Sabtu, Disember 20, 2025

MUHASABAH DALAN NENEMUKAN DIRI

DALAM setiap konflik, manusia cenderung mencari punca di luar diri seperti melalui kata-kata orang lain, sikap lawan yang keadaannya yang tidak memihak. Kita mahir menunjuk tetapi jarang menoleh. Sedangkan menemukan punca bukan sekadar mencari satu titik salah di pihak lain; ia menuntut kita mengakui satu hakikat yang lebih pedih bahawa konflik sering bermula dalam diri manusia yang kacau, emosi yang tidak berbatas dan ego yang diletakkan di takhta tertinggi.

Kita kerap terperangkap dalam ilusi bahawa konflik ialah masalah peristiwa. Padahal ia lebih kerap menjadi masalah pengurusan diri. Dua orang boleh berdepan situasi yang sama tetapi menghasilkan dua kesan yang berbeza iaitu yang satu meredakan, yang satu membakar. Peristiwa hanyalah api kecil; emosi kita adalah angin yang membesarkan atau memadamkannya. Tanpa disiplin emosi api kecil menjadi kebakaran.

Emosi yang tidak terbimbing melahirkan reaksi spontan yang kita sesalkan kemudian. Marah yang tidak diurus berubah menjadi kata yang menikam. Kecewa yang dipendam bertukar menjadi dendam. Takut yang tidak diakui menyamar sebagai benci. Dalam keadaan begini konflik bukan lagi tentang isu tetapi tentang ego - keinginan untuk menang bukan untuk mengerti. Jelasnya bahawa ego yang berada di tingkat paling atas tidak mencari kebenaran, ia mencari pembenaran.

Di sinilah muhasabah diri sering disalahfahami. Ramai menganggap muhasabah sebagai tindakan membuka aib diri seolah-olah ia memalukan. Hakikatnya, muhasabah ialah keberanian tertinggi - berani menyalakan lampu di bilik gelap jiwa sendiri. Ia bukan perayaan kesalahan tetapi proses pembaikan. Bukan untuk meruntuhkan maruah tetapi untuk membina integriti.

Muhasabah tidak menuntut kita mendedahkan diri kepada dunia. Ia menuntut kita jujur kepada diri sendiri. Di cermin nurani itulah kita bertanya: Apakah aku bercakap demi kebenaran atau demi mempertahankan ego? Apakah aku mendengar untuk memahami atau untuk membalas dendam yang ada? Apakah aku mengkritik untuk memperbaiki atau sebaliknya untuk melukai? Soalan-soalan ini jarang selesai namun di situlah kesembuhan sedang bermula. 

Manusia sering mahu keadilan di luar tetapi lalai membina keadilan di dalam. Kita mendesak orang lain berubah tetapi enggan mengubah nada sendiri. Kita menuntut empati tetapi kedekut memberinya. Tanpa pembaikan di dalam, segala pembaikan di luar hanya bersifat kosmetik.

Berani memeriksa diri bukan tanda lemah sebaliknya tanda matang. Yang lemah mempertahankan diri walaupun salah; yang kuat mengaku salah walaupun boleh bersembunyi. Yang lemah memenangi hujah; yang kuat memenangi hati. Dalam jangka panjang - yang menyembuhkan konflik sesungguhnya mereka adalah yang paling jujur bukan semata-mata yang paling lantang.

Menemukan punca sejati konflik membawa kita kepada satu kesimpulan yang sederhana tetapi berat. Kita tidak selalu menjadi mangsa. Ada kalanya kita juga pencetus. Mengakuinya tidak menjadikan kita kecil kenyataannya ia menjadikan kita manusia.

Jika kita benar-benar mahukan damai ia tidak bermula di meja rundingan tetapi di ruang sunyi hati sendiri. Di situlah kita belajar mengurus emosi, menundukkan ego dan mendengar dengan kedamaian rahmat. Konflik yang tidak kita sembuhkan di dalam akan terus berwujud di luar, ia berulang wajah, berubah nama tetapi tetap menyeka luka yang sama.

Titik punca akhirnya ialah menemukan diri. Menemukan diri ialah langkah pertama menuju damai yang sebenar.  Walahu a’lam,

Dangau Sastera
Sepanggar

Tiada ulasan: