Sabtu, Mei 16, 2009

Sebuah Kenangan























Sebahagian daripada beberapa peristiwa manis yang sempat dirakam semasa berkursus di Intan Sabah. Training of Trainers (TOT's) menjadi punca kami bersama-sama menerima ilmu, kaedah dan teknik yang betul sebagai jurulatih. Dengan bilangan yang kecil menceriakan interaksi. Saya dapat membezakan pada jam pertama memasuki Bilik Cendana 1 sehingga keintiman dapat dirasai sepertimana juga kursus-kursus yang ditempohi ramai orang. Aktiviti 'ice-breaking' cukup memberikan kesan yang istimewa.

Aktiviti-aktiviti yang dijalankan memberi ruang terbaik untuk saling kenal malah teknik ini menjadi input antara ilmu yang dibawa balik ke jabatan masing-masing. Pada saya ia lebih daripada itu. Terima kasih kepada pembimbing kami Encik Azlan Ahmad (Ketua Unit Pengurusan Kewangan INTAN Sabah) yang agak simple tetapi tak pernah semudah itu mempamerkan ilmu kejurulatihan kepada sebahagian kecil jurulatih yang menyertai kursus ini. Pada saya sesi yang paling menarik selain 'ice-breaking' ialah sesi persembahan tugasan. Dalam sesi ini menjelmakan pelbagai kebolehan, kepakaran, kecenderungan yang membuatkan kami saling interaksi dan menerima elemen-elemen baru, input baru bahkan informasi baru yang kebanyakannya tidak pernah dialami.

Ada rakan yang mempersembahkan mengenai dinar, peranan Kementerian Hal Ehwal Pengguna, mengenai OKU (Orang Kurang Upaya), tentang dadah, perihal rasuah, cara-cara memancing yang betul, mengenai komunikasi, pencemaran alam, keselamatan di tempat kerja dan beberapa persembahan lain yang memang menarik. Tetapi antara yang menarik itu persembahan rakan perserta yang mengenengahkan pertunjukan CPR (Cardiopulmonary resuscitation). Sayangnya masa yang diberi untuk latihana persembahan ini hanya 5-10 minit sahaja. Bagaimanapun ia tetap mencapai apa diperlukan. Isu yang paling penting lagi kami telah memahami persiapan dan prosedur sebelum memulakan tugas mengajar dan berceramah. Rancangan Sesi Pembelajaran (RSP) perlu disediakan sebagai panduan ketika bertugas. Bukan mudah memahami apa yang diperlukan, apa yang dikehendaki atau apa yang hendak diberikan kepada audiens. Apa yang penting ialah sejauh mana objektif sesuatu pengajaran itu mampu dicapai berdasarkan kaedah yang diaplikasikan.

Saya secara peribadi menemui apa yang dicari. Setelah beberapa kali percubaan menyertai kursus TOT's ini gagal, kali ini saya merasa amat bertuah sebagaimana rakan-rakan sekursus yang lain juga. Tahniah diucapkan kepada rakan-rakan perserta. Terima kasih juga kerana memberi kepercayaan kepada sebagai penghulu kursus. (Foto diambil oleh HA)

~ Hasyuda Abadi ~

Tiada ulasan: