Isnin, November 23, 2015

Sastera sebagai sebuah dunia…


FENOMENA sastera tanah air yang gemilang! Yang pasti ungkapan ini menarik juga untuk diperkatakan. Tumpuan kepada dua hal iaitu mengenai fenomena dan sastera tanah air. Fenomena bermaksud suatu kenyataan atau kejadian yang dapat diberikan perhatian (Kamus Dewan Edisi Keempat). Sastera tanah air merujuk kepada semua jenis aktiviti berkaitan dunia penulisan kreatif. Dimaksudkan juga sastera tanah air bagi mana-mana bentuk sastera yang mendominasikan penglibatan pembawa tradisi yang aktif dan pasif. Pembawa tradisi yang aktif apabila individu atau kumpulan individu yang terlibat secara sedar dan secara langsung. Sedangkan pembawa tradisi yang pasif melibatkan semua pihak dalam sesuatu masyarakat secara tidak langsung mengikuti sesebuah bentuk atau genre sastera yang ada.

Apakah peristiwa-peristiwa yang menjadi fenomena dalam dunia sastera kita kini? Banyak sekali. Dunia sastera mutakhir telah meledak dengan hebatnya. Sama ada kita sedari atau tidak, kenyataannya dunia sastera kita sedang mengalami satu fenomena. Masyarakat sastera semakin dibiasakan oleh gelombang hedonisme yang memberatkan kepada semangat kemenangan. Penggiat memberikan tumpuan terhadap kemenangan hinggakan objektif sastera telah berubah. Imej sastera telah dijenamakan sebagai imej melebihkan kehebatan paling hebat. Individu berlumba-lumba mengejarnya.

Ini situasi yang tidak dapat dielakkan. Ia juga menuntut setiap generasi mengetengahkan metodologi-metodologi tertentu dalam karya, menyebabkan terdapat segelintir penulis yang kaku dan lesu tanpa melahirkan apa-apa akhirnya bekerja keras agar aliran semasa tidak menyebabkan mereka tertinggal. Kini tiada lagi insan penulis yang tertinggal. Mereka begitu sensitif dan mengatakan bahawa dunia sekarang adalah sastera. Bayangkan sastera itu sebuah dunia.Hebat bukan?

Kata sesetengah orang, penulis itu tidak mungkin berhenti menulis kerana begitu dia berhenti bermakna dia berhenti berfikir. Menulis itu suatu kegiatan berfikir. Tidak ada apa dalam karyanya jika tidak ada perkara yang terhasil daripada aktiviti berfikir. Merakam peristiwa yang kemudiannya diterjemahkan sebagai bahan baca yang mengandungi elemen-elemen baru untuk pembaca berfikir juga tidak dapat lari daripada medan berfikir.

Seorang penulis yang berjaya menyelesaikan sebuah cerpen misalnya sekali duduk, terhasil setelah ia puas atau berhempas pulas berfikir. Apakah bahan yang diperolehinya itu boleh menjadi sesuatu yang berfaedah untuk dinikmati pembaca, sudah menjadi unsur penting hingga dia merenung jauh, jauh atau dalam, dalam sekali. Begitu juga apabila melihat gunung-ganang, pandangan kalbunya boleh menyeberangi ke segala ceruk rimba. Apabila merenung kegelapan malam, dia boleh memandang kelahiran esok pagi bahkan hari-hari yang berlalu lama dulu. Inilah kelebihan penulis yang berfikir. Sastera sebagai sebuah dunia pelik dan luar biasa!

Apakah pembaca memahami atau menerima apa yang difikirkannya, itu persolan lain. Baik atau tidak sesebuah karya itu soal kemudian. Setelah diedar atau diterbitkan, karya itu sudah sebahagiannya menjadi yang lain, bukan seperti asal. Orang boleh membuat apa sahaja tanggapan. Puisi atau sebuah cerpen bahkan novel dan drama sekalipun, orang akan membuat tafsiran yang berbeza-beza. Jika dikatakan penulis sudah ‘mati’ setelah karyanya dibaca orang lain, ini berkaitan dengan persepsi di mana penulis menyerahkan kepada pembaca, pentelaah, pengkaji, penilai, pengkritik dan sebagainya memberikan tanggapan tanpa campur tangan penulis.

Sesetengah pembaca barangkali menekuni tulisan Suhaimi Haji Muhammad tanpa masalah mungkin orang lain tidak, begitu juga karya Kemala, Usman Awang, Mana Sikana, A.Ghafar Ibrahim, Muhammad Haji Salleh, Johan Jaafar, Marzuki Ali, Azmah Nordin, Yatim Ahmad, Jasni Matlani, Noraini Osman, Ruhaini Matdarin, Mabulmaddin Shaiddin dan seumpamanya. Orang kata ada cara untuk mencari makna sesebuah karya itu. Gunakan tanda atau perlambangan. Cari pendekatan atau aliran penulis-penulis berkenaan. Hampiri latar kehidupan penulis karya berkaitan. Dan bermacam-macam lagi, tidak payah diceritakan. Orang yang tahu asam garam dunia sastera, lebih faham apakah rahsia dalam fikiran setiap penulis. Mungkin juga memenatkan.

Berfikir itu bukan sekadar kerana bersastera. Berhujah tentang sesuatu perkara dalam konteks yang lain juga boleh terjadi. Sastera ini, kata Khalil Gibran, kadang-kadang hanyalah singgahan orang yang letih berfikir perkara-perkara yang rutin. Dia melepaskan masalahnya di arena sastera. Jadilah juga sebuah ciptaan yang dangkal dan asal siap, kurang nilai seninya, kurang diksi yang mencabar, dan inilah karya yang mungkin diterima lantaran mudah difahami. Sedangkan mereka yang benar-benar menggilai sastera yang sudah berani membenarkan pilihan diksi di luar kebiasaan, diletakkan di suatu kamar lain. Terdapat ada penulis yang ingin menulis dalam semua genre walaupun kekuatannya hanya pada satu genre. Dia menulis novel, cerpen, drama dan puisi. Bila menghasilkan puisi, karyanya tidak begitu kukuh berbanding karya-karya prosa. Nilai estetikanya kurang menyerlah, pemilihan diksinya kurang dinamik, teknik penulisannya juga kurang bertenaga.

Mengukuh kepunyaan dalam konteks mendalami bagaimana pencarian kata dan bahasa dalam penciptaan karya kreatif khususnya puisi perlu melalui fasa-fasa tertentu. Masa lalu sering menjadi harga yang berwibawa dan membaca segala peristiwa dengan tekun. Mohammad Diponegoro pernah mengatakan, “satu-satunya nasihat bagi pengarang muda ialah sesuatu yang mungkin sangat baru bagi sebahagian mereka, iaitu membaca. Jika anda senang menulis, kenapa anda meremehkan apa yang sudah ditulis?” Ya, kenapa tidak? Tidak sedikit penulis terkenal yang berawal dari kesenangannya dalam hal membaca.

Bacalah buku apa saja untuk menangkap gaya setiap penulis. Membaca juga membuat kita tahu apa yang membuat sebuah tulisan itu bagus serta memperluas kosa kata. Tapi begitu tiba waktunya menulis, kita harus mulai dengan gaya kita sendiri. Mulailah menulis apa saja yang anda tahu. Tulislah apa yang anda alami dan apa yang anda rasakan. Itulah yang kulakukan, pesan J.K. Rowling.

Bagi penulis generasi baharu, sudah sampai masanya diutarakan pendekatan yang lebih profesional agar tidak berlaku anggapan ada penulis yang diabaikan. Dengan kata-kata lain, sewajarnya digembelingkan usaha penjabaran ilmu penulisan ini dari bawah. Program penataran sastera kreatif di peringkat remaja harus dihidupkan semula. Ini tidak berhenti setakat ini tetapi membawa mereka yang berbakat dan berpotensi itu mendalami lagi dunia penulisan kreatif pada tahap yang kedua seterusnya tahap-tahap yang lanjut.


Peranan dunia persuratan dalam kalangan generasi muda cukup bermakna, sebab itu generasi muda yang meminati dunia penulisan kreatif harus diberikan perhatian. Sikap mandiri dan ingin berdikari mengikut rentak fikiran serta hal tuju generasi yang mahukan kebebasan, hak memasarkan buah fikiran yang menyimpang daripada kebiasaan, sewajarnya dielakkan. Kini kita sedang menghadapi gerakan penulis generasi baru atau generasi Indies atau hiliran yang berani mengatakan kumpulan mereka mustahil untuk duduk bersama-sama dengan para penulis yang konvensional. Ini juga antara fenomena terhadap sastera mutakhir. Apapun juga yang menjadikannya suatu fenomena, ia akan melalui gelombang demi gelombang situasi atau keperluan yang akhirnya akan menemukan satu titik. Demikian halnya ketika ucapan tahniah yang terus berkumandang di mana-mana media, fenomena kemenangan yang tidak terlepas daripada tohmahan, kritikan, rasa tidak puas hati dan pelbagai garapan pemikiran yang ada kalanya tidak rasional, kita anggap sahaja ia sekadar fenomena yang sementara. Inilah sastera, sebuah dunia, yang kita sedang mengalaminya.

PUSTAKA IQBAL NAZIM

Tiada ulasan: