Label

2017 2022 2025 A.Halim Ali Adat Agama Aktiviti HA Aktiviti IPS Al-Quran Alur Amil Jaya Ammi Manja Analisis Analisis Puisi Andekdot Anekdot Antologi Puisi Anugerah Anugerah Pena Kinabalu Anugerah Sasterawan Negeri Sabah Apresiasi Apresiasi Sastera Ariffin Artikel Artikel Sastera Artistik ASAS ASIS2 2024 ASN Azlinah Azrone Baca Puisi Bagandang BAHASA Bahasa Melayu Bait-bait Baitul Muqaddam Baju Baju Hasyuda Abadi Bakhtin Basirah Bayaran BBK Bengkel Puisi Berimpak Tinggi Berita Harian Online Bernama Bicara Karya Biodata Biodata Ringkas Biodata Ringkas2 Budaya Bukit Selembau Buku Buku Puisi Burung Burung-burung Demokrasi Catatan Perjalanan Cerpen Dajal Data Hasyuda Abadi Datuk Hj Suhaibun Yussuf DBKK DBP Malaysia DBP Sabah Deklamasi Puisi Demokrasi Desigining Dewan Masyarakat Dewan Sastera di Samudera Dialog Teluk 11 Dialogisme Diam diLembukan Dr Mahathir dunia sastera Ekokritik Emin Madi Esei Esei Sastera Fatwa Sastera Islami Fauziah Moksin Filem Fitri Foto Frost Futuristik gagasan Galeria Visual Hasyud Abadi Gapena Gizi H1 N1 HA Arts Hadiah Puisi K.Bali Hadiah Sastera Hadiah Sastera Sabah Hadijah Haji Hamka Hari Kebangsaan Hari Sastera Hasyuda Abadi Hedonis hiper Hirah HSPM Hujan Hutan Ayah Hutan Ayah (Cover) Hutan Ayahm IPS Idea Ikatan Penulis Sabah Ilustrasi intelek Intertekstualiti IPS Istiqomah Izzuddin Fitri Jakim Jamdin Buyong Janatan Kandok Jasni Matlani Jheains Juara Rakyat Jubli Perak DBKK Julia Kristeva K.Bali Kata Kata-kata Katapilar Keberhasilan Keberhasilan Tertinggi Hasyuda Abadi Kekuasaan Kelahiran Sekuntum Cermin Keluargaku Kemali di Lahad Rahsia Kematangan Kembali di Lahad Rahsia Kembara Kalimantan Kepaduan Keratan akhbar Sabah Kesenian Islam Kesusasteraan Borneo Ketua Satu IPS Khilaf Klise Komposisi Kota Kota Kinabalu Kota Literasi Dunia Kota Sastera Kritikan Lagu IPS Larut Lirik Lagu Penulis Sabah Literasi Lukisan Maal Hijrah Madani Mahathir Mahrajan Persuratan dan Kesenian Islam Nusantara Majalah Makalah Makkah Maktab Sabah Malam Hari Tiga Malaysia Madani MAPENA KINABALU Masa lalu MASTERA Maulidurrasul MBSS Melawan Melawan Kebiasaan Membakut Memilih Memuji Menikahi Merdeka MHT Miri Montaj Motto IPA Muhasabah Muizz Musim Perubahan di Negeri Kami Muzalifah Nadwah Sastera Islam Nadwah Serantau Persuratan Islam Naratif Kesempatan Narudin Nasyid Norawi Hj Kata Numera Nur Nusantara Orang Jaga Panduan Menulis Puisi Panji Pratama Pantun Paradox Patriotisme Pelancaran Buku DBP Pemikiran Hasyuda Abadi Pena PENA. Hasyuda Pencalonan ASNS3 Pengarang Pengolah Pengurusan Sastera Penulis Penulis Kreatif Penulis Sabah Penyair Penyair Islam Percakapan Tentang Tema Perpaduan Persidangan Persuratan Kebangsaan Perspektif Persuratan Islami Pilihan raya Pingat Penulis Sabah plagiarisme Pokok politik Politikj Potugis PPS PPSB PPSMI Profesional Proper Psikologi Puisi Puisi Adalah Puisi Adalah... Fenomena Puisi Amil Jaya Puisi Esei Puisi Islami Puisi kabur Puisi Ramadan Pustaka Iqbal Nazim Putatan Rabbani Rahman Shaari Raja Lawak Rencana Riadah Seni Rumah Kita Rumah Puisi Hasyuda Abadi RupHA RupHAm Sabah Sabah Maju Jaya Sahara Sajak Koperasi Salam buat Kekasih Sastera Sastera Islam Sastera Kanak-kanak Sastera Nusantara Sastera Sabah SASTERAWAN Sasterawan Negara Sasterawan Negeri Sabah ke-3 Sasterawan Sabah Sayembara Sayembara Puisi Adalah SEA Write Award Seberkas Idea Tentang Pohon Sejarah Hadiah Puisi K.Bali Senandung Kota di Bibir Samudera Sengsara Sepanggar Sepasang Sayap Jelita Sesekali Menoleh Ke Belakang Siapa Hasyuda Abadi SMJ SMK St John Suara yang Terbuka Suntik Sunyi Surat Surat Khabar Susatera Tadabur Teater Terjemahan Tinta Titik di kalbu nazim Tokoh Mahrajan 2014 Toleran Tots Tuan Tun Juhar TYT Sabah Ucapan Ulasan Cerpen Ulasan Sayembara Peraduan Menulis Cerpen Sempena Hari Malaysia 2020 UNESCO utube Utusan Borneo Wacana Sasterawan Wasatiyyah Wawancara Zubaidi Zubir Ali

Sabtu, April 01, 2017

Anjakan diri dan karya yang berbobot


Oleh Hasyuda Abadi
hasyuda@gmail.com

SESETENGAH penulis beranggapan bahawa hadiah, anugerah dan pelbagai gelar yang lain merupakan pra-syarat untuk meletakkan seorang penulis itu sebagai telah berjaya, hebat dan disanjungi. Sesetengahnya begitu bangga tatkala karya mereka tersiar di media, tidak kira media perdana mahupun media bukan perdana. Rasa keujaan yang luar biasa ini tidak dapat dielakkan oleh sesiapa pun. Bukan mudah pihak editor menerima karya seseorang penulis khususnya bagi yang kurang dikenali walau pun nama penulis berkenaan popular di media sosial..

Disebabkan itu mereka pun berlumba-lumba mengejar segala bentuk hadiah, anugerah dan sebagainya agar boleh duduk selesa dan berbahagia kerana dengan selain memperoleh wang mereka juga bakal menerima sanjungan dan kebanggaan daripada rakan-rakan. Ramai juga menjadi rendah diri kerana mereka bukan daripada golongan itu atas alasan karya sastera mereka belum sampai kepada tahap yang sempurna. Dengan alasan itu juga, ramai penulis memerapkan karya mereka. Terdapat juga kalangan penulis enggan memberikan biodata kerana tidak memiliki sesuatu yang dibanggakan seperti bergelar sarjana sebagai salah satu aras kehebatan seorang penulis.

Jika ditanya kebenarannya sudah tentu jawapannya tidak semestinya, walaupun ada waktunya isu yang disebutkan dituntut untuk memperkasakan ilmu seseorang dalam menggarap karya kreatif masing-masing. Menyertai peraduan penulisan atau  menerima hadiah-hadiah sastera berprestij tentu tidak dihalang sebagai usaha sejauh mana kekuatan karya para penulis. Itu hak masing-masing kerana ada juga kalangan penulis yang tidak suka menyertai sebarang peraduan. Bahkan ada yang pernah menolak sekiranya diberikan hadiah atau sebarang penghargaan.

Menolak sesuatu setelah melalui penilaian sengit memanglah tidak harus berlaku. Barangkali ramai yang menjadikan isu begini sebagai peristiwa yang tidak masuk akal. Namun penulis juga individu yang mempunyai pilihannya sendiri. Malah pada satu sisi di mana situasi ekonomi yang tidak begitu memberangsangkan, nilai duit yang semakin rendah, keperluannya terus dituntut pada masa ini. Menulis untuk mendapatkan wang sepatutnya harus. Seseorang yang bekerja harus menerima upahnya. Salah satu pilihan ialah menerusi peraduan, sayembara, pertandingan dan penilaian yang diadakan. Ternyata rezeki seseorang penulis itu tidaklah gampang datangnya. Dia berusaha untuk mendapatkannya. Dia berusaha juga untuk memperbaiki karya yang dihasilkannya. Dia banyak mencuba dan rajin bekerja sehingga mampu menggarap sebuah perutusan dalam sebuah novel atau kumpulan cerpen dengan berkesan.

Realitinya, setiap penulis harus memiliki pengalaman kehidupannya sendiri ke taraf pengungkapan estetika yang tinggi mutunya, memiliki persepsi yang tajam dan menampilkan sudut persoalan yang menarik, mempunyai daya kreativiti yang tinggi dengan bahasa yang menyegarkan, konsisten dari segi perkembangan dan pengucapan, mengekalkan secara berimbang bagi setiap karya yang ditampilkan dan mencapai citra dan jati diri tersendiri.

Amatlah penting bagi penulis untuk terus komited terhadap genre yang diceburi, dengan giat menulis, mempertajam bakat dan menganjakkan mutu karya supaya setanding. Kalaupun tidak, lebih baik daripada penyair mapan tanah air. Untuk itu, mereka hendaklah terus menghantar karya ke media arus perdana dan majalah-majalah di peringkat nasional agar ketajaman bakat mereka dapat dipertingkatkan. Dengan tersiarnya karya dalam media arus perdana itu, penulis bukan sahaja mendapat galakan dan keyakinan, tetapi karya akan dibaca oleh khalayak yang lebih luas, dan diberi perhatian di peringkat kebangsaan, terutama oleh peneliti, sarjana dan pengkritik sastera yang berwibawa. Mereka perlu menerima hakikat bahawa dengan menyiarkan karya dalam media tempatan, hanya akan mempersempit gelanggang mereka. Mereka perlu mengelakkan diri daripada terperangkap dalam zon selesa.

Inilah hakikat yang perlu diterima, dan sekali gus merupakan cabaran kepada mereka untuk terus memperbaiki kualiti karya yang dihasilkan. Maksudnya, jika ingin terus mencapai kejayaan, mereka tidak mempunyai pilihan, melainkan berkarya secara konsisten, bukannya terperangkap dalam gejala ‘sekejap ada, sekejap tak ada’.

Hanya penulis yang konsisten sahaja akhirnya akan dapat membina jati diri dan idiosinkrasi, hingga meninggalkan kesan besar dalam persada sastera tanah air. Jika kita berpegang pada pendapat T. S. Eliot yang menyatakan bahawa kematangan seseorang penulis hanya akan jelas apabila ia telah menulis secara konsisten selama 25 tahun. Untuk itu katanya, penulis perlu sentiasa ghairah untuk belajar dan membaiki diri serta mengelakkan diri daripada kejumudan dengan melakukan inovasi yang wajar ketika berkarya sejajar dengan prinsip 'licentia poetica' yang ada pada mereka.

Selain itu, mereka hendaklah akur kepada nasihat Ibnu Khaldun yang menganjurkan supaya penulis melalui latihan yang keras dan bersungguh-sungguh dengan ‘tenggelam’ bersama-sama bahasa masyarakatnya demi mencapai kefasihan dan keterampilan yang tinggi. Mereka perlu beranjak misalnya,daripada puisi yang bersifat sederhana, langsung, literal, dan tidak kompeks kepada puisi yang digarap secara kreatif, inovatif, indah dan mengesankan dari segi persoalan, gaya, bentuk dan penampilan selari dengan peningkatan usia kepenyairan dan kematangan pengalaman.

Dalam konteks puisi, kepenyairan, kreativiti dan kemungkinan perkembangan mereka pada masa depan bukan hanya bergantung pada bakat alam, tetapi yang tidak kurang pentingnya keupayaan mereka mempertajamkan dan memanfaatkan bahasa kreatif, kemungkianan untuk melakukan inovasi, serta kesediaan untuk belajar daripada tradisi kesusasteraan yang agung.

Dengan itu, para penulis sewajarnya menerokai dimensi kreativiti berdasarkan ilmu, ketajaman pemikiran dan kepekaan, kemahiran dan penguasaan bahasa yang sentiasa digilap. Mereka seharusnya berusaha untuk membentuk peribadi sendiri berdasarkan bakat dan keyakinan mereka, serta berusaha untuk mengatasi segala kelemahan dan kekurangan dengan sentiasa belajar daripada penyair agung, alam dan persekitarannya. Sama ada mereka mampu untuk menganjak diri ke tahap yang lebih tinggi, dengan mampu menghasilkan karya yang berbobot, berseni dan universal sifatnya, dengan penampilan bahasa yang segar, banyak bergantung pada pengalaman, idealisme, komitmen dan sikap mereka terhadap dunia persuratan pada keseluruhannya.

Dalam keadaan demikian para penulis perlu menyingkirkan sikap tidak sabar atau gopoh dengan hanya mahu melihat karya diterbitkan, kerana ini akan menyebabkan karya mereka tidak lebih sebagai coretan atau catatan kasar yang masih perlu dimurnikan, malah perlu melalui proses penghayatan dan pengolahan melalui renungan dan penggarapan yang lebih berseni. Puisi yang indah dan bermutu tetap akan tahan diuji zaman manakala karya yang mentah hanya meninggalkan kesan sementara, sementelahan puisi akan sekadar luahan emosi melulu, tetapi gabungan yang indah antara rasa halus ataupun kemanusiaan dan perimbangan antara emosi dan intelek akan menempatkannya sebagai adikarya yang diagungi.


PUSTAKA IQBAL NAZIM

Tiada ulasan: