Pak Cik Johan Syah Jelani telah meninggalkan kita, kata seorang adikku di Tenom. Sebelah pagi dia mengkhabarkan bahawa gemulah sakit tenat dan malam semalam khabar sedih sampai di skrin telefon. Pak Cik Johan Syah yang tinggal di Felda Bukit Aping Johor adalah bahagian daripada keluarga kami di Negeri Johor. Gemulah ialah anak kepada datuk kami bernama Jelani dan cucu kepada buyut kami Unggai. Buyut Unggai telah berhijrah ke Negeri Johor sebelum perang dunia kedua membawa bersama anak lelakinya bernama Jelani tetapi meninggalkan isterinya di Sabah bernama Hajah Siah Mik dan seorang anak perempuan bernama Maria Unggai iaitu emak kepada Haji Usin (ayah saya). Keluarga buyut kami ini melebar di sana dan antara yang saya akrabi ialah Pak Cik Johan Syah yang amat meminati muzik.
Pada 17 Mac 2005 satu pertemuan keluarga kami telah berlaku. Pak Cik Johan Syah datang ke kampung dan bersatu di rumah kami di Kampung Lumadan, Beaufort, Sabah. Pertemuan kasih ini menjejaki keluarga Unggai dan Sining yang membawa diri ke Johor puluhan tahun. Mereka dua beradik masing-masing membawa seorang anak hasil perkahwinan di Sabah. Buyut Unggai membawa bersama Jelani dan Buyut Sining membawa anak perempuan Safiah. Di Semenanjung buyut Unggai dan buyut Sining masing-masing mendirikan semula rumah tangga.
Foto-foto di sini merupakan rakaman sebahagian kecil daripada ratusan keluarga yang menetap di merata negeri dan daerah di Sabah dan Semenanjung terutama Layang-layang, Johor Bahru, Taiping, Keningau dan Tenom. Malah apa yang disampaikan daripada Makcik Fatimah Haji Khamis (berbaju hitam dua dari kiri, sepupu Pak Cik Johan Syah) kami ada hubungan keluarga dengan Mana Sikana (Prof. Abdul Rahman Hanafiah) termasuk juga Puan Sri Saloma, Mariani dan Mimi Loma. Duduk dari kiri ayah (Haji Hussin Rippan), Pakcik Johan Syah Jelani (dibesarkan di Layang-layang Johor, cucu kepada buyut Unggai), Hajah Armah Rippan (anak perempuan hasil perkahwinan buyut Unggai dengan isteri keduanya, Hajah Siah Mik).
Pertemuan lima tahun dulu telah merapatkan keluarga kami, menyambung tanah Borneo dan tanah Semenanjung, mengakrabkan keluarga yang terpisah, namun lebih penting lagi sebuah pertemuan tidak mungkin berakhir setelah telah saling mengenal - yang jauh didekatkan, yang dekat diakrabkan, yang akrab bertaut hubungan kekeluargaan.
Semoga roh gemulah Pak Cik Johan berada bersama orang-orang yang soleh. Al-fatihah...
~ Hasyuda Abadi ~
Tiada ulasan:
Catat Ulasan