Pandangan sdr Julius memang menarik untuk dibincangkan. Peka terhadap keperluan atas dasar ambil mudah terhadap sesuatu yang dipermudah - inilah ungkapan yang sesuai pada pandangan saya terhadap isu yang sedang tersibar di kalangan komuniti sastera Melayu ketika ini. Apabila semua diharapkan mudah, mudah mendapat kelulusan terbaik tanpa harus bersusah payah, tanpa berpayah mengerah otak untuk memaknai intipati sesebuah hasil sastera hanya akan melahirkan 'si mandul minda' yang seterusnya. Dan akan bertambah ramai lagi orang-orang begini mengisi zaman hadapan. Manusia yang malas berfikir. Malas menggalas masalah. Malas mengulas ungkapan-ungkapan yang dianggap payah padahal keindahan yang tersembunyi itulah harga yang maha mahal yang wajar dihargai dan diketahui oleh anak-anak bangsa kita.
Secara peribadi, saya fikir apa yang dilakukan oleh Pak Samad sebagai protesnya dengan secara tidak langsung mewakili para sasterawan mapan yang lain. Pak Samad bagai lilin yang sering membakar diri hingga sanggup kemudiannya melupakan gelaran Sasterawan Negara. Seperkara lagi persoalan yang selalu berlegar dalam fikiran kita ialah mengapa ya, permasalahan begini berlaku, apakah yang ada dalam lingkaran fikir orang-orang yang diberikan tanggungjawab itu hingga gagal melihat lebih jauh ke dalam makna sebenar intipati hasil karyayang baik dan tidak. Siapa lagi yang perlu diperharap untuk membetulkan keadaan ini, meletakkan hak di tempat yang sewajarnya. Memang betul 'mandul' fikiran orang-orang maha arif dan bijaksana di dalam sana. Enggan disapa apalagi ditegur selayaknya. Ini penyebab antara punca penulis meminggirkan diri dan 'pergi' di mana juga waima di Sabah sebenarnya.
24 Januari 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan