Isu ini barangkali biasa bunyinya. Tidak mengapa, biasanya jika bunyinya lain bermakna baik juga untuk difikirkan. Kebanyakan orang sudah malas untuk berfikir. Atau mengongsikan fikirannya. Kebanyakan orang sudah begitu sibuk untuk tinggal dalam kediamannya yang diam. Dalam kediaman yang damai dan mati. Sastera telah membesarkan pengarangnya, daripada bukan sesiapa (nobody) kepadas eseorang yang diyakini berhemah tinggi, berfikiran jauh, matang dan mapan. Hingga menjadi sumber merujuk bersandarkan kearifannya. Apakah betul juga jika saya katakan pengarang telah membina sastera, membesarkan sastera. Sastera rakyat tanpa pendukungnya, kita tidak tahu bagaimana cerita Pak Pandir, Pak Kadok dan sebagainya itu boleh kita kenali. Para penglipur lara membesarkan cerita-cerita begini hinggakan dibincang bicarakan secara lebar, dikaji selidik hingga menentukan seseorang menjadi sarjana.
Mana yang betul dan mana yang dahulu. Sastera atau pengarang? Saya ingin mengatakan juga bahawa pengarang-pengarang sekarang kebanyakannya meniru kehidupan masa lalu. Pengarang merakam pelbagai kerenah diri dan manusia dari pelbagai sumber yang pernah terjadi. Hanya kearifan dan kebijaksanaannya sahaja yang membezakan antara satu sama lain. Mereka terus dibesarkan oleh dunia itu. Bahan-bahan yang menjadi wacana sastera terus membesar dan mengembang. Hinggakan kadang-kadang orang tidak mengenal pengarang itu sendiri. Namun sering juga terjadi kita terlalu bercakap tentang pengarang yang hebat hinggakan terlupa karya sasteranya itu bukan apa-apa. Begitupun pengarang ini tidak pernah kenal lelah dan penat terus menulis dan menulis. Malangnya pengarang-pengarang sekarang sudah jarang mendengar atau membaca karyanya dibicarakan. Pembicaraan kalau ada pun hanya melepaskan 'batuk' di tangga. Puji-pujian yang membuta tuli. Kerana pembicaranya merupakan pengkritikawan.
Akhirnya, siapa yang harus mendahului sastera atau pengarangnya? Siapa yang harus besar: sastera atau pengarang? Apakah harus sahaja pengarang membesar seiring dengan sasteranya atau sebaliknya? Paling hujung: Siapakah yang harus membesarkan kedua-dua jargon ini?
14 Januari 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan