Selasa, Oktober 07, 2008

Selepas Ramadan

Assalamualaikum, tidak lewat rasanya mengucapkan Selamat Hari Raya kepada rakan dan sahabat di mana juga. Jika ada yang sedang meneruskan puasa dengan Puasa Enam alhamdulillah, semoga puasa kita mendapat pahala yang setimpal daripada Allah s.w.t. Amin.

Dimulakan catatan ini dengan beberapa program sastera yang bakal dianjurkan oleh sahabat-sahabat di UMS dan Pejabat Pelajaran Daerah Tuaran. Pertama Kenduri Puisi di UMS pada 16 Oktober ini disusuli Bengkel Asas Penulisan Kreatif kepada para pendidik di daerah Tuaran pada 20 dan 21 Oktober. Sudah tentu banyak lagi program sastera yang bakal mengisi bulan-bulan terakhir 2008 ini sempena Bulan Sastera dan Bahasa Negara yang bakal dilancarkan di Kota Kinabalu oleh TYT Yang diPertua Negeri Sabah. Mudah-mudahan program-program hujung tahun ini berjaya dilaksanakan.

Saya berhasrat bercerita tentang puisi dan beberapa perkara yang berkaitan. Lama juga tidak mencatat apa-apa. Semua kita maklum bahawa memasyarakatkan puisi telah terjadi di mana-mana. Misalnya beberapa tahun dahulu IPS bergadang di Anjung Senja dan Anjung Selera. Sambil menjamu selera menghayati bait-bait puisi deklamator di atas pentas sambil menikmati tiupan bayu Laut China Selatan. Program ini terhenti kemudiannya. Sesekali para deklamator puisi kami beraksi di pentas yang lain, tidak begitu konsisten, sama ada sekadar sebagai artis tempelan dengan puisi-puisi tempahan dan sebagainya lagi. Keseriusan DBP misalnya tampak dengan penganjuran Baca Puisi 50 jam tanpa henti. Begitu juga melalui Sayembara Deklamasi Puisi sempena Hari Kebangsaan negara kita. Apakah ini memadai? Sebenarnya deklamator puisi perlu memiliki pentas dan khalayak yang berterusan. Satu lagi yang tidak kurang pentingnya ialah kos, walaupun ia selalu dijadikan alasan lain misalnya ungkapan 'duit bukan segalanya' namun setidak-tidaknya membayar sejenis kerja luar biasa dan banyak manfaat kepada khalayak harus sekali difikirkan. Ada yang berkata gantikan duit dengan sesuatu yang lebih berharga misalnya buku. Bagus juga tapi tentulah persepi manusia tidak serupa. Ada orang yang gilakan buku tapi ramai yang sukakan duit. Ini persoalannya dan tidak boleh diselesaikan sampai bila-bila. Hingga suatu ketika jangan buat apa-apa tanpa duit. Bukan sahaja dapur tidak berasap, enjin kereta juga... Jadi ada kata-kata yang lebih ramah, tidaklah banyak asal dapat menghidupkan injin kereta pergi dan balik ke rumah pun alhamdulillah.

Sebetulnya kita perlu profesional bila bercakap tentang hal seperti ini. Pendek kata semua ini menjadi suatu kemestian dan wajib. Seperti disebutkan tadi jangan buat apa-apa kalau tidak mampu. Nanti jadilah seperti rumah siap tukul masih berbunyi. Berdosa menjadi bahan cerita di belakang. Biarpun betul. Kalau boleh biarlah buat sesuatu dengan betul, perfect... buat kerja begini bukanlah baru. Kita tahu asam garam gula lada apa rasanya. Kita perlu pastikan keperluan-keperluannya terlebih dahulu. Jika ok barulah hidupkan jentera dan bekerja. Kalau boleh elakkanlah menyalahkan orang atau pihak lain. Padahal yang silap bermula dari kita sendiri, yang gagal mengukur kain untuk dijadikan baju. Apa yang telah terjadi sebelum ini biarlah, sudah menjadi sejarah dan kita berusaha bermuhasabah, kembali kepada fitrah kita sebagai manusia. Betul kita manusia biasa yang tak lepas daripada membuat salah. Kalau boleh berubah, berubahlah. Ubah cara membuat persepsi, berubah dalam melakukan tindakan, berubah menanggapi masalah orang lain, berubah dalam segala tindak tanduk demi kepentingan awam dan semua yang mengharapkan yang terbaik.

Semasa menerima sebuah dua pesanan ringkas selepas Hari Raya baru-baru ini yang nadanya tidak pernah berubah (menyalahkan orang lain), saya tidak fikir untuk membuat apa-apa tanggapan. Semua orang mahukan yang baik dan terbaik, dan untuk menepati keinginan itu tiada bentuk cara yang paling baik selain kembali kepada matlamat asal, apapun juga dan siapapun juga yang memahami catatan ini. Jika ada amanah yang diberikan, lakukan amanah itu dengan telus, ikhlas dan jujur. Amanah itu tanggungjungjawab. Fardyu Kufayah. Bukan sermua orang menerima amanah yang sama. Sekiranya amanah itu untuk sastera buatlah kepada khalayak sastera dan seterusnya. Tanpa dolak dalih dan menimbulkan perasaan yang tidak sepatutnya terjadi. Kita harus mengambil ikhtibar bahawa emosi yang dikuasai iblis dan syaitan akan membawa kepada kerugian kita sendiri. Emosi tanpa kawalan akan menjadikan kita kehilangan rakan dan sahabat. Kita juga bakal hilangan kepercayaan dan keyakinan orang lain. Tidak bermaksud bahawa manusia yang memiliki ego yang harus dipertahankannya itu sebagai manusia yang tidak berguna. Semua orang ada ego yang tersendiri. Mempertahankan prinsip merupakan soal lain. Tetapi kita tidak patut mengorbankan sesuatu yang menjadi keperluan ramai. Ada yang sanggup korbankan sastera kerana kepentingan prinsipnya. Prinsip yang membawa rebah itu harus dibuang jauh-jauh ke dasar laut. Kita perlu berhujah dengan cara yang berhemah, kita bertengkar dengan rakan dan sahabat biarlah seperti menetak air. Komuniti kita tidak ramai. Bayangkan rumah kita yang sama iaitu sastera, kanan dan kini adalah orang-orang yang sama. Tetapi alangkah baiknya juga pertengkaran yang bijaksana itu membuahkan kemanisan dan dinikmati ramai orang. Marilah sama-sama kita terus berdoa dan memohon hidayah daripada Allah s.w.t agar kita sentiasa dilindungi-Nya daripada memiliki fikiran dan sikap yang dimurkai-Nya. Mudah-mudahan kita sentiasa juga mendapat rezeki daripada apa pun yang kita lakukan hanya kerana Dia. Marilah juga kita sama-sama berusaha dan bekerja sebagai penulis atau penggiat sastera yang amanah untuk kebaikan dunia dan akhirat. InsyaAllah.

HASYUDA ABADI
Pustaka Iqbal Nazim
Kota Kinabalu
S A B A H
7 Syawal 1429H

Tiada ulasan: