Rabu, Januari 10, 2024

CATATAN KECIL MENINGKATKAN IMEJ IPS



TAHUN 2024 ini Ikatan Penulis Sabah (IPS) berusia 33 tahun. Pada usia ini saya percaya bibit-bibit perjuangan ahli semakin kental, semangat yang semarak semakin membara untuk mencapai matlamat hala tuju sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan. Pada usia ini juga IPS harus bersiap siaga untuk mempertahankan setiap langkah supaya persatuan bukan sahaja teguh sebagai sebuah organisasi bahkan dihormati. IPS hendaklah berdiri dengan kesiap siagaannya tetapi pada masa yang sama harga dirinya harus dipertahankan walau dengan apa cara sekali pun.

Walaupun IPS hanyalah sebuah NGO yang sederhana, tidak punya wang banyak, tetapi pada asasnya, inilah sebuah pertubuhan atau persatuan penulis yang terus berada di negeri ini, memberikan jalan kesederhanaan kepada para penggiat sastera dan budaya. Persatuan inilah yang boleh dijadikan wadah atau gelanggang untuk ahli-ahlinya melatih diri bersilat kata, membentuk nahu, mempertahankan kegemilangan bahasa leluhur dan kemegahan negara kita iaitu Bahasa Melayu yang harus kita jadikan perisai perpaduan dalam kalangan rakyat yang hidup dalam kepelbagaiannya.

Saya terlibat dalam gerakan sastera di Sabah agak lama, lebih empat dekad. Banyak yang dialami, banyak yang difikirkan dan salah satunya saya bertanya mengapa saya dan dalam konteks pada hari ini, menyertai persatuan penulis. Untuk suka-suka atau mengisi masa? Saya percaya bukan ini jawapannya. Jika itu jawapan anda, tentu IPS atau pertubuhan lain bukan tempatnya. Demikian juga untuk mengisi masa, bukan dalam ruang begini, bukan di sini. Sudah tentu masing-masing kita mempunyai sebab yang tersendiri. Begitulah saya. Namun saya tidak gemar meletakkan diri sendiri sebagai contoh terbaik. Kebaikan atau kecemerlangan diri tidak seharusnya dinilai oleh diri sendiri tetapi oleh orang lain. Biarlah mereka yang memberikan kredit kepada sikap, iltizam dan juga perjuangan seseorang. 

Namun demikian, sebagai anggota IPS, semua ahli harus menanamkan kepentingan persatuan. Apabila berasa berada dalam kelompok IPS, setiap anggota harus sematkan dalam jiwa, inilah wadah perjuangan kita, inilah juga wadah mengindahkan karya-karya kita, inilah wadah menyalurkan bakat kreatif kita, inilah wadah untuk kita bersama-sama mempertahankan kredibiliti IPS sebagai sebuah pertubuhan yang sah di sisi undang-undang dan kerana itu ia harus diberikan benteng. Bentengnya apa? Bentengnya ialah jiwa besar seluruh kerabat. Tidak ada harta yang lebih berharga sekiranya kita sedar bahawa kita telah memiliki sesuatu dalam sebahagian kecil kehidupan kita iaitu memiliki IPS. Kita harus sayangkan persatuan ini dan tidak gentar dengan segala tohmahan serta provokasi sesiapa pun yang memilih jalan yang lain.

Saya pernah mengetuai IPS 20 tahun (1998-2018) sebelum itu menjadi Ketua Dua 6 tahun (1992-1998). Tentu sahaja sarat dengan pelbagai kisah pahit manis kadang-kadang ‘sengsara’. Pada 1998 kami meneruskan persatuan tanpa sesen pun duit di tabung. Bagaimana pun IPS harus bangun semula selepas berlaku krisis 1998. Berkat kesepaduan tekad dalam tempoh itu IPS kembali menyinar. IPS menubuhkan INPES (Insitut Penilaian Sastera). Ahli-ahli baharu pasti baru mendengar ini mungkin. INPES diketuai YBhg Dato’ Dr Janatan Kandok dan ada dua ahli lembaga pengarah. 

Dalam tempoh dua dekad itu, pelbagai kegiatan dilaksanakan dengan suntikan dana dari agensi Kerajaan dan tidak dapat dielak duit poket Ketua Satu serta kawan-kawan yang mampu. Kita terus bergerak walaupun ada masanya persatuan agak perlahan kemudian rancak semula terutama selepas IPS dipimpin oleh ahli yang pernah kami bimbing. Ustaz Awang Abdul Muizz Awang Marusin lulusan UIA memiliki kebolehan yang amat diperlukan oleh persatuan. Beliau mahir dalam bidang penyelidikan, berpengetahuan, mahir ict, berwawasan jauh dan banyak idea serta berani melakukan perubahan. Mungkin tidak semua ideanya dipersetujui oleh sebilangan kecil ahli, tetapi ahli-ahli boleh menilai sendiri kemajuan IPS sejak 2022 hingga kini. Rujuk laman web persatuan dan pencapaian IPS memang memberangsangkan. Saya tidak mahu mengulas hal ini. Saya bukan juga bermaksud mengangkat anak muda ini tetapi realiti kewibawaannya jelas. Kerana itu kita inginkan persatuan terus gemilang di bawah pimpinannya. Namun beliau tidak boleh bekerja bersendirian, kita sebagai ahli mesti memberikan buah fikiran bernas selain sokongan semangat yang bulat dan teguh. Sebagai salah seorang penasihat persatuan dengan beberapa orang yang lain, kami juga sentiasa berada bersama beliau dalam menakhodai persatuan ini.

Kita bebas mahukan yang terbaik. Sedangkan memilih yang boleh bekerja 100 peratus dari kehidupannya agak sukar. 2024 merupakan masa yang sangat bermakna kerana cabaran yang pasti hebat ketimbang tahun lepas. Sebab itu tiada jalan mudah tetapi dengan adanya kepercayaan bersama, insyaAllah, persatuan kita ini terus siaga. Tahun ini beberapa aktiviti besar dijadualkan misalnya peraduan menulis puisi (Hadiah K Bali) dilestarikan. Peraduan peringkat Asean ini menjadi salah satu tanda aras IPS di peringkat antarabangsa. Kemudian penerbitan buku, melalui Program Sepanggar Membaca serta Sepanggar Berpantun merupakan gelombang baharu untuk sastera dan bahasa di Sabah. Program Puisi Adalah… akan bergerak di beberapa tempat termasuk di premis DBP Cawangan Sabah, JKKNS dan sebagainya. Untuk ini, jalihan ukhuwwah dalam kalangan kita semua sangat penting agar objektif persatuan terus tercapai lebih terbentang gemilangnya. Dengan slogan ‘Wasatiyyah, Istiqomah dan Berimpak Tinggi’ kita yakin kebolehan persatuan memperkasakan gerakan sastera dan bahasa kita. InsyaAllah.

Takzim serta Salam Maju IPS.

Hasyuda Abadi
Pengerusi Majlis Penasihat
IPS

10 Januari 2024

Tiada ulasan: