Ahad, Mac 18, 2018

PUISI DI SISI INTELEKTUALISME


DALAM kajian dan telaah kesusasteraan kreatif, puisi sebagai salah satu ciptaan sastera dikatakan terbina daripada elemen-elemen strukturnya seperti tema dan pemikiran, unsur gaya bahasa dan mesej yang dikatakan mengiringi setiap kelahiran karya. Tetapi apakah hanya itu yang ada dalam sesebuah puisi?

Persoalan ini sudah kerap dipertanyakan orang, digarap dan ditelaah oleh ramai peneliti sastera. Pelbagai jawapan sudah diberikan dan kita bahkan sudah menganggap banyak yang mempunyai persamaan atau dalam istilah sastera disebut klise. Puisi sebagai karya kesusasteraan persis enam orang buta mengandaikan seekor gajah yang diraba - - - rupa seekor gajah itu tidak ubah sebatang tiang yang besar yang melurus tinggi. Begitulah, yang cuba menyentuh belalainya menganggap gajah itu seperti seutas tali besar yang berkedut-kedut serta suka menjalar. Atau seperti analogi seekor anak burung yang baru pandai berenang malangnya terhempas ke tanah. Apabila kembali ke sarang, anak burung itu menceritakan alam yang sempit, dan dunia ini lingkungannya kecil yang kejam. Anak burung itu hampir musnah dalam satu ruang hidup yang kehilangan simpati.

Puisi sebenarnya merupakan sebuah karya kesusasteraan yang lahir daripada gembelengan seluruh tenaga yang ada:  dalam dan luaran, fakta dan renungan imaginasi dan pengalaman penyair yang menakjubkan. Lihatlah, adakah seorang penyair yang mencipta puisi sepanjang waktunya? Tentulah tidak. Dia hanya menggarap atau berkarya pada saat-saat jiwanya tersentuh, mindanya terbuka dan kreativitinya mendesak. Pada ketika itu, percayalah jiwanya meronta-ronta untuk menyatakan sesuatu yang dilihat, mungkin juga yang didengar, memberi reaksi terhadap apa yang terjadi dan kadang-kadang juga mencuba mencari jawapan serta penyelesaian kepada apa yang berlaku. Para penyair bekerja dan berjuang dengan persepsi yang jauh lebih meresap, menggunakan kata-kata juah lebih halus, yang mampu meruntun rasa pembaca  yang jauh lebih mendasar.

Demikianlah puisi yang dalam sejarah kesusasteraan dunia dikatakan sudah berusia ribuan tahun. Tradisi kesusasteraan kita pula mula menyambutnya sejak awal ke-20, dan hari ini  ia menjadi genre yang cukup penting di tengah-tengah peradaban yang getir dan sukar.  Apakah yang mendorong seseorang menghasilkan puisi?

Kecenderungan masyarakat termasuk para pemimpin kita menulis atau membaca puisi membuktikan bahawa kesenian warisan ini menjadi saluran penting pelahiran atau peluahan perasaan dan menjadi salah satu alat bagi menyatakan citra diri, menyampaikan pandangan atau kritikan, malahan mencetuskan pemikiran intelektualisme mereka terhadap isu-isu penting. Tidak perlu melangkah jauh, kita susuri sahaja puisi ‘Ke Makam Bonda’ karya Usman Awang yang padat dengan pernyataan perasaan terhadap nilai erti dan harga kasih sayang seorang ibu.

Dalam karyanya yang lain ‘Balada Terbunuhnya Beringin Tua di Pinggir Sebuah Bandar Raya’, penyair dengan amat tajam mengkritik pihak-pihak berwajib yang memusnahkan tumbuhan semulajadi dengan rakusnya di bandar raya beralaskan matlamat pembangunan. Perbuatan ini telah terjadi di mana-mana tempat di negara kita ini terutama di bandar-bandar yang sedang mengalami proses pembangunan. Begitu juga pernyataan sinis Usman terhadap umat Melayu dalam puisinya bertajuk ‘Melayu’. Namun jika kita perhatian senario terhadap beberapa insiden di negara kita yang melibatkan sesetengah orang Melayu akhir-akhir ini, apakah impak puisi tersebut apabila kita membaca kenyataan di bawah ini:

Melayu itu orang yang bijaksana

nakalnya bersulam jenaka
budi bahasanya tidak terkira
kurang ajarnya tetap santun
jika menipu pun masih bersopan
bila mengampu bijak beralas tangan.



Melayu itu berani jika bersalah
kecut takut kerana benar,
janji simpan di perut
selalu pecah di mulut,
biar mati adat
jangan mati anak.


Baha Zain pula telah menulis ‘Menangguh Kebenaran’ menyindir orang-orang kota yang gemar berdusta, hidup berpura-pura dan rendah moralnya.  Di Indonesia, W.S. Rendra misalnya, menghasilkan puisi ‘Bersatulah Pelacur Kota Jakarta’ yang menentang lantang ketidakadilan sosial yang terjadi dalam masyarakatnya. Dalam puisi-puisi siri ‘Rangkas Bintung’nya, W.S.Rendra memberontak terhadap penindasan, kekejaman dan kebobrokan pemerintah terhadap rakyat. Pengaruh puisi terhadap kehidupan masyarakat kita memang kukuh tanpa disedari.

Di Sabah kita juga mempunyai puluhan penyair yang turut menggarap hal-hal yang tidak jauh jarak pemikiran mereka dengan para penyair yang ternama di nusantara. Misalnya Ariffin Arif dalam Kumpulan Puisinya bertajuk ‘Api Laut Merah’, Ramli A.R (Di Kebun Amal), ABM Fajeer (Taufan), Jalidar Abdul Rahim (Tanah Kerinduan), Zaiton Ajamain (Bagai Layang-Layang), Jair Sulai (Sungai Hayat), Norawi Haji Kata (Akta Batin), Zubir Osman (Iltizam), Jasni Matlani (Dongeng Perkebunan), Hasyuda Abadi (Suara yang Terbuka), Ramzah Dambu (Dari Cinta kepada Cinta), Sahara Jais (Jelita Seorang Aisyah) dan puluhan lagi antologi puisi yang dicetak menjadi taman ungkapan-ungkapan para penyair menyalurkan kehadirannya mereka sebagai perakam peristiwa dan pencetus zaman mendatang. Kita wajar menelaah buku-buku yang disebutkan ini untuk melihat bagaimana pemikiran para penyair yang hidup di tengah-tengah masyarakat masing-masing dicerna dan direalisasikan.

Kita juga sering mendengar lagu-lagu melalui stesen radio atau saluran TV, memang banyak senikata lagu-lagu yang puitis sifatnya, apatah lagi lagu-lagu puisi yang didendangkan oleh M.Nasir, Zubir Ali, Ebiet G.Ade, Ramli Sarip, (yang baru sahaja memperdengar lagu ciptaanya melalui lirik tulisan ADUN Membakut, Datuk Haji Mohd Ariffin Arif sempena Mahrajan Persuratan dan Kesenian Islam ke-7) atau Kumpulan Kopratasa yang mengangkat lirik-lirik puisi penyair sepanjang zaman Jalaluddin Rumi.

Puisi-puisi menjadi lebih jauh dasar kesannya di hati kita apabila digubah menjadi lagu. Zubir Ali sebagai contoh pernah menggubah lagu  puisinya (Balada Gadis Kecil) mengenai kezaliman Zionis terhadap orang-orang Palestin. Lagu-lagu berentak rap Melayu seperti ‘Angguk-angguk Geleng-Geleng’, ‘Merdeka Minda’, ‘Kalau Melayu Memang Melayu’, ‘2 X 5’ atau ‘Dia Datang’ dalam album ‘Hari Ini dalam Sejarah’ dan album terbaru ‘Rap untuk Rakyat’ oleh Kumpulan Ahlifiqir mempunyai nilai fikir yang tersendiri terhadap nilai bangsa di tengah-tengah arus globalisasi. Tidak dilupakan juga lagu-lagu berentak zapin, joget, gurindam atau dikir barat yang memang ranum dengan olahan seni puisi warisan menerusi pantun atau syair.

Puisi sehingga kini jelas menjadi saluran yang berkesan bagi karyawannya menyampaikan buah fikiran, pendirian hidup dan perjuangan. Disebabkan puisi intim dengan pembaca dan sesuai dengan sifatnya yang khusus, kesannya jadi mendalam. Anda kajilah sejarah Perancis, bukankah pemimpin di Amerika Latin menggunakan puisi untuk menyalurkan perjuangan bangsa mereka sehingga ada penyair seumpama Pablo Neruda lahir sebagai seorang negarawan terbilang di negaranya. Berbanding negara kita, yang kaya dengan warisan seni, sarat dengan pemikiran para pejuang persuratan tetapi kegiatan persuratan hanya dimiliki oleh sekelompok manusia tertentu sahaja.  

Perubahan-perubahan sosial bahkan tamadun boleh berlaku melalui gagasan-gagasan yang disampaikan melalui puisi. Dan, tentunya juga puisi boleh menyemarakkan daya hidup dengan membakar bara hasrat dan aspirasi yang serba mempesonakan. Benar, puisi tidak memercukan bangunan KLCC atau megahnya jambatan ketiga terpanjang di dunia yang menghubungkan tanah semenanjung dengan Pulau Pinang, tetapi siapa tahu pemimpin boleh bertolak daripada sebaris puisi yang pernah dibacanya atau suatu ungkapan kecil yang pernah didengar dari mulut penyair sewaktu mereka menyampaikan amanat dalam memperjuangkan idealisme kepemimpinan kepada rakyat pimpinannya.

Bahkan seorang ayah bagi sebuah keluarga menggunakan rangkap-rangkap istimewa menerusi puisi-puisi Usman Awang, A.Samad Said, Muhammad Haji Salleh, Kemala atau Suhaimi Haj Muhammad untuk memberikan motivasi kepada anak-anaknya. Malah sepanjang ketika merayakan 50 tahun kemerdekaan negara satu ketika dahulu, puisi A.Samad Said berjudul ‘Hidup Bersama’ menjadi ungkapan pilihan tajaan sebuah syarikat kereta nasional yang disiar setiap hari di saluran TV dan di surat-surat khabar. Daripada kalangan aktivitis persuratan pula seperti PENA dengan iltizam yang tinggi menganjurkan program baca puisi setiap bulan. Ini menggambarkan bahawa puisi telah menambat pemikiran segenap lapisan masyarakat dalam kesedaran sosial mereka mencebiskan semangat kekitaan dan kesepaduan nilai patriotik sesuai dengan terbinanya negara bangsa berdaulat yang harus terus terpelihara.

2018 © PUSTAKA IQBAL NAZIM

Tiada ulasan: