Apabila bertemu semula, kita bertemu dalam situasi yang berbeza, walaupun mereka atau diri saya tetap sama; nama yang sama, wajahnya serupa, cara bersapa yang tidak banyak peubahannya. Hakikatnya, dulu dan sekarang memang berbeza. Bercakap tentang masa sudah sering kita mengulang kenangan, mencari teman-teman seperjuangan, mengulang kenangan paling indah dan paling mencuka. Itulah nikmat kehidupan dan beza antara satu dengan yang lain saya fikir hanyalah kenangan. Tidak semua mampu dikongsi bersama namun hakikatnya dengan kenangan hidup menjadi lebih hidup lagi. Itu anugerah Ilahi bairpun banyak perit daripada suka dan namanya pun kehidupan, itulah asam garamnya atau resepi enak tidaknya keindahan yang diberikan untuk kita.
Beberapa orang sahabat lama saya temukan, 3 orang sebenarnya. Seorang teman rapat ketika memulakan kehidupan di Kota Kinabalu kerana bekerja dan dua yang lain ialah mantan teman sekelas di sekolah menengah. Cerita kami tiada jauh bezanya. Mencari teman-teman lain entah di manakah mereka berada. Mengungkai betapa pengetua sekolah kami yang paling jahat kami temui (mungkin itu persepi kami semasa di bangku sekolah).
Kami bersekolah di St John's Secondary School Beaufort. Dari Kota Kinabalu jaraknya 100 km dan dari kampung saya sekolah itu punya jarak 10 atau 12 km. Memang jauh juga berbanding sekarang kerana perhubungan masa dulu tidak sebaik sekarang. Jalan raya belum beraspal, kenderaan pun mengharapkan kereta 'pick-up' yang memuatkan 10-12 orang pelajar sekolah. Pernah juga berjalan kaki dari kampung lantaran tidak ada kenderaan masuk akibat jalan raya rosak teruk. Selain daripada itu, banjir kerap menenggelamkan sekolah kami. Apabila air Sungai Padas melimpah ke atas paras bahaya, bandar Beaufort akan tenggelam hingga 5 meter. Sebab itu kedai-kedai di bandar itu dibina tinggi, begitupun bila banjir tiada sebab lain untuk mengelak. Apabila banjir surut, kerja kami sebagai pelajar membersihkan kelas. Begitulah kelazimannya saat banjir tiba. Beaufort sudah sinonim dengan banjir. Mungkin orang hairan jika Beaufort tidak lagi mengalami banjir. Baru-baru ini banjir yang melanda pekan di Pedalaman Sabah ini boleh dianggap besar juga. Walaupun sebahagian besar telah ditembok lebih tinggi daripada biasa, tempat-tempat sensitif banjir tidak lagi terkecuali. Ketika banjir memberi makna yang lain buat kami, gembira tentunya. Ini kenangan masa banjir.
Berbalik kepada kisah pengetua kami yang jahat itu. Dia mengajar subjek Bahasa Inggeris dan Geografi masa saya berada di Tingkatan Lima. Masa itu masih dalam aliran Bahasa Inggeris. Baiknya pengetua kami ini dia suka bergurau membuat kami tidak mengantuk atau pun bosan. masa belajar. Tapi buruknya dia ni hanya satu, iaitu apabila mukanya merah kami tahu dia baru saja 'minum'. Pernah seorang kawan ditempelengnya, agak memeranjatkan juga. Namun ketika itu, apapun yang guru-guru lakukan tidak dibawa keluar. Maksudnya tidak sampai ibu bapa campur tangan. Saya tidak berani memberitahu ayah atau ibu saya apa yang guru saya telah buat di sekolah melainkan perkara-perkara yang baik belaka. Saya tahu saya akan malah dimarahinya. Lebih baik diam. Bukan seperti sekarang, banyak kes melibatkan guru-guru yang harus berhadapan dengan ibu bapa murid-muridnya setelah mereka bertindak sedikit 'kasar'.
Bila bercerita semula tentang sekolah, rakan-rakan yang saya temui akan bertanya di manakah si anu dan si polan itu. Ada juga yang sudah pergi meninggalkan kami, ada yang telah berjaya dalam pelbagai bidang masing-masing. Jadi bos, jadi YB pun ada, jadi peniaga bahkan tidak kurang yang tetap berada di kampung, menjadi bilal dan bekerja di ladang kelapa sawait. Mereka juga tetap hidup bahagia, membesarkan keluarga dengan aman. Kami juga begitu berada dalam situasi yang tidak banyak bezaanya. Mungkin sahaja kedudukan dalam organisasi di mana kami bekerja. Mereka yang pandai masa sekolah dulu tentu sahaja tempat lebih baik daripada kami. Apa yang penting menghidupkan kehidupan ini.
Seorang sahabat yang banyak masanya bersama-sama sekitar tahun 1979, dulu juga bertanyakan sahabat-sahabat sepermainan. Masa itu saya baru berhenti sekolah dan berhijrah dari kampung ke Kota Kinabalu. Di situ saya bertemu dengannya dan ramai kawan lain. Bermula ketika kami menyertai Skuad Kecemasan St. John Ambulance, sahabat ini membawa saya bertemu dengan sekumpulan belia di Pantai Tanjung Aru. Di sana rupanya diadakan perjumpaan mingguan penggiat seni. Saya berkenalan dengan mereka dan salah seorangnya ialah Hajah Zaiton Ajamain. (Hajah Zaiton kini menjawat Ketua Bahagian Sastera Moden di DBP Kuala Lumpur). Siapakah insan ini, saya tidak tahu langsung ketika itu. Manalah saya tahu tentang dunia penulis atau dunia seni. Orang kampung seperti saya agak terkejut juga tetapi menarik hati saya yang tidak tahu apa yang saya patut buat di bandar Kota Kinabalu ketika itu. Bila berkenalan selepas itu saya dipelawa menyertai kumpulan tersebut iaitu Kumpulan Anak Seni. Kawan-kawan yang aktif masa tu memang sudah tidak aktif lagi masa ini. Saya belajar menari. Saya boleh menari tapi tarian yang rasa boleh saya ikut hanya 2 iaitu Tarian Limbai dand Tarian Adai-Adai. Sebabnya hanya satu, mudah dipelajari. Langkahnya memang tidak rumit. Selepas itu barulah saya boleh menarikan Tarian Asli, Joget, Inang, Endang dan beberapa jenis tarian yang lain. Saya juga belajar bermain drama. Kebetulan masa itu aktiviti kesenian termasuklah teater begitu rancak. Maka sempatlah saya menyertai persembahan dan pertandingan teater. Memang hebat masa itu dengan kumpulan-kumpulan teater yang tidak calang-calang orangnya. Agresif bila tewas. Kumpulan Anak Seni juga bukan kurang, saya masih ingat satu ketika apabila beberapa orang kawan entah bagaimana menemui serpihan kertas yang memuatkan catatan pemarkahan sebuah pertandingan tarian. Kumpulan kami mendapat tempat kedua, namun begitu apabila mendapat tahu sapatutnya kami juara sebenar berdasarkan maklumat pada serpihan kertas yang ditemui, kami menyerbu pejabat Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri Sabah. Masa itu penjawatnya ialah Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah sekarang ini iaitu Datuk Masidi Manjun. Kami pun berhujah. Maklumat yang ditemui dipersembah. Akhirnya keputusan dibuat kumpulan kamilah yang menang. Itu belum cukup lagi, ada kumpulan yang kalah sanggup mencerderakan atau mengugut panel hakim.
Itulah kemeriahannya. Dulu dan sekarang memang banyak bezanya. Dulu hanyalah kenangan untuk sekarang. Jika indah memang patut dijadikan pedoman, jika tidak pula biarkan saja sebab keindahan itu pun terpulang kepada persepi masing-masing. Ada yang berkata di sebalik kekurangan ada hikmahnya untuk mencari keindahan yang lebih hakiki. Dan bila mengenang semua itu saya tidak mungkin melupakan Kumpulan Anak Seni misalnya, walaupun persatuan kesenian ini telah lama berkubur, ia tetap saya jadikan aras bermulanya seorang saya di arena persuratan seperti yang saya kenali sekarang. Begitu juga dengan tempat saya menimba ilmu, walaupun kelulusan saya hanya cukup makan, saya harus berbangga menemui seorang pengetua yang jahat tetapi telah mengajar kami erti perjuangan. Perjuangan yang tidak setakat apa yang diterima sekarang tetapi harus mencari dan mencari ilmu-ilmu baru tanpa jemu. Saya tahu beliau juga telah pergi jauh, setidak-tidaknya bila berjumpa dengan matan teman-teman sepersekolahan, insan itulah yang menjadi fokus perbualan kami. Terima kasih Mr. John Mui dan terima kasih Kumpulan Anak Seni.
2 ulasan:
salam sdr hasyuda,saya ikuti blog saudara. saya pun ingin hubungi sdr ismaily bongsu. minta saya no hp sdra ismaily.
sms saya: 013-3635725 atau pyanhabib@blogspot.com
terima kasih
salam sdr Pyan, terima kasih singgah di blog saya ini. Saya juga membaca blog saudara, saya ikut suka. Tentang Hj Ismaily Bongsu, no hp beliau 012 8676522. Lama juga tidak menyaksikan Hj Ismaily deklamasi puisi lantaran kesibukannya dalam dunia perniagaan.
Catat Ulasan