Sabtu, April 21, 2018

FESTIVAL PENULIS SABAH SEBAGAI HARI BESAR PENULIS SABAH


HASYUDA ABADI
hasyuda @gmail.com
FESTIVAL Penulis Sabah (FPS) kali ke-7, 2018 diawali dengan program ‘Puisi Adalah…’ yang diadakan di Rumah Puisi Hasyuda Abadi (RupHA) pada 7 April yang lalu. Program ini mempertemukan sejumlah penulis Sabah berkongsi kreatif dalam penghasilan karya sastera baik cerpen, novel mahupun puisi. Pelancaran rasmi FPS telah berlangsung pada 19 April di Sekolah Menengah Kebangsaan Putatan. Di majlis ini juga diadakan penyampaian hadiah Sayembara Menulis Puisi dan Cerpen anjuran bersama YADIM-BAHASA-DAILY EXPRESS 2017 dan sesi interaksi bersama penulis Sabah. Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Haji Mohd Ariffin Mohd Arif telah menyempurnakan majlis perasmian ini.

Presiden Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA), Datuk Jasni Matlani, telah menggaris panjang dalam perkongsiannya bagaimana usahanya memperjuangkan gerakan sastera terus berlangsung dalam keadaan yang cukup luar biasa. Dengan keazaman yang kuat, kesatuan minat serta iltizam dalam kalangan keluarga penulis khususnya ahli-ahli BAHASA, FPS terus digemilangkan. Walaupun dalam kesederhaannya namun skop pengisian FPS tetap diisi dengan acara-acara yang amat dominan dengan keperluan sebuah program sastera bertaraf Nusantara.

Sebagai sasterawan unggul di Sabah, Datuk Jasni Matlani mempunyai pandangan yang jauh bagaimana para penulis negeri ini harus meletakkan kewibawaan mereka melestarikan persuratan pada aras yang lebih tinggi. Maksudnya ialah perkembangan susastera kita tidak hanya pada takat negeri atau nasional tetapi ke arah antarabangsa.Kita mahu ketika seorang sasterawan pergi, lahir puluhan bahkan ratusan sasterawan muda. Pembinaan penulis harus terus dilaksanakan dari semasa ke semasa bersama lahirnya karya-karya sastera yang berwawasan. Datuk Abdul Adzis Abbas, Ketua Pengarah DBP pernah berkata melalui Pembangunan Industri Buku dan memperkasakan bidang penulisan kita mampu membentuk jiwa dan minda masyarakat yang matang dan berperadaban tinggia ke arah sebuah negara bangsa yang bertamadun.

Saya sering berkongsi pandangan dengan Datuk Jasni Matlani bagaimana mengurus penulis dalam konteks penganjuran aktiviti dan penerbitan karya. Melalui BAHASA dan IPS atau persatuan-persatan yang lain banyak yang boleh dilakukan sekiranya kemampuan dari segi dana dan sebagainya mengizinkan. Namun dalam beberapa hal, saya selalu berfikir kita berhasrat memberikan sesuatu yang terbaik, jika tidak pun istimewa, bagi para penulis. Hingga satu ketika saya angkat kenyataan 'Hari Raya Penulis' melalui Festival Penulis Sabah. FPS dijadualkan setiap bulan April sejak mula dianjurkan pada tahun 2012.

Sebelum ini kita maklum adanya Hari Puisi, Hari Sastera, Hari Pekerja, Hari Wanita dan sebagainya. Hari Pekerja dan Hari Wanita disambut dengan meriah. Kerajaan memberikan banyak pengiktirafan kepada golongan ini. Selain telah ditetapkan masanya bahkan dirai dengan ucapan-ucapan selamat kepada rakan-rakan yang meraikan.

Semasa Hari Puisi atau Hari Sastera suasananya jauh berbeza. Masanya juga tidak tetap tertakluk kepada siapa penganjurnya yang dilakukan secara bergilir. Ini juga bergantung kepada kesediaan biasanya persatuan-persatuan penulis di samping keadaan kewangan yang mengizinkan.

Berbeza dengan Festival Penulis Sabah. Kelihatan FPS lebih terancang. Masanya   setiap bulan April, hingga kini merupakan tahun yang ke-7 dianjurkan dengan berterusan oleh BAHASA sebagai peneraju utama bersama-sama persatuan-persatuan penulis dan agensi-agensi berkaitan seperti GAPENA, DBP, Institut Perguruan dan sebagainya. Datuk Jasni Matlani sendiri mengimpikan festival ini menjadi satu wadah atau acara yang berprestij bertaraf antarabangsa seterusnya mampu menyemarakkan kegiatan penulisan di mana-mana tempat di negeri Sabah.

Apa yang ditonjolkan daripada penganjuran program ini adalah kesungguhan dan iltizam. Iltizam yang tinggi selalu dituntut dalam apa jua hasrat besar yang diingini. Minat yang global melalui kesatuan yang santun sebagai penganjur juga turut menyumbang. Perjuangan dalam merealisasikan tidak dapat tidak berkait rapat dengan mendapatkan dana dan sebagainya. Ini merupakan gerakan kerja yang dinamik. Bukan sambalewa. Penganjur harus kreatif dan bahkan berani.  

Saya berfikir lantai pelaksanaan tidak bermakna tanpa penglibatan para penulis. Apakah sikap para penulis keseluruhannya terhadap sebuah perayaan yang dianjurkan khusus buat golongan ini? Sering juga saya menanggapi bahawa wujud sikap yang kurang meminatinya apabila sesetengah penulis memandang remeh terhadap festival ini. Bukan semua seperti ini mungkin ada penulis yang menghadapi kekangan masa dan sebagainya. Secara mudahnya, saya fikir sebagai penulis yang serius, kita boleh membuat perancangan lebih awal kerana FPS ini bukan program sastera yang berkala.

Alangkah bagusnya semua penulis berhimpun pada masa yang telah dinyatakan. Apabila kita berhimpun dengan bilangan yang ramai menunjukkan kesatuan kita dalam gerakan memperkasakan legasi persuratan Melayu sekaligus idealisme atau wawasan gerakan kita turut terserlah. Dengan kesatuan yang kukuh ini memberi laluan buat kita bersuara lebih lantang misalnya ketika memperkatakan peranan penulis terhadap sesuatu isu penting di negari kita. Dari sudut yang lain kekuatan itu menarik perhatian pihak-pihak tertentu dalam menentukan pembentukan sebuah hala tuju berkaitan budaya berfikir sebagaimana yang sering diterapkan dalam teks karya sastera.

Kita ambil contoh Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) yang cukup kuat. Di negeri kita bahkan mempunyai pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan berkaitan  persuratan yang mantap didahului oleh Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA), IPS, Momogunsia dan beberapa kelab sastera yang lain. Persatuan-persatuan ini bukan lahir setahun dua tetapi berpuluh tahun. Tinggal lagi bagaimana suara kita dapat didengar; jika hanya melalui satu kelompok, penulis tidak memperlihatkan kewibawaan mereka melalui gerakan berpersatuan. Walau pun tidak didengar tetapi dengan kekuatan kesatuan para penulis boleh mendesak. Dengan demikian, dunia persuratan tidak mudah diperlekehkan. Kita tidak selamanya menjadi timun dan diperkotak-katikkan secara tidak bermaruah.

Ketiadaan penulis dalam acara sastera perlu diatasi puncanya. Ini lumrah sebenarnya di mana-mana pun. Bukan semata-mata di Malaysia, Indonesia dan Brunei bahkan. Kemeriahan yang kita pandang boleh kita ibaratkan sebagai pentas lakonan manusia. Bayangkan seandainya tiada pelajar sekolah yang sering menjadi penyelamat sesuatu acara? Kerana itulah saya dengan penuh iltizam menyokong penanda arasan Festival Penulis Sabah yang dicetus dan diungkayahkan dengan gigih oleh Datuk Jasni Matlani ini. Kita ingin membuat kejutan kepada dunia seperti mana program berkaitan persuratan yang lain misalnya Mahrajan Persuratan dan Kesenian Islam Nusantara Membakut. Apatah lagi hasrat menjadikan Sabah sebagai dataran persuratan di Nusantara. Ini meletakkan kita sebagai wilayah yang penting ditambah lagi dengan kelahiran ramai penulis muda. Dari segi penerbitan buku sejak 2012 hingga kini puluhan buku diterbitkan di negara kita baik oleh DBP dan ITBM, sebahagian besarnya adalah penulis Sabah.

Kita harus menyokong usaha BAHASA yang banyak melaksanakan aktiviti membantu para penulis kita. GAPENA pula sering mengatakan BAHASA sebagai persatuan penulis kerabatnya yang paling konsisten dan aktif harus dijadikan contoh kepada kerabat Gapena yang lain. Namun BAHASA memerlukan sokongan semua penulis dan agensi-agensi Kerajaan dalam kelangsungannya membawa sastera dan mengangkat para penulis di peringkat global.

Sewajarnya kita bersatu tanpa memikirkan keberadaan kita dalam mana-mana kelompok. Kita harus hadir sebagai penulis yang menyumbang kepada dunia persuratan kita. Kita wajar saling bahu-membahu, membantu menghargai karya-karya sastera melalui program-program wacana secara lebih dinamik.

Ketika kita memperkatakan karya-karya eceran kita juga perlu serius membedah teks-teks dari novel-novel, antologi cerpen dan buku-buku puisi yang banyak ragam pemikirannya. Ketika kita begitu asyik melahirkan buku, diterbitkan dan memasarkannya, kita lupa pula memandang impak yang dilahirkan daripada buku-buku yang diterbitkan. Wacana kurang dianjurkan hinggakan saya berfikir kita menulis buku untuk apa? Adakah bukti pembaca menemui sesuatu yang positif untuk diteladani, dijadikan panduan dalan melestarikan layar kehidupan.

Kita mempunyai ruang yang luas untuk mengungkayahkan apa jua buah fikiran yang disampaikan. Salah satu forum yang terbaik alah melalui aktiviti-aktiviti persuratan seperti FPS yang sedang berjalan sekarang. Ringankanlah langkah kaki kita menghadiri dua lagi aktiviti utama FPS tahun ini ialah Seminar Puisi Esai Malaysia-Indonesia dan Bicara Buku Kreatif yang akan berlangsung di Perpustakaan Negeri Sabah.

Seminar Puisi Esai akan mengenengahkan 10 orang penyair dari negara kita dan Indonesia. Program ini lahir atas inisiatif Fatin Hamama dan Datuk Jasni Matlani. Selain berdiskusi bersama kesepuluhan penyair berkaitan iaitu Dhenok Kristianti, De Kemalawati, Fanny Johanathan Poyk, Isbedy Stawan ZS dan Hari Mulyadi mewakili Indonesia, Datuk Jasni Matlani, Hasyuda Abadi, Mohd Jasni Yakub, Siti Rahmah G Ibrahim dan Abdul Karim Gullam mewakili Malaysia, pembicaraan puisi esai juga akan diperkatakan oleh Ahmad Gaus. Beliau akan memberi panduan soal sejarah lahirnya puisi esai, kekhususan dan karektor puisi esai.


PUSTAKA IQBAL NAZIM © 2018

Tiada ulasan: