Isnin, Februari 16, 2009

PPSMI: Hishammuddin persoal laporan polis oleh Gapena


KUALA LUMPUR: Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, hari ini mempersoal tindakan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) membuat laporan polis berhubung Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) hanya selepas enam tahun dasar itu diperkenalkan.

"PPSMI ialah satu dasar yang telah kita laksanakan selama enam tahun sebelum saya memegang jawatan Menteri Pelajaran lagi. Jadi tindakan sebegini menjadi tanda tanya apa sebenarnya hasrat dan niat mereka (Gapena) melakukannya pada ketika ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas upacara perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-12 oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, di Dewan Rakyat, hari ini.

Semalam, Gapena membuat laporan polis terhadap Kementerian Pelajaran kerana mendakwa PPSMI bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pendidikan 1996.

PPSMI didakwa menyalahi Seksyen 17(1) Akta Pendidikan yang memperuntukkan bahawa Bahasa Kebangsaan iaitu Bahasa Melayu hendaklah menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan kebangsaan, kecuali sekolah jenis kebangsaan selain bertentangan dengan Perkara 152 (1) dan 152 (6) Perlembagaan Persekutuan berkaitan penggunaan bahasa kebangsaan iaitu Bahasa Melayu untuk semua.

Hisammuddin berkata, peluang seluas-luasnya telah diberi kepada pihak yang tidak berpuashati dengan dasar itu untuk mengutarakan pendapat mereka tetapi sebarang pengubahsuaian tidak boleh dilakukan dengan sekelip mata.

"Saya juga telah menyatakan bahawa mesyuarat meja bulat telah pun diadakan dan akhirnya keputusan untuk dasar ini bukan keputusan saya sendiri ia akhirnya terpaksa dibentangkan pada pihak jemaah menteri setelah ianya diambil kira oleh semua pihak," katanya.

Mengulas mengenai dakwaan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) yang mendedahkan laporan Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS 2007) menunjukkan kemerosotan pencapaian murid negara ini dalam Matematik dan Sains, Hishammuddin berkata, laporan berkenaan tidak menggambarkan keadaan sebenar.

"Peperiksaan kini masih dalam dwibahasa. Jadi tak ada sebabnya mereka boleh menyatakan dasar ini merupakan punca penurunan TIMSS yang sebelum ini naik dan membanggakan.

"Pelajar kita diberi peluang menjawab dalam dwi bahasa, kalau sekiranya dasarnya hanya dalam satu bahasa sahaja dan kita tengok penurunan, bolehlah kita kata puncanya ialah dasar PPSMI," katanya. - Bernama

Tiada ulasan: