Isnin, Februari 11, 2008

Sastera, Sebatang Lilin

1.
Saya sebenarnya sudah lama tidak bertemu dalam erti kata pertemuan yang sebenarnya terutama sekali dengan sahabat-sahabat karib. Benar rupanya: ada satu hari yang jarang diharapkan bakal menemukan kami sesiapa juga termasuklah kami, kecuali Abd Naddin. Mula-mula JY menghantar SMS sebagaimana yang saya minta selepas dia menghadiri majlis di DBP. Saya memang memenuhi 'sikap tidak' kepada apa juga program sastera anjuran DBP Sabah sekadar 'mendengar' daripada mulut sahabat-sahabat ini: Oneh dan puteranya Saiful dan juga JY yang amat setia kepada abang dan sahabatnya ini. Tidak lama tiba-tiba muncul tanpa disedari Pengerusi Ekeskutif INPES kami, Janatan Kandok...Kami biasa sangat dengan Janatan yang amat gemar melakukan penilaian terhadap apa sahaja subjek berdasarkan pendekatan pengurusannya. Saya masih ingat ketika menganjurkan program 'Baca Cerpen dan Bicara Karya' bersama Haji Ismaily Bongsu, Janatan adalah orang penting kerana bertingak sebagai pemerkata cerpen yang telah kami baca kepada khalayak. Anda tentu ingat dengan cerpen 'Ngeooooooong' Haji Ismaily, bukan?

2.
Kami pun bersantai. Menyatakan pandangan masing-masing tentang sastera, politik dan pembangunan. Pembangunan sastera dan penulis hinggalah kepada isu-isu koridor pembangunan Negeri Sabah yang sedang hangat diperkatakan di sana-sini. Kami berusaha menghujahkan bahawa sastera harus dimesrakan para pemimpin dan organisasi seperti DBP harus memandangnya dari skop yang lebih lebar dan jauh agar fokus sastera tidak hanya tertumpu kepada soal-soal program yang remeh temeh. Namun pada Janatan pemimpin harus didekati, mesrakan mereka melalui program-program sastera yang relevan. (Ada sesuatu sedang tercerna dalam fikiran ketika itu tapi saya simpan tanpa meluahkannya.) Kami juga memperkatakan Majlis Bahasa dan Sastera Sabah (MBSS) yang sewajarnya dihidupkan di bawah pimpinan baru yang lebih bertenaga. Malangnya MBSS sudah lama berkubur tanpa tanda. Kita tidak jelas sama ada majlis ini masih wujud atau tidak. MBSS sebenarnya amat relevan sekiranya kita mahu sastera dibangunkan secara eksklusif di Sabah dan Borneo terutamanya. Jika sejarah penubuhannya mahu dijadikan asas seperti pernah diceritakan oleh Nadin Haji Salleh suatu ketika kami berbincang mengenainya, saya fikir MBSS akan berdiri teguh melaksanakan misi dan visinya yang sebenar. MBSS terserlah sebagai pembentuk serta pencetus dasar sastera yang lebih dinamik. Kita tidak bakal teraba-raba dalam pencarian jati diri sebagai sasterawan dan juga pendukung kepelbagaian citra bangsa yang dicelarukan oleh keanekaan sikap, pandangan, cita-cita, harapan dan impian. Sasterawan kita di Sabah kini tercari-cari siapakah mereka di tengah arus pembangunan perdana yang terus mengharungi bumi Sabah yang boleh diumpamakan sebagai raksasa sehingga mereka terus dikaburi 'ketakutan' tersendiri. Dulu sasterawan berharap MBSS boleh dijadikan bumbung tempat bernaung bersama-sama DBP. 'Kehilangan' MBSS menyebabkan kita tidak mengalami sebarang program sastera yang besar yang mencabar minda kita. MBSS meninggalkan banyak jasa kepada perkembangan sastera dan budaya di Sabah dan pesisir BIMP-EAGA. Sebelum ini juga setiap tahun penggiat sastera akan menyertai dua program sastera yang amat dikenali iaitu Nadwah Sastera Islam dan Randau Puisi, saya fikir program ini memberi impak yang bermakna terutama sekali bagi karya-karya berunsur Islam yang banyak dipelopori penulis puisi di Sabah. Sejak ditiadakan, para penulis tidak berkesempatan mendekati intipati atau pemikiran para sasterawan besar kita dengan mengangkat karya-karya yang terdapat dalam pelbagai bentuk penerbitan di Sabah.

3.
Saya secara peribadi berfikir, bukanlah menjadi masalah besar DBP menangani program sastera yang lebih tersusun dan pelbagai serta tidak bertindih sebagaimana usaha yang sedang dilakukan. Malah para penulis dan orang ramai tentu akan menggunakan setiap peluang untuk menyertai program yang diatur. Saya percaya ini kerana menjadi kelaziman warga penulis yang gagal memilih keperluan sebagai seorang penulis berwibawa, akan menyertai apa sahaja program yang dianjurkan, tidak kira di mana, tidak kira tahap penyertaannya bagaimana, tidak kira relevansi kemampuannya; yang penting mengisi peluang. Menjadi kebiasaan juga kita akan diletakkan sebagai pelengkap korum atau pemenuh kekosongan apabila program yang tidak dirancang dengan baik kurang mendapat sambutan. Sebab itu komitmen penganjur perlu tinggi, merancang lebih teliti bukan main tangkap muat semata-mata atau seperti sering saya ungkapkan 'asal jadi'. Kita sama-sama berharap ini tidak diulangi sebagaimana tahun-tahun yang lalu. Tahun lalu Minggu Penulis Remaja 2007 anjuran DBP Cawangan Sabah saya anggap berjaya, itupun dibantu dengan kebijaksanaan pembimbing bengkel. Namun begitu saya tidak pasti apakah karya anak-anak didiknya ketika itu sudah diterbitkan sebagaimana yang dijanjikan. Bakat penulisan para remaja berkenaan memang kelihatan terserlah sewajarnya juga mereka menjadi peserta yang patut diasah secara berterusan.

4.
Hari ini saya membaca sebuah puisi Bonda Hajah Dayang Salmah Salam di akhbar Harian Ekspress, tentang 'lilin'. Semua orang faham metafora cahaya lilin bila dikaitkan dengan peranan ataupun jasa besar seorang penulis. Apa yang berlingkar dalam fikiran Bonda Dg Salmah memang tidak boleh diabaikan begitu sahaja, memang bukan mudah mengukur jasa para sasterawan berdasarkan kayu ukur biasa. Ada orang yang tidak begitu kisah tentang peranan yang pernah diabadikannya, namun ada juga yang memerlukan perhatian bersungguh-sungguh daripada pihak lain. Ada orang yang sering bertanya sama ada kita pernah dianugerahi sebarang bintang kebesaran Negeri atas asas 'kegemilangannya' sebagai 'orang yang berjasa'. Memang melucukan juga tetapi saya pernah berkata kepada Cikgu Ramli AR suatu ketika dahulu, bahawa penulis setiap hari memiliki 'bintang'nya sendiri berbanding 'orang-orang yang berjasa' yang dianugerahi bintang setiap bulan September. Yang sebetulnya pada saya ialah nawaitu kita sebagai apa pun, mungkin kita pernah berjasa, tetapi kita tidak pernah berfikir harga jasa itu ialah medal atau gelaran-gelaran tertentu. Kita pernah meletakkan kedudukan kita sebagai sasterawan di tempat yang betul, menetapkan hak kita yang sebenar, dan kita tidak mengerjakan tanggungjawab sebagai sasterawa disebabkan 'bintang'. Memang betul barangkali kita ini bagai sebatang lilin yang menerangi alam sekeliling, hakikatnya lilin itu pun sementara sifatnya yang akan terkulai padam bila sampai masanya. Maka, yang tinggal hanyalah 'aroma' lilin itu sahaja, sama ada dikenang 'terang cahaya' yang pernah ada dulu, kita tinggalkan kepada orang lain yang bijak melakukan penilaian mereka.

Tiada ulasan: