Rabu, Mei 11, 2005

Reaksi Serasehan Buku 'Sepasang Sayap Jelita'

Saya ingin mengatakan bahawa kritik sesebuah buku tidak sekadar lontaran pandangan semata-mata tetapi lebih daripada itu. Saya berpendapat bedah karya menerusi buah fikiran Asmiaty Amat menjadi kayu pengukur pada takat mana kedudukan kepengarangan saya khususnya cerpen. Genre sastera yang tidak kurang pentingnya selain puisi sebagai genre utama saya. Hanya barangkali disebabkan terlalu menyenangi puisi, kebiasaan membina karya dalam cerpen menyerupai puisi, seperti disebutkan Janathan Kandok sebagai 'Cerpu'. Saya tidak merasa diperkecilkan sekiranya karangan cerpen saya terlalu diperkayai oleh permainan kata sehingga tidak wujud fokus kepada isi atau mesej yang ingin disampaikan. Ada kepuasan tersendiri sebenarnya. Jika pun tidak komunikatif, saya ingin menyatakan sesuatu dengan penyampaian yang semaksimum mungkin. Lewat kata-kata yang indah, ada getar individu yang diharapkan dirasai sama oleh para pembaca yang budiman. Beruntunglah sekiranya pembaca itu seorang penyair, yang mempunyai citarasa yang sama. Namun kepada pembaca yang berada di luarnya, saya berharap ada usaha untuk menerokai alam kata yang berbagai-bagai badai maknanya itu. Tetapi saya tidak menyangka pula hanya mereka yang matang sahaja yang berupaya membaca sebahagian besar cerpen-cerpen dalam buku berkenaan (rujuk Juilis Mokujal dalam milis yang lepas).

Ingin dijelaskan bahawa sebilangan besar karya yang ditulis itu merupakan pengolahan semula kehidupan yang pernah dilalui sama ada secara peribadi mahupun orang lain yang rapat dengan saya. Pada mulanya saya ingin menyembunyikan wajah saya kerana akan terpancar dalam cerpen-cerpen berkenaan wajah kehidupan saya yang sebenar. Tentang penderitaan, kekecewaan, kecintaan, rendah diri dan sebagainya. Namun akhirnya terjadi juga apabila Asmiaty menemukannya. Saya teringat dalam sebuah catatan saya bahawa karya sastera atau apa yang ditulis itu adalah cermin dalaman seseorang pengarang. Misalnya pandangan hidupnya tentang sesuatu yang dialami atau yang pernah dialami bersama orang lain atau pernah didengar olehnya daripada pengalaman orang lain. Dan tanpa disedari juga rupanya kebanyakan isu yang saya bawakan di dalam cerpen-cerpen dalam buku itu mengangkat darjat wanita sebagaimana jika anda dapat membaca kembali cerpen Hanya Namanya Khartijah, Maruah Harith, Menanti Teduh Hujan dan Rama-Rama yang Kehilangan Pasangannya.

Sejak awal-awal lagi saya sudah menjangkakan bahawa ada pandangan bahawa cerpen-cerpen percubaan yang lari daripada konvensional akhirnya tidak memberi apa-apa selain kebosanan. Namun saya tetap berpegang kepada prinsip bahawa apa yang penting ialah saya telah menyampaikan sebuah idea kepada pembaca untuk menilainya atau merasainya bersama . Kumpulan cerpen 'Sepasang Sayap Jelita' terdiri daripada 3 bahagian. Bahagian Pertama memuatkan cerpen-cerpen konvensional, bahagian kedua merupakan cerpen-cerpen percubaan (yang saya fahami) dan ketiga merupakan bahagian di mana penilaian dilakukan oleh dua orang pengkritik sastera di Sabah - Sdr Janathan Kandok dan Sdr Daniel Jebon Jananun. Terus terang saya amat menyenangi karya-karya di bahagian kedua yang lebih kepada usaha pemerian sebuah idea. Biarlah pengarang-pengarang lain membentangkan idea mereka dengan cara yang biasa. Mengapa saya harus menyertai cara yang sama? Apakah darjat kematangan seseorang penulis itu berlaku hanya kerana patuh kepada bentuk semata-mata? Ada pembaca yang tidak memahami novel-novel Azmah Nordin atau Arena Wati. Tapi lebih mudah membaca novel Shahnon Ahmad atau karya-karya underground kalangan para penulis angkatan baru. Ini menjelaskan bahawa saya sebenarnya mempunyai pembaca sasar yang tersendiri, tidak seperti yang lebih terarah kepada karya popular berat tetapi tidak mencabar.

Ini lontaran rahsia rasa yang sedikit untuk dikongsikan bersama sebagai kesan Serasehan Buku 'Sepasang Sayap Jelita' yang berlangsung sabtu lepas. Sebuah kupasan yang jujur dan meninggalkan kesan yang amat bererti secara peribadi dan saya percaya juga kepada anda yang ada bersama. Pandangan-pandangan balasan Sdr Abd Naddin Shaiddin, Sdr Daniel Jebon Janaun dan Sdr Juilis Mokujal juga memberi impak tersendiri sebagai hasil bacaan masing-masing. Kata sesetengah orang lain padang lain belalang, lain orang lain pandangannya. Saya amat menghargai anda semua.

Tiada ulasan: