Selasa, Ogos 25, 2015

Tak Melupai Jasa DBP Cawangan Sabah


Sebagai penulis kelahiran Sabah saya tidak pernah melupai jasa yang dimainkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah. Ramai penulis bermula dari situ termasuklah saya. Antara kejayaan DBP cawangan ini ialah Program Penulis Anak Angkat DBP Cawangan Sabah. Pada 1987 saya menyertai program ini di bawah asuhan Dato' Kemala. Program ini antara aktiviti bimbingan penulisan anjuran DBP Cawangan Sabah yang terbaik diperkenalkan pada 1985. Saya bersama penyair Saibil Madun bertuah selepas Obasiah Hj Othman (Novel/1985) dan Siti Rahmah Ibrahim dan Hajah Mariam Omar (Cerpen/1986). Selain menerima bimbingan, matlamat utamanya ialah menerbitkan karya sebagai produk program ini. Alhamdulillah Saibil berjaya menghasilkan 'Kumpulan Puisi Laut Sebuah Ayunan' manakala saya menulis sebuah puisi balada (Balada Paduka Mat Salleh). Buku-buku ini diterbitkan pada 1988. DBP secara keseluruhannya tidak pernah kontang dengan aktiviti penataran, bimbingan dan sebagainya. Pada 1997 saya menjadi penulis pertama dari Sabah bersama Dr Hazami Jhari, Uthaya Sangkar dan Mattaib Nordin dipilih menyertai Program Penulisan Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) di Indonesia.
Lebih tiga dekad, seingat saya DBPlah yang terus memperkasa bidang penulisan kreatif ketika saya menyertai Kumpulan Anak Seni (1979-1990) dan Ikatan Penulis Sabah (1990 hingga kini). DBP Sabah yang dipimpin oleh para pengarah yang dedikasi seperti Encik Kamaruzzaman, Haji Mohd Ariffin Siri, Haji Hamdan Yahya, Datuk Haji Ismail Abbas (allahyarham), Encik Osman Ismail, Encik Zulkifli Salleh, Haji Hamzah Hamdani, Encik Zubaidi Abas (allahyarham), Haji Jamaluddin Mohd Sulong dan kini Hajah Asmiah Ajamain terus siaga memperkasa agensi ini. Tahniah!
Sejak sekian lama para penulis berhadapan dengan pelbagai isu khususnya penerbitan. Hal ini terus berlangsung hingga kini termasuklah para penulis Sabah. Alhamdulillah juga alternatif para penulis di seluruh negara dinikmati melalui ITBM. Semakin ramai penulis mempunyai peluang menerbitkan buku masing-masing. Ada yang lebih daripada sebuah, namun lebih penting ialah persoalan penerbitan sekurang-kurangnya telah dapat diselesaikan.
Kini DBP kembali diperkasakan khususnya penerbitan. Kami di Sabah berharap DBP Cawangan Sabah turut memperkasakan aktivitinya agar selari dengan kecenderungan penerbitan buku kebangsaan. Penulis tidak harus terlalu bergantung kepada ITBM sedangkan DBP juga mempunyai ruang yang terbaik agar turut diterokai. Kedua-dua agensi ini amat penting buat kita, masyarakat dan negara. Selain penerbitan, penataran, pemugaran dan bimbingan juga perlu diperhebatkan mengikut keperluan dan pendekatan yang lebih realistik. Dengan nilai duit yang semakin mengecil, penyediaan kewangan untuk menampung aktiviti yang turut semakin menyusut, penulis harus menyedari bahawa bergantung sepenuhnya kepada kerajaan perlu diubah.
Di pihak kerajaan Negeri khususnya pula sewajarnya turut serta mengambil peranan. Perkara ini sudah terlalu lapuk untuk diperkatakan, sedangkan beberapa buah negeri di Semenanjung dan Sarawak telah bertindak mengangkat sastera sejajar dengan keperluannya dan malah terus dimartabatkan. Di Sabah, pengaugerahan sastera digalas oleh DBP yang tidak mampu memberikan sesuatu yang lebih besar berbanding beberapa negeri yang dimaksudkan. Kerajaan Negeri sepatutnya telah lama memberikan perhatian, soalnya tidak pasti apakah dalam kabinetnya tidak ada suara yang kuat atau suara yang kuat itu tidak dianggap perlu disegerakan. Akhirnya, segera pun bukan maka para penulis menerima apa adanya daripada agensi yang begitu komited iaitu DBP sendiri. Syabas DBP! Kita hanya berdoa agar ada yang lebih baik di masa mendatang jika tidak berlaku pada masa ini. Perjuangan akan terus dilangsungkan. InshaAllah.


Tiada ulasan: