Ahad, November 01, 2020

PUSAKA


kulihat hanya warna warna yang datang dari malang sang bijaksana
dan kau hanya tahu mengira menjelma angka menjadi domba-domba
di hadapan bergentayangan saudara mara serigala dan juga segala laga
anggap tanah pusaka bagai lautan yang gelora oleh mara amarah
adakah lagi tabir sangka yang dinantikan setelah semuanya padam
ketika semuanya berpaling menerima jalan-jalan yang kelam
jika kau kata pusaka mengapa ada luka dibebat semata-mata dendam
mereka juga yang tenggelam kebangkitan yang sengaja dilanggam
sebuah nyanyi berdendang dipungut dari suara dan rasa warga rahsianya
masih tak terbuka andai dicanang gendang radang
pusaka ini sutera yang mendakap akrab bukan ragam agam berbunga.

Tawau Sabah
14 Januari 2013

Tersiar dalam Buku Antologi Puisi Suara Pada Satu Musim,2020

Hadiah Sastera Sabah 2020/2021

Rabu, September 09, 2020

PERJALANAN KE DALAM CAHAYA

 
Aku melangkah keluar
dari daki malam
sewaktu menyusun sayang
rapi langkah
cahaya memukau
dari hati.
 
semakin kusayang
semakin rapi kususun jejak
mengembara dalam cahaya
menelur rindu
mencumbuiku.
 
menular padu mengembalikan tenang
lambang seorang gagah
membahterakan pelayaran
ke hujung tanjung.
 
Aku membuka pintu
mempersila masuk
sayang dari cahaya. 
 

1989

Sabtu, September 05, 2020

SPEKTRUM SEMPORNA WAKTU SENJA

 
Senja di sini
menterjemahkan harmonis makna kedamaian
menafaskan getaran fikiran
kocak alun lautan memaut gelombang impi
sebagai rakyat menghuni sebuah daerah  sepi
di tengah-tengah riak dan alur ombak
badai kesempurnaan
melerai kemelut warga, minda dan pembangunan
warnanya telah dikaburkan
santun berkubur dalam liuk lenggang para pendatang
pedagang yang tak kenal malu silu
rapat ke tepian selepas subuh
dan pulang tika senja berlabuh
tidak terasa datang dan menghilang
sebenarnya menghimpun lara yang panjang
dan telah pun berpeta
di bumi bertuah
ini
(atau sebenarnya malang?)
 
selaut makna yang tersirat
membenarkan kemelut disimpulikat
dipersempit keasyikan mempersalah sesama warga
sebangsa
mengocak alpa akhirnya kini memuncak
menggelombang resah dan bimbang:
siapakah yang menang
siapakah yang malang
siapakah yang mewah
siapakah pula yang kalah
kerana beralah?
  
waktu senja
sebenarnya menghimbau bau siang hari
sambil memerhati kocak air laut di sini
adakalanya mengocak ketenangan
mengombak  berjuta pertanyaan tentang bimbang
mengakhiri kemelut bangsaku
bahawa tanah air ini harus disentosai
bukan diperjaja
diulanglaung dalam tingkah pilihan raya
semata-mata!
 
Semporna, Sabah.

1995

 

Isnin, Ogos 24, 2020

KERIKIL

Gunung-Mu berpecah-pecah
jadi kerikil yang lembut
gerimis terlepas.

dari langit kudengar sinar membisiki
selepas wajahku tersipu
dari balik tabir diri.

kerikil memautku
kembara menarik seluruh kalbu
kembali mulai
tanpa segala.


1989