Jumaat, Julai 12, 2024

11 Julai 2024 menyimpan sejarah tersendiri untuk IPS

Deklamasi Puisi Dalam Majlis Makan Malam Hari Jadi Rasmi TYT
KOTA KINABALU: Deklamasi puisi akan diselitkan sebagai salah satu pengisian dalam majlis makan malam sempena sambutan Hari Jadi Rasmi TYT pada Oktober depan.
Ketua Satu Ikatan Penulis Sabah (IPS), Awang Abdul Muizz Awang Marusin memaklumkan demikian ketika ditemui media kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu, pada Khamis.
Kredit Foto-foto: #JAPENSabah



ooooOoooo

Dengan penuh hormat dan takzim, kami merafak sembah, menjunjung setinggi-tinggi kasih ke hadapan majlis Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Haji Juhar bin Datuk Haji Mahiruddin, Yang di-Pertua Negeri Sabah atas limpah perkenan menerima mengadap saya dan sahabat-sahabat Ikatan Penulis Sabah (IPS) pada pagi hari ini. Amat bersejarah sesungguhnya buat IPS kerana dapat memperkenalkan komuniti penulis di Sabah ke hadapan majlis TYT Tun.


Ustaz Awang Abdul Muizz Awang Marusin, Ketua Satu Ikatan Penulis Sabah



Muizz mengetuai rombongan pemimpin dan ahli IPS diterima majlis Kunjungan Rasmi terhadap TYT Yang DiPertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu.




Khamis, Julai 11, 2024

Montaj Penataran Penulisan Kreatif IPS



LIRIK PENATARAN PENULISAN KREATIF


telah jauh perjalanan ditempuhi

ada pengalaman memenuhi peribadi

sampai masanya ingin berbakti

menumpahkannya ke acuan pertiwi


kami kumpulan dibimbing semangat

berbekal hemat wasatiyyah jadi azimat

menjulang amanah memandaikan umat

biar mekar kata-kata menjadi kalimat


indah bahasa indah mawadah

menterjemah bibit fikrah 

bait-bait puisi meramun falsafah

membina membimbing membangun

citra sastera generasi madani


Lirik: HA

Muzik: Suno AI






Lagu Penulis Sabah




Lagu Penulis Sabah

Terbit sinar cahaya
tiga orang pemuda
dari pekan Singgah Mata

Ibu negeri Sabah
saksi sejarah kita
cita menulis wibawa

Langkah beristiqamah
Jiwa yang wasatiyyah
misi bergerak bersama

Mengabdi pada Tuhan
Berkhidmat untuk watan
di lapangan penulisan

Bahasa dan sastera
seni, budaya Sabah
warisan kita semua

Menggenggam masa depan
Malaysia berwawasan
berilmu, berkemahiran

Dengan doa, usaha
bersemangat berkarya
memanusiakan manusia


Lirik: AMZA
Lagu: SUNO AI

Semangat Wasatiyyah Sebagai Identiti

Menjadi sasterawan secara sederhana, itu sebuah pilihan dan saya memelihara semangat ini sentiasa ada. Demikian kunci intipati perjuangan komuniti yang insaf bahawa kesederhanaan tidak menyumbang kepada kelemahan. Kesannya tentu sahaja juga sederhana. Tidak terlalu disorak apabila menempuh jaya, tidak terlalu terluka sekiranya menempuh kegagalan.
Saya yakin gerakan berpandukan semangat ini akan terus istiqomah kerana melalui sebuah identiti wasatiyyah, saling menghormati, beradab, berintegriti dan bersungguh-sungguh mempertahan sekaligus memperkasakan impak sebagai hasil yang luar biasa.
Setiap orang ada misinya sendiri, jangan cepat menghukum ketika memandang kekurangan atau melambung tinggi memuji kepada suatu kelebihan. Damaikan fikiran di luar kebiasaan, kerana merasa benar belum tentu baik apatah lagi terbaik. Semua orang memiliki kekurangan, kelebihan dan kesederhanaannya. Jangan juga melakukan perbandingan antara orang dengan yang lain berasaskan satu hal semata-mata.
Seperti yang lain saya bersama rakan-rakan juga memiliki misi tertentu dan sebahagiannya telah dilakukan, ada yang sedang berlangsung dan tidak kurang perancangan. Kami memiliki aset tersendiri bukan wang atau harta tetapi fikiran diluar kotak. Generasi baharu yang inovatif tidak cukup hanya bijak dalam dunia kreatif tetapi juga mempunyai kemahiran tertentu. Di sampingnya berkebolehan memandang jauh di hadapan.
Penggilapan kebolehan berkemahiran harus dipupuk, diraikan, dibimbing, diberikan ruang yang banyak. Jangan bolot semua dengan menganggap kita sudah banyak pengalaman hingga mengabaikan aset tertentu ada pada orang lain dan orang lain itu merupakan generasi penerus perjuangan.
Saya dan rakan-rakan berasa selesa, ketika usia semakin senja organisasi tetap bergerak lebih maju lagi kerana ada pelapis yang dinamik, progesif, inovatif, berani dan sebagainya. Dengan begitu keadaannya saya tetap mengingatkan tentang wibawa kesederhanaan. Melakukannya secara berterusan dan utuh mencapai hasil yang terbaik. Ini lingkaran misi yang mesti dipelihara, dihadam dan diamalkan.