Isnin, Ogos 27, 2012

Pemugaran Karya Sastera, antara menimba dan menambah ilmu


BERSASTERA suatu kerja mulia yang tidak perlu diukur berdasarkan nilai yang nampak kerana memang tidak akan terukur pun. Ada waktunya penulis begitu rajin, banyak berkarya (dalam kamus DBP - prolifik), banyak karya (produktif) dan ada ketikanya layu, bagaikan 'pokok separuh nak mati'. Penulis yang baru ada waktunya juga seperti pohon yang kekurangan air dan tidak cukup baja. Semangat untuk tumbuh cukup hebat tetapi apabila sudah bercambah di muka tanah semakin kurang bermaya lantaran dunia sastera ini cukup mencabar kepada kehidupan kreativitinya. Penulis, mungkin begini, setelah bekerja keras, dia merasa letih.

Kata sesetengah orang, penulis itu tidak mungkin berhenti menulis kerana begitu dia berhenti bermakna dia berhenti berfikir. Menulis itu suatu kegiatan berfikir. Tidak ada apa dalam karyanya jika tidak ada perkara yang terhasil daripada aktiviti berfikir. Merakam peristiwa yang kemudiannya diterjemahkan sebagai bahan baca yang mengandungi elemen baru untuk pembaca berfikir juga tidak dapat lari daripada medan berfikir.

Seorang penulis yang berjaya menyelesaikan sebuah cerpen misalnya sekali duduk, terhasil setelah ia puas atau berhempas pulas berfikir. Apakah bahan yang diperolehinya itu boleh menjadi sesuatu yang berfaedah untuk dinikmati pembaca, sudah menjadi unsur penting hingga dia merenung jauh, jauh atau dalam, dalam sekali. Hingga bila melihat pokok, telus tembus ke pokok-pokok lain, begitu juga bila melihat gunung ganang, pandangan kalbunya boleh menyeberangi ke segala ceruk rimba. Apabila merenung kegelapan malam, dia boleh memandang kelahiran esok pagi bahkan hari-hari yang berlalu lama dulu.

Apakah pembaca faham atau menerima apa yang difikirkannya, itu persolan lain. Baik atau tidak sesebuah karya itu soal kemudian. Setelah diedar atau diterbitkan, karya itu sudah sebahagiannya menjadi yang lain, bukan seperti asal. Orang boleh membuat apa sahaja tanggapan. Puisi atau sebuah cerpen bahkan novel dan drama sekalipun, orang akan membuat tafsiran yang berbeza-beza.

Saya faham tulisan Suhaimi Haji Muhammad mungkin orang lain tidak, begitu juga karya Kemala, Usman Awang, Hatta Azad Khan, Johan Jaafar, Marzuki Ali, Azmah Nordin, Jasni Matlani, Noraini Osman, Ruhaini Matdarin, Mabulmaddin Shaiddin dan seumpamanya. Orang kata ada cara untuk mencari makna sesebuah karya itu. Gunakan tanda atau perlambangan. Cari pendekatan penulis-penulis berkenaan. Hampiri latar kehidupan penulis karya berkaitan. Dan bermacam-macam lagi, tidak payah diceritakan. Orang yang tahu asam garam dunia sastera, lebih faham apa rahsia rasanya. Mungkin juga memenatkan. Atau meletihkan. Bagaimana kalau penulis yang dulunya gah dalam dunia sastera, kini sudah begitu letih bersastera, melihat kegiatan sasteranya hanya sebagai kenangan, tetapi itu pilihannya untuk berhenti berfikir untuk sastera, mungkin kata orang begitu, kini arahnya mungkin di arena yang lain. Misalnya dia lebih suka lepak di kedai kopi bertemu sahabat dan kawan. Berniaga atau boleh jadi memilih dunia politik dan dunia masjid.

Berfikir itu bukan sekadar kerana bersastera. Berhujah tentang sesuatu perkara dalam konteks yang lain juga boleh terjadi. Sastera ini kadang-kadang hanyalah singgahan orang yang letih berfikir perkara-perkara yang rutin. Dia melepaskan masalahnya di arena sastera. Jadilah juga sebuah ciptaan yang dangkal dan asal siap, kurang nilai seninya, kurang diksi yang mencabar, dan inilah karya yang mungkin diterima lantaran mudah difahami. Sedangkan mereka yang benar-benar menggilai sastera yang sudah berani membenarkan pilihan diksi di luar kebiasaan, diletakkan di suatu kamar lain. Terdapat ada penulis baru khasnya yang ingin menulis dalam semua genre walaupun kekuatannya hanya pada satu genre. Dia menulis novel, cerpen, drama dan puisi. Bila menghasilkan puisi, karyanya tidak begitu kukuh berbanding karya-karya prosa. Nilai estetikanya kurang menyerlah, pemilihan diksinya kurang dinamik, teknik penulisannya juga kurang bertenaga.

Kita tahu mana-mana penulis yang serius dan penulis yang sekadar bermain-main di lapangan itu. Penulis yang serius mungkin serius menyertai acara-acara penataran karya sastera. Bengkel novel dia ikuti, bengkel cerpen dia sertai, bengkel puisi juga tidak ditinggalkan, begitu halnya bila kursus penulisan drama yang dianjurkan. Baik juga peluang untuk menimba ilmu perlu direbut yang kemudiannya memilih genre mana yang sesuai bagi dirinya. Negatifnya saya fikir tetap ada kerana sikap kurang memilih menyebabkan peluang kepada penulis yang lain mendapatkan ilmu turut terjejas. Barangkali aktiviti penataran harus berpaksikan kepada genre-genre tertentu.

Bengkel penulisan novel contohnya, diawali dengan azam yang diakhiri oleh produknya. Untuk genre-genre yang lain juga demikian. Dimulai daripada yang amatur hingga yang profesional harus dipisahkan skemanya. Sudah tentu kurang terancang apabila semua peserta disuguhkan mengenai perkara yang sama sedangkan pengalaman masing-masing penulis itu berbeza-beza. Genre pilihan mereka juga berbeza. Apa yang terjadi dalam hal ini ialah persoalan untuk membezakan antara menimba ilmu dan menambah ilmu dalam kalangan para penulis. Memperbanyakkan progam pemugaran karya yakni memberikan nilai tambah kepada para karyawan yang telah diakui metodologi penulisannya wajar dilaksanakan dan sudah pasti memberikan manfaat kepada para penulis yang mempunyai wibawa yang tinggi.

PUSTAKA IQBAL NAZIM

Tiada ulasan: