Jumaat, Mei 13, 2005

I B U

seorang ibu tua yang kurang upaya, tinggal bersama seorang cucu berusia 6 tahun, utuh mengharap kunjungan anak bongsunya, yang sebelum ini amat mengambil perhatian terhadap dirinya, kini lapan tahun menghilangkan diri tanpa berita, tanpa gambar untuk ditatap tetapi tetap abadi dalam kalbu dan ingatnya.
Keadaan ini membawa fikiran saya jauh... bagaimana ibu menjadi ratu hati, yang mengandungkan, yang melahirkan, yang menyusukan, yang membela, yang membelai, yang menyayang, yang menyara hidup bersama ayah ... walau apapun keadaannya.Saya pun teruja dengan perasaan itu untuk mengarang rangkap-rangkap pantun...

Malu bertanya kekal keliru,
waktu berjumpa sulit bersuara,
pilu rasanya menghayat isu,
ibu tua diulit sengsara.

Mengharung samudera rasa dahaga,
tebu diperah dapatkan airnya,
kasih saudara masa berada,
kasih ibu membawa ke syurga.

Warna biru warna yang teduh,
indah menginai pandangan mata,
cinta ibu cinta yang utuh,
tiada nilai setanding harta.

Masih bambu tempat berteduh,
walau hujan telah pun reda,
kasih ibu sarat tak jenuh,
walau kekasih jauh di mata.

Bunga seribu menghias taman,
taman tumpuan ribuan rerama,
usia ibu luas pengalaman,
pedoman hidup di hari muka.

Sebelum ke Kuching singgah di Sibu,
ke bandar Sibu menaiki kereta,
sebelum adik menjadi ibu,
kasihi ibumu yang hakiki cintanya.

Jika roboh jambatan Kiulu,
redah sungai deras airnya,
jika sungguh perkataan ibu,
redalah disemai jelas mahirnya.

Pulau Malawali Pulau Banggi,
berinjin laju menyeberang laut,
kalau wali payah dicari,
di sisi ibu sayang bertaut.

Nota akhir kata berkias,
lebih halus menyentuh kalbu,
kata mahir bila berhias,
lebih manis dihias ibu.

Tamu rabu sarang bekalan,
Mayang bersuara lama merinda,
kasih ibu sepajang jalan,
sayang saudara sama berada.

Tiada ulasan: