Sabtu, Mac 31, 2018

Menulis puisi perlukan kebebasan



Oleh Hasyuda Abadihasyuda@gmail.com

DATUK JASNI MATLANI berkata kepada saya, agak sukar kita mencari nama-nama penyair selepas Mabulmaddin Shaiddin. Ini pernah dikatakannya hampir satu dekad dan baru-baru ini beliau mengulanginya. Saya ingin mencari puncanya. Apakah setelah Mabulmaddin, telah tamat percubaan-percubaan para penyair seangkatan dan baharu mengungkapkan puisi sebagai bentuk yang menjadi miliknya? Sebenarnya belum ada yang menandingi kekuatan kepenyairan Mabulmaddin dari segi bentuk, ungkapan, pendekatan dan pada saya ialah keberaniannya mengekalkan bentuk puisinya secara konsisten Saya tidak fikir Mabulmaddin bereksperimen. Saya percaya itulah bentuk puisinya yang natural dan asli.
Tidak bererti penyair lain tidak baik, bukan bermakna puisi-puisi mereka patut diketepikan. Masih ramai yang berpeluang tetapi saya tidak berhasrat menyebut satu persatu nama-nama yang ada dalam pemerhatian kami. Apa yang perlu dikatakan ialah menulis puisi amat memerlukan kebebasan. Kebebasan beramanat, kebebasan berdiksi, kebebasan memperbaharui gaya bahasa dan kebebasan memilih ruang atau mediumnya berpuisi.   
Mabulmaddin Hj Shaiddin
Suhaimi Haji Muhammad, seorang penyair surealis pernah menyatakan bahawa karya-karya realisme bukan hasil seni. Kenyataan ini kita fikir kurang disenangi ramai penggiat sastera namun sebagai penyair yang berpegang teguh terhadap kepercayaan dan prinsip kepengarangan dan kepenyairan, karya-karyanya sentiasa menyediakan hidangan sastera yang luar biasa. Tumpuan Allahyarham Suhaimi bagaimana pun berubah apabila berhijrah kepada dunia mistik bermula pada tahun 80-an. Rata-rata khalayak sastera di Malaysia lebih menyenangi puisi yang mudah dan jelas untuk ditanggapi maknanya berbanding dengan puisi-puisi surealis, atau lazimnya disebut puisi-puisi eksperimen yang memerlukan daya penghayatan yang lebih tinggi dan mendalam. Hal ini bukan sahaja berlaku dalam genre puisi malah kepada keseluruhan genre sastera yang lainnya. Karya-karya picisan yang bersifat 'simple', tidak memerlukan daya penghayatan yang tinggi serta menghiburkan sering mendapat tempat dalam kalangan audiensnya. Realitinya, banyak karya ekperimen tidak sampai ke mana-mana. Hal ini disebabkan puisi-puisi seumpama ini memerlukan kesabaran malah untuk menikmati, menghayati dan menilainya memerlukan pengetahuan serta menguasai pendekatan kesusasteraan yang mutakhir.
Pendapat ini disokong oleh Sahlan Mohd. Saman (1995: 110) yang menyatakan khalayak akan lebih menyenangi puisi yang mengharmonikan perihal-perihal yang dideretkan itu. Hanya setelah proses 'menyenangi' itu wujud, proses seterusnya mendapatkan kesan iktibar barulah dapat dirasakan hasil daripada keseluruhan kesan katarsis karya. Hal ini turut ditambah apabila keterasingan definisi mengenai bahasa puisi eksperimen yang tidak popular dan sering dipersoalkan oleh khalayak sastera dicengkam oleh mitos bahasa yang secara psikologinya dibudayakan dan dijadikan amalan oleh sekelompok penyair 'establishment'. Suatu tanggapan mengenai struktur, penguasaan dan fungsi bahasa dijadikan kayu ukur yang seolah-olah muktamad dan mendasari semua aspek penganalisisan, kritikan atau justifikasi semua genre puisi sama ada eksperimen atau non-eksperimen.
Penolakan ini turut ditambah apabila pengkritik sastera secara umumnya turut cenderung menghukum puisi-puisi yang terkeluar daripada landasan bahasa monolitik, contohnya bahasa abstrak, bahasa kelam kabut yang tidak mengikut hukum tatabahasa melalui pemboikotan atau kritikan melampau terhadap puisi-puisi eksperimen tanpa menyedari bahawa puisi itu bukan permainan bahasa semata. Puisi sebegini dianggap tidak mempunyai nilai puisi yang tinggi. Dalam banyak hal, sikap segelintir pengkritik sastera inilah menyebabkan munculnya anggapan bahawa angkatan puisi kabur atau pelopor awal puisi eksperimen Malaysia sebagai 'gila' kerana menghasilkan puisi yang tidak ketahuan maknanya (Lihat Mohamad Mokhtar Hassan,1995: 24-25).
Penerimaan yang 'sepi' terhadap puisi-puisi eksperimen disebabkan kebanyakan khalayak sastera masih lagi belum mencapai tahap pemikiran intelektual yang tinggi untuk mengapresiasi puisi-puisi yang membawa makna yang dalam untuk direnungkan. Mungkin peminat yang ternyata kecil bilangannya adalah dalam kalangan pengarang, pengkritik sastera atau pelajar-pelajar universiti yang menceburkan diri dalam bidang sastera tetapi tidak kepada masyarakat keseluruhan terutama pelajar-pelajar sekolah yang lebih menggemari bahan bacaan yang mudah dan menghiburkan. Bagaimana hendak terhibur kerana untuk memahami maksudnya sendiri tidak terungkap sedangkan generasi muda inilah yang seharusnya memperkasakan lagi dunia sastera Melayu.
Beberapa kritikan terhadap puisi eksperimen turut mengheretnya dengan secara tidak langsung ke dalam arus kemelut dunia sastera Malaysia. Apabila timbulnya isu untuk memasyarakatkan sastera, maka isu ini diimplementasikan untuk mengkritik dan menuding jari kepada puisi-puisi ini sebagai pesalah utama kerana dikatakan menjauhkan masyarakat daripada sastera. Pengkritikan terhadap apa sekalipun jika tujuan dan niatnya adalah untuk mencari kesalahan, meruntuhkan atau menegatifkannya maka yang dilihat semuanya keburukan dan kelemahannya. Maka segala nilai baik dan manfaat yang dicernakan dan dikongsi bersama itu akan musnah oleh sikap prejudis sesetengah pengkritik sastera. Setiap hasil kesenian tidaklah harus terikat kepada kehendak segolongan masyarakat biarpun ia adalah majoriti dalam komuniti itu. Kesenian itu mempunyai sifat yang infiniti (tidak terbatas) dan baru (sentiasa berlaku perubahan). Ia tidak perlu terikat atau terkongkong lantaran untuk memenuhi kesinambungan lalu dan mungkin memerlukan bimbingan dan kawalan tetapi bukan peruntuhan.
Kerelevanan puisi-puisi eksperimen yang hadir dalam jagat kesusasteraan Melayu moden harus dilihat daripada pelbagai aspek. Eksperimen dalam karya sastera dilihat sebagai hasil pengucapan seniman yang kreatif dan imaginatif. Hakikat daripada kekreatifan dan keimaginatifan inilah timbulnya kebebasan serta keluasan ruang pendayagunaan bahasa dan bentuk seseorang penyair. Tambahan pula pengarang sentiasa dituntut menjadi pengukir dan pembaharu bahasa. Lanjutan daripada hakikat tersebut pula keinginan pengarang untuk mencapai konsep 'poetic licence' atau kebebasan penyair.
Selanjutnya dunia sastera moden lebih jelas pula dihubungkan dengan ciri-ciri kebebasan dan individualistik. Justeru pengarang akan berusaha lari daripada konvensi, bereksperimen dengan cara menyimpang atau menentang bentuk dan ikatan lama. Pada umumnya, puisi eksperimen tidak mengikat kaedah, bentuk dan nilai kepuisiannya kepada suatu acuan 'standard' sebagaimana pembakuan bahasa yang melibatkan ketetapan ejaan, suku kata, artikulasi, sintaksis dan sebagainya. Proses penghasilannya adalah suatu proses yang mengarah kepada kemungkinan-kemungkinan terhadap bentuk dan teknik penyampaian yang tidak terhad. Ia selalunya terasing, melencong, teralih, terhanyut di luar konvensi bahasa puisi atau tradisi puisi 'establishment'. Dalam erti kata lain, entitinya adalah entiti 'avant-garde' yang seiiring dengan aspek-aspek karya kreatif yang lain seperti seni bina, seni lukis, seni tari, seni muzik dan sebagainya.
Puisi-puisi eksperimen yang muncul dalam dunia sastera Malaysia dapat memberikan banyak alternatif kepada masyarakat untuk memilih dan menggemarinya. Signifikannya, masyarakat akan didedahkan dengan kepelbagaian dan keragaman yang mencetuskan kecerdasan dan seterusnya mengembangkan minda masyarakat tersebut dengan cara mempelbagaikan pendekatan dan kesannya kebijaksanaan khalayak dicetuskan dengan berkesan. Premis susah-senang di dalam kesusasteraan bukanlah sesuatu yang baru malah ada teori yang menyatakan semakin sastera itu sukar dan ambiguiti sifatnya, semakin ia kaya dan berhasil (William Empson, 1973: 48).
Kesenian harus bebas dan telus. Bukan sekadar mementingkan komersial dan kepopularan. Masyarakat yang sering didedahkan dengan segala yang senang dan mudah selamanya akan mewujudkan masyarakat yang 'simple minded' dan tidak berfikiran besar. Lantaran itu, masyarakat termasuk para penyair itu sendiri harus dicabar dengan sesuatu yang mencabar pemikiran mereka. Lalu tidak salah jika ada yang konvensional, ada futuristik, eksperimental atau metafizik serta pelbagai lagi kerana setiap satunya mempunyai peminat yang tersendiri untuk menilainya. Jika kesemua ini wujud dalam harmoni maka betapa luas dan hebatnya dunia kesusasteraan Melayu moden. Setiap karya adalah ciptaan manusia dan bukan wahyu Ilahi sudah tentunya ia tidak terlepas daripada kelemahan dan kekurangannya. Sewajarnya kelemahan dan kekurangan dibaiki secara bersama dalam memperkasakan lagi dunia sastera di Malaysia.
Penyair Noor S.I. (1957: 100-102) menyatakan keseluruhan pengertian sesebuah puisi adalah pernyataan keseluruhan perasaan hidup oleh penyairnya. Penyair bebas memilih pengertian-pengertian untuk puisi-puisinya iaitu sama ada ekspresionisme, impresionisme, simbolisme atau realisme bagi menyatakan satu-satu sifat perjuangan, masyarakat atau percintaan. Beliau turut menegaskan bahawa seseorang penyair bebas menggunakan perkataan-perkataan untuk sesuatu frasa dan menyusun dalam bentuk di dalam sajak-sajaknya. Justeru, ada ketikanya para pembaca sukar untuk menghayati maksud sesebuah puisi, ada ketikanya khalayak menemui frasa yang melanggar hukum tatabahasa. Itulah kebebasan seseorang penyair dalam membina irama dan bentuk atau mencari keharmonian untuk melahirkan perasaannya.
PUSTAKA IQBAL NAZIM © 2018

Tiada ulasan: