Ahad, Mac 11, 2012

Percakapan Tentang Tema

SESETENGAH penyair tidak pernah memikirkan soal tema apabila dia sedang menulis puisi. Emosinya sewaktu berkarya menjurus kepada amanat atau mesej yang sedang dia fikirkan. Kreativitinya berkembang seiring bersama berkembangnya diksi-diksi indah yang membangunkan karyanya.

Tanpa disedari sebenarnya tema merupakan sesuatu yang menjadi fikiran pengarang. Menurut Waluyo (2003:17) tema adalah gagasan atau subjek pokok yang dikemukakan penyair melalui puisinya. Semua karya terkhusus karya sastera pasti memiliki tema yang merupakan pokok permasalahan yang diangkat dalam menulis karya sastera itu.


Soalnya bilakah tema itu ditemui? Penyair mempunyai pilihan kerana puisi kelihatan amat mudah berbanding genre sastera yang lain. Sebagaimana menulis cerita pendek yang lazimnya mempunyai unsur satu tema, begitulah halnya puisi, tidak mungkin berbaur campur dengan pelbagai tema.


Apa yang penting apabila penyair ingin menyampaikan amanatnya ia berpegang pada satu paksi atau fokus sebagai jalur perjalanan kreatifnya. Demikian halnya apabila penyair menyusun puisi-puisi menjadi sebuah buku kumpulan puisi persendiriannya. Penyair yang cenderung kepada kepelbagaian tema agak sulit untuk menentukan satu tema khusus dalam bukunya itu. Ini terjadi apabila dia tidak siap untuk menulis secara khas sebuah buku puisi tetapi memasuk-rojakkan semua atau sebahagian karya yang pernah disiarkan di media massa sebelum ini.


Selain pelbagai tema, ketidak tepatan pemilihan judul juga akhirnya menjebak buku puisi seperti ini sebagai karya semberono kerana judul yang dipilih tidak menggambarkan intipati tema sebenar kelahiran buku berkenaan. Tanpa menyebut judul buku-buku puisi yang dimaksudkan, saya sering menemui buku puisi seperti ini dan malah saya mengakui pernah melakukan kesilapan itu.


Kita boleh ikuti puisi-puisi tematik berdasarkan sesuatu peristiwa. Ini kelaziman pilihan ramai penyair. Contohnya pada bulan Ramadan, pembaca akan menemui puisi-puisi Islam bertemakan Ramadan di media-media massa. Semasa bencana Tsunami melanda Aceh pada tahun 2005 begitu banyak puisi mengenainya ditulis penyair. Tidak dinafikan terdapat penyair yang menulis hanya berdasarkan tema, misalnya diundang menghasilkan puisi bertemakan Hari Kemerdekaan atau berkaitan dengan tema keagamaan. Selain daripada itu dia tidak menulis puisi kecuali diminta untuk menulis. Penyair jenis ini digelar penyair tempahan kerana dia ditempah untuk menulis mengikut peristiwa dan tempoh tertentu di samping dijanjikan bayaran sagu hati tertentu. Apabila puisi-puisi tempahan ini dihasilkan amanat yang akan disampaikan oleh penyairnya mudah untuk difahami.


Perbezaan paling ketara antara menulis karya kreatif dengan bukan kreatif tentu sahaja bentuk penyampaian, laras bahasa atau gaya bahasa dan pemilihan diksi yang padat dan tepat. Puisi merupakan karya sastera yang memiliki struktur yang sangat kompleks yang terdiri daripada beberapa strata atau lapis norma. Masing-masing norma menimbulkan lapis norma di bawahnya, seperti dijelaskan oleh Rene Wellek. Lapis norma pertama adalah lapis bunyi (sound stratum). Bila orang membaca puisi, maka yang terdengar adalah serangkaian bunyi yang dibatasi jeda pendek, agak panjang, dan panjang. Lapis pertama yang berupa bunyi tersebut mendasari timbulnya lapis kedua, iaitu lapis makna (units of meaning), kerana bunyi-bunyi yang ada pada puisi bukanlah bunyi tanpa makna. Bunyi-bunyi itu disusun sedemikian rupa menjadi kesatuan kata, frasa, kalimat, dan bait yang menimbulkan makna yang dapat difahami oleh pembaca.


Puisi adalah salah satu bentuk karya sastera yang mengekspresikan secara padat pemikiran dan perasaan penyairnya, digubah dalam wujud dan bahasa yang paling berkesan. Pemikiran juga bersangkut dengan amanat samada yang bersifat intrinsik mahupun bersifat luaran. Pada umumnya penyair mengungkapkan gagasan dalam kalimat yang relatif pendek-pendek serta padat, ditulis berderet-deret ke bawah (dalam bentuk bait-bait), dan tidak jarang menggunakan kata-kata atau bahkan kalimat yang bersifat konotatif. Ini juga suatu pilihan dalam kalangan penyair itu sendiri.


Ketika ingin menentukan tema, penyair yang tegar tentu memahami bahawa struktur dan ragam puisi sebagai hasil karya kreatif terus-menerus berubah. Hal ini nampak apabila kita mengkaji ciri-ciri puisi pada zaman tertentu yang ternyata berbeza dari kekhasan puisi pada zaman yang lain. Di masa lampau misalnya, penciptaan puisi harus memenuhi ketentuan jumlah baris, ketentuan rima dan persyaratan lain. Itulah sebabnya pendeta Za'ba mendefinisikan puisi sebagai karangan berangkap. Definisi tersebut tentu saja tidak tepat lagi untuk masa sekarang kerana saat ini penyair sudah lebih bebas dan tidak harus tunduk pada persyaratan-persyaratan tertentu. Hal ini mengakibatkan pembaca tidak dapat lagi membezakan antara puisi dengan prosa hanya dengan melihat bentuk visualnya. Kerana itu, bukanlah terlalu sulit untuk penyair menentukan apakah tema pilihannya sebagai satu kecenderungan menulis puisi.


Penyair yang siap merupakan penyair yang telah terjana berpaksikan satu tujuan, satu matlamat dan satu amanat. Mungkin kenyataan ini tidak enak kepada segelintir penyair yang mampu bersikap apa saja tema baginya bukan masalah besar dan menjadi kesalahan. Saya berpendapat memilih satu tema yang jelas menjadi salah satu persyaratan penyair berkaitan diberikan biliknya sendiri. Mahu percaya mari sebutkan siapakah penyair sufi di Singapura misalnya, dengan cepat akan mengaitkan penyair Johar Buang. Di Malaysia, sudah tentu kita boleh menyebut nama-nama seperti Kemala, Shafie Abu Bakar, Ariffin Arif dan Shuhaimi Haji Muhammad. Siapakah penyair rakyat di Indonesia, pasti akan ada yang menyebut W.S.Rendra atau yang sufi pada karya-karya Kuntowijoyo. Pilihan tema mereka itulah bilik mereka dalam rumah sastera yang mereka bina.





PUSTAKA IQBAL NAZIM

Tiada ulasan: