Rabu, Mac 25, 2009

Kenangan sering ditinggalkan

Setiap tanggal 1 Januari menjadi hari yang istimewa buatnya. Kami membawa buah tangan tidak lebih daripada buku, buku catatan dan kertas lukisan. Dalam banyak peristiwa satu yang tidak akan saya lupa iaitu tentang namanya. Saya dan sahabat-sahabat perlu berhati-hati ketika menulis namanya kerana beliau pernah menegur kami disebabkan kesilapan yang tidak disedari. Bagaimana ejaan 'Shuhaibun' dan 'Yussuf' yang betul. Ini antara kenangan bersama ayahanda kami yang bernama Datuk Haji Shuhaibun Yussuf.

Ikatan Penulis Sabah (IPS) antara organisasi sastera yang amat akrab dengan arwah. Beliau menjadi idola, penasihat dan penyokong paling penting sehingga IPS tetap bergiat cergas terutama saat-saat cemas sekitar 1998. Beliau merupakan Ahli Kehormat IPS. Beliau gemar menghargai seseorang. Sebagai seorang tokoh, pemergiannya merupakan kehilangan yang amat dirasai. Arwah seorang insan biasa yang mesra dan tidak kedekut memberikan pandangan terhadap permasalahan budaya dan sastera tanah air.

Beliau merupakan insan pengumpul bahan yang baik untuk dicontohi. Sesiapa yang pernah berkunjung ke Dangau Budaya rumahnya di Kampung Pengalat Kecil, Papar tentu biasa untuk mencatatkan buku lawatan. Ribuan orang termasuk pelajar universiti, penulis dan pengkaji budaya telah berkunjung kerana Dangau Budaya menyimpan begitu banyak koleksi, artifak budaya dan bahan-bahan persuratan. Beliau telah meninggalkan sejumlah khazanah yg tidak ternilai banyaknya. Sewajarnya cita-cita arwah untuk menyimpan khazanahnya itu diberikan perhatian. IPS sering mendengar hasratnya itu diucapkannya tetapi ia tetap menjadi angan-angan semata-mata sehingga akhir hayatnya.

Ketika beliau mula sakit beliau juga sempat bercerita tetang beberapa manuskrip yang perlu diterbitkan. Arwah menjadi amat aktif walaupun telah berusia dengan memenangi pelbagai peraduan penulisan selain menerima Hadiah Sastera Sabah. Ini menjadi teladan yang baik kepada generasi baru. Saya tidak pernah lupa arwah satu-satunya insan yang gemar mengutus surat. Kali terakhir beliau menulis ketika perkahwinan anak perempuan saya hujung tahun lepas, walaupun tengah sakit, arwah punya kesempatan menulis sesuatu buat saya. Tiada pengganti untuk ayahanda kami ini. Tiada dua orang 'Shuhaibun Yussuf' di dunia ini. Dialah satu-satunya.

Entri yang lain:
Laliman Ahmad - Doa untuk Ayahanda Pak Shuhaibun
Abd Naddin Shaiddin - Datuk Shuhaibun Yussuf telah Tiada
JY - Mengingati almarhum ayahnda Datuk Haji Shuhaibun Yussuf
Merlenny Deen Erwan - Pak Shuhaibun Meninggal Dunia
Oneh Latifah Osman - Datuk Haji Shuhaibun Yussuf telah pamit...


Tiada ulasan: