**Oleh Jasni Matlani
DR. MAHATHIR bukanlah tokoh yang asing di Malaysia malah di peringkat global. Saya masih ingat pada tahun 1990-an apabila seorang rakyat Malaysia sesat di China, tidak ada sesiapa yang menghiraukannya, sehinggalah orang itu menunjukkan gambar Dr. Mahathir. Waktu itu beliau menjadi Perdana Menteri dan banyak perubahan yang dilakukannya di Malaysia. Begitu juga dasar luarnya seolah-olah memperlihatkan bahawa beliau adalah memimpin negara besar dunia, bukan sebuah negara kecil Malaysia.
Itulah Dr. Mahathir, banyak tindakannya menimbulkan kontroversi, tetapi Dr. Mahathir bukanlah seorang pemimpin yang melakukan sesuatu perkara yang popular di peringkat permulaan tetapi di penghujungnya. Dia tidak diadili dengan baik ketika berlepas digaris permulaan, tetapi di garisan penamat. Dia disukai, tetapi tidak kurang yang membencinya. Bagaimana pun, untuk negara, Dr. Mahathir, selalu mendengar suara hatinya. Dia percaya bahawa dia tidak mungkin memuaskan hati semua orang, mengembirakan mereka dalam semua perkara, tetapi kebenciaan pun membawa makna besar dalam hidupnya. Ia seperti kuasa yang mendorongnya bergerak laju dan lebih jauh kehadapan. Lebih jauh daripada jangkauan sesiapa pun di negaranya dan malah di luar negara.
Dr. Mahathir adalah tokoh yang perlu diberi perhatian sama ada ketika beliau menjadi Perdana Menteri, atau selepas menjadi Perdana Menteri. Beliau juga adalah antara pemimpin yang banyak menulis buku, lebih menghormati ilmu dan mengetahui fadilat buku dalam sejarah manusia lebih baik daripada beberapa pemimpin lain di dunia. Kata A. Kadir Jasin (2008), sehingga kini Dr. Mahathir telah menghasilkan lebih 20 buah buku. Beliau juga merupakan seorang pemikir dan penulis yang ulung. Daripada menulis menggunakan mesin taip untuk bukunya Malay Dilemma dan mengedarkannya dalam bentuk stensilan,beliau akhirnya menerajui revolusi ICT di Malaysia dan ia bermula dengan kegemarannya melawat pameran komputer terbesar di Hanover, Germany dan akhirnya membawa teknologi itu ke Malaysia.
Itulah Dr. Mahathir dan kini beliau adalah antara penulis blog yang paling popular di Malaysia dan blognya chedet.com merupakan blogger yang paling banyak menerima pembaca di dalam negara dan mungkin juga yang paling dicari pembaca di alam siber. Sehingga A. Kadir Jasin menganggap kejayaan blog itu sebagai satu fenomena di Malaysia. Tulisan-tulisan dalam blog itu kemudiannya dibukukan dalam sebuah buku bertajuk Chedet.com BLOG Merentas Halangan Terbitan Berita Publishing Sdn. Bhd.
Saya membeli buku tersebut beberapa minggu lalu di sebuah kedai buku di Kota Kinabalu, dan membaca pelbagai isu semasa yang diketengahkan Dr. Mahathir, yang berlaku di dalam negara ini. Sama ada ia berkaitan isu kehakiman, kegagalan Barisan Nasional di Semenanjung pada pilihan raya lalu, isu Jambatan bengkok, harga minyak dan Petronas, tentang Ketuanan Melayu dan kontrak sosial di Malaysia, tentang Anwar Ibrahim, tentang UMNO, tentang Dato’ Seri Najib dan Dato’ Seri Abdullah Badawi. Tetapi saya membuat kesimpulan, apa juga isu yang diketengahkannya, ia adalah tentang usaha Dr. Mahathir menolak kepimpinan Dato’ Seri Abdullah Badawi dan mendesak agar beliau meletak jawatan dan menyerahkan kepimpinan negara ini kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak secepat mungkin.
Kenapa Dr. Mahathir mahu Dato’ Seri Abdullah Badawi meninggalkan kerusi Perdana Menteri secepat mungkin? Kenapa masa yang panjang tidak relevan dengan pemerintahan Dato’ Seri Abdullah Badawi?
Tulisan Dr. Mahathir dan pandangan yang dikemukakannya di dalam buku beliau yang terbaharu itu ternyata menjawab segala-galanya. Banyak pandangan yang dikemukakan oleh Dr. Mahathir lebih menjurus kepada konklusi, dengan mengatakan bahawa lebih lama Datuk Seri Abdullah Badawi memimpin kerajaan dan UMNO, lebih banyak kerosakan yang berlaku dalam parti dan kerajaan.
Ketika menulis tentang keperihalan kepimpinan di negara ini, Dr. Mahathir menyimpulkan sebagai berikut; Umum tahu bahawa UMNO, BN dan parti-parti komponennya sudah rosak teruk dan tidak mendapat kepercayaan rakyat lagi setelah lima tahun Dato’ Seri Abdullah menerajui parti dan Kerajaan…kerja untuk memulihkan parti-parti dan kepercayaan rakyat (selepas pilihan raya ke 12) dan sebelum pilihanraya umum ke 13 memerlukan masa yang panjang. Tetapi, masa yang ada hanyalah empat setengah tahun jika tidak kurang daripada itu…masa ini terlalu singkat untuk berusaha memulihkan semula parti BN, UMNO, MCA, MIC, Gerakan, PPP dan lain-lain. Selain daripada parti-parti di Sabah dan Sarawak semua parti BN di Semenanjung telah ditolak oleh rakyat dan perlu rawatan luar biasa.
Inilah komentar Dr. Mahathir tentang Dato’ Seri Abdullah Badawi. Tetapi apabila beliau menyebut Sabah dan Sarawak, saya teringat tentang beberapa tindakan beliau yang tidak menggembirakan rakyat Sabah dan saya pernah menyatakan ini dalam beberapa tulisan yang terdahulu. Ketika beliau memutuskan untuk menggilir-gilirkan jawatan Ketua Menteri Sabah setiap dua tahun kepada tiga suku kaum tertentu di Sabah, saya menulis bahawa ia adalah satu sistem yang gagal. Ketika itu ekonomi Sabah menjunam hingga ke peringkat paling kritikal, pelaburan kerajaan menerima pulangan yang minimum, simpanan negeri semakin mengecut dan banyak agensi dan syarikat dimana kerajaan berkepentingan memerlukan bantuan.
Ekonomi Sabah sepanjang sistem penggiliran Ketua Menteri itu dijalankan, adalah sangat kritikal, peluang pekerjaan terhad, kadar kemiskinan terlalu tinggi, penduduk luar bandar kekurangan prasarana dan sebagainya. Malah, peratus kemiskinan di Sabah ketika itu ialah 20 peratus dan tidak dapat diturunkan dengan drastik, kerana pemimpin kerajaan ketika itu hanya menumpu kepada isu penggiliran jawatan Ketua Menteri.
Saya bertegas mengatakan sistem penggiliran Ketua Menteri itu samalah dengan sistem dan amalan politik di Jepun yang mengganti tampuk kerajaan dan pemerintahan dalam jangka masa yang singkat. Kebanyakan Perdana Menteri Jepun hanya berkhidmat selama dua tahun. Tempoh yang pendek itu menghalang Perdana Menteri dan kerajaan negara itu daripada menjadi sebuah kerajaan yang efektif, kerana sepatutnya masa yang panjang diperlukan untuk menggubal dasar, melaksanakan dan melihat hasilnya.
Tetapi apa yang saya dapat simpulkan, ketika Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri, beliau hanya mahu melihat rakyat Sabah terus ketinggalan. Secara tersirat beliau seperti hendak mengatakan, biarlah rakyat Sabah saling berebut jawatan Ketua Menteri, menukar Ketua Menteri dan kerajaan dua tahun sekali. Dengan demikian, ia memudahkan beliau mengawal Sabah, melalui satu bentuk penjajahan baharu yang tidak diisytiharkan.
Saya hendak mengatakan bahawa Dr. Mahathir tidak melayan negeri Sabah dan rakyat Sabah sebagaimana sepatutnyan sebagai sebuah negeri dalam Persekutuan Malaysia. Ini yang Dr. Mahathir lakukan untuk membolehkan Sabah terus kekal dalam Malaysia. Dr. Mahathir mahu memberikan Sabah kemunduran dan perpecahan yang berterusan untuk memudahkannya mengawal dan menekan remote control apabila diperlukan.
Saya mengagumi Dr. Mahathir kerana keberanian dan usaha beliau untuk membawa kemajuan dan pemodenan Malaysia. Tetapi kemajuan dan pemodenan itu bukan untuk Sabah dan Sarawak. Ia adalah diluar agenda kepimpinan era Dr. Mahathir.
Apabila beliau tidak menjadi Perdana Menteri, beliau sekali lagi mengguris hati rakyat Sabah. Saya katakan demkian kerana di dalam buku terbaharunya Chedet.com BLOG Merentas Halangan Terbitan Berita Publishing Sdn. Bhd. (2008) itu, sekurang-kurang dua kali beliau mememperlekehkan tindakan Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi yang memberikan peruntukan besar kepada Sabah dan Sarawak, hanya semata-mata kerana pembatalan projek Landasan Berkembar dan Elektrifikasi Keretapi, pembatalan projek Jambatan Bengkok di Semenanjung dan beberapa perkara yang hanya beliau ketahui sendiri.
Dr Mahathir mempersoalkan kenapa Dato’ Seri Abdullah melontarkan berbilion ringgit kepada Sabah dan Sarawak sebagai hadiah pada masa bajet sedang mengalami deficit dan bagaimana sebuah kerajaan (pimpinan beliau) boleh membelanjakan wang rakyat dengan keputusan yang menambah kerugian?
Tetapi saya bertanya, adakah menjadi kesalahan untuk membantu rakyat Sabah dan membebaskan rakyat negeri ini daripada kemiskinan. Sesuatu yang tidak dilakukan Dr. Mahathir pada era kepimpinannya? Adakah hina membangunkan negeri Sabah dan menaburkan berbilion ringgit hanya semata-mata untuk melihat negeri Sabah menikmati kemajuan setanding dengan kemajuan yang dinikmati negeri lain di Malaysia?
Apakah jika duit berbilion ringgit itu ditaburkan untuk membina jambatan bengkok dan landasan berkembar dan Elektrifikasi Keretapi di Semenanjung, maka itu bukan satu kerugian dan berupaya mengatasi masalah deficit yang dialami negara sekarang?
Apakah salahnya Dato’ Seri Abdullah melontarkan berbilion ringgit ke Sabah dan Sarawak, jika Sabah dan Sarawak yang dianggap moron dalam politik Malaysia inilah, yang akhirnya menjadi penentu politik dan kepimpinan kerajaannya?
Dr.Mahathir berkata lagi, jumlah wang berbilion ringgit yang beliau taburkan di Sabah dan Sarawak itu adalah gula-gula yang Dato’ Seri Abdullah berikan kepada Sabah dan Sarawak akibat keputusan beliau tidak berlaku adil dalam memberi agihan jawatan menteri dalam kabinet persekutuan.
Tetapi mungkin Dato’ Seri Abdullah silap dalam pengangihan jawatan menteri, mungkin juga beliau terikut-ikut dengan cara Dr. Mahathir dalam kepimpinan terdahulu yang tidak pernah meletakkan pemimpin Sabah dan Sarawak menjawat jawatan menteri penting di peringkat persekutuan. Tetapi adakah negeri Sabah dan rakyat Sabah, tidak berhak mendapat haknya, setelah berkorban besar untuk menyertai Malaysia?
Benar, di peringkat awal pasca merdeka, Sabah dan Sarawak adalah negeri yang ketinggalan dalam serba serbi, tahap pendidikan rakyatnya sangat rendah, selalu dianggap orang Semenanjung sebagai daif, moron dan tinggal di atas pokok, ekonominya belum dieksploitasi sepenuhnya, kekayaan sumber alamnya belum diteroka, tetapi masa telah berubah dan kebanyakan rakyat negeri ini telah menikmati tahap pendidikan yang tinggi, mempunyai pengalaman yang luas dalam politik dan pentadbiran kerajaan. Jadi apa salahnya mereka diberi peluang menjawat jawatan yang penting dalam parti dan kerajaan.
Dalam UMNO sendiri pun Sabah adalah lubuk UMNO yang kedua terbesar selepas Johor. Justeru itu eloklah Sabah dan Sarawak mendapat sedikit penghormatan dan keadilan sebagai sebuah negeri yang berdaulat dalam persekutuan Malaysia. Anggapan sama ada tersurat atau tersirat menganggap Sabah dan Sarawak adalah negeri jajahan koloni baharu selepas British mesti dihapuskan sama sekali.
Jika kerajaan persekutuan di bawah Dr. Mahathir telah menghabiskan wang rakyat Malaysia dengan membina projek mega yang kesemuanya terdapat di semananjung Malaysia, yang disenarai panjangkan oleh Dr. Mahathir sendiri bermula dengan projek KLIA, Stesen Sentral, jambatan Pulau Pinang, Menara berkembar Petronas, Lebuh raya Utara-Selatan, Projek rel-keretapi berkembar dan elektrik, LRT, Monorel Kuala Lumpur, Putrajaya dan Cyberjaya, lebuhraya bertol, Pelabuhan Barat, Pelabuhan Tanjung Pelepas, Litar Lumba Formula 1, Menara KL dan lain-lain. Apakah yang kami dapat untuk Sabah dan Sarawak?
Adakah kami hanya berhak untuk mendapatkan jalan raya tarafnya yang paling tercorot di Malaysia? Adakah kami hanya berhak mendapatkan sisa-sisa pembangunan dan terus membiarkan rakyat kami dibelenggu kemiskinan dan serba daif? Kenapa tidak litar Formula 1 atau pelabuhan bertaraf dunia dibina di Sabah? Kenapa tidak menara berkembar Petronas dibina di Sarawak? Adakah kami tidak berhak unutk itu. Adakah kami perlu menunggu keadaan seperti yang berlaku selepas pilihan raya ke 12, baharulah peruntukan datang menurah-curah ke negeri kami?
Sesungguhnya, Malaysia kini telah dan sedang melalui proses transformasi. Sama ada kita akur atau tidak, sudah tiba masanya Dr. Mahathir dan semua pemimpin di Semenanjung baik pemimpin kerajaan atau pemimpin pembangkang, melayan kedua negeri yang terakhir dalam pembentukan negara MALAYSIA ini secara adil dan lebih bermaruah. Jangan menunggu sehingga rakyat membuat keputusan, baharulah perubahan hendak dilakukan. Sedangkan ketika itu, segala-galanya sudah terlambat.
**Jasni Matlani, antara sasterawan penting di Sabah. Banyak menulis kritikan sastera di samping menulis novel, cerpen dan puisi. Beliau kini Yang Dipertua Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA). Artikel ini pertama kalinya tersiar dalam akhbar Utusan Borneo pada 29 Januari 2009. Atas ehsan dan kebenarannya, saya luncurkan untuk tatapan pelayar blog terutama sekali masyarakat Sabah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan