Jumaat, Januari 02, 2009

Cerpen | KETIKA SEMAKIN MENJAUH


APAKAH yang dapat dilakukan lagi? Segala-galanya telah berlalu dan berlaku. Waktu begitu pantas meninggalkan kita. Dalam keadaan yang perlu kurelai walaupun terlalu pahit. Pedih dan melukakan. Barangkali cerita ini kelihatannya terlalu melankolik, hambar dan membosankan. Namun hakikatnya aku mahu menceritakan juga walaupun kau semakin jauh. Dan tak pernah mengunjungkan khabar. Aku juga tak pernah menjangkakan akan menemuimu dalam masa yang terdekat ini. Apa lagi untuk memohon maaf jika berlaku keterlanjuran masa lalu. Aku terlalu manusia tanpa menyedari berlakunya sesuatu di luar duga. Misalnya pertemuan ada perpisahan. Tapi, selepas terpisah adakah pertemuan semula?

Entahlah, jawabku ketika hati selalu bertanya apakah kesudahan pencarianku. Barangkali aku sudah kehilangan arah dan punca. Bumi ini tidak kecil untuk kujelajahi, malangnya aku tak tahu di mana harus memulakan langkah kaki. Malah aku mungkin tersesat jalan ketika menemui desa-desa lama yang sudah berwajah moden. Aku tak akan menemui lagi sebuah desa terpencil di mana kita dipertemukan dulu. Sebuah desa tradisional yang ketinggalan waktu itu. Mungkin tidak lagi sekarang selepas lebih empat puluh tahun megecapi kemerdekaan.

Sepatutnya perubahan-perubahan yang berlaku sekarang memudahkan pencarianku. Prasarana yang ada di depan mata sudah cukup memukau, tetapi ketika masa yang sama kau semakin menjauh. Mungkinkah dengan kecanggihan teknologi menerusi IT yang kini merubah permikiran masyarakat kita akan memberi jawapan kepadaku? Tapi siapalah kita, kalaulah setiap insan di dunia ini memiliki laman webnya sendiri sudah tentu kau kutahu di mana.

Aku percaya, kau juga telah mengalami perubahan, maksudku perubahan mengenai maklumat-maklumat terkini terhadap penggunaan IT khususnya di kalangan masyarakat. Boleh dikatakan bahawa hampir semua rakyat di negara ini mengetahui IT. Sudah pasti perubahan yang diharapkan ialah perubahan positif yang membawa kebaikan kepada masyarakat seluruhnya. Malah faedah-faedah yang boleh diperolehi daripada IT ini telah disenaraikan dengan begitu teliti sekalipun ramai yang belum jelas bagaimana matlamat itu dapat dicapai.

Tiada siapa yang berani menafikan segala faedah yang dicapai melalui IT. Bagaimanapun, seperti yang pernah kita dengar, apa saja yang memberi faedah tidak akan terlepas daripada kesan negatif yang kadang-kadang di luar jangkaan. Dalam keghairahan kita menyambut, menyanjung dan menjulang IT kita tidak seharusnya lupa dan lalai daripada kesan negatif yang dibawanya. Kau pernah mendengar nama Bill Gates, pakar IT yang terkenal di seluruh dunia itu. Semasa aku mendalami bidang pengkomputeran di ITM beberapa tahun lalu, aku sempat menelaah sejarahnya dan seterusnya melalui buku tulisan Gates sendiri berjudul Jalan Di hadapan.

Menurut Gates, banyak kesan negatif yang dikesan melalui kecanggihan yang telah diperkenalkan kepada masyarakat kita di era ini. Ia membabitkan soal-soal keselamatan, sosial, kekeluargaan dan sebagainya. Keselamatan negara boleh terancam sekiranya tidak berwaspada daripada penceroboh yang memasuki sistemnya untuk mencuri maklumat rahsia. Transaksi melalui internet, misalnya, mungkin dapat dipintas dan diambil kod rahsia atau sekurang-kurangnya telah ada laporan mengatakan nombor kad kredit telah dicuri dan pencuri telah membeli pelbagai barangan melalui internet dengan menggunakan kad kredit berkenaan. Pemilik kad kredit tersebut terpaksa membayar harga barangan yang dibeli oleh orang lain. Dari aspek sosial kekeluargaan kesan negatifnya cukup jelas. Kesan ini mungkin dilihat dari sudut ketagihannya mahupun dari sudut isi dan maklumat yang diperolehi melalui laman web yang beratus ribu jumlahnya. Seseorang mungkin berada di hadapan komputer berjam-jam hanya untuk melayari internet kerana ingin melihat maklumat-maklumat di laman-laman web yang berlainan. Isteri mungkin tidak memperdulikan suami lagi. Anak-anak mungkin lalai dari mengulangkaji pelajaran mereka. Kesannya mungkin akan memporak-perandakan rumah tangga.

Aku percaya ini tidak berlaku dalam keluarga kita, keluargaku mahupun keluargamu. Realitinya mencari seseorang sepertimu, begitu memudahkan jika laman web dapat diteroka. Namun ini tak mungkin. Kita belum sampai di situ. Walaupun tidak mustahil. Yang pasti, aku hanya mampu mengingatimu dan mengulang-ulang kenangan. Bukan melalui internet atau membiarkan jejariku mengklik tetikus mengarahkan menu utamanya di skrin komputer sesuatu yang kuinginkan, tapi melalui ingatan yang ada pada otak - anugerah Tuhan yang aku miliki. Dan ingatanku tak pernah hapus. Otak manusia tidak pernah kekurangan bit untuk menampung maklumat kehidupannya.

Kau masih ingat bukan, ketika pada suatu pagi kita menuju ke destinasi yang sama, lapan belas tahun dulu.

Bukan lapan belas tahun, lebih dari itu. Mungkin hampir dua puluh tahun. Maafkan aku, kadang-kadang aku jadi seorang yang pelupa untuk menghitung bilangan hari yang telah menjarakkan kita. Masa itu kita adalah angkatan muda yang kental mencari sesuatu untuk kehidupan kita ketika remaja. Sesuatu yang mencabar tentunya, selain keseronokan dan bersuka-suka.

Kita ingin berbakti kepada masyarakat sebenarnya. Berbakti kepada agama yang kita muliakan. Berbakti kepada negara yang makmur dan membenarkan kita dibesarkan di buminya. Dengan berbakti begini kita menjadi patuh kepada kehendak rukun negara. Kita menjadi warganegara yang setia dan sanggup mempertahankan maruah bangsa daripada anasir luar. Misalnya pengaruh negatif yang masuk ke dalam budaya masyarakat kita. Budaya hippis, budaya rock, budaya compang camping, budaya ganas, agresif dan berbagai-bagai lagi. Peninggalan penjajah yang telah mendarah daging bangsa kita terus mengakarkan budaya yang bertentangan dengan nilai agama.

Kita telah disedari tentang itu. Sampai sekarang ini pun perjuangan kita masih belum selesai. Kita harus bersama-sama mempertahankan maruah bangsa kita. Kita mesti percaya bahawa kita mampu berdiri di atas keunggulan bangsa kita sendiri. Tidak mengikut telujuk barat yang sejak berkurun mendendami keunggulan bangsa yang harmoni dan aman di dunia ini.

Tentunya aku tidak memikirkan semua itu dulu. Bahkan kau juga begitu. Kita masih anak-anak yang baru menikmati dunia yang diberikan sedikit kebebasan oleh ibu dan ayah. Kesempatan itulah yang mempertemukan kita. Kau merupakan seorang yang mesra dan aku tertarik dengan kemesraan itu. Walaupun mungkin aku terlalu malu seperti biasa mendekati seseorang sepertimu namun perasaan itu tiba-tiba sahaja seumpama kabus yang beransur hilang ketika cahaya matahari menjengahkan matanya. Ada matahari antara kita!

Dan, ditakdirkan kita menemui kebun persahabatan yang luas terbentang. Kita menjadi pekebun yang rajin dan pengusaha tanaman kasih yang tak pernah mengalah oleh petaka kemarau dan hujan yang luar biasa. Bukankah itu ujian dari Tuhan? Ada rahmat yang tak terjangkau oleh akal kita. Walau apapun yang dihadapi kita menghadapinya dengan tabah. Kau kulihat begitu bersemangat menjadi ‘petani’ walaupun aku sedikit kaku. Entahlah, jawabku lagi jika kau bertanya mengapa aku begitu.

Sebenarnya aku menjadi serba salah. Aku tak pasti jika ada pertemuan lain yang akan diatur selepas ini. Aku juga tak tahu bilakah saat itu berlaku. Walaupun selepas hampir dua puluh tahun kita tak berhubung kata. Tapi percayalah pada kata-kataku bahawa hubungan rasa tak pernah kurahsiakan untuk kukatakan. Aku mungkin tidak mengharapkan sangat jika tidak ada pertemuan yang terbaru dan aku tak mungkin berkesempatan bertanya sesuatu. Jika itu kehendak Tuhan, mungkin. Jika kehendak Tuhan kita dipertemukan, bagaimana?

Entahlah, jawabku lagi. Aku mungkin belum begitu percaya kau akan menghubungiku. Sedangkan aku bukan seperti dulu seperti juga kau bukan seperti dua puluh tahun yang lalu. Jika kau pernah membaca karyaku bertajuk Sebuah Pertemuan Yang Terdekat, mungkin dapat kau telaah siapakah kita masa ini. Ya, benar kau bukan lagi seseorang yang harus kuhampiri kerana ikatan perkahwinan. Begitu juga aku. Anak-anak yang semakin membesar dan mengejar usia kita yang semakin lanjut ini. Jadi, mustahil kita menjadi seperti dulu lagi.

Namun kenangan tak mungkin hilang begitu sahaja. Semakin usia mendekati titiknya, kenangan semakin berdiri megah di hadapan kehidupan kita. Aku tak akan tenang tanpa membuka lembaran sejarah.

Mengapakah aku mengingatimu?

Ada sesuatu yang istimewa dan tak pernah kuceritakan kepada sesiapa walaupun dengan orang yang terdekat, apa lagi isteriku. Aku tidak mungkin menceritakan kepadanya. Demi menjaga hatinya. Tak akan ada luka baru untuknya dan aku bukanlah seorang yang hipokris dan zalim. Realitinya aku menyimpan rahsia yang amat mahal untuk dikongsi tapi rakan kongsiku terhadap rahsia ini hanyalah kau.

Jangan kau kunci kenangan itu. Aku harap begitulah, walaupun kau berada di negeri yang jauh atau di desa-desa tua yang sudah moden sekarang. Atau di pinggir banjaran Crocker atau di lembah yang mendatar di pedalaman sana mahupun di pulau-pulau yang dijarakkan oleh Laut Cina atau Laut Sulu. Aku harap kau bahagia. Bersama anak-anakmu juga suamimu. Maafkan aku jika cerita ini sampai ke pengetahuan mereka sedangkan risikonya memungkinkan kau menjadi sasaran yang tidak sepatutnya berlaku.

Sesungguhnya keikhlasan yang dapat kukatakan, hanya kalimat ini yang mampu mendekatkan kita. Itupun jika ditakdirkan ada waktu yang terdekat ini kita dipersuakan semula. Sebagai insan. Aku tidak mengharapkan pertemuan itu berlaku seperti dalam karya yang kutulis beberapa tahun lalu bertajuk Aduhai Dayang Sarah yang mewajibkan Ibrahim menjelajah kota tua yang menjadi kotaraya moden semata-mata mencari Dayang Sarah. Rasa rindu yang menebal bukan semata-mata kerana Dayang Sarah pernah menyayanginya, tetapi nostalgia kepada kampung halaman, budaya masyarakat masa lalu yang tak mungkin dapat diulang laku semula.

Namun di situlah kelainannya. Kelainan yang akan memberi beberapa pedoman. Masa lalu selalunya akan meninggalkan jejak pengajaran untuk memperbaiki kelemahan, kekurangan atau kesilapan. Bukan untuk mengulang laku semula tetapi dengan segala jejak yang terkesan kita akan menjadi insan yang tidak lupa kepada fitrahnya bahawa insan itu mahluk yang tidak sempurna. Ini tak mungkin kuceritakan juga. Kau juga menyedarinya bukan?

Sebab itulah kita sering mendengar berleluasanya perubahan sikap masyarakat kita hari ini bersama-sama masalah yang tidak pernah bernoktah. Percakaran sesama agama Islam berlaku di Asia Barat sana walaupun menyedari dalangnya adalah masyarakat barat. Demikian juga krisis perkauman di negara-negara bekas Komunis. Negara kita juga sering dituduh secara semborono oleh barat. Tapi kita bernasib baik kerana memiliki para pemimpin yang bijaksana malah menjadi wira Asia seperti gelaran yang diberi kepada Perdana Menteri kita Datuk Seri Dr Mahathir Mohammad, berani menyuarakan pendapat kita secara lantang. Beliau bukan sekadar mahu berkata lantang tetapi membuktikan setiap ungkap kata yang diperjuangkannya.

Namun atas keberanian itu kita tidak lepas daripada sabotaj, berpatah arang berkerat rotan barat dan sasaran dendam kesumat yang tak kunjung selesai sejak berzaman. Masa ini misalnya, kegawatan ekonomi yang melanda negara tentunya disebabkan oleh gelagat barat yang sengaja ingin menyusahkan negara-negara yang tidak mengikut telunjuk mereka. Tetapi negara kita masih seperti biasa. Biarpun perluru-peluru berpandu keji barat mahu menghancurkan keampuhan ekonomi kita, negara kita tidak banyak terjejas kerana kemampanan ekonomi kita sejak beberapa tahun lalu.

Masalah tidak juga akan selesai sampai bila-bila biarpun kita sanggup berhadapan dengannya. Tetapi manusia yang berada di negara ini telah dianugerahi Tuhan sebagai insan yang pemurah dan baik hati. Pemerintah seringkali memandang masalah dari sudut kemanusiaan. Sebab itu negara kita yang terlalu makmur ini menjadi persinggahan warga luar yang datang secara tidak sah mengharapkan simpati. Sungguh menakjubkan malah menggerunkan. Aku tak dapat membayangkan jumlah yang semakin membiak. Di mana-mana sahaja pelusuk negeri manusia dari kelompok itu bertapak seperti parasit.

Mujur jugalah kerajaan kita memperlihatkan keagresifannya untuk menangani masalah pendatang tanpa izin ini. Mereka dihantar pulang dan kita mungkin kelihatan lega kerana kehadiran mereka menyebabkan banyak kegiatan jenayah yang bukan menjadi budaya hidup masyarakat kita. Besar amat wang yang dikeluarkan untuk menangani masalah ini. Bukan ribuan tapi jutaan ringgit!

Namun kita tidak dapat mengelakkan semua itu daripada berlaku. Ini ditambah lagi dengan situasi kegawatan ekonomi negara-negara jiran, semakin ramai pendatang tanpa izin ini mendarat di perairan negara. Ini menambah beban kita. Tapi penahanan tekong-tekong yang membawa masuk pendatang tanpa izin di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri akan memberi kesedaran kepada mereka. Mudah-mudahan segala pembohongan dan penipuan akan terbongkar. Kita mahukan kehidupan yang selesa, harmoni, aman dan bebas dari segala ancaman jenayah yang banyak dilakukan orang asing.

Bukan sahaja jenayah tetapi perbuatan-perbuatan mungkar berlaku di sana-sini hinggalah pada suatu ketika berlakukan ribut besar beberapa tahun sudah. Tentulah kau pernah mendengar ini. Ya, benar seperti katamu, tidak siapa yang tidak mengetahui tragedi Greg dan pengajaran di sebalik tragedi itu. Semua itu berlaku kerana lupa kepada ajaran yang dituntut oleh agama. Perbuatan mungkar yang menyalahi peraturan agama wajar menerima hukuman.

Moral yang semakin menipis di kalangan anak muda juga menjadi bualan masyarakat kita termasuklah para pemimpin negara. Susah juga untuk mencari puncanya. Pengaruh luar mungkin, dan sikap kita juga yang tidak tahan uji oleh perubahan yang berlaku di sekeliling kita, merupakan satu hal lain. Peranan ibu bapa, guru dan masyarakat selalu ditekankan, tapi mengapa masih juga berlaku perbuatan-perbuatan yang membawa kecoh di kalangan anak-anak remaja kita? Mengapa masih berlaku juga segala gejala sosial ini? Bukankah golongan remaja merupakan pewaris kepimpinan negara kita?

Entahlah, jawabku lagi, jika soalan yang sama kau utarakan kepadaku. Kita tidak harus hilang arah. Tidak mungkin kita kehilangan arah jika kita mempercayai apa yang diajar dalam kitab suci Al-Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w.. Kita beritikad dan melakukan yang disuruh serta menjauhkan diri dari perbuatan yang ditegah.

Syukurlah jika ada kesedaran baru di kalangan masyarakat. Memang kita tidak mungkin menjadi masyarakat yang seratus peratus bersih daripada segala macam gejala yang tidak sihat itu. Fitrahnya, seperti aku katakan tadi, manusia tidak akan terlepas dari melakukan kesilapan. Demikian juga gejala perebutan kuasa, kedudukan dan pangkat di kalangan pemimpin kita hari ini. Apakah aku perlu menceritakannya padamu. Tentu kau tersenyum bila mendengarkan ungkapan pemimpin, cita-citaku sejak dulu. Aku tak mungkin menjadi pemimpin seperti itu. Jika aku menjadi pemimpin aku tidak akan berusaha mencari peluang dan kesempatan semata-mata mahukan kedudukan, kuasa dan pangkat. Gelaran jawatan bukan membawa makna apa-apa jika memungkinkan kita kehilangan kewarasan, hati budi dan arah tuju. Kepalsuan sering menjadi kata-kata manis. Menjadi pembohong tidak mungkin menjadikan aku seorang pemimpin yang bijaksana dan adil. Tidak mungkin tercapai kecemerlangan kepimpinan jika tujuan dan matlamat, niat dan falsafah yang ingin didokong itu terkeluar daripada landasan yang sebenar.

Mengapa harus bercakaran sesama sendiri. Di manakah budaya masyarakat harmoni dan penyayang yang dilaung-laungkan selama ini? Aku tidak akan mengatakan semua ini jika tidak merasai kesakitan yang kita rasai sekarang. Apabila berhadapan dengan seseorang yang kita kenal dan dia merupakan seorang pembohong dan penipu yang licik tiba-tiba bercita-cita menjadi seorang pemimpin, tentulah berkali-kali aku menggeleng-gelengkan kepala. Sungguh sedih dan memilukan. Masyarakat kita akan teripu oleh kelicikan mereka, oleh empanak atau kata-kata manis mereka dan oleh tingkahlaku mereka yang palsu belaka. Inikah corak pemimpin yang kita mahu? Inikah bentuk pemimpin yang ingin kita pilih untuk menerajui kepimpinan negara?

Entahlah, aku hanya ingin berkata begitu kerana aku hanyalah pemimpin kepada diriku, keluargaku dan kelompok kecil masyarakat yang percaya kepada kebenaran. Bukan kepalsuan, penipuan, pembohongan, rompakan dan segala macam kezaliman.

Tidak ada keadilan selagi manusia tidak mempelajari kehidupan dengan sejarahnya. Golongan wanita selalu mengatakan tidak ada keadilan dalam kehidupan. Mungkin ada benarnya. Aku pernah berbual-bual ilmu dengan rakan-rakan terutama sekali kaum wanita mengenai isu gangguan seks di tempat bekerja. Ketidak adilan berlaku di mana-mana ketika manusia sudah kehilangan kewarasan dan arah pandu. Barangkali kau setuju jika kukatakan bahawa wanita yang menjadi mangsa gangguan seks seumpama ini harus berani mengenengahkan aduan mereka kepada pihak berkuasa. Aku sungguh sedih dan amat benar dukacita kerana perlakuan sumbang ini berlaku di mana-mana termasuk di pejabat-pejabat kerajaan. Penerapan nilai-nilai Islam di dalam pentadbiran hanya tertumpu kepada budaya kerja tetapi bukan secara menyeluruh termasuk nilai moral di kalangan kakitangannya. Perbuatan itu seperti diizinkan dan menjadi perkara biasa di kalangan anggota organisasi tersebut. Gangguan itu dianggap semata-mata sebagai gurauan. Tapi alangkah moleknya jika di peringkat awal wanita yang diganggu itu menegur walaupun orang yang melakukan itu seorang majikan atau ketua tempat bekerjanya. Soal maruah diri tidak memilih siapa. Apakah kedudukannya. Aku percaya kepada kata-kata ini: Manusia harus disedarkan!

Dengan membiarkan dan menganggapnya sebagai biasa maka, akhirnya menjadi budaya gurauan yang tidak bermoral. Aku percaya kau juga jijik melihat perlakuan itu. Bayangkanlah orang yang diganggu itu isteri, anak perempuan, adik perempuan atau sesiapa sahaja yang ada kaitan darah dengan mereka yang mempunyai habit tidak bermoral itu. Tentulah dia seorang yang hipokrit dan tidak bermoral. Dia tahu jika aduan dibuat siapakah yang sanggup menjadi saksi terhadap perbuatannya. Adakah siapa yang mahu mempercayai seorang majikan akan melakukan perkara tidak bermoral itu? Barangkali benarlah bahawa sudah tiba masanya habitat haiwan menyerap ke dalam diri manusia yang hilang pertimbangan hidup.

Tentulah tidak ada keadilan. Aku bingung memikirkan hal-hal ini. Barangkali hanya Tuhan sahaja yang boleh menghukum insan seperti itu. Tapi apakah hanya berserah kepada Tuhan dan semua itu akan selesai? Sebagai wanita yang bermaruah sudah tentu mereka berani mencari kebenaran, keadilan dan tuntutan hak mereka.

Aku harap kita dapat bercerita lebih lanjut lagi jika ada pertemuan. Walaupun aku gagal untuk menyatakan bila kita akan bertemu kerana aku tidak mungkin meramalkan apa-apa untuk diriku apa lagi untuk kita berdua. Banyak aku tidak tahu ingin kuketahui darimu. Sejak hampir dua puluh tahun, kau bayangkan, banyak hal yang rahsia masih berada di dalam benak kepalaku. Aku sering bertanya pada diriku apakah ada ruang lain untuk kuketahui semua itu. Maksudku punca perpisahan kita yang menjadi misteri selama ini. Kau tidak pernah mengutus khabar padaku walaupun kau tahu aku di mana. Apakah masalah kau sebenarnya?

Aku percaya. Kau tidak mungkin melupakanku juga kawan-kawan lama kita. Jika pun kerana suamimu atau anak-anak kau pergunakan masa yang begitu banyak untuk mereka, teruskanlah. Kehidupan yang bahagia seperti yang kau alami tentunya, adalah lebih baik daripada memikirkan sesuatu yang belum pasti berlaku. Yang mungkin, kita abadikan sahaja segala sejarah dan kenangan itu. Barangkali bunyinya semakin melankolik tapi percayalah kau masih aku ingati.

Maafkan aku kerana ada panggilan telefon. Sebenarnya pagi tadi aku menerima pesanan telefon. Dari seseorang, kata setiausahaku. Malangnya dia tidak sempat mencatatkan nama pemanggilnya. Aku tak tahu mengapa. Aku keliru juga dan kesal. Dua puluh tahun aku menunggu suara seseorang. Dan, panggilan ini entah dari siapa. Mungkinkah kau?

Tiada ulasan: