Jumaat, Ogos 11, 2017

Rumah Puisi dan Pustaka Iqbal Nazim

  
Oleh Hasyuda Abadi
hasyuda@gmail.com
DENGAN izin Allah juga Rumah Puisi Hasyuda Abadi menerima kehadiran para penulis dan penggiat susastera sekitar Kota Kinabalu dalam Progam Nge’teh dan Baca Puisi pada pagi 22 April 2016. Rumah puisi yang disebut oleh Prof Dr Siti Zainon Ismail (sasterawan dan budayawan Malaysia) sebagai ‘RupHA’ mempunyai dua misinya iaitu pertama menempatkan khazanah buku-buku yang saya miliki dan kedua menjadikannya sebuah premis susastera dalam menggerakkan kegiatan-kegiatan persuratan para penggiatnya. Ada juga yang bertanya mengapa rumah puisi? Jika ada rumah terbalik sebagai satu tarikan pelancongan yang terletak di Tuaran, Sabah, sebagai satu jenama yang dikenali sudah tentu tiada bersalahan jika ada rumah puisi.

Rumah puisi pada saya bukan semata-mata berfungsi puisi dalam corak aktivitinya bahkan akan menyumbang ke arah kepelbagaian kegiatan yang menarik. Seperti pernah saya saksikan sosok sebuah rumah puisi di Ain Angek, Sumatera iaitu Rumah Puisi Taufik Ismail, saya berazam menamakan rumah keluarga sebagai rumah puisi di mana di dalam rumah itu ada koleksi buku, ada kegiatan-kegiatan sastera, jualan buku, ada kafe dan sebagainya. Alhamdulillah, sebahagian impian itu saya telah terlaksana.

Saya namakan pustaka di RupHA sebagai Pustaka Iqbal Nazim atau P.I.N. Pustaka ini merupakan impian dan khazanah keluarga. Ini sahaja harta yang akan saya wariskan. Tiada aset yang lebih bermakna dan bernilai dari sebuah rumah kecil yang kami sekeluarga diami. Rumah Puisi saya bersama isteri tercinta, penyair Sahara Jais dan anak-anak serta cucu-cucu tersayang. Di sinilah saya mengajak rakan-rakan bermusyawarah, berbincang, berserasehan, menjernihkan fikiran dan sebagainya. Di sini akan disemai rasa persahabatan dan persaudaraan.

PIN ditubuhkan pada 2009 bermula di Ramin 8 Taman Puterajaya Telipok kemudian berpindah ke lokasi baharu apabila Rumah Puisi Hasyuda Abadi siap dibina pada 2010. Pada 2015 pula PIN telah ditambahbaik.

Pustaka mini ini menyimpan lebih kurang 4 ribu judul buku yang meliputi pelbagai bidang seperti sastera, agama, politik, budaya dan majalah. 80 peratus merupakan bidang sastera dengan pecahan genrenya seperti Puisi, Cerpen, Novel, Drama dan Kajian Sastera. Majalah-majalah yang tersimpan di pustaka ini pula berkaitan dengan dunia sastera tempatan dan luar negara seperti Brunei dan Indonesia seperti Dewan Sastera, Dewan Budaya, Dewan Bahasa, Pelita Bahasa, Horizon, Wadah dan majalah-majalah berkala. Selain itu, majalah-majalah keagamaan seperti Solusi, Anis, al-Ustaz dan majalah-majalah lama yang sudah tidak dikeluarkan lagi pada masa ini. Koleksi buku-buku ini mulai tersimpan sejak awal 1980-an. PIN juga ada mengumpul majalah-majalah lama seawal 1960-an berkaitan dengan dunia hiburan seperti Majalah Filem, Purnama Filem dan Mustika Filem.

Selain mengumpul khazanah buku, PIN juga ditubuhkan sebagai pondok membaca di Kampung Gudon di samping mengadakan aktiviti-aktiviti sastera dan khidmat sosial yang lain seperti kelas Iqrak dan al-Quran.

Ungkayah ini adalah sebagai permulaan kepada suatu pendekatan susastera yang lebih besar sebenarnya. Bukankah susastera itu merupakan rangkaian kehidupan manusia secara fitrah? Kehidupan yang memerlukan komunikasi melalui bahasa, nilai dan juga pelbagai ciri semiotik tidak mungkin melepaskan elemen sastera tersebut. Dalam pergaulan seharian sastera merupakan warna yang mendekatkan kita antara satu sama lain, meskipun barangkali bahasa kita berbeza. Allah menyukai keindahan, sebab itu sastera memberikan refleksi yang amat utuh buat umat manusia.

 Walaupun ada sesetengah orang yang menulis secara langsung namun kita percaya dia juga sukakan keindahan. Mungkin keindahan yang difahaminya berbeza dengan apa yang kita fahami. Apa yang kita inginkan sebuah karya itu mengandungi nilai-nilai yang positif. Pada sisi yang lain, ada juga pandangan bahawa tidak semestinya bahasa yang santai itu begitu polos secara literasinya namun masih mempunyai makna berlapis yang mengindahkan karya berkenaan.

PIN menyimpan pelbagai genre sastera, pelbagai jenis buku yang mungkin tidak semua orang menyukainya. Persoalannya sudah tentu bukan pada sosok bahasa atau pendekatan penulisnya tetapi intipati atau abstraksi karya berkenaan memberikan impak pemikiran yang bernilai mulia. Ahli falsafah tersohor, Rene Descartes, pernah mengatakan, “Membaca buku yang hebat ibarat mengadakan dialog dengan para cendekiawan yang cemerlang daripada masa lampau.  Pemikiran mereka terus hidup dan berpengaruh sehingga kini. Mereka menuangkan gagasan mereka yang terbaik semata-mata.”

Pernyataan Descrates ternyata benar apabila mengingatkan kata-kata Sayidina Ali,”Ikatlah ilmu dengan menuliskannya.” Menulis bagai mengikatkan sesuatu. Seolah-olah penulis, pada saat tulisannya lahir dan dapat dibaca oleh dirinya sendiri atau orang lain, melakukan semacam akad atau perjanjian. Sang penulis berjanji bahawa hal yang ditulisnya itu benar menurut pemahamannya dan dia terikat dengan hal yang dituliskan.

Ternyata buku yang hebat benar-benar mempengaruhi manusia dan zamannya, benar-benar mengusik dan menyentuh jiwa, memaknakan hidup pembaca. Sepanjang sejarah, buku mampu membuat orang menangis, ceria, gembira, ketawa bahkan bangun menentang ketidakadilan. Itulah kesan yang pernah dirasakan apabila membaca karya Shahnon Ahmad dalam Ranjau Sepanjang Jalan atau novel Salina karya A.Samad Said. Demikian juga dari Pramoedya Ananta Toer dalam Cerita dari Blora atau Gadis Pantai, J.K. Rowling dengan siri Harry Potter, Sayidina Ali dengan Nahjul Balaghah, Hamka dengan di Bawah Lindungan Ka’bah, Karl Marx dengan Das Kapital, Imam al-Ghazali dengan Ihya-Ulumiddin dan banyak lagi. Penulis terkenal Amerika, Barbara Tuchman mengatakan, “Buku adalah pengusung peradaban. Tanpa buku, sejarah menjadi sunyi, sastera bisu, ilmu pengetahuan lumpuh dan fikiran menjadi kaku.”

Kita percaya setiap rumah ada koleksi buku masing-masing. Tertakluk kepada minat yang dimiliki. Mungkin sang isteri meminati novel-novel sambil sang suami tertumpu kepada buku-buku politik. Dengan cara memiliki itu tidak seia menyebabkan buku bukanlah suatu keutamaan dan dianggap aset dalam keluarga. Bagaimanapun, berbeza dengan emak mertua saya, beliau begitu sayangkan majalah-majalah lamanya yang diterbitkan sekitar tahun-tahun 50-60an, apabila saya beria-ia memulihara koleksi klasiknya itu, beliau sering mengingatkan supaya menjaga dengan baik. Pengalaman saya ketika bersama Allahyarham Datuk Haji Shuhaibun Yussuf yang menamakan terataknya ‘Dangau Budaya’ pula amat menyedihkan kerana hasrat membina sebuah khutub kanah bersebelahan rumahnya tidak tercapai sehinggalah beliau kembali ke rahmatullah. Rumahnya begitu sarat dengan pelbagai koleksi buku dan artifak budaya, sayang sekali andai semua itu tidak disimpan di satu tempat yang lebih baik.

Seorang bibliofil akan memburu buku ke mana-mana sahaja untuk koleksi peribadinya. Murah mahal buku tidak menjadi persoalan, asalkan buku itu dapat dimlikinya. Beberapa tahun lepas, saya bersama dua orang sahabat menjadi ‘penggila buku’ kerana sanggup terbang ke Indonesia semata-mata membeli belah buku. Saya pecaya ini bukan disebabkan kami penulis tetapi lebih daripada sebagai bibliofil. Sahabat saya Abd Naddin Haji Shaiddin, seorang wartawan siap siaga dengan catatan buku-buku yang perlu sahaja ketika dalam pencarian di gedung buku. Beliau meminati sejarah nusantara, seperti seorang lagi sahabat Tuan Haji Hussain Qasau yang juga mentor kami. Saya biasanya mencari buku-buku kajian sastera, karya-karya sastera terkini dan buku-buku yang bernilai klasik dan sukar didapati. Kegilaan yang barangkali dianggap orang ialah apabila beli belah buku itu berharga jutaan rupiah! Kini beliau memiliki sebuah pustaka 'Arena Pustaka Subhan Amanna Gappa' yang terletak di Puncak Iqra', Papar, Sabah.

Tidak dapat dibayangkan, berapakah jumlah buku di pustaka Haji Hussain Qasau di Puncak Iqra'. Begitu juga koleksi buku Abd Naddin di rumahnya, yang belum saya kunjungi. Sedang saya baru mampu mengumpul empat ribu lebih judul buku. Jumlah yang kecil ini menarik minat saya menempatkan sebuah khutub kanah di dalam rumah. Pada penghujung tahun 2015, saya telah membesarkan pustaka yang kecil itu untuk memberi keselesaan kepada ahli keluarga dan juga teman-teman termasuklah para pelajar universiti yang berkunjung. Mudah-mudahan sahaja pustaka ini memberi kegunaan kepada yang memerlukan tidak semata-mata dalam kalangan ahli keluarga, malah lebih penting lagi ialah budaya membaca itu menjadi minat utama.

Dengan motto: penghubung ilmu, di sinilah cinta diabadikan buat sesiapa jua yang memafaatkan. Ada masanya kita ibarat daun dan membiarkannya kering dan reput sendiri, namun saya redha andai daun itu nanti biarlah menjadi baja untuk menumbuhkan dengan suburnya bibit-bibit di persekitarannya. Ini hanyalah analogi biasa yang lazim kita pandang di sekeliling. Malah pada setiap kejadian itu terlahir sesuatu yang bermakna. Saat bersendirian dan merasa tiada apa-apa, eloklah kembali muhasabah dan membaca. Biarlah semadi kita di dalam himpunan buku-buku yang masih terus dicari dan dibaca.


 PUSTAKA IQBAL NAZIM

Tiada ulasan: