Ahad, Jun 26, 2005

Mencari Mega Karya

M u k a d i m a h

DAYA MELAHIRKAN MEGAKARYA DI SABAH SEHARUSNYA dipengaruhi oleh beberapa unsur asas bagaimana ia berkembang dan menjadi besar apabila penilaian dibuat secara tuntas. Ini sekali gus melatari kelahiran sasterawan sama ada yang dibina menerusi program penataran atau yang terbina secara semula jadinya. Dalam ungkayah ke arah menyediakan prasarana persiapan ini para sasterawan biasanya akan melalui elemen-elemen yang terjalin akrab yang mewarnai kelangsungan mereka menggulati sastera. Elemen-elemen berkenaan ialah fenomena berkaitan perubahan, penghayatan budaya ilmu, keazaman dan usaha yang gigih di kalangan sasterawan berkenaan serta kelangsungan program pemartabatan karya sastera dan sasterawan itu sendiri. Maka, sudah sampai waktunya pula kita tumpukan pemerhatian kepada isu-isu sastera di persada global dan sedaya mungkin menginsafkan kita betapa perlunya usaha yang berterusan agar gagasan-gagasan kemegahan kita seperti Wawasan 2020 atau Sabah Baru yang sedang berlangsung sekarang menjadi daya pacu perubahan cara dan tindak para sasterawan menterjemah isu-isu terbabit sejajar dengan persaingan global masa kini; kepekaan para penganalisis sastera melakukan penilaian terhadap setiap inti pati dan nilai maknawi karya sastera dan di tengah-tengah mereka ini melebarkan kilauan permata nilai maknawi sastera berkenaan kepada masyarakat keseluruhannya.

F e n o m e n a P e r u b a h a n
Fitrah manusia sejak dilahirkan ke alam fana ini sentiasa berhadapan dengan fenomena perubahan, sama ada yang berada di luar kawalannya ataupun akibat keinginannya sendiri. Keinginan merubah inilah yang membuahkan kegiatan bercita-cita. Misalnya keinginan menjadi seorang yang berjaya dan dengan itu menikmati kehidupan yang bahagia. Lebih besar daripada itu, mungkin kita bercita-cita menjadi agen perubahan, seperti membawa bangsa kita menjadi suatu bangsa yang dihormati serta diteladani di pentas global. Kesungguhan menepati cita-cita ini telah merangsang manusia yang kerdil untuk mewarnai sejarah hidupnya. Kini, kita dapat melihat akan kepelbagaian sumbangan bangsa-bangsa silam dan masa kini. Dalam lembaran sejarah, kita dapat menikmati akan sumbangan-sumbangan tamadun-tamadun besar yang pernah menguasai dunia.

Bagi menghadapi perubahan, mustahaklah diperlengkap bukan sahaja dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran tetapi, tidak kurang pentingnya, mengisi kekuatan rohani. Masyarakat kita di negara ini, sekarang dan akan datang hendaklah mempunyai nilai hidup yang penuh dengan cabaran serta mengatasi masalah-masalah yang pelbagai rupa. Barangkali kita boleh menjangka corak kehidupan baru sekeliling kita itu dapat melahirkan bentuk kebudayaan yang lebih segar dan dinamis. Pusaka tradisi yang indah dan bernilai dipelihara serta disesuaikan dengan iklim dan persekitaran baru. Inilah perkembangan yang benar-benar kita ingini dan menjadi matlamat segala langkah dan usaha kita hari ini.

Budaya merubah untuk menjadi seseorang atau suatu bangsa yang berguna kita kenali sebagai pembangunan insan. Di negara kita sendiri pun kita mempunyai cita-cita besar. Wawasan 2020 misalnya, menuntut kita bersama-sama membangunkan sebuah negara yang maju bagi mengisi abad 21. Begitu juga Gagasan Sabah Baru yang menjadi dasar pengukuhan politik, ekonomi dan penjanaan pembangunan di negeri Sabah sedang ligat dilaksanakan.

Sudah tentu dalam membahaskan dan mengisi cita-cita besar ini para sasterawan mempunyai saham yang besar. Para sasterawan telah diberi gelaran seperti 'pembentuk peribadi rakyat', 'pembentuk pemikiran dan akhlak masyarakat' dan 'pemimpin zamannya'[1]. Tanggapan serta harapan pemimpin negara dan negeri serta rakyat menggunung. Sudah pasti para sasterawan tidak akan menjauhkan dirinya daripada tanggungjawab besar ini. Kalau begitu, mari kita merenung sejenak persoalan-persoalan seperti apakah kita sudah bersedia menjadi sasterawan harapan bangsa, harapan agama dan harapan negara? Apakah yang akan menjadi bekalan bersama kita sebagai persiapan ke arah itu? Apakah kita sedar mana karya yang dilihat sebagai karya semata-mata dan mana karya yang boleh digali ilmunya, berguna untuk pembaca yang menghayatinya?

Kita harus memperkuatkan karya atau genre kesusasteraan dan ilmu kesusasteraan untuk mengatasi persepsi masyarakat terhadap kesusasteraan yang difahami sebagai karya semata-mata tetapi tidak sekali gus sebagai ilmu[2].

P e n g h a y a t a n B u d a y a I l m u
Dari pandangan Islam, Syed Othman Alhabshi (2003) menjelaskan bahawa ilmu ialah sesuatu yang pasti yang terbit daripada kebenaran yang mutlak yang harus kekal di sisi manusia dan diterima oleh hatinya (al-qalb). Konsep ilmu ini datang daripada perkataan yaqin yang sememangnya mempunyai maksud benar dan pada masa yang sama membina keamanan, keselamatan dan ketenangan dalam hati. Oleh itu, ilmu tidak boleh berada dalam bentuk tekaan yang bijak atau sangkaan yang mungkin mengandungi unsur syak yang akan bertukar atau berubah demi masa atau tempat. Apabila syak wujud, walau sedikit sekali pun, ia bukan lagi suatu kebenaran yang mutlak, ia juga tidak lagi akan menenangkan hati dan dengan itu bukan lagi dianggap ilmu.

Takrif budaya ilmu bermaksud budaya yang berlandas dan dipimpin oleh ilmu. Ia juga merupakan iltizam serta amalan masyarakat yang meletakkan ilmu sebagai nilai asas dan tertinggi sekali dalam sistem nilainya. Budaya ilmu juga difahami sebagai kewujudan suatu keadaan di mana setiap individu akan melibatkan dirinya baik secara langsung atau tidak dengan aktiviti-aktiviti keilmuan pada setiap kesempatan melalui perbincangan, diskusi, percambahan idea dan tindakan bersandarkan ilmu[3]. Seseorang atau sesuatu bangsa yang mengamalkan budaya ilmu akan sentiasa meletakkan ilmu sebagai kunci ke arah kebaikan, kemakmuran, kemajuan dan kejayaan diri atau bangsanya.


Jadi, apabila kita bercakap tentang orang yang berilmu, atau pun tentang budaya ilmu, maksudnya ialah, orang atau masyarakat yang mempunyai pengetahuan dan pemahaman yang global, yang menyeluruh, tentang hakikat alam ini sebagai ciptaan Allah yang tauhid[4]. Ahli sains tidak lengkap ilmunya jikalau dia hanya pakar dalam bidangnya yang kecil, yang dikatakan khusus, sekiranya persepsinya tidak meluas, tidak celik budaya, tidak mengetahui atau memahami perkara-perkara lain seperti sejarah, budaya, sastera, ekonomi, keadaan sosial dan politik negaranya, atau tentang bidang-bidang ilmu yang lain, walaupun secara umum, sebab semua perkara dan bidang yang lain itu kait-mengait dan bantu-membantu, untuk teorinya dan perasaannya dengan manusia dan masyarakat sekitarnya secara lebih realistik, di samping menjadikan dia lebih sedar akan keterbatasan ilmunya yang khusus untuk memahami hakikat hidup dan alam sejagat ini secara global


C i r i – c i r i B u d a y a I l m u
Ciri-ciri individu atau masyarakat yang menghayati budaya ilmu ialah:
· Kecintaan yang tinggi sepanjang hidup terhadap ilmu
· Menghayati idealisme perjuangan kebenaran
· Memberi keutamaan kepada usaha-usaha penerokaan, pembangunan
dan penyebaran ilmu
· Menghormati serta mengiktiraf para ilmuwan dan institusi-institusi
keilmuan, dan
· Menolak pandangan dan amalan yang tidak berasaskan ilmu dan kebenaran.

Ciri-ciri ini akan terserlah dalam kehidupan sesiapa juga yang menghayati budaya ilmu, kerana pembudayaan ilmu telah ditanam dan disuburkan dengan baik sejak kita atau bangsa kita dilahirkan. Ciri-ciri budaya ilmu juga akan mapan selagi kita mempunyai niat dan keazaman yang tinggi untuk sentiasa mendampingi ilmu. Budaya ilmu ini tidak akan subur, apatah lagi bertahan lama, dalam diri atau bangsa yang hanya berpura-pura atau bermusim-musim komitmennya.

P r a s a r a n a P e m b a n g u n a n
B u d a y a I l m u
Budaya ilmu juga tidak akan terbentuk dengan sendirinya. Pembentukannya memerlukan usaha dan perancangan yang rapi. Bagi menjayakan pembentukan serta memapankan pembangunan budaya ilmu, kita sekurang-kurangnya perlukan persediaan beberapa prasarana ataupun subbudaya, iaitu:
· Budaya membaca
· Budaya berfikir
· Budaya menyelidik
· Budaya berbincang dan musyawarah
· Budaya berkarya

Gabung jalinan kesemua subbudaya ini amat dituntut sama ada dalam diri individu atau bangsa, sebagai contoh, adunan kesemua subbudaya ini dalam diri seseorang sasterawan akan memperkuatkan landasan asasnya agar berkecimpung dalam dunia penulisan secara serius dan amanah. Atas pandangan ini, maka persediaan bagi menjayakan kesuburan dan kemantapan kesemua subbudaya ini adalah diperlukan sekiranya kita benar-benar mengharapkan barisan sasterawan yang berwibawa. Persediaan ini bukan sahaja akan meningkatkan lagi mutu penulisan, malah akan membantu kita menepati tuntutan zaman agar kita sama-sama menangani cabaran semasa dan akan datang demi kepentingan bangsa, agama, negara dan manusia sejagat.


Tidak dapat disangkal juga bahawa ilmu menjadi prasyarat dalam persaingan di tengah arus perdana kemajuan sejagat. Cabaran teknologi maklumat sesungguhnya mengangkat isyarat kepada kita untuk menguasai ilmu dan kemahiran dalam memastikan kita tidak tertinggal dan ditinggalkan oleh orang lain. Sasterawan tidak terlepas daripada daya untuk membina diri dengan nilai-nilai keilmuan, dengan karya yang juga tidak sekadar lontaran emosi, tetapi memiliki pemikiran, sentuhan keinsafan serta pesan dan pedoman kepada ummah untuk membentuk peradaban. Para sasterawan juga tidak hadir sekadar untuk berkelana dengan ilham tetapi mengisi fikrah dan karya dengan ilmu dan menggilap kecintaan ummah dengan nilai-nilai hubbul ilm wal ulamak yang menjadi paksi dalam membina kecemerlangan. Upaya ini menurut Arifin Arif (1998), menghimbau kita untuk meneruskan hijrah dalam pelbagai dimensi, termasuk peningkatan terhadap penghayatan terhadap nilai ilmu.


Sewajarnya kita ingat bahawa penulisan bukan seperti bidang pembangunan fizikal yang boleh disiapkan dengan cara pasang siap atau dengan cara peminjaman. Ini disebabkan penulisan terletak di hadapan sedangkan pemasangan atau peminjaman berada di belakang. Selagi sasterawan tidak dapat menduduki tempat utama di hadapan, selagi itulah penulisan itu masih di peringkat rendah. Kita harus menumpukan kepada pembinaan kewibawaan, kerana hanya tulisan atau karya yang berwibawa sahaja yang menjamin dunia penulisan bermartabat. Kewibawaan ini pula hanya dapat diperoleh melalui kombinasi pelbagai unsur, iaitu ilmu, pengalaman, ketekunan, kekuatan dan ketajaman berfikir. Kehilangan satu unsur dalam kombinasi ini akan mengurangkan kewibawaan sesuatu tulisan. Tanpa satu unsur itu, seseorang penulis tidak mampu mencerna dapatan orang lain dan dapatannya sendiri yang akhirnya menjadikan tulisannya itu dangkal.


Hal ini mempunyai hubungan dengan minda iaitu konsep abstrak yang merujuk kepada keupayaan pemikiran dan pemerhatian yang mencerminkan daya intelektual seseorang, atau sesuatu kelompok atau bangsa berkenaan[5]. Perkembangan minda bergantung pada interaksi seseorang dengan persekitarannya, khususnya dengan alam sekeliling, dengan keadaan budaya termasuk alam spirituil dan ideologi, sistem pendidikan (formal dan tidak formal), di samping keadaan politik, sosial dan ekonomi masyarakat pada sesuatu zaman. Minda terbentuk dalam sejarah, bukannya sesuatu yang semula jadi atau diberi. Dengan kata lain, minda ialah sesuatu yang dinamik, yang tertakluk pada hukum perubahan seiring dengan perjalanan sejarah dan perkembangan masyarakat.

G a g a s a n A s a s
Bagaimanakah meletakkan sastera yang dihasilkan oleh sasterawan di Sabah berada bersama-sama megakarya-megakarya yang lain dalam peta sastera Malaysia? Kita memang mampu melakukannya kerana para sasterawan kita juga mempunyai kesungguhan dan keusahawanan terhadapnya. Sasterawan dapat memainkan fungsinya dalam masyarakat mampu melahirkan lebih ramai golongan cendekiawan dan berupaya mendominasi hala tuju dan menjana situasi bertindak sebagai nukleus untuk mencipta citra masyarakat[6].

Sebagai gagasan asas kita harus melahirkan lebih ramai sasterawan yang mencetuskan fikrah minda mereka untuk tatapan masyarakat, menjadi sekumpulan manusia yang menjadi rujukan kerana mereka adalah pencetus idea-idea baru. Selayaknya mereka menjadi jurutera sosial andainya mereka dapat berperanan sebagai katalis atau pemangkin. Sasterawan adalah agen perubahan sama ada cara berfikir, tingkah laku dan sikap masyarakat. Justeru sebagai agen perubahan, mereka juga harus mempunyai keterampilan yang hebat dan mengagumkan. Di sinilah pentingnya para sasterawan di Sabah membentuk imej dan keterampilan agar menjadi cerminan dan ikutan yang menghala kepada kesempurnaan.

Mungkin kelembapan industri buku di negeri Sabah memberi sedikit banyak kesan ke arah pendewasaan para sasterawan yang mapan mahupun yang baru berkecimpung dalam dunia sastera. Namun begitu, fenomena ini tidak harus dijadikan sebab terbantutnya usaha pembesaran dan penyejagatan sasterawan dan karya sasterawan berkenaan. Malah sudah ada keberanian yang dilakukan oleh sasterawan ini menerbitkan dan mencetak sendiri buku masing-masing. Di tempat-tempat lain perkara ini bukan baru namun begitu kita harus menghargai pengorbanan yang ditunjukkan oleh para sasterawan generasi baru[7] ini.

Kreativiti sebagai suatu kriteria yang wajar ada pada seseorang sasterawan sudah tentu juga menjangkau sehingga soal-soal pemasaran karya. Seharusnya difikirkan cara terbaik agar memasarkan produk karya mereka kepada masyarakat dilakukan secara meluas dan terbuka. Kita harus membuka sasaran lebih lebar bukan semata-mata di kalangan sesama sasterawan, sarjana atau pelajar tetapi juga daripada golongan lain seperti para saudagar atau yang terlibat dengan dunia korporat, ahli-ahli politik, pemimpin tertinggi negeri atau negara, masyarakat desa dan sebagainya. Para sasterawan juga wajar tidak terlalu merendahkan diri mereka apabila berada di antara kelompok yang berkedudukan tinggi. Selain daripada itu, sebaiknya diwujudkan sebuah konsortium pemasaran karya sastera kita. Perlunya juga usaha promosi yang sistematik, paparan iklan yang lebih meluas, dan pengupayaan memperkenalkan karya dan sasterawan di peringkat nasional dan antarabangsa menerusi kemampuan ICT masa ini.

Sewajarnya juga lebih ramai sasterawan[8] kita menerima Hadiah Sastera Perdana seterusnya layak diketengahkan bagi penilaian Hadiah Sastera Mastera[9] apabila kesungguhan dan usaha rancak industri penerbitan buku dilaksanakan dengan jayanya. Ke arah sasaran ini, misi para sasterawan sudah tentu akan melipat gandakan lagi kecemerlangan mereka menghasilkan megakarya-megakarya yang hebat. Mereka akan menjadikan bahan-bahan sejarah, akar budaya, rimba kehidupan masyarakat tempatan sebagai nukleus atau pati kesusasteraan yang akan menjadi jati diri bangsa kita.

Kadang-kadang kita berfikir kecil, hidup dan bernafas di dalam kepompong sosiobudaya yang sempit. Yang ada hanyalah karya kita, keghairahan kita dan sedikit nama. Memadai kita dikenali sebagai penulis atau sasterawan sebuah atau dua buah karya sastera dan dikagumi oleh segelintir teman-teman. Lalu kita menulis untuk diri kita dan sebilangan kecil masyarakat yang menikmatinya.

Sastera Malaysia adalah sastera yang kecil, bukan kerana keupayaannya atau kerana potensi yang ada padanya tetapi kerana kita sengaja menjadikannya kecil. Yang berlaku kita sengaja membesar-besarkan yang kurang penting terutama sekali kepada hal-hal yang boleh tidak boleh, jadi tidak jadi, rajuk yang merugikan, marah yang memudaratkan dunianya sebagai sasterawan sejati dan sebagainya. Kita tidak berfikir secara besar dan berusaha secara serius untuk memperluaskan andatila sastera kita ke pengetahuan dunia. Apa yang kita lihat usaha secara persendirian. Menerbitkan buku juga secara bersendirian. Memasarkannya juga demikian. Jika demikian, bagaimana dunia boleh mendapatkan karya kesusasteraan kita?

Ambil sahaja terjemahan[10]. Bukan kita tidak berusaha menterjemah karya kesusasteraan ke dalam bahasa dunia yang lain, tetapi sejauh manakah usaha terjemahan itu tersebar? Apakah hanya tertimbun di rak-rak perpustakaan dan di kedai-kedai buku dalam negeri? Terjemahan itu harus tersebar luas bukan sahaja di perpustakaan-perpustakaan besar dunia, universiti-universiti baik malah kedai-kedai buku ternama. Sewaktu kita mengakses carian di internet, apakah senarai pendek karya kita juga terdapat di situ? Sekiranya kita mahu dikenal di mata dunia, kita harus berusaha secara agresif untuk memperkenalkan diri kita. Sebaik mana pun karya-karya sasterawan terbilang kita, sekiranya tidak diketahui oleh dunia, tidak memberikan apa-apa pengertian dan tidak akan menaikkan imej sastera kita pada kaca mata antarabangsa. Meskipun ada waktunya kita akur seperti pernah ditulis oleh Abdul Hadi W.M. (1989), antara Timur dan Barat milik Tuhan...

"ke mana pun kau berpaling yang terlihat adalah wajah-Nya. Maka kebenaran bertaburan di mana-mana, kita yang jumpa di sini cuma sebahagian kecil sahaja daripada masyarakat kepenyairan (sastera) yang jauh lebih besar. Perbezaan ras, kebangsaan, agama dan aliran sastera dan lain-lain tidak selayaknya merintangi kita untuk saling menghargai dan saling menyemak karya kita masing-masing."

G a g a s a n K h u s u s

Saya ingin merumuskan bahawa proses memperkasakan sasterawan dan karya sastera di Sabah akan melalui 'jalan yang tertutup' sekiranya tidak ditangani dengan bersungguh-sungguh. Sekurang-kurangnya tiga dot hitam yang perlu diberikan perhatian dan diketengahkan sebagai gagasan khusus ini, iaitu:

· Belum ada sasterawan Sabah yang dinobatkan dengan anugerah besar bersifat eksklusif[11] sama ada peringkat nasional, mahupun antarabangsa[12].
· Untuk mendapatkan pengiktirafan yang begini, seseorang harus ada megakarya yang diterbitkan dengan mutu penerbitan yang sempurna. Selain kualiti, keadaan ini harus juga diberatkan aspek mutu teknikal, cetakan, modus pasaran dan sebagainya.
· Kebanggaan dan martabat seorang sasterawan selalunya diukur berasaskan penghasilan buku, dan jumudnya peningkatan martabat golongan sasterawan di Sabah pula boleh dikaitkan dengan kelembapan industri penghasilan buku.

Mungkin benar bahawa prasyarat untuk mendapatkan pengiktirafan eksklusif, seseorang harus mampu menonjolkan satu megakarya dan konsisten dengan proses pembukuan karya-karya dari semasa ke semasa. Soalnya adakah memadainya dengan hanya dua kriteria ini?

Sesungguhnya tidak ada definisi fizikal yang mutlak mengenai megakarya. Sifat megakarya itu adalah abstrak, subjektif dan relatif. Megakarya tidak muncul dan tidak lahir hanya kerana adanya seorang sasterawan berbakat besar tiba-tiba menghasilkan sebuah megakarya. Megakarya tidak mungkin tercipta di hujung pena seorang sasterawan semata-mata. Megakarya adalah konsep yang dicipta oleh 'sekumpulan individu tertentu' yang berperanan mengguna, menilai dan mengapresiasi sesebuah karya. Jadi, soalnya di sini bukannya 'adakah para sasterawan Sabah mempunyai megakarya atau tidak?' Persoalan yang lebih relevan ialah 'siapakah yang mahu memegakaryakan dan memegahkan karya para sasterawan Sabah?' Pengkritik sastera? Namun begitu berapa ramai penulis kritikan di Sabah yang konsisten? Apakah peranan yang diberikan oleh para sarjana di pusat pengajian tinggi di Sabah, misalnya Universiti Malaysia Sabah (UMS)?

Hakikatnya semua orang berlumba-lumba menghasilkan karya kreatif tetapi memandang usaha-usaha kritikan ini hanya sebagai tugas golongan akademik semata-mata. Ini ditambah lagi apabila pengkritik sastera kita biasanya daripada kalangan sasterawan itu sendiri[13]. Kita sering membaca kritikan-kritikan sastera di dada akbar dan majalah tempatan, namun batasannya hanya di situ dan tidak pula mahu melebarkan sayap kritikan mereka ke dunia sastera nasional. Program pembicaraan karya sastera kita juga tidak disebarluaskan misalnya menerusi media-media masa nasional.

Karya kreatif sebagai sebuah karya jarang sekali boleh menjadi megakarya jika tidak disusuli dengan elemen-elemen perbahasan dalam bentuk prosa tentang nilai-nilai dalaman karya tersebut. Kadangkala, sebuah karya yang sangat baik dan bermutu, mati terkubur kerana ia hanya dibaca sebagai karya kreatif semata-mata tetapi tidak dibicarakan tentang bentuk persembahan dan olahan pemikirannya. Misalnya novel Salina (A. Samad Said). Sewaktu ia mula dihasilkan dulu, impaknya kepada pengguna sastera di Malaysia begitu kecil. Bukan setakat tidak mampu menjadi megakarya, malah gagal memenangi hati penilai sayembara penulisan yang disertainya ketika itu. Hanya pada pasca 1970-an, apabila tema dan falsafah yang tersirat dalam novel ini mula dibahaskan oleh para pengkritik barulah Salina diangkat menjadi sebuah megakarya. Kesimpulannya, jika tidak kerana usaha kritikan barangkali sampai sekarang novel Salina hanya dianggap sebagai sebuah novel yang biasa, dan bukan sebuah novel yang dianggap sebagai satu percubaan berani untuk merubah gaya pengkaryaan novel Melayu pasca-perang[14].

Salman Rushdie, sebagai contoh lain, seorang penulis berketurunan India yang boleh dikatakan sebagai distinctively average[15] dari segi bakat penulisan. Karyanya dianggap biasa saja. Tapi mengapa karyanya "Satanic Verses"[16] (Surah Syaitan) boleh mendapat pencalonan The Man Booker Prize[17] bagi kategori fiksyen (1988) dan menang pula anugerah Whitbread Novel Award[18] pada tahun yang sama? Mengapa "Satanic Verses" boleh menjadi salah sebuah karya kreatif yang besar di dunia? Mudah saja, kerana sesudah kontroversi elemen Islam dalam karya tersebut tercetus maka ratusan pengkritik sastera di seluruh dunia telah mengulas, menilai dan membahaskan karya tersebut - dari segala segi dan dimensi. Natijah daripada perbahasan dan kritikan inilah yang telah mengangkat "Satanic Verses" sebagai sebuah megakarya. Jika novel ini dibaca hanya sebagai sebuah novel, nescaya novel ini tidak akan dianggap megakarya sampai bila-bila sekali pun.

Akhirnya kita harus kembali memandang wajah kita, sama ada generasi yang lalu atau generasi masa kini, dalam menangani isu yang berbangkit. Tidak ada sebarang faedah ditudingkan jari lantaran ingin menyalahkan pihak lain. Isu ini tidak pernah selesai, timbul dan tenggelam sebagaimana timbul dan tenggelamnya sasterawan kita. Namun begitu gagasan khusus terhadap isu ini masih relevan untuk diketengahkan agar jalan yang terbentang luas masa ini dan masa depan memberikan peluang kepada para sasterawan kita memantapkan lagi kreativiti mereka dan pada masa yang sama peluang harus juga diberi untuk mengetengahkan karya mereka di peringkat yang lebih tinggi.

P e n u t u p
Saya berhasrat untuk menegaskan bahawa apa juga gagasan yang di senarai pendek menuntut kesungguhan kita memacu hala tuju yang sesuai bukan secara sambil lewa atau hangat yang bermusim. Kita tidak mahu terus berada di dalam kepompong persekitaran yang statik yang membelenggu corak pemikiran kita dan dalam proses menggemilangkannya masih disanggah segala macam kelemahan yang bertali arus sejak berzaman. Sedangkan wawasan kecemerlangan harus berjalan seiring bersama kedinamikan para sasterawan dan juga keberkesanan pembangunan fizikal dan spirituil yang diamalkan.

Kita cukup menyedari bahawa dunia ini sedang dihambat dengan pelbagai cemeti perubahan yang bersifat megakarya dan megahnya globalisasi yang meranapkan ciri-ciri yang unik dan istimewa. Dalam keadaan ini kita perlu melihat peranan kita sebagai sasterawan yang akan membantu ke arah menyerlahkan budaya ilmu yang berpaksikan keaslian negara bangsa kita. Dengan benteng yang kukuh ini, insya-Allah kita akan menampilkan keberkesanan realiti negara maju beracuan kita sendiri, mampu menampilkan megakarya-megakarya sastera yang megah oleh para sasterawan yang berfikiran besar dan berpandangan jauh ke hadapan. Para sasterawannya pula berpeluang mengangkat persoalan tempatan ke persada global menerusi aktiviti penulisan yang konsisten, sistematik, kritis dan membina malah cemerlang, gemilang dan terbilang. Inilah cabaran para sasterawan generasi hari ini.


R u j u k a n


A.Aziz Deraman (2000), "Bahasa dan Kesusasteraan dalam Pembinaan Negara Bangsa".Tamadun Melayu dan Pembinaan Bangsa Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Abdul Hadi W.M. (1989). Masjid, Kepenyairan Timur dan Barat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Abdul Rahman Embong (2003). "Faktor Ideologi Politik dan Budaya dalam Penutupan Minda Melayu Islam". Isu dan Proses Pembukaan Minda Orang Melayu Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Arifin Arif (1998). Sastera Islam Menelusur Qarnul Jadid. Kota Kinabalu: Majlis Bahasa dan Sastera Sabah dll.

Dr. Datu Bandira Datu Alang al-Haj (1999). Sasterawan: Nukleus Sosialisasi Masyarakat Alaf Baru. Kota Kinabalu: Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah.

Dr. Mohammed Haleem Haji Razi (1995). Budaya Ilmu: Ke Arah Pemantapannya di Kalangan Penulis di Sabah. Kota Kinabalu: Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah.

Hassan Ahmad (2002). "Budaya Ilmu". Imbasan (Edisi Kedua). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Johan Jaaffar (1989). Sastera Malaysia untuk Dunia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Syed Othman Alhabshi (2003). "Masyarakat Ilmu, Ekonomi Ilmu dan Masyarakat Islam". Isu dan Proses Pembukaan Minda Orang Melayu Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Tiada ulasan: