Jumaat, Julai 24, 2009

Sastera Kesenian Islam

Beberapa hari lepas bertemu dengan beberapa sahabat lama, antaranya Ustaz Jalidar Abdul Rahim, kini telah menetap di Shah Alam, Selangor. Pernah juga saya menyaksikan persembahan nasyidnya di Astro Oasis. Daripadanya, sering mengingatkan aktiviti sastera Islam ketika beliau berkhidmat di Jabatan Agama Islam Negeri Sabah. Bersama-sama ramai tokoh seni termasuklah Datuk Haji Mohd Arifin Mohd Arif, Allahyarham Pengiran Haji Adnan Pg Haji Abbas dan beberapa orang mantan Pengarah DBP Cawangan Sabah serta penulis-penulis yang memberikan sokongan, dukungan dan penglibatan dalam program-program kesenian Islam ketika itu. Mahrajan Sastera Islam misalnya berlangsung dengan amat berjaya sekali. Nadwah sastera Islam mengenengah ramai tokoh dari dalam dan luar negara. Bidang penerbitan pula menzahirkan banyak buku puisi berunsur Islam. Tokoh Penyair Islam meletakkan penulis dan penyair terbaik bagi Negeri Sabah berada di pentas penghargaan. Itu kenangan yang tetap segar bagi saya dan saya fikir sahabat-sahabat yang terlibat ketika itu. Kini, kecuali Mahrajan Sastera Islam dan penobatan tokoh Penyair Islam masih berlangsung, walau dalam skala yang semakin mengecil, kegiatan-kegiatan itu telah diadun dengan program kesenian Islam yang lain seperti pertandingan nasyid, ukiran khat dan pertandingan paluan kompang. Nadwah Sastera Islam terpaksa mengikut acuan tertentu, misalnya, nadwah yang berlangsung baru-baru ini khususkan kepada remaja yang dihadiri oleh pelajar-pelajar sekolah menengah. Isunya bersifat remaja dengan penampilan Ustaz Jainudin Mahmud, Jasni Matlani dan Lokman Abdul Samad. Ternyata tanpa pelajar sekolah, nadwah yang cukup hebat beberapa tahun awal itu tidak mendapat sambutan daripada para penulis jika diambil kira kehadiran audiens aktiviti tersebut. Saya sendiri hanya mengetahuinya sehari sebelum program ini diadakan, itu pun disebabkan saya pada petangnya menjadi pengadil sebuah sayembara deklamasi puisi. Penulis tidak dijemput! Inilah yang terjadi sebenarnya, malah saya mendengar juga kononnya aktiviti nadwah, mahrajan dan penobatan tokoh penyair Islam akan disingkirkan daripada sebahagian besar karnival anjuran kerajaan Negeri Sabah itu. Kita berharap ini hanya cakap-cakap yang tidak benar kerana inilah sahaja pentas yang sastera Islam khususnya dapat bertapak. Pemikiran Islami dapat diterapkan menerusi nadwah yang dianjurkan, di situ sahaja dapat menyalurkan gerakan aktiviti persuratan Islam dan seterusnya mengekalkan kehebatan Mahrajan Sastera Islam yang menjadi miliki kita sekian lama. Bagaimanapun, untuk memiliki semua ini, bergantung kepada kewibawaan dan iltizam bersama. Penulis perlu dilibatkan, aktiviti kesenian Islam harus melibatkan kelompok yang lebih luas bukan semata-mata pihak-pihak tertentu semata-mata. Kesenian Islam itu bukan hanya pada seni nasyid, seni khat, seni kompang dan sebagainya tetapi ia harus menyeluruh. Apabila bertemua dengan sahabat-sahabat lama, ada perkara yang telah dengan sengaja menjadi buah cerita, cerita-cerita itu tetap sama. Sastera kita sepatutnya semakin melebar dalam intipati kehidupan masyarakat kita, yang telah digelombangi pelbagai perubahan budaya.

~ Hasyuda Abadi ~

Tiada ulasan: