Ahad, Februari 05, 2012

SESEKALI MENOLEH KE BELAKANG


HARI ini tanggal 12 Rabiulawal merupakan hari yang sentiasa diingati oleh umat Islam di mana-mana juga di dunia ini. Suatu tarikh, lahirnya kekasih Allah SWT yang memimpin umatnya ke jalan yang sentiasa diredhai Ilahi. Pada hari tersebut di mana-mana juga akan menyambutnya sebagai suatu detik kebesaran yang sentiasaa ditunggu setiap tahun dengan pelbagai aktiviti keagamaan.

Di zaman kecil, saya merupakan antara kanak-kanak yang menanti hari kelahiran Rasulullah S.A.W selain bulan puasa Ramadan dan hari raya Aidilfitri. Biasanya perarakan dilakukan penduduk kampung bermula dari bangunan sekolah hingga ke sebuah masjid di kampung yang jaraknya lebih kurang 6 kilometer. Kami berhadrah dan bersalawat bersama-sama orang-orang yang lebih dewasa diketuai imam kampung ketika itu, Allahyarham Tuan Haji Awang Adi Karmidi. Jalan raya di kampung kami masih bertanah kuning dan batu-batunya besar-besar, bila ada kenderaan lalu, debu berterbangan dan mengganggu perjalanan kami ke masjid. Kegembiran saya dengan rakan-rakan sebaya tidak pernah dilupakan. Pada malam sebelumnya mengikut ayah ke masjid untuk mengikuti ceramah agama mengenai sirah Rasulullah S.A.W dan pada paginya saya akan bangun awal tanpa perlu dikejutkan oleh emak. Rasa tidak sabar kerana saya antara kanak-kanak yang diberi tugas membawa sepanduk perarakan.

Ketika berada di Pontianak dua tahun lepas kenangan ini berputik lagi. Saya ikut menyaksikan budaya yang sama semasa meraikan hari Maulidur Rasul. Mereka berarak seperti kami di kampung atau di kota tetapi mereka menggunakan motorsikal beramai-ramai. Memang menyeronokkan.

Apapun juga peristiwa yang dilalui, Maulidur Rasul atau Maulud Nabi yang disambut setiap tahun sentiasa menterjemah rasa cinta kita terhadapnya. Hinggakan sebuah program TV merungkai '"Andai Rasulullah Masih Ada" (Lau Kana Bainana) akan mengingatkan kita semua bahawa mencintai Rasul S.A.W menjadi satu kewajipan dalam konteks ketaatan, menjadi pencetus idea dalam konteks dakwah, dan ia juga merupakan silibus dalam garis panduan kehidupan umat Islam.

Mengingati Rasul Junjungan tidak sekadar perarakan atau ceramah bahkan ikut diimarahkan dalam bentuk kesenian dan persuratan. Di negeri ini perayaan Maulidur Rasul begitu sinonim dengan pengungkapan-pengungkapan sasteranya. Misalnya penganjuran Mahrajan Sastera Islam yang sebelum ini lebih dikenali sebagai Malam Mengucapan Puisi Islam anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah dan Dewan Bahasa dan Pustaka. Aktiviti ini terus berkembang dari semasa ke semasa dan paling penting melalui aktiviti ini masyarakat telah mengenali apakah peranan penyair dalam usaha menerapkan ajaran Islam melalui karya sastera khususnya puisi. Walaupun program ini telah berlalu bersama zamannya, roh aktivitinya masih berterusan menerusi Karnival Kesenian Islam yang turut menganjurkan Nadwah Sastera Islam dan Peraduan Menulis Puisi dan cerpen berunsur Islam.

Beberapa individu yang begitu relevan dengan program Mahrajan Sastera Islam tersebut sering mengingatkan aktiviti sastera Islam. Mereka yang saya maksudkan ialah Ustaz Haji Jalidar Abdul Rahim, Datuk Haji Mohd Arifin Mohd Arif dan Allahyarham Pengiran Haji Adnan Pg Haji Abbas serta beberapa orang mantan Pengarah DBP Cawangan Sabah. Ketiadaan mereka selepas bertahan lebih 15 tahun membawa program ini turut merundum dari tahun ke tahun dan akhirnya hilang sebagai salah satu aktiviti penting semasa perayaan Maulidur Rasul Peringkat Negeri dilangsungkan.

Sesungguhnya Mahrajan Sastera Islam berlangsung dengan berjaya sekali. Nadwah sastera Islam mengenengah ramai tokoh dari dalam dan luar negara. Bidang penerbitan pula menzahirkan banyak buku puisi berunsur Islam. Sebanyak 18 buah antologi puisi telah diterbitkan sehingga tahun 2005. Antaranya Antologi Puisi Kekasih (1987), Ujana Laut Ujana Hati (1989), Al-Kahfi (1992), Kiswah Rindu (1993), Qiam (1995), Kafilah (1996), Mujaddid (1997), Tasbih Rindu (1998), Cahaya (2000), Sapaan Bonda (2002), ‘Iktikaf (2003), Nyanyian Iman (2004) dan Hadrah Cinta (2005). Buku-buku puisi menjadi khazanah sastera paling penting apabila membicarakan perkembangan sastera Islam di Sabah malah sebagai sumber penting sastera Islam nasional.

Pemikiran Islami dapat diterapkan menerusi nadwah yang dianjurkan, di situ sahaja dapat menyalurkan gerakan aktiviti persuratan Islam dan seterusnya mengekalkan kehebatan Mahrajan Sastera Islam yang menjadi miliki kita sekian lama. Bagaimanapun, untuk memiliki semua ini, bergantung kepada kewibawaan dan iltizam bersama. Penulis perlu dilibatkan, aktiviti kesenian Islam harus melibatkan kelompok yang lebih luas bukan semata-mata pihak-pihak tertentu semata-mata. Kesenian Islam itu bukan hanya pada seni nasyid, seni khat, seni kompang dan sebagainya tetapi ia harus menyeluruh. Apabila bertemua dengan sahabat-sahabat lama, ada perkara yang telah dengan sengaja menjadi buah cerita, cerita-cerita itu tetap sama. Sastera kita sepatutnya semakin melebar dalam intipati kehidupan masyarakat kita, yang telah digelombangi pelbagai perubahan budaya. Tentu sahaja apabila menoleh kembali ke belakang kita inginkan kegemilangan itu terus berlangsung.

Beberapa orang penyair terbaik dari luar negara pernah dipelawa menyertai Nadwah Sastera Islam sebagai salah satu program Mahrajan Sastera Islam. Bukan mudah bagi penulis bahkan masyarakat tempatan menemui penyair nusantara Taufik Ismail atau Abdul Hadi W.M. secara lebih dekat selain membaca puisi-puisi melalui buku-buku mereka. Melalui aktiviti ini juga masyarakat diperkenalkan dengan tokoh-tokoh penyair selain berupaya membacakan puisi-puisi Islam bahkan diangkat sebagai tokoh penyair negeri yang disegani. Penobatan Tokoh Penyair Islam Sabah meletakkan penulis dan penyair terbaik bagi Negeri Sabah berada di pentas penghargaan. Itu kenangan yang tetap segar bagi saya dan saya fikir sahabat-sahabat yang terlibat ketika itu. Menerusi Mahrajan Sastera Islam, kita telah mempunyai tokoh penyair Islam, antaranya Pengiran Haji Adnan Pengiran Abbas (Allahyarham), Datuk Haji Ismail Abas (Allahyarham), Datuk Haji Jamdin Buyung, Ustaz Haji Jalidar Abdul Rahim, Datuk Haji Shuhaibun Yussuf (Allahyarham), Hajah Zaiton Haji Ajamain, Datuk Hajah Noraini Datuk Haji Salleh, Haji Harun Haji Salleh (Allahyarham), Hajah Sairah Haji Antin (Allahyarhamah), Datuk Haji Mohd Ariffin Mohd Ariff, Haji A.B.M Fajeer, Hasyuda Abadi dan Jasni Matlani.

Namun hal-hal yang lebih umbi harus diserlahkan oleh para penyair untuk mendalami sirah Rasullah SAW sebagai pembawa rahmat dan merupakan satu anugerah dan kurniaan Allah SWT kepada umat manusia untuk menunjukkan jalan yang lurus dan benar. Baginda bukan sahaja diangkat sebagai seorang rasul tetapi juga sebagai khalifah, yang mengetuai angkatan tentera Islam, membawa perubahan kepada umat manusia, mengajarkan tentang erti persaudaraan, akhlak dan erti kehidupan yang segalanya hanya kerana Allah SWT.

Para penyair juga boleh memperteguhkan mesej Islami mereka mengenai Rasulullah SAW dari sudut politik baginda. Kekuatan politik Nabi Muhammad telah menjadi kuat apabila umat Islam berjaya mengalahkan orang Quraisy dan menakluk kota Mekah pada tahun 629 Masihi. Dengan kejatuhan Kota Mekah, penyair-penyair Arab yang mencaci agama Islam dan menghina Nabi Muhammad SAW dalam puisi mereka merasa gentar dan mulai khuatir tentang hukuman yang bakal diterima. Dengan perubahan politik tersebut, penyair-penyair Arab mulai mengubah sikap mereka dan juga tema-tema puisi yang diciptakan.

Kegemaran Rasulullah S.A.W. terhadap puisi terserlah apabila Baginda menggunakan tenaga beberapa penyair Muslim untuk membantu menentang musuh Islam. Antara penyair-penyair tersebut ialah Hassan bin Thabit, Ka’b bin Malik dan Abdullah bin Rawahah.

Hassan bin Thabit dikenali sebagai penyair yang mula-mula mempelopori tradisi puisi memuji Rasulullah S.A.W. Lantaran itu, beliau telah dilantik dan diberi kepercayaan selaku penyair peribadi Baginda dalam usaha menangkis sindiran dan kecaman penyair-penyair musyirikin. Rasulullah pernah berdoa kepada Allah yang khusus ditujukan kepada Hassan bin Thabit iaitu, “Ya Allah tetapkanlah dan kuatkanlah Hassan dengan Ruhul Kudus.” Menurut keterangan seorang sahabat Nabi iaitu Abu Hurairah bahawa, yang dimaksudkan Ruhul Kudus ialah malaikat Jibril.

Syair yang dihasilkan oleh Hassan ke arah membela dan mempertahankan Rasulullah dari menjadi mangsa ejekan dan penghinaan orang kafir Quraisy terutamanya dalam menangkis penyair-penyair yang terdiri daripada kaum musyirikin. Dalam peristiwa perang Badar, Hassan telah membela Nabi dari serangan syair kaum musyirikin yang menghina Baginda dan ajaran agama yang dibawa oleh Baginda. Namun begitu, Hassan dapat membalas segala syair mereka secara spontan.

Rasulullah pernah berkata kepada Hassan iaitu, “Ejeklah mereka hai Hassan dan Jibril sertaimu.” Hal demikian diperjelaskan lagi oleh Abul Faradj al Isfihany di dalam kitabnya bertajuk Al A-Ghany yang mengatakan bahawa Jibril telah menolong Hassan dengan tujuh puluh bait syair memuji Rasulullah S.A.W.

Sebagaimana yang diketahui, bukan mudah menggubah syair apatah lagi untuk membela Nabi dari serangan dan ejekan-ejekan musuh yang demikian banyak dapat dilakukan secara spontan dalam keadaan suasana huru-hara peperangan. Namun begitu, Hassan dengan mudah dapat menggubah tujuh puluh bait syair sekaligus dengan pertolongan malaikat Jibril bagi membela dan mempertahankan kemuliaan dan kebenaran ajaran Rasulullah.

Menurut riwayat Imam Abu Daud dari Ummul Mu’minin Aisyah r.a, Rasulullah telah mengadakan suatu tempat khas di mimbar Baginda di Madinah bagi Hassan bersyair dengan tujuan membalas penghinaan sekalian musuh yang memomokkan Baginda dan agama Allah. Menurut riwayat Ummul Mu’minin Aisyah r.a, beliau telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud, “Itulah dinding antara kita dan orang Munafik, tidak ada yang mencintai Hassan melainkan orang yang beriman dan tidak ada yang membencinya melainkan orang yang munafik.”

Puisi puji-pujian terhadap Rasulullah banyak digubah oleh para penyair. Dalam buku yang diselenggarakan oleh Haji Muhammad Bukhari Lubis dan Hamidah Osman bertajuk Rasulullah dalam Puisi, sejumlah 79 antologi puisi dihimpunkan. Puisi tersebut menyentuh tentang kehidupan dan keperibadian Rasul Junjungan. Dalam kesusasteraan Arab, puisi-puisi yang mengandungi pujian dan sanjungan untuk Rasulullah S.A.W. digelar al-Mada’ih al-Nabawiyah.

Sekiranya kita mengakui bahawa Nabi Muhammad itu adalah manusia pilihan utusan Allah, maka sewajarnya budi pekerti Baginda dijadikan contoh dan teladan umat manusia yang taat setia sebagai pengikutnya. Ianya amat jelas dan sejajar seperti yang termaktub di dalam Al-Quran bilamana Allah telah menegaskan menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya, telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang-orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.” (al-Ahzab 21: 670)

Ayat di atas menjelaskan bahawa, Rasulullah S.A.W. adalah ikutan atau contoh yang baik bagi orang yang beriman iaitu bagi orang-orang yang mengharapkan pahala dari Allah SWT dan mengharapkan balasan pada hari kemuliaan serta mereka sentiasa mengingati Allah. Puji-pujian terhadap Rasulullah S.A.W. yang dijelmakan dalam kesusasteraan Islam khususnya dalam genre puisi yang menyentuh pelbagai aspek kehidupan Baginda merupakan salah satu usaha para penyair melahirkan rasa kecintaan dan sanjungan terhadap Rasul Junjungan. Secara tidak langsung ia dapat membawa amanat bahawa nilai-nilai terpuji Rasulullah S.A.W. wajar dijadikan panduan dan suri teladan bagi membentuk peribadi Muslim

Tiada ulasan: