyair kelahiran Beaufort ini. Puisi seperti mengumpul keperluan-keperluan yang sedang mengalir ke muara makna iaitu penghakiman yang jujur terhadap kearifan para penyair menyampaikan isu atau isi yang tersirat. Memang tidak semudah yang disangka, seperti ketika kita membuat baju untuk dipakai ramai orang. Atau membuat rumah untuk dihuni ahli keluarga. Bezanya hanyalah sejauh mana cara kita memakainya atau menghuni.

Apakah penilaian kita terhadap intipati yang ada di sebalik yang 'ada' itu. Apakah penciptanya pernah terlahir dalam mata fikir? Penanam kapas yang gigih, penenun kain yang tekun atau pereka dan penjahit pakaian yang hebat. Begitu juga pemotong kayu yang jauh di belantara sana, para pekerja kilang simen dan seterusnya pereka bangunan, para buruh yang membangunkan rumah, para pekerja yang mengurus jual beli dan sebagainya lagi. Apakah penilaian kita terhadap semua ini. Demikianlah puisi. Biarpun jurangnya tetap ada, secara roh dan materi. Sejauh mana puisi itu diperhati, selepas dibaca dan dihayati. Sesungguhnya harga puisi tetap hebat dan secara bermaruah harga puisi ialah nilai yang menjati diri di sebalik makna diksi-diksi yang diadun. Malah dunia turut mengiktiraf puisi melalui Hari Puisi Dunia yang diadakan setiap 22 Mac.

Begitulah tanggapan saya, resah puisi resah penyair tetap sama dan sebati menyatu.
Dalam perkembangan mutakhir penulisan puisi Malaysia, terdapat 16 orang penyair Sabah menyumbang khazanah puisi-puisi tanah air. Saya sering menyebutkan hal ini, pertama sama ada keberadaan karya-karya ini dibaca oleh masyarakat yang dimaksudkan. Kedua, apakah kedudukan karya-karya berkenaan memberikan impak kepenyairan yang harus diberikan penilaian terbaik. Ketiga, sudah adakah kajian dilakukan untuk menyatakan para penyair berkenaan telah berjaya mempersembahkan isu-isu masyarakat, pemikiran-pemikiran masa depan mereka sehingga pada satu tahap sewajarnya kita boleh menyebut nama penyair yang terbaik. Mungkin saja semua penulis puisi kita ini adalah yang terbaik.

Pendek kata puisi perlu dibaca, dihayati, dimaknai dengan keyakinan bahawa puisi adalah karya sastera yang dilahirkan bukan semata-mata menyukainya tetapi harus lebih daripada itu.

Bukanlah sebuah utopia yang menakutkan, puisi sesungguhnya mampu diterjemahkan dalam makna yang mandiri. Seandainya ia masih tidak difahami, itu tidak bermakna puisi merupakan utopia yang sentiasa membohongi manusia. Puisi sifatnya subjektif. Puisi bukan sesuatu yang kita nampak yang boleh dinilai melalui sentuhan. Puisi juga bukan matematik yang memberikan kita sesuatu nilai yang boleh berubah-ubah. Alangkah megahnya para penyair yang membesar dalam lingkungan keberadaan yang jelas apabila ia dibaca dalam satu slogan yang berbunyi: dahsyatnya sastera Melayu! Memang dahsyat seandainya para pengagum puisi juga bersiap untuk mempelajari bagaimana puisi diiktiraf daripada mengamatan mereka.


2018 © PUSTAKA IQBAL NAZIM

Ahad, Mac 18, 2018

PUISI DI SISI INTELEKTUALISME


DALAM kajian dan telaah kesusasteraan kreatif, puisi sebagai salah satu ciptaan sastera dikatakan terbina daripada elemen-elemen strukturnya seperti tema dan pemikiran, unsur gaya bahasa dan mesej yang dikatakan mengiringi setiap kelahiran karya. Tetapi apakah hanya itu yang ada dalam sesebuah puisi?

Persoalan ini sudah kerap dipertanyakan orang, digarap dan ditelaah oleh ramai peneliti sastera. Pelbagai jawapan sudah diberikan dan kita bahkan sudah menganggap banyak yang mempunyai persamaan atau dalam istilah sastera disebut klise. Puisi sebagai karya kesusasteraan persis enam orang buta mengandaikan seekor gajah yang diraba - - - rupa seekor gajah itu tidak ubah sebatang tiang yang besar yang melurus tinggi. Begitulah, yang cuba menyentuh belalainya menganggap gajah itu seperti seutas tali besar yang berkedut-kedut serta suka menjalar. Atau seperti analogi seekor anak burung yang baru pandai berenang malangnya terhempas ke tanah. Apabila kembali ke sarang, anak burung itu menceritakan alam yang sempit, dan dunia ini lingkungannya kecil yang kejam. Anak burung itu hampir musnah dalam satu ruang hidup yang kehilangan simpati.

Puisi sebenarnya merupakan sebuah karya kesusasteraan yang lahir daripada gembelengan seluruh tenaga yang ada:  dalam dan luaran, fakta dan renungan imaginasi dan pengalaman penyair yang menakjubkan. Lihatlah, adakah seorang penyair yang mencipta puisi sepanjang waktunya? Tentulah tidak. Dia hanya menggarap atau berkarya pada saat-saat jiwanya tersentuh, mindanya terbuka dan kreativitinya mendesak. Pada ketika itu, percayalah jiwanya meronta-ronta untuk menyatakan sesuatu yang dilihat, mungkin juga yang didengar, memberi reaksi terhadap apa yang terjadi dan kadang-kadang juga mencuba mencari jawapan serta penyelesaian kepada apa yang berlaku. Para penyair bekerja dan berjuang dengan persepsi yang jauh lebih meresap, menggunakan kata-kata juah lebih halus, yang mampu meruntun rasa pembaca  yang jauh lebih mendasar.

Demikianlah puisi yang dalam sejarah kesusasteraan dunia dikatakan sudah berusia ribuan tahun. Tradisi kesusasteraan kita pula mula menyambutnya sejak awal ke-20, dan hari ini  ia menjadi genre yang cukup penting di tengah-tengah peradaban yang getir dan sukar.  Apakah yang mendorong seseorang menghasilkan puisi?

Kecenderungan masyarakat termasuk para pemimpin kita menulis atau membaca puisi membuktikan bahawa kesenian warisan ini menjadi saluran penting pelahiran atau peluahan perasaan dan menjadi salah satu alat bagi menyatakan citra diri, menyampaikan pandangan atau kritikan, malahan mencetuskan pemikiran intelektualisme mereka terhadap isu-isu penting. Tidak perlu melangkah jauh, kita susuri sahaja puisi ‘Ke Makam Bonda’ karya Usman Awang yang padat dengan pernyataan perasaan terhadap nilai erti dan harga kasih sayang seorang ibu.

Dalam karyanya yang lain ‘Balada Terbunuhnya Beringin Tua di Pinggir Sebuah Bandar Raya’, penyair dengan amat tajam mengkritik pihak-pihak berwajib yang memusnahkan tumbuhan semulajadi dengan rakusnya di bandar raya beralaskan matlamat pembangunan. Perbuatan ini telah terjadi di mana-mana tempat di negara kita ini terutama di bandar-bandar yang sedang mengalami proses pembangunan. Begitu juga pernyataan sinis Usman terhadap umat Melayu dalam puisinya bertajuk ‘Melayu’. Namun jika kita perhatian senario terhadap beberapa insiden di negara kita yang melibatkan sesetengah orang Melayu akhir-akhir ini, apakah impak puisi tersebut apabila kita membaca kenyataan di bawah ini:

Melayu itu orang yang bijaksana

nakalnya bersulam jenaka
budi bahasanya tidak terkira
kurang ajarnya tetap santun
jika menipu pun masih bersopan
bila mengampu bijak beralas tangan.



Melayu itu berani jika bersalah
kecut takut kerana benar,
janji simpan di perut
selalu pecah di mulut,
biar mati adat
jangan mati anak.


Baha Zain pula telah menulis ‘Menangguh Kebenaran’ menyindir orang-orang kota yang gemar berdusta, hidup berpura-pura dan rendah moralnya.  Di Indonesia, W.S. Rendra misalnya, menghasilkan puisi ‘Bersatulah Pelacur Kota Jakarta’ yang menentang lantang ketidakadilan sosial yang terjadi dalam masyarakatnya. Dalam puisi-puisi siri ‘Rangkas Bintung’nya, W.S.Rendra memberontak terhadap penindasan, kekejaman dan kebobrokan pemerintah terhadap rakyat. Pengaruh puisi terhadap kehidupan masyarakat kita memang kukuh tanpa disedari.

Di Sabah kita juga mempunyai puluhan penyair yang turut menggarap hal-hal yang tidak jauh jarak pemikiran mereka dengan para penyair yang ternama di nusantara. Misalnya Ariffin Arif dalam Kumpulan Puisinya bertajuk ‘Api Laut Merah’, Ramli A.R (Di Kebun Amal), ABM Fajeer (Taufan), Jalidar Abdul Rahim (Tanah Kerinduan), Zaiton Ajamain (Bagai Layang-Layang), Jair Sulai (Sungai Hayat), Norawi Haji Kata (Akta Batin), Zubir Osman (Iltizam), Jasni Matlani (Dongeng Perkebunan), Hasyuda Abadi (Suara yang Terbuka), Ramzah Dambu (Dari Cinta kepada Cinta), Sahara Jais (Jelita Seorang Aisyah) dan puluhan lagi antologi puisi yang dicetak menjadi taman ungkapan-ungkapan para penyair menyalurkan kehadirannya mereka sebagai perakam peristiwa dan pencetus zaman mendatang. Kita wajar menelaah buku-buku yang disebutkan ini untuk melihat bagaimana pemikiran para penyair yang hidup di tengah-tengah masyarakat masing-masing dicerna dan direalisasikan.

Kita juga sering mendengar lagu-lagu melalui stesen radio atau saluran TV, memang banyak senikata lagu-lagu yang puitis sifatnya, apatah lagi lagu-lagu puisi yang didendangkan oleh M.Nasir, Zubir Ali, Ebiet G.Ade, Ramli Sarip, (yang baru sahaja memperdengar lagu ciptaanya melalui lirik tulisan ADUN Membakut, Datuk Haji Mohd Ariffin Arif sempena Mahrajan Persuratan dan Kesenian Islam ke-7) atau Kumpulan Kopratasa yang mengangkat lirik-lirik puisi penyair sepanjang zaman Jalaluddin Rumi.

Puisi-puisi menjadi lebih jauh dasar kesannya di hati kita apabila digubah menjadi lagu. Zubir Ali sebagai contoh pernah menggubah lagu  puisinya (Balada Gadis Kecil) mengenai kezaliman Zionis terhadap orang-orang Palestin. Lagu-lagu berentak rap Melayu seperti ‘Angguk-angguk Geleng-Geleng’, ‘Merdeka Minda’, ‘Kalau Melayu Memang Melayu’, ‘2 X 5’ atau ‘Dia Datang’ dalam album ‘Hari Ini dalam Sejarah’ dan album terbaru ‘Rap untuk Rakyat’ oleh Kumpulan Ahlifiqir mempunyai nilai fikir yang tersendiri terhadap nilai bangsa di tengah-tengah arus globalisasi. Tidak dilupakan juga lagu-lagu berentak zapin, joget, gurindam atau dikir barat yang memang ranum dengan olahan seni puisi warisan menerusi pantun atau syair.

Puisi sehingga kini jelas menjadi saluran yang berkesan bagi karyawannya menyampaikan buah fikiran, pendirian hidup dan perjuangan. Disebabkan puisi intim dengan pembaca dan sesuai dengan sifatnya yang khusus, kesannya jadi mendalam. Anda kajilah sejarah Perancis, bukankah pemimpin di Amerika Latin menggunakan puisi untuk menyalurkan perjuangan bangsa mereka sehingga ada penyair seumpama Pablo Neruda lahir sebagai seorang negarawan terbilang di negaranya. Berbanding negara kita, yang kaya dengan warisan seni, sarat dengan pemikiran para pejuang persuratan tetapi kegiatan persuratan hanya dimiliki oleh sekelompok manusia tertentu sahaja.  

Perubahan-perubahan sosial bahkan tamadun boleh berlaku melalui gagasan-gagasan yang disampaikan melalui puisi. Dan, tentunya juga puisi boleh menyemarakkan daya hidup dengan membakar bara hasrat dan aspirasi yang serba mempesonakan. Benar, puisi tidak memercukan bangunan KLCC atau megahnya jambatan ketiga terpanjang di dunia yang menghubungkan tanah semenanjung dengan Pulau Pinang, tetapi siapa tahu pemimpin boleh bertolak daripada sebaris puisi yang pernah dibacanya atau suatu ungkapan kecil yang pernah didengar dari mulut penyair sewaktu mereka menyampaikan amanat dalam memperjuangkan idealisme kepemimpinan kepada rakyat pimpinannya.

Bahkan seorang ayah bagi sebuah keluarga menggunakan rangkap-rangkap istimewa menerusi puisi-puisi Usman Awang, A.Samad Said, Muhammad Haji Salleh, Kemala atau Suhaimi Haj Muhammad untuk memberikan motivasi kepada anak-anaknya. Malah sepanjang ketika merayakan 50 tahun kemerdekaan negara satu ketika dahulu, puisi A.Samad Said berjudul ‘Hidup Bersama’ menjadi ungkapan pilihan tajaan sebuah syarikat kereta nasional yang disiar setiap hari di saluran TV dan di surat-surat khabar. Daripada kalangan aktivitis persuratan pula seperti PENA dengan iltizam yang tinggi menganjurkan program baca puisi setiap bulan. Ini menggambarkan bahawa puisi telah menambat pemikiran segenap lapisan masyarakat dalam kesedaran sosial mereka mencebiskan semangat kekitaan dan kesepaduan nilai patriotik sesuai dengan terbinanya negara bangsa berdaulat yang harus terus terpelihara.

2018 © PUSTAKA IQBAL NAZIM

Ahad, Mac 04, 2018

SASTERA - peranan besarnya menyatupadukan rakyat


PERSOALAN sama ada benar atau sebaliknya apabila memasyarakatkan sastera merupakan salah satu instrumen untuk menempatkan sastera dalam kehidupan mereka terus menjadi kekangan sastera lestari. Penggiat sastera mempunyai pandangan besar apabila melihat masyarakat menjadi sasaran penting terutama dalam pemasaran karya bahkan secara langsung memberitahu kepada mereka sastera itu wujud dalam kehidupan mereka. Namun hingga saat ini sastera hanya dilihat sebagai salah sebuah subjek dalam pendidikan yang diabaikan. Sastera hanyalah pilihan dan sesuatu yang sering dipinggirkan. Sastera itu dianggap hanya milik satu pihak iaitu penulis!

Sehingga ada yang berasa janggal apabila menempatkan penulis berada dalam lingkungan kumpulan bidang yang berkaitan dengan kaum atau etnik. Apabila membaca sesuatu etnik atau kaum, tumpuan kebanyakannya kepada busana tradisional, tarian, muzik dan nyanyian yang berkaitan dengan adat istiadat. Mereka berpendapat penggiat sastera tiada hubungan dengan kelompok etnik. Sebaliknya sastera pula difahami semata-mata melalui penulisan kreatif seperti novel, cerpen, puisi, pantun, gurindam dan sebagainya.

Berlaku kontradiksi antara sastera dan seni, apakah seni itu juga sastera atau sastera telah sekian lama mendominasi dalam kesenian tidak dianggap sedemikian. Atas persoalan tersebut, tulisan ini mengajak pembaca memahami konsep sastera dan seni dalam kehidupan manusia yang hidup secara bermasyarakat. Akhirnya membuktikan bahawa sastera juga mampu menjadi alat menyatupadukan rakyat. Etnik tanpa sastera yang dimilikinya adalah etnik yang tidak berkembang dan tidak mempunyai akal budi yang perlu dibanggakan.

Perkataan ‘sastera’ berasal daripada bahasa sanskrit castra yang membawa maksud kitab suci. Kesusasteraan pula membawa pengertian sebagai segala penghasilan sastera yang dinikmati atau disampaikan, baik melalui tulisan dan pembacaan mahupun melalui lisan dan pendengaran.(Harun Mat Piah et al;2006: 6). Sastera merupakan satu bidang seni kreatif yang medium pengantarnya adalah bahasa. Sastera bermula dari tradisi lisan dan semakin berkembang mengikut peredaran semasa.

Pernyataan ini disokong oleh M.K dan Ziger dan W.S jahnson (1983:2) yang mendefinisikan sastera sebagai satu seni yang menggunakan kata-kata sama ada lisan atau bertulis. Bahkan sastera juga merangkumi semua aspek yang menggunakan bahasa yang bersifat kreatif, menurut Ismail Husein (1998:23). Ini juga ditegaskan oleh Abu Bakar Hamid (1997:13) yang memberi pengertian sastera sebagai satu seni yang bercorak intelektual dan gabungan kepuasan intelek dan kepuasan estetik.

Karya-karya sastera memaparkan perutusan, amanat serta lontaran idea dan fikiran pengarangnya. Hasil karya itu mencerminkan gagasan dan daya fikir pengarangnya yang ingin dikongsi bersama pembaca. Sebuah karya itu terhasil daripada cetusan gabungan daya rasa, kepekaan dan keprihatinannya terhadap apa yang diamati dan dialami oleh masyarakat. Menurut Syed Ali Ashraf (1989:36) sastera bukan sahaja satu bentuk ilmu yang berseni tetapi ianya merangkumi segala aktiviti manusia secara kreatif.

Meneliti pandangan yang diutarakan oleh para sarjana memperlihatkan bahawa sastera ditandai dengan pelbagai ciri khusus. Justeru, tugasan ini akan membincang dan menjelaskan konsep kesusasteraan, memperihal perkembangan kesusasteraan Melayu serta fungsinya dalam masyarakat dengan contoh-contoh yang bersesuaian.

Kesusasteraan Melayu merupakan satu bidang ilmu. Ia berada segaris dengan bidang keilmuan lain sama ada sejarah, bahasa, sains, teknologi dan sebagainya. Sebagai suatu bidang ilmu Kesusasteraan Melayu akan menyingkap segenap perkara berkaitan dengan corak penciptaan karya sastera, bentuk pengucapan, sejarah perkembangan bangsa, reaksi kritis terhadap karya, dan hubungan karya sastera dengan penulis dan masyarakat. Termuat sama dalam lingkungan ilmu sastera ialah alam fikiran pengarang yang memungkinkan memberi kesan terhadap pembentukan sifat karya itu sendiri.

Sifat karya sastera pula dibentur oleh pelbagai inovasi dan faktor luaran yang menjelmakan sifat karya itu sendiri. Zaman tradisi ditandai oleh karya-karya seperti pantun, syair, seloka, nazam, gurindam dan sebagainya. Manakala dalam bentuk prosa pula ia melibatkan sastera sejarah, sastera hikayat, epik, cerita berbingkai dan lainnya. Begitu pula karya-karya yang muncul pada era pemodenan yang terdiri dari cerpen, novel, sajak dan drama. Sifat-sifat karya ini pula perlu diteliti dengan menggunakan kayu ukur yang sesuai dengan zaman dan era penghasilannya. Ia tidak harus dibuat secara sewenang-wenangnya kerana penelitian karya sastera perlu berpegang kepada objektifannya. Ia bukan penelitian berpandukan perasaan dan rasa hati.

Masyarakat Melayu dan pribumi di Malaysia kaya dengan pelbagai kesenian tradisional yang unik dan istimewa. Namun, kesemua kesenian tersebut bukan sahaja berfungsi untuk tujuan hiburan malah berperanan sebagai saluran komunikasi tradisional dalam masyarakat.  Ini termasuklah kesenian berbentuk syair, cerita rakyat dan seni rakyat yang merupakan alat komunikasi tradisional yang berbentuk lisan atau lebih dikenali sebagai sastera lisan. Pada masa yang sama, ianya turut tekenal sebagai salah satu cabang  kesusateraan melayu yang mempunyai nilai estetika yang tersendiri.

Umumnya, sastera lisan ialah hasil-hasil sastera Melayu lama yang disampaikan secara lisan iaitu dipertuturkan. Sastera lisan merupakan hasil sastera yang dimiliki oleh masyarakat Melayu dan pribumi, disebarkan dan dituturkan daripada satu generasi ke satu generasi secara lisan. Masyarakat Melayu dan pribumi yang menghasilkan sastera lisan masih bersifat tradisional, ketinggalan dari segi teknologi, masyarakat yang masih mengamalkan sistem sosial yang terikat dengan semangat kerjasama dan kolektif, masyarakat yang masih statik serta tidak banyak hubungan dengan masyarakat luar.

Sastera lisan merupakan hak milik bersama (kepunyaan) bangsa Melayu dan pribumi. Ia hidup dalam masyarakat secara lisan atau secara dituturkan. Sebab itulah sastera lisan ini tidak diketahui nama pengarang atau penulisnya. Juga tidak diketahui bilakah ia dicipta. Sebagai sastera yang tersebar secara lisan sastera banyak mengalami perubahan dan tokok-tambah serta penyesuaian. Tokok-tambah dan penyesuaian dilakukan bagi menyesuaikan cerita tersebut dengan situasi setempat. Oleh sebab itulah ahli-ahli antropologi sendiri lebih selesa menggunakan konsep  tradisi rakyat apabila mencirikan masyarakat  yang  hendak dikaji  (Norazit Selat, 1997: 1).

Menurut Anisah, (2009),  nenek moyang masyarakat Melayu dan pribumi banyak meninggalkan khazanah tradisi komunikasi yang tidak diketahui oleh generasi kini.  Sebahagian tradisi komunikasi  tersebut terpinggir apabila generasi tua meninggal dunia dan tidak ada generasi pelapis.  Khazanah komunikasi tradisi tersebut termasuklah amalan sapaan, tatacara menyampaikan maklumat, jemputan ke majlis kenduri-kendara, dan sebagainya.  Komunikasi dalam tradisi Melayu  lebih menekankan pertuturan bersemuka (interpersonal communication), yakni berkomunikasi secara dua hala.  Komunikasi berbentuk dua hala ini cepat mendapat maklumbalas dan merupakan kaedah komunikasi yang berkesan untuk menyampaikan sesuatu mesej.

Sastera terus hidup kerana adanya hubungan antara sastera dengan masyarakat. Erti kesusasteraan kepada kehidupan manusia dilihat dalam dua sudut pandangan iaitu sudut pandangan yang lama dan baharu. Ia sesuai dengan hakikat sastera itu sendiri yang berkembang dari segi bentuk, jenis dan fungsinya. Sastera berkembang mengikut perubahan zaman dan tuntutannya. Keadaan ini memberi kesan terhadap erti sastera kepada kehidupan manusia.

Mata pelajaran Kesusasteraan Melayu mula diperkenal pada tahun 1957 (Wadiosoffi Jaafar, 2017). Matlamatnya untuk membolehkan pelajar menjiwai unsur dan nilai murni dari segi kerohanian, kemanusiaan, kemasyarakatan, kebudayaan, kewarganegaraan, menanam perasaan bangga dan cinta tanah air dalam satu wawasan budaya kebangsaan yang dihasratkan tercapai. Peranan utama sastera ialah membina insaniah dalam kehidupan manusia.

Sastera adalah ilmu untuk mempelajari bagaimana kita menggunakan bahasa menjadi sesuatu yang bermakna yang tentu saja kental dengan sentuhan seni. Dari kaca mata akademik, sastera adalah ilmu pengetahuan (sains) sedangkan karya sastera itu sendiri adalah seni. Ibarat seruling, hanya bambu berlobang dengan jarak tertentu untuk menghasilkan nada yang berbeza. Nah, nada-nada teratur yang di hasilkannya, itulah seni. Intinya: ilmu sastera adalah alat untuk menghasilkan tata bahasa baik dan benar. Karya sastera itulah seninya.

Pada dasarnya, semua ilmu pengetahuan memiliki nilai seni, tergantung apa yang dihasilkan dari ilmu itu dan tidak lepas juga oleh dan dari sudut pandang ketika kita melihatnya. Sayangnya hal ini tidak menjadi terlalu penting bagi yang lebih mementingkan hiburan semata-mata. Padahal sastera membawa dunia baharu kepada pembaca dan berupaya memberi pendidikan kepada emosi dan intelek pembaca. Pendidikan yang mampu dibawa oleh sastera ialah satu pengertian lama tentang erti sastera tetapi masih relevan iaitu erti sastera kepada kehidupan manusia termasuklah sahsiah, akal budi dan permuafakatan yang amat berkesan.


Bahan Bacaan:

Ali Ahmad. (1994). Pengantar Pengajian Kesusasteraan. DBP. Kuala Lumpur.
Arba’ie Sujud. (2008). Sastera Melayu Suatu Pengantar .  Kuala Lumpur : Tinta Press Sdn Bhd.

Asmah Haji Omar. (2008). Ensiklopedia BAHASA MELAYU. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka. 

Harun Mat Piah et al.( 2006). Kesusasteraan Melayu Tradisional . Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

M.K. Danziger & W.S Johnson. (1983). Pengenalan Kritikan Sastera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Siti Hawa Hj. Salleh. (1997). Kesusasteraan Melayu Abad Kesembilan Belas. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Tentang manusia, sastera dan cengkaman teknologi oleh Wadiosoffi Jaafar. Dipetik dari laman web: https://selangorkini.my/2017/05/tentang-manusia-sastera-dan-cengkaman-teknologi/


Fungsi Sastera dalam Masyarakat oleh Mohd Radzi. Dipetik dari laman web:

2018 © Pustaka Iqbal Nazim