Ahad, Mac 25, 2018

DAHSYATNYA SASTERA MELAYU!


Oleh Hasyuda Abadi
hasyuda@gmail.com
SAYA yakin dengan sebuah utopia: sukarnya menjadi seorang penyair. Tentu tidak memadai apabila sudah punya beberapa buah puisi atau buku antologi puisi lalu penulis ini bergelar penyair? Penyair adalah penulis  bagi karya-karya sastera yang perkasa dan mempunyai hala tuju dalam dunia penulisan melalui genre yang dipilihnya iaitu puisi.

Penyair itu merupakan seseorang yang bukan tanpa apa-apa. Penyair memiliki sesuatu yang dirasai yang mesti ditulis. Sesuatu yang ditulis itu mesti dibaca dan sesuatu yang dibaca itu mesti ada pendengarnya waima pendengarnya itu adalah dirinya sendiri. Tidak timbul adanya penyair segera. Bagi Sasterawan Negara,  Dr. Muhammad Haji Salleh, menulislah katanya, dan 'diamkan' seketika, adalah lebih baik berbanding melahirkannya dengan tergesa-gesa. Dengan syarat selepas itu, penulis harus berani menyunting semula karyanya itu. Beliau berkata alangkah malunya ketika membaca semula karya-karya lampaunya kerana dibuat dengan tergesa-gesa.  

Mungkin sahaja ramai orang tidak tahu bahawa puisi itu bukan sekadar himpunan kata-kata yang terpilih. Sejumlah kata yang memukau pembaca sehingga dia menjadi sedih atau gembira, sehingga pembaca mengusap-usapkan dadanya kerana dia memahami atau telah mempelajari sesuatu daripada sebersit perasaan yang nilainya adalah setara.

Lebih erat lagi pengertian puisi adalah karya sastera hasil ungkapan pemikiran dan perasaan manusia yang bahasanya terikat oleh irama, matra, rima, penyusunan lirik dan bait, serta penuh dengan makna. Puisi mengutamakan bunyi, bentuk dan juga makna yang hendak disampaikan.

Suatu karya puisi yang baik memiliki makna yang mendalam, makna diungkapkan dengan memadatkan segala unsur bahasa. Bahasa pada puisi tidak sama dengan bahasa yang kita pakai sehari – hari, Puisi menggunakan bahasa yang ringkas namun penuh makna dan kata – kata yang digunakan mengandung banyak pengertian. Luasnya pengetahuan pembaca sangat penting saat membaca puisi, kerana untuk menemukan makna dalam sebuah puisi, pembaca harus membaca puisi dengan seksama dan memperhatikan banyak faktor dalam puisi tersebut.

Bagaimana puisi mendekati pembaca yang sering dikaitkan sebagai masyarakat bagi kebanyakan penulis? Sudah ada yang dilakukan sebenarnya, bukanlah tidak ada. Soalnya bukti yang jelas bagaimana puisi diterima masyarakat jarang diperkatakan. Ia bukan suatu angan-angan yang sia-sia.

Siapakah masyarakat itu? Saya, anda atau Perdana Menteri, wakil rakyat, rakyat marhaen atau yang lebih tinggi darjat dalam kalangan rakyat biasa pada perkiraan manusiawi. Pada saya, masyarakat itu mungkin sahaja jiwa kita, kemahuan kita, kehendak kita, perasaan kita dan sebagainya. Lalu, bagaimana puisi sampai kepada masyarakat ini?

Membaca puisi secara terbuka merupakan satu pilihan. Mewajibkan puisi dibaca dalam semua acara rasmi kerajaan mungkin juga salah satu daripada banyaknya pilihan.

Saya pernah bertanya, mengapa penyair menjual puisi mereka? Apakah penyair berasa puas apabila berjaya menjual puisi-puisi mereka? Mereka berpuas hati kerana harga puisi-puisi dengan nilai ringgit atau nilai yang lebih mahal daripada itu? Saya kira para penyair mempunyai nilai jawab yang tersendiri.

Dalam Kumpulan Puisi 'Menginai Badai', sebuah puisi saya bertajuk 'Harga Puisi' merungkaikan persoalan harga dan maruah sesebuah puisi. Puisi menjadi bahan jajaan di mana-mana juga apabila ramai orang memilih genre ini termasuklah para pemimpin negara. Ini dilihat secara positif memberi tangga terbaik kepada puisi dan para penyair khususnya. Paling tidak puisi telah berada di pasaran pilihan umum. Namun demikian harga puisi semakin murah kerana mudah dibaca, dibaca tidak seperti sebenarnya sesebuah puisi itu harus dilakukan. Nilai seninya hilang hingga kepada makna yang tersirat tidak begitu diutamakan. 

Tentu sahaja setiap orang yang bergelar penyair berasa bangga dan menghargai semangat yang ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin yang dimulai oleh (Tun) Dr. Mahathir Mohamad pada satu ketika. Selepas itu puisi bagai 'buah-buah yang dipetik' tanpa mengira ranum atau tidak, sesuai untuk dikunyah atau tidak, lazat atau masam menjadi tidak penting. Mereka mesti ikut slogan ini: Kepimpinan Melalui Teladan. Ketua buat, semua orang kena jadikannya sebagai perintis. Tetapi bukan idola kepenyairan kerana beliau bukan seorang penyair.Tun hanya menjadikan puisi sebagai pentas untuk menyatakan pemikiran melalui emosinya. Ia terjadi pada satu suasana ketika emosinya begitu perlu disampaikan kepada orang lain melalui medium yang lain.

Demikianlah dua Perdana Menteri selepasnya iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Panglima Najib Tun Razak. Apapun yang kita fikirkan, sebagai satu natijah positif, puisi telah begitu dihargai tanpa memilih pentasnya. Lalu kita pun menulis sesuatu untuk pemimpin kita. Di Sabah, para penulis menulis mengenai jasa-jasa Ketua Menteri Sabah, Yang Amat Berhormat Tan Sri Musa Haji Aman. Sudah tentu kita inginkan sesuatu daripada bacaan pemimpin ini. Kita menghargainya tetapi apakah beliau dan para pemimpin yang lain menghargai para penulis?

Mudah-mudahan kehebatan puisi terus mendapat tempat di hati setiap orang meskipun akhirnya bait-bait puisi itu akan disimpan di dalam almari, atau dirak-rak buku, dipamer dan dijadi hiasan perpustakaan. Ia menjadi suatu keresahan seperti tulis penyair Ammi Manja:

Dalam diam resah sendiri
Mengenang akan belakang hari
Meniti masa silih berganti
Terasingkah aku di bilik sepi

Puisi Ammi Manja berjudul 'Resah Puisi' ini merupakan salah sebuah karya terbaik yang memenangi Hadiah Sastera Sabah 2007/2008, menjelaskan tanggapan yang jujur dan benar betapa puisi boleh menjadi 'Kitab Lama', diperlukan bila tiba masanya. Ini diakui Ammi Manja:

Lalu aku diletak
Di merata rak khalayak
Tak ramai yang menyebak
Meski seringkali tampak

Inilah realitinya puisi, cetusan rahsia rasa yang bermula daripada kesunyian, terbentuknya naluri dan perasaan yang tidak mungkin mampu dibaca orang lain. Anugerah Ilahi kepada para penyair yang besar citra fikirnya dan mampu menterjemah hiruk pikuk kehidupan dari yang rumit hinggalah kepada seagung kehidupan. Daya mampu kepekaannya sering menjadi panduan bagai 'cahaya yang menembusi gelap pekat malam', bagai 'lilin yang membakar dirinya' atau bagai 'mata batin yang membuka setiap pedih kegusaran'.

Saya begitu tersentuh membaca bait-bait indah karya Ammi Manja, penyair kelahiran Beaufort ini. Puisi seperti mengumpul keperluan-keperluan yang sedang mengalir ke muara makna iaitu penghakiman yang jujur terhadap kearifan para penyair menyampaikan isu atau isi yang tersirat. Memang tidak semudah yang disangka, seperti ketika kita membuat baju untuk dipakai ramai orang. Atau membuat rumah untuk dihuni ahli keluarga. Bezanya hanyalah sejauh mana cara kita memakainya atau menghuni.

Apakah penilaian kita terhadap intipati yang ada di sebalik yang 'ada' itu. Apakah penciptanya pernah terlahir dalam mata fikir? Penanam kapas yang gigih, penenun kain yang tekun atau pereka dan penjahit pakaian yang hebat. Begitu juga pemotong kayu yang jauh di belantara sana, para pekerja kilang simen dan seterusnya pereka bangunan, para buruh yang membangunkan rumah, para pekerja yang mengurus jual beli dan sebagainya lagi. Apakah penilaian kita terhadap semua ini. Demikianlah puisi. Biarpun jurangnya tetap ada, secara roh dan materi. Sejauh mana puisi itu diperhati, selepas dibaca dan dihayati. Sesungguhnya harga puisi tetap hebat dan secara bermaruah harga puisi ialah nilai yang menjati diri di sebalik makna diksi-diksi yang diadun. Malah dunia turut mengiktiraf puisi melalui Hari Puisi Dunia yang diadakan setiap 22 Mac.

Begitulah tanggapan saya, resah puisi resah penyair tetap sama dan sebati menyatu.
Dalam perkembangan mutakhir penulisan puisi Malaysia, terdapat 16 orang penyair Sabah menyumbang khazanah puisi-puisi tanah air. Saya sering menyebutkan hal ini, pertama sama ada keberadaan karya-karya ini dibaca oleh masyarakat yang dimaksudkan. Kedua, apakah kedudukan karya-karya berkenaan memberikan impak kepenyairan yang harus diberikan penilaian terbaik. Ketiga, sudah adakah kajian dilakukan untuk menyatakan para penyair berkenaan telah berjaya mempersembahkan isu-isu masyarakat, pemikiran-pemikiran masa depan mereka sehingga pada satu tahap sewajarnya kita boleh menyebut nama penyair yang terbaik. Mungkin saja semua penulis puisi kita ini adalah yang terbaik.

Pendek kata puisi perlu dibaca, dihayati, dimaknai dengan keyakinan bahawa puisi adalah karya sastera yang dilahirkan bukan semata-mata menyukainya tetapi harus lebih daripada itu.

Bukanlah sebuah utopia yang menakutkan, puisi sesungguhnya mampu diterjemahkan dalam makna yang mandiri. Seandainya ia masih tidak difahami, itu tidak bermakna puisi merupakan utopia yang sentiasa membohongi manusia. Puisi sifatnya subjektif. Puisi bukan sesuatu yang kita nampak yang boleh dinilai melalui sentuhan. Puisi juga bukan matematik yang memberikan kita sesuatu nilai yang boleh berubah-ubah. Alangkah megahnya para penyair yang membesar dalam lingkungan keberadaan yang jelas apabila ia dibaca dalam satu slogan yang berbunyi: dahsyatnya sastera Melayu! Memang dahsyat seandainya para pengagum puisi juga bersiap untuk mempelajari bagaimana puisi diiktiraf daripada mengamatan mereka.


2018 © PUSTAKA IQBAL NAZIM

Tiada ulasan: