Khamis, Julai 21, 2011

Kejujuran dan utopia

SESIAPA yang mengisi hari-harinya dengan keikhlasan dan kerendahan hati akan menemukan alam sebenarnya - sebuah perpustakaan agung. Berlimpah pengetahuan dan kebijaksanaan yang tersimpan di sana.

“Kejujuran ini umpama laut yang dalam. Di permukaan ia sentiasa bergelombang. Namun, di dasarnya tidak ada gerakan, apalagi gelombang. Hanya hening yang melukis keindahan dan kesempurnaan,” tulis penyair dan aktivis Buddha, Zenkei Shibayama dalam A Flower Does Not Talk (1966). Kejujuran juga digambarkan Shibayama seperti sakura mekar mengharum dan berguguran tanpa suara. Tanpa keluhan dan perdebatan dengan bunga-bunga lain yang turut bergayutan pada ranting yang sama.

Ia akan membuat dunia ini penuh dengan keindahan dan kedamaian, tidak ada penipuan, kekerasan atau penyalahgunaan kuasa dan kedudukan untuk mencari kepentingan peribadi dan kelompok. Namun, cita-cita Shibayama untuk menemukan sebuah kejujuran yang hakiki hanyalah wacana utopia. Sesuatu yang mustahil untuk mewujudkan dunia yang tidak ada penipuan, tanpa peperangan dan keganasan serta sisi-sisi negatifnya.

Istilah utopia itu sendiri berasal dari buku terkenal, Utopia karya Sir Thomas More pada tahun 1516. Dia adalah salah seorang pemimpin England yang bakal dilantik menjadi ketua Parlimen dan Lord Chancellor ketika Raja Henry IV turut berkuasa ke atas gereja Anglican dan Roman Katholik. More menolak untuk mengucapkan sumpah setia pada raja sebagai ketua gereja dan hukuman ke atas orang yang ingkar kepada raja adalah kematian. Dia dipancung pada tahun 1535.

More sebenarnya mengimpikan sebuah negara yang dimiliki bersama. Semua orang menikmati pendapatan yang sama, makan dan bekerja dalam sebuah komuniti yang adil. Tidak ada perbezaan dan penindasan. Di negara impian More tersebut, masalah-masalah politik tidak boleh dibahas secara terbuka. Namun, tanpa disedari, idea-idea utopia tersebut telah membuka ruang kepada konsep komunisme yang kemudiannya berkembang menjadi sebuah ideologi yang sangat dikagumi di Eropah pada penghujung abad ke-19.

Sama seperti Shibayama, pandangan More hanya sebuah impian. Buktinya, hingga kini, penyalahgunaan kuasa, penyelewengan, rasuah dan korupsi tetap hidup, malah semakin membiak. Contoh yang paling mudah adalah di Malaysia. Penahanan dua pegawai kanan Jabatan Imigresen untuk membantu siasatan kes rasuah berhubung urusan pengeluaran visa bagi kemasukan pekerja asing baru-baru ini membuktikan gagalnya wacana utopia Shibayama dan More tersebut.

Kes tersebut adalah yang terbaru. Mungkin masih banyak kes-kes yang masih dalam siasatan. Kita tidak tahu sejauh mana kegiatan-kegiatan penyelewengan, rasuah dan sebagainya yang menafikan impian kedua-dua pemikir tersebut. Selain, Shibayama dan More, gagasan negara utopia oleh Karl Marx (terkandung dalam Das Kapital), jauh lebih spesifik. Dia bercita-cita menghapuskan semua hak milik pribadi dan mewujudkan kepentingan bersama. Ia bertujuan melahirkan sebuah masyarakat yang adil tanpa perbezaan kelas antara kaum borjuis dengan kaum buruh, sekali gus menghapuskan penguasaan satu kelas sosial ke atas kelompok sosial yang lain.

Konsep utopia tersebut adalah berangkat daripada pemikiran Marx yang mengangkat sosialisme setelah beliau melontarkan teori tentang pembebasan kaum buruh daripada tekanan borjuis.

Kemuncak utopia versi Marx adalah meletusnya revolusi dan akan terbentuk sebuah masyarakat tanpa peranan pemerintah. Ini sangat penting bagi mengelakkan munculnya anarki atau lebih membahayakan lagi hancurnya suatu negara (chaos). Maka, kemudian muncullah pemikiran Marx tentang konsep negara utopia yang dilihat hanya merupakan imaginasi, khayalan ataupun sebuah pesimisme ideologi.

Hakikatnya, setelah keruntuhan komunisme dan menandakan kemenangan kapitalisme, negara-negara dunia tetap berada dalam ruang utopia. Ia berhadapan dengan situasi yang lebih rencam - isu-isu korupsi, rasuah, jenayah, penindasan, kronisme dan sebagainya. Di Malaysia misalnya, kita mungkin tidak pernah terfikir seseorang dituduh menggunakan kedudukan atau posisi politik mereka untuk kepentingan peribadi walaupun mempunyai kewangan yang baik dan sebagainya.

Hernan de Soto dalam The Mistery of Capital : Why Capitalism Triumph in the West and Fails Everywhere Else (2001) banyak menjawab `misteri’ tersebut walaupun pembahasannya lebih tertumpu kepada kapitalisme di negara-negara Dunia Ketiga. Beliau antara lain menjawab pertanyaan tentang kegagalan negara dunia ketiga menerapkan sistem kapitalisme yang begitu baik dan berjaya di Barat seperti di Amerika Syarikat dan Eropah Barat tetapi ternyata ‘gagal’ di Negara-negara Dunia Ketiga.

Banyak negara miskin bekas jajahan negara-negara Eropah tidak tahu apakah kegagalan menerapkan kapitalisme merupakan kesalahan mereka atau memang sistem ekonomi kapitalisme itu pada dasarnya tidak sesuai untuk diterapkan di negara-negara berkembang. Ada kupasannya yang agak menarik. Kegagalan tersebut berkaitan dengan isu-isu penyelewengan, rasuah dan kronisme serta kelemahan birokrasi di segelintir negara Dunia Ketiga yang sukar dikikis oleh pemerintah hingga menjejaskan kapitalisme.

Mungkinkah pandangan Shibayama, Marx dan de Soto mempunyai kaitan dengan Malaysia? Seperti kata de Soto dalam satu lagi karyanya, The Other Path: The Invisible Revolution in The Third World (1989), negara Dunia Ketiga kadang-kadang sukar untuk keluar daripada cara dan coraknya.


UTUSAN MALAYSIA ONLINE

Tiada ulasan: