Isnin, April 09, 2018

PERSPEKTIF MENGILMUI SASTERA


Oleh Hasyuda Abadi

TANPA terpaksa, penulis kreatif juga perlu mengilmui sastera dengan tekun. Tidak tepat seandainya tumpuan pembelajaran hanya semata-mata dalam kalangan pelajar sastera atau pembaca sastera. Pembelajaran sastera adalah pembelajaran apresiasi. Menurut Efendi (1998), 'Apresiasi adalah kegiatan mengakrabi karya sastera secara bersungguh-sungguh. Di dalam mengakrabi tersebut terjadi proses pengenalan, pemahaman, penghayatan, penikmatan, dan setelah itu penerapan.' Pengenalan terhadap karya sastera dapat dilakukan melalui membaca, mendengar, dan menonton. Hal itu tentu dilakukan secara bersungguh-sungguh. Kesungguhan dalam kegiatan tersebut akan bermuara kepada pengenalan secara bertahap dan akhirnya sampai ke tingkat pemahaman.

Pemahaman terhadap karya sastera yang dibaca, didengar, atau ditonton akan menghantar ke tingkat penghayatan. Indikator yang dapat dilihat setelah menghayati karya sastera adalah jika bacaan, dengaran, atau tontonan sedih ia akan ikut sedih, jika gembira ia ikut gembira, begitu seterusnya. Hal itu terjadi seolah-olah ia melihat, mendengar, dan merasakan dari yang dibacanya. Ia benar-benar terlibat dengan karya sastera yang digeluti atau diakrabinya.

Setelah menghayati karya sastera, lantas masuk ke wilayah penikmatan. Pada fasa ini ia telah mampu merasakan secara mendalam berbagai keindahan yang didapatkannya di dalam karya sastera. Perasaan itu akan membantunya menemukan nilai-nilai tentang manusia dan kemanusiaan, tentang hidup dan kehidupan yang diungkapkan di dalam karya itu. Menurut Rusyiana (1984:322), 'kemampuan mengalami pengalaman pengarang yang tertuang di dalam karyanya dapat menimbulkan rasa nikmat pada pembaca.' Seterusnya dikatakan, 'Kenikmatan itu timbul kerana: pertama, merasa berhasil dalam menerima pengalaman orang lain; kedua, bertambah pengalaman sehingga dapat menghadapi kehidupan lebih baik;  dan ketiga, menikmati sesuatu demi sesuatu itu sendiri, iaitu kenikmatan estetika.'

Fasa terakhir dalam pembelajaran sastera adalan penerapan. Penerapan merupakan hujung daripada merasakan kenikmatan pengalaman pengarang melalui karyanya, adalah mencuba menerapkan nilai-nilai yang ia hayati dalam kehidupan sehari-hari. Penerapan itu akan mempengaruhi perubahan perilaku, memperkaya pengalaman dan pengetahuan. Maka tidak ada kata tidak sebenarnya untuk belajar bersastera; kalau tidak dapat dikatakan bahawa belajar sastera itu hukumnya wajib.

Menurut Sumardjo dan Saini (1986:13), 'Ada tiga hal yang membezakan karya sastera dengan karya-karya tulis lain yang bukan sastera, iaitu sifat khayali (fictionality), adanya nilai-nilai seni (aesthetic values), dan adanya cara penggunaan bahasa yang khas (special use of  language)."

Sifat khayali karya sastera merupakan akibat daripada kenyataan bahawa sastera dicipta dengan daya khayal. Walaupun sastera hendak berbicara tentang kenyataan dan masalah kehidupan yang nyata, karya sastera terlebih dahulu menciptakan dunia khayali sebagai latar belakang tempat kenyataan-kenyataan dan masalah-masalah itu dapat direnungkan dan dihayati oleh pembaca. Melalui dunia khayal itu pembaca dapat menghayati kenyataan-kenyataan dan masalah-masalah di dalam bentuk kongkritnya, dan yang tersentuh oleh masalah-masalah itu bukan hanya fikirannya saja, akan tetapi juga perasaan dan khayalannya. Dengan demikian pembaca dapat menjawab kenyataan atau masalah dengan seluruh keperibadiannya. Respon seperti itu berbeza dengan yang diberikan pembaca kepada karya-karya yang bukan sastera seperti karya ilmiah atau filsafat.

Adanya nilai-nilai seni (eastetic) bukan saja merupakan syarat yang membezakan karya sastera daripada yang bukan sastera. Melalui nilai-nilai seni itu sasterawan dapat mengungkapkan isi hatinya dengan sejelas-jelasnya dan sedalam-dalamnya. Nilai-nilai seni itu adalah keutuhan (unity) atau kesatuan dalam keragaman (unity in variety), keseimbangan (balance), keselarasan (harmony), dan aksi yang tepat (right  emphasis).

Penggunaan bahasa secara khusus sangat jelas kelihatan pada karya-karya puisi. Walaupun begitu, sebenarnya di dalam novel dan naskah lakon pun penggunaan bahasa seperti itu dilakukan oleh para sasterawan dengan sedar dan saksama. Para sasterawan berusaha agar melalui pengolahan terhadap bahasa akan meningkatkan daya ungkap dan sekaligus keindahan bahasa itu. Baris bait dalam puisi bukan saja diusahakan agar dapat mengungkapkan fikiran dan perasaan penyairnya, tetapi menjadi daya tarik pula melalui keindahan rima dan bunyinya. Bahasa dalam sebuah novel diolah begitu rupa, sehingga dengan beberapa kalimat saja sasterawan dapat menggambarkan dengan jelas dan menarik suatu peristiwa.

Demikian pula halnya dalam bahasa naskah lakon. Ucapan seorang tokoh yang zahirnya sederhana dan alamiah kalau diperiksa dengan saksama ternyata berbeza  dengan ucapan seseorang dalam kehidupan sehari-hari. Ucapan tokoh dalam naskah lakon sekaligus mengungkapkan fikiran dan perasaan tokoh itu dan suasana serta keadaan di mana tokoh itu berada.

Secara teknikal, yang disebut sastera adalah apa saja yang diucapkan dan ditulis dengan logika tersendiri. Terkait dengan definisi tersebut kemudian muncul istilah sastera lisan dan sastera tulis. Sebagai produk kebudayaan, sastera memiliki kekuatan tertentu bagi pendengar dan pembacanya, antara lain menghibur, memotivasi semangat hidup, memperluas cakerawala berfikir dan memuliakan nilai-nilai kemanusiaan. Dan dalam praktiknya, karya sastera dapat dibahagi menjadi tiga  genre: (1) prosa fiksyen (2) puisi (3) naskah drama dan lakon. Bentuk-bentuk ini memiliki ciri-ciri tersendiri. Semuanya merupakan bentuk seni sastera, dan masing-masing memiliki bentuk-bentuk dalaman yang menyentuh mengenai struktur dan gaya yang konstruktif.

Mungkin tidak berlebihan jika saya kemudian mengatakan bahawa belajar bersastera adalah merupakan satu hal yang teramat bijak untuk dilakukan. Menulis kemudian membekali diri dengan lebih banyak ilmu pengetahuan bahasa dan sastera, lantas menjadikan segala bakat, segala kreativiti yang dimiliki akan lebih bernilai.

Jujur, menurut saya secara peribadi; sebenarnya tidak ada pendekatan atau saranan    terbaik yang dapat digunakan untuk menulis sebuah karya sastera. Setiap orang memiliki cara tersendiri, gaya dan pengalaman sendiri-sendiri dan kekuatan tertentu dalam mengekspresikan kadar estetika simbolik yang dimilikinya. Sesuai dengan kebolehan yang dimilikinya pula. Sementara apa yang saya kemukakan di atas anggaplah hanya semacam pengantar, dan bukan sebuah teori, 'tips' atau pendekatan  untuk menulis atau menjadi seorang penulis yang baik.

Saya optimis, selama manusia masih mencintai kehidupan dan ingin memahami kehidupan secara lebih baik, ia tidak akan segan-segan membaca dan belajar daripada banyak pengalaman orang lain. Pengalaman yang dimiliki orang lain terkadang lebih berwarna daripada kehidupannya sendiri. Sastera sebagai salah satu bentuk karya rekaan telah menyediakan keperluan itu. Oleh kerana itu saya percaya, sastera dan sasterawan akan tetap muncul di tengah kehidupan manusia kerana masih akan ada manusia yang memerlukan keberadaannya. Melalui karya sastera, manusia akan lebih membaca dan memahami eksistensi dirinya.

Pada akhirnya, hidup adalah pertaruhan. Maka kita harus berani memilih dan tegas mengambil tindakan. Profesi apakah yang sebenarnya anda inginkan. Apakah anda lebih mencintai menulis daripada segala kesenangan-kesenangan anda yang lain? Jika jawapannya ya, maka menulislah tanpa henti. Percayalah, setiap usaha yang baik pasti bakal menuai hasil yang terbaik. Insya-Allah.

PUSTAKA IQBAL NAZIM © 2018

Tiada ulasan: