Selasa, Ogos 05, 2008

Sebuah Penghargaan

KEPADA semua sahabat dan teman-teman terutama sekali ayahanda Kemala, ucapan tahniah yang disampaikan apabila saya dinobatkan Anugerah Penyair Islam Sabah 2008/1429H di Kota Kinabalu Sabah, melahirkan suatu rasa yang sukar diungkaikan dengan diksi terpilih tetapi sesungguhnya ia telah menggandakan rahsia diri. Segala amanat dan juga kata-kata penghargaan daripada anda semua menjadi panduan untuk terus berada di dunia kepenyairan tanah air bahkan nusantara, mudah-mudahan.

Saya tidak pernah lupa kepada kedua orang tua yang amat saya sayangi - Haji Usin Ripan dan Hajah Subiah Sidek, isteri tercinta - Yau Tham Ying @ Yazidah Abdullah dan anak-anak - Syahzierah, Muhd Yazin dan Syahfierah yang amat akrab dalam kehidupan dan dunia peribadi saya di samping itu sahabat-sahabat dekat seperti Abd Naddin Haji Shaiddin (ANS), Jasni Matlani (JM), Jasni Yakub (JY), Sahara Jais, Ony Latifah Osman, Robby A, Dr.Ramzah Dambul dan beberapa orang yang lain. Guru awal saya Kanda Hajah Zaiton Haji Ajamain yang telah mengenalkan dunia kepenyairan hampir 30 tahun dulu sesungguhnya tidak pernah dilupakan. Selain kanda Hajah Zaiton tentu sahaja kanda Marzuki Ali, Dr. Ramli Isin dan Haji Hamzah Hamdani. Malah hubungan yang erat dengan Allahyarham ayahanda K.Bali, Allahyarham Haji Harun Salleh, Allahyarham Dr. Haji Othman Puteh, ayahanda Datuk Haji Shuhaibun Yussuf mempurnamakan lagi cahaya sastera yang utuh buat saya dengan kenangan yang pernah terbina. Begitu juga kawan-kawan sepermainan semasa bersama Kumpulan Anak Seni yang saya sertai pada tahun 1979-1990 seperti Datu Osman Sulai, Arsyad Hussin, Ariah Judah, Asmuin Satrie, Masdan Nurasid, Rosnah Awang, Hamirah, Hamimah dan Hamidah (kembar 3), Maisalmah Mohidin, Datu Ruslan Sulai, Maryam Gambur, Siti Aimah Shamsuddin, Rusdi Awang, Ahmad Abdul, Masghul, Sharif Osman Asmawan, Osman Ampang, Kanda Aishah Mohidin (semuanya tercipta dalam kenangan) seterusnya idola kepenyairan saya Dato' Kemala, Dato' A.Samad Said, Suhaimi Haji Muhamad, Haji Johar Buang dan Haji Mohd Ariffin Mohd Arif. Anda banyak melatih saya sehingga kini tidak pernah berhenti menjadi warga seni, menghargai seni malah menghidupkan seni di dalam jiwa.

Untuk anugerah yang diberikan ia merupakan suatu penghargaan dan penghormatan yang amat bermakna dalam kehidupan dan sepanjang penglibatan dalam dunia penulisan kreatif. Dunia sastera memiliki pelbagai inti-peristiwa yang mendidik seseorang menjadi seorang yang akan mendidiknya supaya terus belajar, menghargai kehidupan dan pengalaman seterusnya memengertikannya sebaik mungkin. Ada waktunya sastera melahirkan intuisi rasa yang menggerunkan meskipun dalam banyak situasi lebih halus; kehalusan rasa terus dituntut agar ungkapan serta tingkah cara melestarikan wajah yang sebenar. Sebagai manusia sesiapa pun tidak dapat lari daripada menyatakan sesuatu dengan emosi yang membara. Persepsi sentiasa membentuk andai dan anggap yang berbeza-beza. Namun begitu, pada saya sebagai insan biasa segala kelemahan itu menjadi titik tolak untuk membentuk keinsanan kita agar sentiasa bersyukur ke hadrat Ilahi dan bermuhasabah kerana hanya Dia sahaja yang berhak memberikan kita rezeki dan jalan yang benar.

Saya begitu berterima kasih juga kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEANS) dan DBP Cawangan Sabah serta teman-teman baik di kedua-dua agensi kerajaan berkenaan di atas penghormatan ini. Majlis yang dilaksanakan amat bermakna sekali dan saya secara peribadi tidak akan melupakan hingga bila-bila. Penghormatan ini juga harus dirasai sekalian sahabat terutama kerabat IPS dan seluruh penyair di Sabah. Amanah yang saya pikul ini saya akan laksanakan sebaiknya dan tentu sahaja terbentang suatu kekuatan mengebalkan jati diri sebagai insan Muslim yang mahu terus berbakti kepada nusa, bangsa dan yang terutama agama saya.


Deraf awal dicatat di Adhi Dharma Hotel,
Kuta-Bali pada 26 Julai 2008.


Tiada ulasan: