Isnin, Ogos 02, 2021

SABAH MAJU JAYA


Membaca bait-bait sukma bangsa
merakam denyut fikir dan harap warga
mencintai damai dan merdeka
di peti sejarah lampau peraga ragam
pengalaman bermakna dihadam dan difahami
adalah teras sangat nyata untuk bangkit
membentang benang jaya
Menjahit luka-luka masa sudah.
Tak pernah mengabaikan cinta
negeri yang mewah, segar dan subur
indah bumi dipusakai berbanjaran berlembah
di bawah bayu ranum cuaca berganti silih
digagahi megah terbujurnya Kinabalu tersergam
kebanggaan nusa tanah bertuah
simbol sebongkah jati diri yang gemilang
menjadi akar sebuah sumpah menjaga ibu pertiwi
mempertaut harga diri dan akal budi.
Slogan megah di jata Negeri kembali menjadi obor
kelangsungan perjuangan mengembalikan impian
merungkai falsafah panji-panji megah
dipasak utuh berkibar penuh makna di angkasa raya
azimat kuasa rakyat setia penuh amanat
Sabah Tanah Air merakam semangat cinta
menjulang berani bangsa.
Sabah Maju Jaya adalah jati jiwa agenda besar
memacu impian bersama jiwa yang mampu berdepan ujian
kerja bersama pasukan, menzahirkan kepercayaan dan tanggungjawab,
menjulang nilai-nilai iltizam, moral dan ketabahan
seperti pesan pemimpin, inilah kunci utama
dalam mengurus ranah perubahan.
Betapa luas terbentangnya negeri
hanya yang tabah menjiwai nilai keberhasilan
amanah digalas dengan kemas dan dedikasi
rakyat menantikan detik memetik buah-buah nikmat
kerana sesuatu yang diucapkan telah dan akan dilaksanakan
kerana satu persatu telah dirangka sepenuh upaya
dengan kuatnya sumber insan menggalas
cekap dan berkesan.
Kilauan pingat kejayaan bakal dikalungkan
bukan semata-mata bererti puas namun ini bukti
sesuatu yang digalas penuh yakin diraih untuk dirai bersama
betapa patriotiknya warga berjaya negeri yang kembali
memacu semangat pahlawan memilih impian terbentang
wawasan mengembalikan kebangkitan kemajuan.
Jaringan komunikasi yang menawarkan nilai kekinian
menerobos masa depan yang gemilang
mendekatkan rasa berjauhan dari segala daerah
utara ke selatan, pedalaman mahupun di belantara
bahkan lebih daripada itu
mengangkat akaliah lebih ke hadapan
kemampuan menggali akar budaya ke puncak ilmu
gagasan generasi mengangkat negeri bermartabat
siaga di dataran rimbun ekonomi mampan.
Sabah Maju Jaya bergema ke seluruh pelusuk negeri
memayungi rakyat jelata pemimpin menapak berani
lebih siaga mengayun fikrah memperkasa tanah air
lebih terampil dibanggai negara dan dunia tampil
menginai rahsia jaya diberkati selama-lamanya.


HASYUDA ABADI,
Kota Kinabalu, Sabah.
2 Ogos 2021

Tiada ulasan: