Ahad, Januari 29, 2012

SESEKALI MENOLEH KE BELAKANG | Membina penulis kreatif melalui bimbingan penulisan


KECENDERUNGAN dan minat orang ramai terhadap dunia penulisan kreatif ini turut melahirkan banyak institusi bimbingan selain agensi kerajaan yang sedia ada. Program bimbingan atau bengkel penulisan sering dianggap sebagai salah satu elemen penting dalam pemantapan karya. Meski pun terdapat penulis yang tidak pernah menyertai sebarang bengkel penulisan tetapi masih mampu menghasilkan karya yang baik. Sebaliknya, individu yang kerap menyertai bengkel penulisan pula ada yang langsung tidak menunjukkan karya mereka. Ini dapat dibuktikan kerana bilangan bakal penulis itu lebih ramai berbanding jumlah karya sastera yang dihasilkan. Dalam erti kata yang lain, aktiviti berbengkel tidak lebih sebagai pertemuan di kalangan rakan-rakan atau berkenalan dengan pembimbing. Padahal pengertian bengkel sendiri membawa maksud aktiviti penambahbaikan karya di mana setiap peserta wajib membawa karya yang sudah siap. Dalam keadaan di mana karya berkenaan memerlukan penambaikan, sepatutnya peserta yang pernah atau mempunyai karya sahaja perlu menghadiri mana-mana bengkel yang dianjurkan. Bagaimanapun, setiap penulis atau sesiapa juga yang meminatinya mempunyai pilihan masing-masing terutama sekali bagi bengkel-bengkel penulisan yang berbayar.

Novelis terkenal, Azmah Nordin hanya sekali bengkel penulisan novel yang disertainya tetapi berjaya menghasilkan puluhan novel dan ratusan cerpen sehingga puncaknya beliau merupakan salah seorang pengarang yang meraih kecemerlangan termasuklah menerima Hadiah Penulisan Asia Tenggara atau SEA Write Award 2009. Bagi saya menyertai sebanyak mungkin bengkel penulisan bukanlah suatu yang perlu difikirkan. Seharusnya difikirkan apakah yang patut dibentangkan dalam bengkel penulisan itu. Penulis yang berbakat dan mengasah bakatnya melalui latihan dan keberanian menghantar karya kepada khalayak pembaca menjadi ukuran sebenar sama ada seseorang penulis itu serius atau sebaliknya. Kita juga boleh menilai penulis yang pernah menyiarkan karyanya di media itu sama ada bermutu atau tidak bukan kerana dia sering menyertai bengkel penulisan.

Saya fikir salah satu pendekatan bimbingan yang boleh dilakukan ialah pertemuan empat mata antara pembimbing dengan peserta dalam skala kumpulan yang kecil, antara empat atau lima orang peserta. Bimbingan Program Anak Angkat Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah yang saya pernah ikuti menggunakan pendekatan ini. Sasterawan Negara Dato' Haji Ahmad Kamal Abdullah atau Kemala merupakan pembimbing saya dan seorang lagi penyair Sabah, Saibil Madun. Dalam pertemuan pertama, Dato' Kemala memberikan pendedahan terhadap pengertian puisi sebelum membawa kami menjelajahi ceruk rimba perpuisian, dari akar penciptaan sehinggalah ke ujana sastera yang luas. Kami diperlukan mencipta puisi-puisi itu yang kemudiannya diperiksa, dikritik, diperbaiki, diolah lagi, diperiksa lagi sehinggalah lahir sebuah karya yang sempurna. Beginilah apabila berhadapan dengan pembimbing yang cerewet. Akhirnya, kami diberi satu tugas besar dengan memilih apakah tema karya yang bakal kami hasilkan selepas pertemuan tersebut. Saibil memilih dunia laut kerana kebetulan sekali beliau amat dekat dengan laut sebagai kerjayanya, sementara saya mendekati dunia sejarah. Saya menghasilkan Balada Paduka Mat Salleh. Saibil pula menulis puisi-puisi yang indah mengenai kehidupan nelayan serta dunia laut sehingga lahir sebuah kumpulan puisi 'Laut Sebuah Ayunan'. Kedua-dua buku ini diterbitkan oleh DBP pada tahun 1986.

Seorang lagi penerima SEA Write Award dari Sabah, Allahyarham Amil Jaya pernah membimbing beberapa orang penulis yang diadakannya pada waktu malam di pejabatnya sehingga dapat menyiapkan beberapa buah novel di bawah bimbingannya. Salah seorang penulis yang berjaya diasuhnya ialah Hajah Asmiah Haji Ajamain. Konsep ini pernah juga dilakukan oleh Dr.Ramli Isin. Selain membimbing dalam bentuk kuliah beliau akan memeriksa karya yang dihasilkan termasuk yang pernah tersiar di media. Beliau menegur dan memberikan tunjuk ajar secara empat mata kepada peserta. Ketika itulah beliau sebagai pembimbing mengenali pesertanya secara dekat, mengetahui proses penulisan peserta dan pada masa yang sama memberikan input atau masukan ilmu penulisan kepada pesertanya. Ramai tokoh sasterawan tanah air mengasuh penulis-penulis Sabah sama ada di bawah anjuran DBP Cawangan Sabah atau persatuan-persatuan penulis. Antaranya Dr. Othman Puteh, Ali Majod dan A.Rahim Abdullah. Sejak program Minggu Penulis Remaja ditiadakan dan Dr.Othman Puteh kembali ke rahmatullah, kebangkitan penulis-penulis muda semakin tumpul dan perlahan. Buku-buku sastera juga tidak banyak diterbitkan.

Perjumpaan-perjumpaan di kalangan penulis di cafe atau di kedai-kedai buku juga merupakan satu kaedah penataran sastera yang baik sekali. Saya perhatikan aktiviti yang diungkayahkan oleh penulis-penulis mutakhir kita di Sabah seperti Ruhaini Matdarin, Pena Alam, Faridah Abdul Hamid dan beberapa orang yang lain boleh membentuk satu kumpulan penulis yang sentiasa siaga. Dalam pertemuan seperti itu mereka membincangkan karya atau buku, bertukar minda terhadap ilmu penulisan yang mereka miliki atau menggarap bentuk penulisan yang pernah mereka baca atau pelajari. Penulis yang berilmu sesungguhnya membentuk nilai karya yang hebat kerana karya yang sarat dengan ilmulah yang diperlukan oleh pembaca. Ilmu yang dimaksudkan di sini juga bermaksud dari segi teknik dan teori penulisan. Bagaimana Azmah Nordin mampu menghasilkan puluhan novel jika beliau tiada ilmu yang ditemuinya, begitu juga novelis Sabah yang sedang menempa nama di negara ini, Ruhaini Matdarin telah menjanjikan sesuatu kepada dunia sastera tanah air apabila menghasilkan cerpen dan novel yang avant garde.

Bimbingan secara atas talian juga merupakan kaedah mutakhir. Azmah Nordin merupakan penulis yang amat komited membimbing menerusi kaedah ini. Sejak tiga tahun lalu bimbingannya menerusi laman blog Sastera bukan sahaja menerima sambutan yang baik bahkan telah melahirkan penulis-penulis novel yang berjaya. Misalnya Ummu Anas, salah seorang peserta bimbingan Azmah memenangi tempat ketiga sayembara novel dan skrip drama kanak-kanak dan remaja, 2009-2010 dengan novelnya yang berjudul SATU. Selain Ummu Anas, peserta-peserta yang kini meyakini bakat mereka antaranya Pena Alam, Ara Aranam dan Dayangku Masturah. Kita boleh mengikuti perkembangan atau jika ingin menyertai bimbingan penulisan Azmah Nordin bolehlah mengakses blognya di alamat http://azmahnordin.blogspot.com. Bimbingan ini percuma dan tidak memerlukan banyak pergerakan. Namun hasilnya tetap membanggakan dengan syarat adanya kegigihan dan kesabaran peserta.

Saya sudah lama berkeinginan untuk menyentuh tentang Program Penulis Anak Angkat DBP Cawangan Sabah. Program ini yang bermula pada tahun 1986 dianggap paling istimewa kerana peluang menerima bimbingan intensif daripada sasterawan berwibawa tanah air. Para penulis yang terpilih juga terdiri daripada disiplin penulisan yang beragam dari sekompleks novel hinggalah kepada genre bukan prosa. Dianggap paling istimewa juga kerana hasil karya bimbingan itu mendapat jaminan untuk diterbitkan. Bila memperkatakan tentang 'jaminan untuk diterbitkan' ia memberikan warna impian di kalangan peserta. Bagaimanapun, beberapa isu yang sering menjadi perbualan santai di kalangan mantan penulis anak angkat ini tidak dapat dielakkan misalnya ada karya yang sudah dinilai tetapi belum juga diterbitkan dan terdapat juga manuskrip yang hilang di tangan pengurusan. Persoalan ini pernah menjadi kontroversi yang agak mencabar pihak penganjur meskipun ia sudah berlalu begitu lama.

Pada masa yang sama pihak pengajur juga mempersoalkan sikap acuh tak acuh dan kurangnya kesungguhan atau komitmen di kalangan penulis-penulis anak angkat untuk menyiapkan progam ini. Penulis memang diakui memiliki kerenah yang tersendiri. Ada yang terlalu berpegang dengan prinsip. Para sasterawan yang dilantik sebagai ayah atau ibu angkat para penulis anak angkat ini juga memiliki prinsip dan pengalaman yang beragam. Di sini terjadinya pertembungan keracuan prinsip. Namun begitu pertembungan ini rupa-rupanya telah mengabaikan hasrat atau matlamat program iaitu untuk melahirkan penulis yang terlatih dan menerbitkan karya yang bermutu di kalangan penulis muda.

Dalam satu kajian yang dilakukan oleh Haji Hamzah Hamdani pada tahun 2004, daripada 27 orang penulis anak angkat hanya 11 buah karya yang telah berjaya diterbitkan. Yang lain - dinilai (3), diperbaiki (2), tiada catatan (10). Melihat kepada angka tersebut tidak sampai separuh daripada penyertaan program ini melaksanakan tanggungjawab mereka. Penilaian ini dibuat hanya berdasarkan kepada buku yang ada di pasaran. 11 buah buku yang diperolehi hasil program ini ialah Pungkad (Obasiah Hj Osman), Balada Paduka Mat Salleh (Hasyuda Abadi), Laut Sebuah Ayunan (Saibil Madun), Serpihan Musim (Siti Rahmah G Ibrahim dan Mariam Omar), Pesta Demokrasi (Janathan Kandok), Susuk Tingkayu (Juri Durabi), Api Laut Merah (Ariffin Arif), Lakaran Perjalanan (Jaafar Abdul Wahid) dan Konflik Protagonis dalam Novel Pilihan Sabah (Julia Unggai).

Di Sabah, program bimbingan penulisan kreatif memang menjadi agenda penting untuk membina dan melahirkan penulis-penulis baru. Mereka yang berbakat akan digilap dari semasa ke semasa. Penganjur perlu sekali mencari bakat-bakat muda ini khususnya mereka yang benar-benar komited mendapatkan pembimbing yang berwibawa. Apapun juga bunyinya, para penulis yang menggunakan peluang menyertai program-program bimbingan penulisan perlu menjana kreativiti mereka seperkasa mungkin. Dengan begini, peluang untuk didedahkan kepada program yang lebih besar menjadi milik mereka, misalnya Program Penulis Anak Angkat DBP atau Program Penulisan Mastera.


PUSTAKA IQBAL NAZIM

Tiada ulasan: