Sabtu, Julai 25, 2009

Berhadapan dengan manusia...

Bukan bertujuan untuk membangkitkan rasa marah atau menyinggungkan perasaan sesiapa, tidak juga bermaksud untuk menyalahi sesiapa, namun sebagai individu yang diberikan tanggungjawab menyampaikan sesuatu demi kepentingan awam, perkara ini perlu difikirkan dan diberikan perhatian secara jelas. Kita tahu populariti sering tidak menjadi penyebab untuk mendapatkan kebenaran kerana kebenaran hanya benar-benar dicapai apabila menemukan sesuatu yang tidak dapat tidak untuk menerima kebenarannya. Begitu juga apabila sesuatu yang tidak digemari pihak yang menjadi perhatian , hanya akan berakhir setelah sesuatu tindakan yang tegas diambil tanpa memikirkan apa pun risikonya. Segala-galanya demi 'kebenaran'.
Inilah persoalan yang bermain dalam fikiran saya apabila ingin melihat organisasi seperti DBP Cawangan Sabah itu mengekalkan kredibilitinya sebagai sebuah agensi yang diberikan amanah memulihara kegemilangan dan kecemerlangan bahasa dan sastera Negara. Memang benar, namanya manusia, tidak mungkin dapat mengenepikan hal-hal bersangkutan kekhilapan, kelemahan, kekurangan dan seumpamanya. Malangnya kekhilapan, kelemahan, kekurangan itu berupa ulangan-ulangan yang sentiasa berligar di hadapan kita, sentiasa menjadi intipati perbualan, pemerhatian masyarakat bahkan individu yang bertanggungjawab tidak dapat tidak wajip menyelesaikan sebarang tingkah yang berlaku.

Tidak elok juga kita mencampuri urusan sebuah agensi yang amat dihormati itu. Tetapi sebagai pengurus hal ehwal penulisan dan organisasi membabitkan penulis, saya fikir apa yang berlaku dan merugikan penulis serta dunia persuratan itu harus dicampuri, diselesaikan dalam apa cara sekali pun. Kerana itu kita berharap pihak yang dimaksudkan ini mendapatkan hala kebenaran, tegas menempatkan kewibawaannya, tidak gentar kepada sebarang kerenah sesetengah pihak yang tidak mahu memahami amanah yang telah diletakkan di bahu sebagai petugas awam. Saya fikir tidak perlulah mengatakan banyak tetang keburukan atau kelemahan manusia, tapi cukuplah kita menyedari apakah kita pernah menyedari kita bukan hidup bersendirian di dunia ini. Tanpa orang lain, siapalah kita. Tanpa keringat orang lain, siapakah kita, Tanpa fikir usaha orang lain, siapalah kita, tanpa pelaburan dan bayaran cukai orang lain siapalah kita yang hanya tahu menerima daripada memberi, apatah lagi menyedari sesuatu untuk sesuatu tanpa inginkan balasan. Apabila kita tidak mendapatkan sesuatu yang dimahukan, kita menjadi tidak rasional, mereka pula pelbagai citra yang boleh mengubah kepada fitnah dan sebagainya. Mengapa semua itu terjadi waima berada di sebuah bumbung, wujud individu yang tidak mahu bersyukur, tidak mahu menghargai, tidak mahu menerima pandangan, teguran; apatah lagi saranan kebaikan.
~ Hasyuda Abadi ~

Tiada ulasan: