DARI ‘MENGAPA O MENGAPA’
KE PERSADA SASTERAWAN NEGERI SABAH
Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum Waramatullahi Wabarakatuh...
DIRI
Tidak perlu menjadi sesiapa, bagaimana
berasa ingin disanjung, tetapi biarlah
tanpa apa-apa sekali pun, tanpa sanjung
apatah lagi dijunjung. Dunia hanya sandiwara,
sekejap kau apa, sekejap kau siapa, sekejap
kau tiada, memang tiada jika di sisi-Nya.
Ingin apa, ketika berbuat sesuatu, berasa
sangat selesa,
mana kelayakan menyebut baik di hadapan
khalayak
sama-sama meminjam, Tuhan meminjamkan semua,
mana ada apa-apa, jadi sesiapa.
Sedang diam bertafakur, akur keluar dari
tumpangan,
Adalah diri yang lembah, yang diinjak-injak!
Akademi Rupha
17/8/2022
Puisi ini menceritakan tentang hal-hal
ketiadaan yang hakiki buat kita sebagai insan biasa ciptaan Allah swt. Walaupun
sering difikirkan bahawa kita sering menerima sesuatu yang sangat bernilai
dalam sepanjang kehidupan padahal hakikatnya kita bukan pemiliK hakiki, kita
hanya meminjam apa pun kita rasai nikmatnya. Diri kita amat lembab dan mudah
diinjak-injak, sangat pantas untuk menyampaikan bahawa betapA lemah kita di
sisi Allah swt. Ini menjadikan lebih bersiap siaga untuk menerima realiti tanpa
sebarang wap kesombongan, bangga diri, angkuh dan sebagainya lagi. Hanya kesyukuran!
Begini kita menerima sesuatu, saya sangat
gembira diberikan suatu penghormatan dengan penobatan adanya seorang sasterawan
di negeri saya sendiri. Saya bersyukur untuk itu atas penilaian yang bukan
kerja ringan, bukan sambalewa, bukan juga mudah dilakukan. Saya berterima kasih
sebagai antara puluhan rakan seperjuangan di negeri Sabah berada di tempat ini.
Saya gembira dalam kebiasaan yang biasa. Merasakan
punya peranan yang bukan kecil agar sastera bukan semata-mata melahiran puisi
yang bagus. Bahkan puisi harus membuka jalan-jalan kecil dan rumit kepada ruang
yang dituju dengan aman dan membahagiakan. Sudah tentu bersama ujian-ujian yang
tersendiri. Ruang fikir yang jitu.
Dalam salah sebuah puisi berjudul 'RUMAH SASTERA' saya tulis begini:
Sastera di tengah masyarakat
katanya tidak berjejak
bukankah sastera itu matlamatnya satu
membawa suara dari diam sunyi
ke alam makna anyaman diksi
bebas menggamit tugas
terpancar fikiran di sebalik nilai
besarnya niat menjelaskan persoalan.
Masih ramai memandang dunia sastera sebagai dunia yang asing. Padahal tidak. Sastera itu kehidupan kita seharian. Namun lebih jauh daripada itu saya percaya bahawa ada suara dari alam sunyi membawanya ke alam makna yang lebih bebas memancarkan pemikiran. Sudah tentu setiap patah kata itu mengandung makna tertentu.
Alhamdulillah, sukacita saya ingin menyatakan bahawa agensi penting yang memayungi keberhasilan susastera dan bahasa para penulis khsususnya di negara kita adalah Dewan Bahasa dan Pustaka. Di Sabah yang telah bertapak sejak 1971 dengan pejabat yang sangat cemrlang bersama para Pengarah yang bertukar ganti - antaranya almarhum Mohd Ariffin Siri, Hj Hamdan Yahya, almarhum Datuk Hj Ismail Abbas, Sdr Zulkifli Salleh, Tuan Hj Jamaluddin, Tuan Haji Hamzah Hamdani, almarhum Sdr Zaini Ozea, almarhum Sdr Zubaidi Abbas, almarhumah Hajah Asmiah Ajamain dan kini Puan Aminah Ag Basar dan para pegawai yang dedikasi dulu sampai kini - Sdr Rusdi Awang, sebelumnya sdr Nadin Haji Salleh, Datuk Hajah Zaiton Ajamain, Hajah Jamilah Haji Ahmad, Sdr Matlin Dullah - serta staf-staf yang juga dating dan pergi hingga kini tetap juga memberikan kesungguhan melaksanakan tanggungjawab mereka membina dan memperkasakan dunia persuratan. Terima kasih DBP. Dalam pada itu, sudah tentu secara peribadi saya amat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Sabah yang turut memberikan perhatian dan penghargaan sebegini. Terima kasih YAB Datuk Seri Ketua Menteri.
Sukacita saya ingin menyampaikan rasa terharu
dan penghargaan kepada pelbagai figura yang membina dan melahirkan insan ini
kepada perihal kemanusiaan yang lebih bererti. Sudah tentu kepada kedua
almarhum bapa dan ibu saya kerana mereka adalah guru terawal. Seterusnya kepada
atuk dan nenek dan jiran tetangga. Kepada guru-guru dulu dan kini, seawal 7
tahun hingga sekarang. Guru dunia sastera saya yang bermula di pantai Putera
Philip di Tanjung Aru pada 1979 ketika dipertemukan dengan kekanda Datuk Hajah
Zaiton Ajamain dan rakan-rakan Kumpulan Anak Seni sehingga melahirkan sebuah
puisi yang pertama tersiar di Sabah Times pada 13 Disember 1980 bertajuk ‘Mengapa
O Mengapa’. Guru puisi yang sangat disanjung almarhum Datuk Dr Ahmad Khamal
Abdullah (Kemala), almarhum bapa Supardi Joko Damono, bapak Taufiq Ismail dan
Dr Abd Hadi WM. Tidak dilupakan Datuk Dr Mohd Ariffin Mohd Arif, seorang
sahabat dan guru rujukan saya. Selanjutnya semasa berjuang jatuh bangun
mengurus Ikatan Penulis Sabah (IPS) bersama Datuk Jasni Matlani, Sdr Abd Naddin
Shaiddin, Sdr Mohd Jasni Yakub, Dr Mohd Puad Bebit, Ustazah Oneh Latifah Osman,
Hajah Sahara Jais, Sdr. Liberia Stephen Akadious, Cikgu Norawi Haji Kata, Sdr Mabumaddin
Haji Shaiddin, Sdr Mohamed Haji Salleh (Mat Kongo) dan ramai lagi. Kepada media
massa yang menyiarkan puisi-puisi serta karya-karya saya lain terutama kepada
bapak Surya Irawan, editor Harian Ekspres, almarhum bapak K.Bali, Sdr Emin Madi
dari keluarga akhbar Sabah Times, Editor Sastera Berita Harian, Mingguan Malaysia, Utusan Borneo, para editor Dewan Sastera seterusnya penerbit
radio di RTM Sabah yang menyiarkan skrip-skrip drama radio dan cerpen saya.
Sahabat-sahabat dari kecil dan persekolahan
awal di Sekolah Kebangsaan Lumadan Beaufort sehingga di Sekolah Menengah St
John Beaufort. Lanjut ke bandaraya Kota Kinabalu yang juga menggurui kehidupan
40 tahun lebih apabila dilepaskan oleh ibu dan bapa kerana bekerja di ibu kota.
Pastinya, isteri dan anak-anak tercinta sangat mendorong saya memperhalus skop bicara agar terangkum sehingga menjadi indah dan bermakna. Kalian figura penting dalam membangunkan RupHA - Rumah Puisi Hasyuda Abadi - yang menempatkan khazanah buku-buku Pustaka Iqbal Nazim dan rumah ngaji yang menghasratkan motto memandaikan bangsa melalui al-quran di Baitul Muqaddam.
Anugerah ini Allah swt yang punya. Saya hanya meminjam secubit kebahagiaan daripada kebahagiaan milik-Nya. Sebagai sesuatu yang harus saya jiwai dan percaya. Dengan kebahagiaan itu menggalas tanggungjawab tersendiri. Bagaimana sastera mampu membina dan membangunkan jatidiri insaniyyah.
Wallahua'lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan